Thursday, June 30, 2022

QUE SERA SERA, WHATEVER WILL BE, WILL BE

 QUE SERA SERA, WHATEVER WILL BE, WILL BE

Aku suka quote yang diperkatakan oleh Keanu Reeves ini. Ianya merupakan salah satu kaedah yang matang untuk kita berhadapan dengan kehidupan tanpa dibelenggu dengan stress dan depresi.
Diusia aku sekarang, kalau boleh aku malas dah nak berhadapan dengan sebarang konfrontasi. Kalau boleh nak hidup dengan tenang tanpa berbalah dengan sesiapa pun.
Kehidupan kita terlalu singkat untuk memikirkan tentang hal-hal yang menyakitkan hati serta bertengkar sesama sendiri. Diharapkan semuanya baik-baik sahaja. Semoga kehidupan kita semua sudah boleh kembali seperti sebelum kedatangan COVID19. Amin.



Monday, June 27, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : SWEET HOME (2020)

 ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : SWEET HOME (2020)

Agak lama juga siri Netflix ini bersarang di dalam My List aku. Semasa premiernya pada Disember 2020 yang lepas, aku agak keberatan untuk menontonnya kerana aku ni jenis yang tak suka tengok siri drama Korea pada awalnya. Akan tetapi setelah mencuba nasib menonton beberapa siri
hebat
seperti Squid Game, Kingdom, Hellboud dan The Guest, minat untuk meneruskan tontonan siri Netflix bergenre fantasi dan aksi mula membuak. Lalu aku pun cuba untuk menonton siri Sweet Home pula.
Sweet Home merupakan sebuah kisah yang berkaitan dengan genre apokaliptik serta disalut dengan elemen keganasan raksasa yang asalnya dari manusia (disebabkan oleh serangan virus). Kisahnya bermula apabila seorang remaja bernama Cha Hyun-soo (lakonan Song Kang) mula berpindah ke sebuah apartment usang dan berniat untuk membunuh diri di tempat tersebut. Namun keinginannya itu mula terbantut apabila ada serangan virus mula merebak di seluruh Korea yang menyebabkan manusia bertukar menjadi raksasa. Cha Hyun-soo serta beberapa penduduk di apartment tersebut terpaksa mencari ikhtiar untuk terus hidup sehingga bantuan sampai.
Ada beberapa perkara tentang siri ini yang membuatkan aku merasa kurang selesa dan tiba-tiba hilang minat untuk meneruskan tontonan. Antara sebabnya ialah terdapat banyak plot holes pada beberapa episod awal siri ini membuatkan para penonton menjadi keliru terhadap sebahagian watak penting di dalamnya. Ianya terlalu teruk disunting menyebabkan storyline asalnya menjadi hilang arah. Akan tetapi ianya dapat diselamatkan kembali apabila menonton episod 6 hingga akhir.
Siri Netflix "Sweet Home" ini bukanlah sebuah karya yang sempurna namun ianya masih menghiburkan untuk ditonton. Dikhabarkan akan ada musim kedua untuk siri ini dan diharapkan ianya bakal meleraikan beberapa pertanyaan yang masih tidak dijawab pada episod terakhir musim pertamanya.
Rating? 3 / 5



Thursday, June 23, 2022

ULASAN RINGKAS ANIME : MY DRESS-UP DARLING (2022)

 ULASAN RINGKAS ANIME : MY DRESS-UP DARLING (2022)

Akibat direkomen oleh salah seorang sahabat aku, aku pun cubalah menonton anime terbaru ini. Ianya masih lagi dikeluarkan dalam episod pertama buat masa sekarang. Dikhabarkan juga anime ini berasal dari manga bertajuk "Sono Bisuku Doru Wa Koi O Suru", ianya mengetengahkan genre slice of life dan romantic comedy.
Anime ini berkisar tentang kisah seorang pemuda bernama Wakana Gojo yang mempunyai minat yang mendalam membuat patung Hina (patung yang sering dijadikan hiasan semasa zaman maharaja Jepun di era Heian).
Keluarga Gojo juga menjalankan perniagaan membuat patung Hina secara turun temurun. Di sekolahnya Gojo merupakan seorang yang pendiam dan sukar bersosial dengan sesiapa pun di dalam kelasnya. Sehinggalah dia bertembung dengan seorang pelajar wanita sekelasnya bernama Marin Kitagawa yang juga mempunyai minat dalam dunia Cosplay.
Aku memang minat anime yang bergenre sebegini, cuma kadang-kala tidak bernasib baik menonton anime rom-com yang mempunyai pengakhiran mengecewakan seperti "Rent A Girlfriend" dan "Quintessential Quintuplet". Setakat ini anime "My Dress-Up Darling" nampak tidak mengecewakan dan mempunyai storyline yang mampu menarik tontonan aku sehingga ke episod akhir. Harap OK la.



Monday, June 20, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : TAISHO OTOME FAIRYTALE (2021)

 ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : TAISHO OTOME FAIRYTALE (2021)

Anime ini aku tahu pun melalui brader Safwan Zakwan Ashek juga (Tq wak). Ianya juga anime yang bergenrekan romantic comedy serta slice of life. Entah kenapa aku suka sangat anime sebegini berbanding genre lain seperti Isekai, Shonnen dan sebagainya. Mungkin disebabkan ianya berkisar dengan kehidupan seharian cuma kali ini ianya melibatkan zaman silam di Jepun.
Berlatarbelakangkan zaman Jepun di era awal 1900an, anime ini mengisahkan tentang seorang pemuda dari keluarga kaya iaitu Tamahiko Shima. Tamahiko terlibat dalam kemalangan jalanraya yang mengakibatkan ibunya meninggal dunia dan tangan kanannya lumpuh. Disebabkan hal itu, ayahnya membuangnya dari keluarga keluarga dan menganggap dirinya sudah "mati". Tamahiko mengasingkan dirinya di kawasan terpencil berdekatan dengan pergunungan Chiba. Tidak lama selepas itu, Tamahiko didatangi seorang remaja perempuan bernama Yuzuki Tachibana ke rumahnya itu. Yuzuki sebenarnya menjadi mangsa keluarganya juga di mana dia "dijual" kepada keluarga Tamahiko kerana bapanya tidak dapat melangsaikan hutang lalu dijadikan sebagai pembantu rumah kepada keluarga kaya Tamahiko. Selepas itu banyak insiden yang menarik berlaku.
Anime ini agak istimewa kerana ianya melibatkan kehidupan rakyat Jepun yang hidup di tahun 1921, tahun terakhir di era maharaja Taisho. Kehidupan di kampung juga dilihat agak menarik dan ini merupakan sisi yang jarang diketengahkan di dalam anime sebenarnya. Satu lagi yang menjadi tarikan utama ialah hubungan di antara Tamahiko dengan Yuzuki yang pada awalnya dilihat agak renggang dan mula menimbulkan bibit percintaan pada beberapa episod akhir. Diharap akan ada musim kedua untuk anime ini.




Thursday, June 16, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM : DON'T LOOK UP (2021)

 ULASAN RINGKAS FILEM : DON'T LOOK UP (2021)

Mungkin ramai yang sudah sedia maklum (ataupun mungkin juga yang baru tahu) bahawa Leonardo DiCaprio, seorang bintang Hollywood yang ternama, juga merupakan seorang duta serta jurucakap kepada kempen melindungi alam sekitar terutama sekali apabila melibatkan perubahkan iklim. Aku pernah tonton sebuah footage di TV di mana Leonardo DiCaprio sendiri menyampaikan mesej seperti ini kepada umum.
Sehingga kini, Leonardo masih lagi memperjuangkan matlamat tersebut dan kali ini kita dapat saksikan sendiri bagaimana beliau cuba untuk menyampaikan mesej berkenaan melalui filem "Don't Look Up" arahan Adam Mckay yang juga merupakan pemilik kepada syarikat produksi filem ini Hyperobject Industries. Filem yang membawakan genre dark comedy ini sebenarnya cuba menyampaikan satu mesej yang berbentuk satirikal dan sinis buat tontonan umum.
Ianya memperlihatkan bagaimana sikap manusia zaman mutakhir kini yang terlalu hidup di dalam kepompong sendiri sehinggakan apabila dilihat dari pandangan yang lebih besar serta umum, masalah utama yang melibatkan nyawa berbillion manusia dipandang enteng oleh beberapa pihak berkuasa besar. Walaupun dilihat sebagai satu bahan gurauan, akan tetapi situasi di dalam filem ini boleh terjadi di dalam kehidupan sebenar. Mungkin benar kata sesetengah orang, "Ignorance Is A Bliss". Namun sikap ignorance inilah yang membawa padah kepada semua umat manusia.
Filem ini bagi aku ianya wajib ditonton oleh semua kerana membantu kepada memupuk kesedaran tentang pentingnya hidup berpijak di bumi yang nyata dan bukannya hanya terperangkap dalam dunia yang delusional. Antara kekuatan lain dan menjadi salah satu daya tarikan untuk filem ini ialah barisan pelakon yang menjayakannya terdiri daripada Ariana Grande, Jennifer Lawrence, Jonah Hill, Meryl Streep, Cate Blanchett, Ron Pearlman (the original Hellboy), Timothèè Chalamet dan ramai lagi.
Rating? 4.5 / 5




Monday, June 13, 2022

OK BOOMER DI DALAM WHATSAPP GROUP

OK BOOMER DI DALAM WHATSAPP GROUP

Aku rasa ramai yang pernah melalui situasi sebegini di mana terdapat beberapa gambar yang berbentuk motivasi (ataupun sekadar ucapan selamat yang ringkas) dihantar oleh mak ayah kita ataupun saudara mara yang sudah berusia.
Pattern dia sama saja, gambar yang diiringi rekabentuk penuh warna warni, siap letak muka sendiri dan diiringi kata-kata hikmah. Bagi golongan milenial, ianya nampak awkward serta cringy, dan dalam masa yang sama agak kelakar.
Biarlah orang-orang tua kesayangan kita nak buat apa pun. Janji mereka happy. Kalau mereka dah tak ada nanti, kita pula yang tercari-cari mereka.



Thursday, June 9, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : COBRA KAI - MUSIM KE-EMPAT (2021)

 ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : COBRA KAI - MUSIM KE-EMPAT (2021)

Sedar tak sedar, siri Netflix Cobra Kai kini sudah musim ke-empat. Kita dapat saksikan perkembangan beberapa watak utama ditambahbaik dari musim ke musim seterusnya. Siri Netflix ini juga berjaya menarik penonton bukan sahaja dari golongan dewasa yang membesar di era 80'an malah bagi milenial juga.
Ada beberapa daya tarikan utama yang menjadikan Cobra Kai sering ditunggu-tunggu apabila dipromosikan bakal keluar dengan musim terbaru. Antaranya ialah jalan ceritanya yang semakin menarik dan sukar untuk diramal. Episod finale untuk musim keempat ini membuatkan kita merasa tidak sabar untuk menonton musim yang akan datang. Babak yang paling dinantikan ialah kejohanan Karate All Valley di mana dojo Miyagi-do dan Eagle Fang bekerjasama untuk menjatuhkan Cobra Kai.
Manakala kelemahan yang sangat merunsingkan ialah terlalu banyak babak pertarungan yang boleh dianggap sia-sia dan kurang relevan akan tetapi ianya tetap juga disiarkan di beberapa episod. Seolah-olah ianya bertindak sebagai fan service dan keluar dari motif utama ataupun tujuan asal jalan cerita siri ini. Diharapkan untuk musim kelima nanti, elemen ini dikurangkan agar penonton tidak merasa bosan dengan babak sebegini.
Rating? 3/5



Monday, June 6, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : BLUE SPRING RIDE (2014)

 ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : BLUE SPRING RIDE (2014)

Entah kenapa aku sangat meminati siri anime yang bergenre Shojo (kebanyakan peminat manga ini adalah mereka yang berada dalam lingkungan usia remaja dan lebih ke arah pembaca wanita). Mungkin disebabkan kebanyakan jalan ceritanya menarik dari segi pengembangan watak-watak utama dan ianya lebih rapat dengan dunia nyata (slice of life).
Antara anime Shojo yang aku selesai tonton dan memberi kesan di hati ialah Blue Spring Ride (Au Haru Ride). Manga untuk anime ini asalnya bermula dari tahun 2011 dan berakhir pada Februari 2015.
Ianya mengisahkan tentang seorang pelajar wanita bernama Futaba Yoshioka yang agak popular di sekolahnya namun mempunyai krisis persahabatan dengan rakan rapatnya. Di masa yang sama, Futaba bertemu kembali dengan crush lamanya dari middle school iaitu Kou Tanaka yang kini sering bersikap dingin. Mereka berdua seringkali terserempak dan bertembung di sekolah. Ada beberapa insiden yang membuatkan Futaba untuk cuba memahami situasi sebenar Kou yang sering menyisihkan diri dari orang lain dan menjadi anti sosial.
Anime ini juga telah pun diterjemahkan dalam versi filem live action dan telah pun disiarkan pada Disember 2014, 3 bulan selepas selesai siaran anime nya. Aku belum tengok lagi yang versi filem ini namun aku banyak baca ulasan tentang filem ini yang mengatakan ianya sangat bagus dan harus ditonton.
Pengakhiran anime ini sangat bagus dan aku berharap sangat anime ini mempunyai musim kedua. Kualiti lukisan untuk anime ini juga sangat menarik dan unik berbanding siri anime yang lain. Ianya mempunyai trademark yang tersendiri.




Thursday, June 2, 2022

KASET DAN CD INFECTIOUS MAGGOTS "DEEP WITHIN OUR GRIEF FACTORY MILK RUNS RED" (2021 REISSUE)

 KASET DAN CD INFECTIOUS MAGGOTS "DEEP WITHIN OUR GRIEF FACTORY MILK RUNS RED" (2021 REISSUE)

Segalanya bermula di satu sesi bual bicara bertajuk "Band Aid" yang dianjurkan oleh Iman Tang (pengasas label Clockwork Records) dan juga Edy J Herwan (pengasas band ska Gerhana Skacinta) melalui aplikasi Instagram. Tetamu mereka pada ketika itu ialah, tak lain dan tak bukan, Fathullah (vokalis asal Infectious Maggots). Melalui sesi bualbicara tersebut, Iman Tang dan Edy sering menanyakan tentang hal-hal yang berkait rapat dengan dunia seni Fathul yang melibatkan seni lukisan. Kadang-kala diajukan juga tentang sejarah penglibatan beliau dengan Infectious Maggots.
Ada satu ketika semasa bualbicara tersebut belangsung, mereka bertiga rendezvous tentang zaman kegemilangan muzik underground di Central Market semasa awal dekad 90'an dahulu. Sampai ada satu saat Iman Tang hampir mengalirkan air mata mengenang zaman tersebut. Aku pun turut tersentuh dengan perbualan mereka.
Pada pengakhiran sesi bualbicara tersebut, Iman Tang serta Edy J menyatakan hasrat kepada Fathul serta rakan-rakan Infectious Maggots yang lain untuk membuat reissue bagi album pertama mereka. Mereka bukan cakap kosong, Edy J benar-benar berusaha merialisasikan impian tersebut sehinggakan master tape asal semasa sesi rakaman pun dia mampu dapatkan.
Album "Deep Within Our Grief Factory Milk Runs Red" pada asalnya diriliskan melalui label Sonic Asylum Records pada tahun 1993. Album ini sangat diingati peminat irama keras dan ekstrim kerana ianya merupakan antara karya terawal muzik industrial di Malaysia. Mungkin agak keterlaluan untuk dilabel sedemikian rupa, namun ramai yang mengatakan bahawa Infectious Maggots adalah Godflesh versi Malaysia. Iman Tang sendiri pernah menyuruh Ahmad Dhani (kepala utama band popular dari Indonesia iaitu Dewa 19) mendengar kaset band ini dahulu. Ahmad Dhani seakan tidak percaya yang Malaysia pernah menghasilkan karya industrial sehebat ini.
Dengan adanya edisi reissue ini, ianya dapat mengubat kerinduan peminat-peminat mereka sekaligus memberi ruang kepada pendengar baru dari generasi milenial untuk menggali serta merasakan sendiri muzik Infectious Maggots. Aku berpeluang beraksi di gig yang sama dan berkongsi pentas dengan band legenda ini sebanyak 2 kali. Kali pertama ialah semasa aku menjadi session bassist untuk Larrong di gig Final Warfare 2017 yang bertempat di Seremban. Pertama kali aku tengok mereka beraksi, berbunga-bunga rasa hati dibuatnya. Yelah, bayangkan aku sejak dari zaman remaja lagi dan dengar dan mengenali band ni. Mendapat peluang melihat mereka beraksi depan mata itu sudah dikira bagaikan mimpi jadi kenyataan.
Kali kedua pula apabila Infectious Maggots dijemput ke Miri bagi menjayakan gig Miri Extreme 3.0 dan ianya merupakan satu peristiwa bersejarah kerana buat pertama kalinya Infectious Maggots beraksi di tanah Sarawak. Dari situ jugalah aku kenal dengan lebih rapat setiap line-up mereka, dari Lan Bye, Lan Bear, abang P.E., brader Kombat selaku bassist dan Madec di posisi vokal. Aku merasa bersyukur sangat sebab band aku Tahi Suci dapat berkongsi pentas dengan kugiran lagenda ini.
Sekian sahaja celoteh aku mengenai band kegemaran aku sejak dari bangku sekolah lagi, the mighty Infectious Maggots. Harap lepas ni, Edy J Records akan keluarkan versi piring hitam untuk album ini. Maaf jika ada sebarang kata-kata aku yang kurang elok atau tersalah fakta. Harap kalian dapat perbetulkan aku.
"BE PURE, TO THE THING, YOU ADORE"




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...