Showing posts with label dekad 90an. Show all posts
Showing posts with label dekad 90an. Show all posts

Thursday, June 2, 2022

KASET DAN CD INFECTIOUS MAGGOTS "DEEP WITHIN OUR GRIEF FACTORY MILK RUNS RED" (2021 REISSUE)

 KASET DAN CD INFECTIOUS MAGGOTS "DEEP WITHIN OUR GRIEF FACTORY MILK RUNS RED" (2021 REISSUE)

Segalanya bermula di satu sesi bual bicara bertajuk "Band Aid" yang dianjurkan oleh Iman Tang (pengasas label Clockwork Records) dan juga Edy J Herwan (pengasas band ska Gerhana Skacinta) melalui aplikasi Instagram. Tetamu mereka pada ketika itu ialah, tak lain dan tak bukan, Fathullah (vokalis asal Infectious Maggots). Melalui sesi bualbicara tersebut, Iman Tang dan Edy sering menanyakan tentang hal-hal yang berkait rapat dengan dunia seni Fathul yang melibatkan seni lukisan. Kadang-kala diajukan juga tentang sejarah penglibatan beliau dengan Infectious Maggots.
Ada satu ketika semasa bualbicara tersebut belangsung, mereka bertiga rendezvous tentang zaman kegemilangan muzik underground di Central Market semasa awal dekad 90'an dahulu. Sampai ada satu saat Iman Tang hampir mengalirkan air mata mengenang zaman tersebut. Aku pun turut tersentuh dengan perbualan mereka.
Pada pengakhiran sesi bualbicara tersebut, Iman Tang serta Edy J menyatakan hasrat kepada Fathul serta rakan-rakan Infectious Maggots yang lain untuk membuat reissue bagi album pertama mereka. Mereka bukan cakap kosong, Edy J benar-benar berusaha merialisasikan impian tersebut sehinggakan master tape asal semasa sesi rakaman pun dia mampu dapatkan.
Album "Deep Within Our Grief Factory Milk Runs Red" pada asalnya diriliskan melalui label Sonic Asylum Records pada tahun 1993. Album ini sangat diingati peminat irama keras dan ekstrim kerana ianya merupakan antara karya terawal muzik industrial di Malaysia. Mungkin agak keterlaluan untuk dilabel sedemikian rupa, namun ramai yang mengatakan bahawa Infectious Maggots adalah Godflesh versi Malaysia. Iman Tang sendiri pernah menyuruh Ahmad Dhani (kepala utama band popular dari Indonesia iaitu Dewa 19) mendengar kaset band ini dahulu. Ahmad Dhani seakan tidak percaya yang Malaysia pernah menghasilkan karya industrial sehebat ini.
Dengan adanya edisi reissue ini, ianya dapat mengubat kerinduan peminat-peminat mereka sekaligus memberi ruang kepada pendengar baru dari generasi milenial untuk menggali serta merasakan sendiri muzik Infectious Maggots. Aku berpeluang beraksi di gig yang sama dan berkongsi pentas dengan band legenda ini sebanyak 2 kali. Kali pertama ialah semasa aku menjadi session bassist untuk Larrong di gig Final Warfare 2017 yang bertempat di Seremban. Pertama kali aku tengok mereka beraksi, berbunga-bunga rasa hati dibuatnya. Yelah, bayangkan aku sejak dari zaman remaja lagi dan dengar dan mengenali band ni. Mendapat peluang melihat mereka beraksi depan mata itu sudah dikira bagaikan mimpi jadi kenyataan.
Kali kedua pula apabila Infectious Maggots dijemput ke Miri bagi menjayakan gig Miri Extreme 3.0 dan ianya merupakan satu peristiwa bersejarah kerana buat pertama kalinya Infectious Maggots beraksi di tanah Sarawak. Dari situ jugalah aku kenal dengan lebih rapat setiap line-up mereka, dari Lan Bye, Lan Bear, abang P.E., brader Kombat selaku bassist dan Madec di posisi vokal. Aku merasa bersyukur sangat sebab band aku Tahi Suci dapat berkongsi pentas dengan kugiran lagenda ini.
Sekian sahaja celoteh aku mengenai band kegemaran aku sejak dari bangku sekolah lagi, the mighty Infectious Maggots. Harap lepas ni, Edy J Records akan keluarkan versi piring hitam untuk album ini. Maaf jika ada sebarang kata-kata aku yang kurang elok atau tersalah fakta. Harap kalian dapat perbetulkan aku.
"BE PURE, TO THE THING, YOU ADORE"




Monday, April 11, 2022

BELASUNGKAWA : MARK LANEGAN (1964 - 2022)

BELASUNGKAWA : MARK LANEGAN (1964 - 2022)

Jika dilihat dari aspek populariti, nama Mark Lanegan tidaklah segah ataupun popular seperti Kurt Cobain, Chris Cornell mahupun Layne Stayley dalam circle vokalis dari era Seattle Sound. Namun dari sisi lain (lebih-lebih lagi dalam komuniti pemuzik Seattle itu sendiri), Mark Lanegan merupakan salah satu ikon penting baik di kawasan tersebut mahupun sesiapa yang meminati muzik grunge, alternative rock, folk rock (era album solo beliau) dan juga stoner rock (era bersama Queens Of The Stone Age).
Aku mula mengetahui mengenai Mark Lanegan ini melalui band Queens Of The Stone Age dari album "Songs For The Deaf" (2002). Masa ni band QOTSA (singkatan untuk Queens Of The Stone Age) mempunyai line up yang sangat power, apatah lagi ketika itu Dave Grohl menjadi drummer untuk mereka. Ada beberapa lagu di dalam album tersebut yang dinyanyikan oleh Mark iaitu "Song For The Dead" dan "Hangin' Tree". Suara baritone beliau sangat memukau dan akan membuat anda terpaku mendengarnya.
Kemudian selepas mengkaji dengan lebih lanjut tentang Mark Lanegan pernah mempunyai sebuah band yang datang dari komuniti Seattle sebelum itu yang dinamakan Screaming Trees. Walaupun band tersebut Ellensburg, Washington, namun Screaming Trees mula menempa nama di scene grunge Seattle. Muzik mereka yang sedikit psychedelic dan hard rock membuatkan mereka sangat unik. Band ini telah pun menghasilkan 7 buah album dan berpecah pada tahun 2000. Album kegemaran aku dari band ini ialah "Sweet Oblivion" (1992) kerana di dalamnya ada lagu kegemaran aku bertajuk "Nearly Lost You".
Mungkin ramai yang tidak tahu (ataupun dah lama tahu tapi buat-buat tak tahu), Mark Lanegan merupakan salah seorang rakan karib mendiang Kurt Cobain. Semasa sesi rakaman album solo pertamanya yang berjudul "The Winding Sheet" (1990), Kurt Cobain sempat berduet bersamanya di dalam lagu "Down In The Dark" dan juga "Where Did You Sleep Last Night?" di mana Kurt serta Kris Novoselic (pemain bass Nirvana) menyumbangkan khidmat bermain gitar untuk lagu berkenaan. Pada tahu 1994 pula semasa rakaman "Nirvana : MTV Live Unplugged In New York", Kurt menyanyikan lagu itu kembali dengan rendisinya yang tersendiri.
Mark Lanegan meninggal pada 22 Februari 2022 di Killarney, Ireland (negara asal isterinya). Menurut buku auto biografi terakhirnya yang berjudul "Devil In A Coma" (2021), Mark pernah koma dan terlantar di hospital dalam tempoh yang lama akibat penyakit COVID19. Mungkin disebabkan kesan "long covid", Mark Lanegan tidak dapat lagi melawan penyakit tersebut lantas meninggal dunia. Walaupun begitu, nama Mark Lanegan masih lagi hidup di dalam hati peminat-peminat muzik rock antarabangsa terutama sekali dalam scene Seattle Sound.

"Baby, you're goin' down in the dark
Show my lonely night is fallin'
I don't have very long
I think my blood might boil
And then my veins might burn
You're gonna make it better for a little while"
- Down In The Dark




Thursday, August 19, 2021

KENANGAN SEWAKTU MENDAPAT KEPUTUSAN SPM DAHULU


Aku adalah di antara kebanyakan pelajar yang mendapat keputusan SPM yang sederhana sahaja dahulu. Masa itu tahun 1998, aku ketika itu di dalam aliran sains ekonomi, ianya merupakan aliran yang berada di tengah-tengah, antara sains dan sastera. Masa pelajaran yang paling aku rasa susah untuk mendapat keputusan yang baik ialah prinsip akaun.
Di antara tahun 1997 sehingga 1998, aku yang berada di aliran sains ekonomi terpaksa mengambil beberapa subjek khas seperti ekonomi asas dan prinsip akaun. Ketika itu aku rasa struggle juga disebabkan pada asalnya aku memang tak reti dengan hal-hal berkaitan akaun ni. Seringkali mendapat markah 0 di dalan kelas apabila tiba peperiksaan semester, ianya membuatkan aku seringkali merasa yang aku tidak sesuai dengan aliran ini. Tapi masalahnya ketika itu, aku masih di dalam dilema iaitu sukar memilih aliran mana yang sesuai dengan jiwa dan perwatakan aku.
Aku masih ingat lagu kata-kata cikgu subjek prinsip akaun masa itu. "Awak ni memang tak ada harapan la dalam subjek accounting," kata-kata itu masih lagi terngiang-ngiang di kepala sehingga ke hari ini. Aku tidak putus asa walaupun kata-kata tersebut terasa seperti makian ataupun cacian. Aku rilek saja dan dalam masa yang sama aku cuba untuk perbaiki diri.
Beberapa bulan sebelum SPM, aku mula mendapatkan latihan intensif daripada seorang rakan sekelas yang pandai dengan subjek prinsip akaun ni. Masa itu amat susah nak cari kelas tuisyen untuk subjek tersebut, jadi terpaksalah cari kawan yang pandai mengajar dan bijak dalam matapelajaran ini. Alhamdulillah setelah selesai mengambil ujian subjek tersebut ketika SPM, akhirnya keputusan yang aku dapat untuk prinsip akaun boleh dikatakan amat membanggakan walaupun sekadar kredit sahaja. Sekurang-kurangnya tidaklah dapat E dalam subjek tersebut.
Aku juga seharusnya berterima kasih buat sahabat aku Adi Jaya (nama pun hampir sama dengan aku haha) kerana banyak membantu aku dalam subjek tersebut. Sekarang beliau pun sudah jadi pensyarah di salam sebuah IPT tempatan di sini dan mengajar subjek perakaunan juga. Haha.
Manakala aku pula yang asalnya merasakan sangat bodoh dalam menerima ilmu berkaitan perakaunan akhirnya melanjutkan pendidikan di dalam subjek tersebut dan sehingga ke hari ini masih lagi mengendalikan hal-hal yang berkaitan dengan akaun di dalam sektor kerajaan. Ironi sungguh, pada awalnya aku sangat benci dengan subjek ini namun akhirnya inilah pekerjaan yang aku buat sehinggalah aku pencen nanti. Haha.
Apakah pula kenangan kalian semasa menerima keputusan SPM dahulu? Cuba ceritakan.

Photo Credit : Mau Makan Apa






Monday, April 19, 2021

ULASAN RINGKAS : 12" LP DEFTONES - AROUND THE FUR

12" LP DEFTONES - AROUND THE FUR
Pembelian ini dilakukan dengan kerjasama Bandat Record Store, sebuah kedai ataupun distro yang menjual rilisan muzik dalam format fizikal baik dari artis mainstream mahupun underground. Bandat Record Store terletak di Kuching, Sarawak dan katalog barangan jualan mereka boleh dilihat melalui akaun Instagram rasmi mereka dengan nama yang sama.
"Around The Fur" merupakan album kedua daripada band alternative metal Deftones yang diriliskan pada tahun 1997. Ianya diriliskan di bawah label Maverick Recording Company milik penyanyi pop sensasi era 80'an iaitu Madonna. Secara teknikal, Madonna bertindak sebagai boss untuk band ini juga. Selepas kejayaan karya debut mereka berjudul "Adrenaline" pada tahun 1995, Deftones tidak mengambil masa yang lama dengan menghasilkan album kedua ini.
Secara peribadi, album inilah yang memperkenalkan aku dengan muzik Deftones. Pertama kali mendengar dan menonton Deftones adalah melalui Music Video mereka yang berjudul "Be Quite And Drive" dari rancangan MTV berjudul Alternative Nation, kalau tidak silap pada tahun 1998. Sejak itu, aku menjadi sedikit obses dengan band ini. Aku sanggup ikat perut dan menabung semata-mata hendak beli kasut Puma Suede yang pernah digayakan oleh Chino Moreno suatu ketika dahulu dalam kebanyakan footage persembahan live mereka.
LP ini dibuat dan dibentuk dengan sifat yang cukup sempurna di mana ianya mempunyai berat 180 gram dan disertakan dengan sebuah kertas yang dituliskan lirik lagu serta beberapa gambar band ini. Paling aku rasa sedih apabila terpandang wajah mendiang Chi Cheng bersama keluarganya. Dalam gambar tersebut dilihat mendiang Chi Cheng duduk bersebelahan dengan isterinya sambil ditemani dengan seorang bayi (kemungkinan besar ianya adalah anak beliau).
Selain "My Own Summer" dan "Be Quite And Drive", terdapat banyak lagi lagu-lagu yang
hebat
di dalam album ini seperti "Mascara", "Lotion", "Around The Fur", "Dai The Flu" dan "Head Up" (kolaborasi bersama Max Cavalera dari Soulfly). Pendek kata semua lagu best lah. Ini merupakan sebuah album yang aku jarang skip satu lagu pun ketika mendengarnya. Banyak memori album ini bagi aku di mana sebahagian besarnya berkait rapat dengan zaman remaja aku pada akhir era 90'an dan juga awal dekad 2000.
Cover hadapan LP
Cover belakang LP beserta senarai lagu
Inlay lirik beserta gambar extra

My Own Summer - Deftones (Official Music Video)




Monday, April 12, 2021

APAKAH LAGU RADIOHEAD KEGEMARAN ANDA?

Jika ditanya soalan sebegini, nescaya ramai yang akan mengatakan "Creep" sebagai jawapannya. Siapa boleh lupa dengan lagu yang pernah menjadi salah satu anthem rock yang ikonik ketika dekad 90'an itu. Selain daripada lagu "Smells Like Teen Spirit" daripada Nirvana, "Creep" juga merupakan salah sebuah lagu yang sering dimainkan di setiap studio jamming sejak dekad 90'an sehingga sekarang, itupun jika bisnes sewa studio jamming masih lagi hidup sehingga sekarang.

Radiohead merupakan sebuah kugiran yang berasal dari Oxfordshire, Britain dan telahpun mula aktif di dalam scene muzik rock antarabangsa sejak awal penubuhannya pada tahun 1985. Band yang dianggotai oleh Thom Yorke (vokalis, gitar, keyboards), Jonny Greenwood (gitar, synth, keyboards), Colin Greenwood (bass, synth, keyboard), Ed O' Brien (gitar, vokal latar) dan Phil Selway (drums) ini mula mendapat perhatian media massa antarabangsa semasa rilisan album pertama mereka berjudul "Pablo Honey" pada tahun 1993.

Aku masih ingat lagi semasa kali pertama aku mendengar lagu "Creep" ini. Ianya melalui kaset kompilasi Pop Is Dead yang pernah dikeluarkan oleh syarikat EMI pada awal dekad 90'an dahulu. Kaset tersebut milik kawan sekolah aku. Kalau tidak silap aku mendengarnya melalui Walkman sekitar tahun 1995 begitu. Tidak lama selepas itu, Radiohead meriliskan album kedua mereka pada tahun yang sama dan band ini menjadi kegilaan ramai remaja seusia aku ketika itu. Lagu-lagu hit seperti "High And Dry" dan "Fake Plastic Trees" banyak mendominasi carta-carta di kebanyakan negara. Radiohead sudahpun mencapai status Rockstar pada masa tersebut. Secara peribadi, aku lebih menyukai album "The Bends" kerana aku tidak akan skip satu lagu pun jika mendengar karya tersebut. Bagi aku ianya adalah karya Magnum Opus buat Radiohead.

Selera mendengar lagu-lagu Radiohead bagi aku ada pasang surutnya dan juga hubungan "love and hate" sepanjang aku mengikuti perkembangan band ini. Ada masa aku akan layan satu album. Ada ketika pula aku akan mempunyai perangai selektif dalam memilih mana-mana lagu pada album tertentu. Tidak semua album Radiohead mampu membuat aku jatuh cinta pandang pertama. Ada beberapa album mereka yang mengambil masa lebih kurang tiga ke empat tahun untuk aku hadam dan benar-benar memahami, sebagai contoh album "Kid A" (2000) dan "Amnesiac" (2001). Kedua-dua album ini pada awalnya aku kurang minat mendengarnya, diselangi dengan kontroversi (masalah dengan syarikat rakaman dan isu peribadi setiap personel di dalam band) yang menyelubungi album-album ini semasa ianya rilis pada tahun tersebut. 

Walaupun begitu, aku tetap setia mengikuti perkembangan band ini. Sehinggakan beberapa projek solo setiap ahli band ini juga aku ambil perhatian walaupun tidaklah sampai hendak membeli format fizikal para setiap rilisan mereka. Paling tidak pun, aku cuma beli CD album solo pertama Thom Yorke yang berjudul "The Eraser" (2006). Itu sahaja, selebihnya aku akan dengar melalui Spotify ataupun YouTube. Tetapi untuk album Radiohead sendiri, aku lebih suka memiliki kesemua rilisan mereka dalam format CD ataupun LP. Bagi aku ianya adalah satu kepuasan peribadi yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. 

Hampir kesemua album Radiohead mempunyai nilai sentimental buat aku terutama sekali 3 album terawal mereka iaitu "Pablo Honey", "The Bends" dan "Ok Computer". Manakala album "Kid A" dan "Amnesiac" pula adalah satu sesi ekperimen yang berjaya membawa hala tuju band ini ke arah yang lebih kreatif dan melangkaui sebarang batasan. Manakala album "Hail To The Theif" (2003) sehinggalah ke album paling akhir mereka iaitu "A Moon Shaped Pool", Radiohead sudah mencapai satu peringkat di mana mereka sudah pun merasa selesa dengan bunyian yang mereka inginkan. 

Tapi ada beberapa factor yang harus diambil kira juga. Aku masih teringat satu komen dari netizen di Facebook yang menulis "sekarang ini Radiohead hanya buat bunyian, tiada lagi menghasilkan melodi". Kata-kata tersebut sebenarnya sangat tepat sekali kerana pada 10 tahun kebelakangan ini Radiohead tidak lagi menghasilkan muzik yang bermelodi hampir sempurna seperti 3 album terawal. Mungkin zaman itu sudah lama berakhir dan para peminat mereka hanya mampu rendezvous sahaja dengan memori lalu. 

Berbalik kepada soalan asal, bagi aku agak sukar untuk memilih mana satu lagu Radiohead yang menjadi kegemaran. Sebabnya banyak sangat yang aku suka. Akan tetapi jika terpaksa memilih, aku akan mengambil lagu "Fake Plastic Trees" sebagai soundtrack kehidupan serta kegemaran sepanjang zaman. Dari perspektif lain, lagu tersebut mempunyai erti yang sangat mendalam dan sangat peribadi buat aku.



Thursday, March 25, 2021

JONATHAN DAVIS (KORN) DAN KEHIDUPANNYA YANG PENUH TRAGIS

JONATHAN DAVIS (KORN) DAN KEHIDUPANNYA YANG PENUH TRAGIS

Di dalam dunia muzik rock antarabangsa, nama Korn bukanlah asing dan ianya sering dikaitkan dengan genre muzik rapcore ataupun nu metal. Korn merupakan sebuah kugiran yang menjadi perintis kepada genre tersebut sejak kemunculan mereka dari album pertama pada awal dekad 90'an dahulu. Korn merupakan antara band terawal membawakan genre ini dan kemudiannya menjadi popular dan disusuli dengan kemunculan beberapa band lain seperti Limp Bizkit, Orgy, Incubus dan banyak lagi.

Ketua kumpulan Korn iaitu Jonathan Davis merupakan seorang individu yang mempunyai perwatakan tersendiri di dalam muzik mereka. Kekuatan vokal dan penulisan lirik di dalam band ini dikuasai oleh beliau. Kebanyakan liriknya berkait rapat dengan kemarahan, perasaan tidak puas hati, gangguan seksual, trauma didera semasa kecil dan pemberontakan dalam diri.

Kehidupan Jonathan agak sukar sejak dari kecil lagi. Beliau menghidap asma yang teruk dan kerap kali dimasukkan ke hospital. Pada umur 3 tahun, ibubapanya telah bercerai menyebabkan Jonathan mengalami beberapa situasi traumatik seperti didera oleh sesetengah individu yang rapat dengannya. Beliau kerap dibuli semasa di sekolah menengah gara-gara beliau suka bergaya ala New Wave kerana Jonathan pada ketika itu sangat meminati Duran Duran.

Jonathan juga menghida Thrombocytopenic Purpura iaitu sejenis penyakit di mana pesakitnya tidak mempunyai platelets di dalam darah yang bertindak sebagai antibodi. Kerap kali juga Jonathan mengalami muntah dan cirit berdarah semasa di atas pentas menyebabkan beberapa konsert Korn digantikan dengan beberapa penyanyi tetamu (vocals sessionist).

Jonathan juga pernah bekerja sebagai pembantu di sebuah rumah mayat di tempatnya Bakersfield. Beliau menggalas tugas tersebut selama 6 tahun dan akibatnya Jonathan mengalami masalah PTSD. Selama beliau bekerja di sana, pelbagai kejadian pelik dan mengerikan yang beliau hadapi.

Seperti kebanyakan rockstar yang lain, Jonathan juga tidak lari dari masalah dadah dan alkohol. Penggunaan alkohol yang dihadapi oleh Jonathan sebelum ini agak kritikal di mana beliau akan meminum Jack Daniels dan Jagermeister setiap hari. Beliau juga pernah melalui ketagihan kokain dan meth dan pada tahun 1998 semasa kemunculan album "Follow The Leaders" beliau membuatkan keputusan untuk menjadi bersih dadah (akan tetapi ianya tidak bertahan lama).

Jonathan pernah mengahwini seorang pelakon filem lucah iaitu Deven Davis pada tahun 2004 akan tetapi ianya tidak kekal lama. Pada tahun 2018, Jonathan memfailkan cerai ke atas isterinya atas sebab pengaruh dadah dari kedua-duanya yang akan menjejaskan kehidupan 2 orang anaknya. Deven yang juga seorang penagih dadah ditemui mati akibat ketagihan pada tahun yang sama.


Jonathan Davis



Wednesday, February 10, 2021

APAKAH LAGU PERTAMA DAN KEGEMARAN ANDA DARI BAND SLIPKNOT?

Di dalam dunia muzik ekstrim antarabangsa, nama Slipknot sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Bermula dengan album pertama self-titled yang diriliskan pada tahun 1999 di bawah label Roadrunner Records, Slipknot meraih sukses dalam sekelip mata sahaja. Malah menjadikan mereka salah sebuah band nu-metal yang sangat popular pada dekad 90'an. Sehingga sekarang, muzik band ini masih lagi diterima oleh penggemar genre metal khususnya.
Band ini memasuki industri nuansa ekstrim semasa dunia masih lagi demam dengan muzik nu-metal. Pada ketika itu, banyak band-band hebat baru sahaja meriliskan album-album masterpiece seperti Deftones dengan album "Around The Fur" (album kedua mereka), Korn dengan album "Follow The Leader" dan Limp Bizkit dengan album "Significant Other".
Aku masih ingat lagi satu kejadian yang berlaku pada tahun 1999. Waktu itu aku baru sahaja memasuki Politeknik Kuching untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan awam peringkat diploma (hanya bertahan selama 6 bulan sahaja disebabkan aku gagal banyak subjek semasa peperiksaan semester). Insiden ini berlaku semasa hujung minggu dikala ramai pelajar hendak keluar outing di bandar Kuching ketika itu. Pada masa itu, salah satu transportasi yang digunakan dari Politeknik ke bandar Kuching ialah dengan menggunakan perkhidmatan van sewa.
Adalah satu masa tu, aku pun hendak ke bandar untuk membeli beberapa barang keperluan. Aku masih ingat lagi, hari tu hari sabtu. Aku pun menaiki sebuah van sewa ketika itu. Maka berpadatlah van sewa tersebut dengan beberapa pelajar dari Politeknik. Ketika itu, aku duduk di belakang pemandu. Tanpa aku sedari, adalah beberapa pelajar lelaki yang duduk di belakang aku sedang asyik bercerita tentang muzik nu metal. Seorang brader ni sedang khusyuk bercerita tentang sebuah band nu metal yang kebanyakan ahli kumpulannya memakai topeng dan berbaju overall merah. Brader tu siap cakap band ni bawak lagu heavy dan pantas dari segi beat. Aku pun musykil juga, dalam masa yang sama mencuri dengar perbualan mereka di belakang. Brader yang asyik bercerita tadi sempat juga bagitahu dengan kawan-kawan dia nama band tersebut. Slipknot, itu nama yang disebutnya.
Sesampainya di bandar Kuching, destinasi pertama yang aku pergi ialah kedai kaset. Antara tempat yang menjadi destinasi pilihan ketika itu ialah Kuching Plaza (sekarang sudah tidak lagi beroperasi). Kalau tidak silap, nama kedai kaset yang aku masuk pada ketika itu ialah Dallas Music kot. Aku pun ingat-ingat lupa. Lalu aku pun tanyalah dekat tauke kedai, "Tauke, you ada kaset band rock nama Slipknot kah?".
Tanpa menbuang masa, tauke yang aku agak-agak umurnya pada ketika itu sekitar 40'an, mengambil kaset Slipknot daripada rak di belakangnya. Lalu aku pun membayar kaset tersebut. Tapi sebelum itu, aku sempat juga suruh tauke itu pandu uji kaset tersebut melalui radio di kedainya itu. Maka bergemalah seluruh kedai tersebut dengan lagu "Sic". Dahsyat gila lagu ni, boleh menyebabkan rusuhan ni. Itulah tanggapan pertama aku terhadap Slipknot pada ketika itu. Album pertama mereka itu sangat bagus dan amat memorable buat aku.
Bagi aku, "Sic" merupakan lagu yang bertanggungjawab membuatkan aku minat sangat dengan Slipknot pada ketika itu. Manakala album Slipknot yang menjadi kegemaran aku sepanjang masa ialah "Iowa" yang diriliskan pada tahun 2001.
Apa pula pendapat kalian? Adakah sama seperti aku ataupun tidak? Jika tidak, sila nyatakan lagu, nama album dan sejak bila anda menjadi peminat setia Slipknot.
Slipknot line-up 2021

Sic - Slipknot (Live)

Monday, September 12, 2016

Kenangan Lama Mengusik Jiwa : Lawak Jenaka Di Sekolah Rendah Kerajaan South, Miri

Aku (kiri) dan kawanku Amin (kanan)

Sebelum ada Maharaja Lawak Mega ataupun Lawak Ke Der, di sekolah rendah aku dulu memang dah ada buat stand-up comedy. Kelihatan aku dengan rakan karib namanya Muhammad Aminullah sedang buat lawak entah apa apa di khalayak ramai. Ini juga merupakan pertama kali aku buat performing art (konon). 

Ini adalah suasana di Sekolah Rendah Kerajaan South, Miri lewat dekad 80'an (rujuk gambar di atas). Gambar ini diambil semasa sesi kokurikulum di waktu tengahari hari khamis. Aku tak ingat berapa tarikhnya, tapi aku yakin ianya berlaku di dalam tahun 1989. Masa ini juga aku masih lagi darjah 2. Ya, dulu masa kecik aku memang kurus. Sudah tua macam sekarang ni baru nampak "macho" sikit dengan perut one barrel. Apa kelas six pack. Haha. 

Individu yang bertanggungjawab mengambil gambar ini ialah Cikgu Normah, guru kelas 2 Merah. Secara teknikalnya, beliaulah yang pertama sekali menemukan bakat berlakon dalam diri aku dan sahabat aku, Amin. Pada penghujung tahun tersebut dan semasa majlis penyampaian sijil, Aku, Amin dan seorang lagi rakan bernama Azmi membuat sketsa komedi di atas pentas. Memang syok kalau satu sekolah bersorak dan ketawa tengok karenah kami ketika itu. Jadi secara teknikalnya juga, Harith Iskandar, Afdlin Shauki, Nabil dan seangkatan dengannya kena banyak belajar dari kami. Haha, ok aku bergurau. 

Penerapan seni persembahan (atau dalam bahasa penjajahnya "performing art") seperti pementasan teater, choral speaking, spelling bees, nasyid, pengucapan awam mahupun sketsa komedi sebenarnya antara elemen penting yang perlu diketengahkan di kalangan kanak-kanak terutamanya di peringkat sekolah. Disamping membentuk keyakinan diri, ianya juga dapat memupuk semangat menghargai seni walau dalam bentuk apa sekalipun. Kita sebenarnya harus bersyukur kerana kebanyakan sekolah di Malaysia masih lagi menganjurkan aktiviti-aktiviti sebegini. 

Sekarang wajah sekolah ni dah tak macam dulu. Ianya telah dinaiktaraf menjadi seakan-akan sekolah di Jepun; bangunan 3 atau 4 tingkat memanjang dan mempunyai prasarana yang cukup. Tiada lagi bangunan kayu seperti dahulu. Setiap kali aku tunjuk kepada anak aku yang dahulunya ini adalah sekolah ayahnya, dia seringkali tidak percaya. Ye la, rupa sekolah ini sudah moden sangat. Sudah hilang nilai old school nya. Aku pernah dengar orang dulu-dulu kata, sekolah ini dahulunya diasaskan oleh mubaligh kristian akan tetapi diambil alih oleh kerajaan setelah Sarawak merdeka. Samada betul atau tidak, wallahualam. Apa-apapun, sekolah ini tetap menyimpan ribuan kenangan indah semasa aku masih kecil dahulu.

Those were the good old days

Monday, September 5, 2016

Kenangan Lama Mengusik Jiwa : Taman Bumiko Lewat Dekad 80'an


Lewat dekad 80'an

Rindu zaman kecik-kecik dulu, terutama sekali rumah ini. Kami sekeluarga tinggal di rumah ini kira-kira dari tahun 1986 hingga 1993. Selepas itu barulah kami berpindah ke Bintulu. 

Di depan rumah kami ada stall burger, tempat lepak budak-budak remaja di kawasan perumahan ini masa tu. Ayah serta ibu aku yang mengusahakan bisnes jual burger tu demi mencari pendapatan sampingan. Budak-budak remaja di taman itu memang suka melepak di stall kami. Sebab itulah ayah aku memang sangat rapat dengan golongan belia di kawasan perumahan ini. Main gitar kapok serta buat aksi downhill guna skateboard adalah aktiviti kegemaran mereka pada masa tu. Aku cuma mampu tengok dari jauh saja. Maklumlah big boys mana boleh bercampur dengan budak hingusan macam aku ketika itu. 

Main dalam longkang (konon nak jadi Ninja Turtle), tangkap berudu, main tembak-tembak, main basikal BMX dan sebagainya. Semuanya kenangan indah di zaman kanak-kanak. 

Satu lagi situasi yang jarang kita jumpa sekarang tetapi telah wujud di zaman 80'an ialah perpaduan di kalangan masyarakat majmuk. Masa ni belum ada lagi sentimen berunsur perkauman yang dipelopori oleh beberapa pihak seperti parti politik, NGO berhaluan kiri dan sebagainya. 

Aku masih ingat lagi semasa tinggal di Taman Bumiko dahulu, pihak Rukun Tetangga seringkali mengadakan acara ramah tamah setiap kali musim perayaan. Ada ramah tamah hari raya aidilfitri, tahun baru cina malah krismas pun ada. Di waktu ini toleransi dalam hidup bermasyarakat sangat tinggi. 

Di masa itu, kalau nak berhubung dengan setiap ahli komuniti, kena buat mesyuarat bersama. Masa ini Taman Bumiko tak ada dewan khas atau balai raya untuk dibuat sesi mesyuarat. Perbincangan dibuat secara face to face, tak ada buat group whatsapp pun macam sekarang. Selalunya mesyuarat dibuat di rumah pengerusi Rukun Tetangga. Aktiviti beramah mesra serta pot luck memang selalu dilakukan. Setiap penduduk bekerjasama dalam menjaga keharmonian kawasan perumahan ini. 

Antara memori yang tidak dapat dilupakan dan paling seronok untuk dikenang ialah apabila ada pertandingan sukaneka di antara kawasan perumahan. Taman Bumiko selalunya memang tak ngam dengan Taman Tunku, sebuah lagi kawasan perumahan di Miri. Kiranya macam Manchester United dengan Liverpool la. Tapi saingan secara sihatlah, takda la gaduh-gaduh macam geng-geng ultras mahupun hooligans. Siap dalam pertandingan sepanduk berhias semasa hari Maulud Nabi pun kitorang masih lagi bersaing. 

Di sini aku belajar tentang nikmat hidup bermasyarakat yang dianggotai oleh pelbagai bangsa serta suku kaum. Kawan-kawan aku terdiri dari orang Iban, orang Ulu, Cina, Melanau, Jatik Mirik dan sebagainya. Kami buat rumah atas pokok sama-sama, pergi melastik burung sama-sama dan kena kejar anjing pun sama-sama. 

Pengalaman sebegini sebenarnya kalau difikirkan balik, ianya lebih bernilai dari segala material di dalam dunia kerana ianya membentuk siapa kita hari ini. Nasib baik lah zaman tu tak ada gadget, kalau tak memang takkan merasa nikmat jadi budak kecik yang hyperactive. 

I love the 80's and 90's

Monday, August 17, 2015

Movie Review : Backstreet Boys - Show 'Em What You're Made Of (2015)

 Official Movie Poster

Suatu ketika dahulu, sekitar tahun 1996 lebih kurang begitu lah, sejenis entiti yang dibentuk daripada satu kumpulan budak lelaki bergelar Backstreet Boys telah menerjah dan menakluki industri muzik dunia pada ketika itu dengan single pertama bertajuk "We've Got It Goin' On". Secara jujurnya, saya seperti budak-budak yang baru mengenali muzik rock pada ketika itu, amat membenci kumpulan ini sehingga berlaku beberapa pertelingkahan kecil dengan fangirls BSB (singkatan untuk Backstreet Boys) di sekolah dahulu. Maklumlah masa itu saya dan rakan-rakan sealiran lebih ke arah meminati muzik seperti grunge, alternative, thrash metal dan beberapa lagi genre muzik keras yang lain.

Apabila masa beredar dan perubahan musim mulai berlaku, boyband ini masih lagi bertahan sehingga sekarang. Fanbase masih ada walaupun tidaklah hype seperti dahulu, mereka juga semakin matang baik dari segi muzik dan mutu persembahan. Dokumentari ini membawa kita ke sisi gelap dan kurang diketahui baik dari peminat tegar mereka ataupun penggemar muzik khususnya. Tidak lupa juga beberapa isu yang jarang diambil perhatian contohnya masalah vocal chord yang sering menghantui Brian a.k.a. B-Rock yang terkadang menjejaskan mutu persembahan Backstreet Boys. Semestinya ianya juga bercerita tentang sejarah penubuhan boyband ini, bagaimana mereka boleh mengenali Lou Pearlman, seorang jutawan yang tinggal di Florida pada awal 90'an dahulu yang kemudiannya menjadi pengurus sepenuh masa mereka, perbicaraan mengenai tuntutan royalti yang melibatkan boyband ini melawan Lou di mahkamah serta bagaimana Lou akhirnya dipenjarakan akibat terlibat di dalam skim penipuan terbesar di USA pada dekad tersebut.

Ada beberapa babak dalam dokumentari ini juga menunjukkan yang Backstreet Boys bukanlah sekadar artis yang bersandarkan pada rupa sahaja. Kebanyakan mereka ini mempunyai latar belakang muzikal yang boleh dibanggakan. Babak yang melibatkan pergelutan emosi juga tidak ketinggalan di dalam filem dokumentari ini. Contohnya apabila mereka dibawa untuk balik ke kampung halaman masing-masing dan rendezvous terhadap memori mereka yang lalu. Sesuai dengan tema filem ini yang bertajuk "Sometimes to move forward, you have to look back". Antara memori silam yang rasanya agak menyentuh jiwa ialah apabila Kevin terkenang dengan mendiang ayahnya, Nick Carter kembali ke rumah lamanya di Tampa, Florida yang dahulunya penuh dengan keganasan domestik oleh kedua ibu bapanya serta dibesarkan di kejiranan yang dipenuhi dengan pengaruh dadah dan gangsterisme (ya, disebalik imej pretty face nya itu tersimpan seribu satu kesedihan) dan keperitan A.J. untuk mengatasi masalah ketagihan alkohol.

Secara peribadi, filem ini berjaya untuk mencapai matlamatnya iaitu menyusuri sisi Backstreet Boys yang jarang diketahui umum serta menjadi satu testimoni pada dunia yang mereka bukanlah one hit wonder. Sudah lebih 20 tahun Backstreet Boys mewarnai industri muzik dunia, baik anda membenci atau menyukai mereka, mereka tetap akan berada di dalam persada seni antarabangsa. Gaya penceritaan filem dokumentari ini yang hanya bergantung pada sesi temuramah setiap ahli BSB sebagai narrator juga boleh dikatakan berjaya. My rating? 3/5

Official Movie Trailer

Monday, June 29, 2015

Book Review : Bau Semangat Anak Muda (Hasil Nukilan Nami Cob Nobbler)

Front Cover (1st Pressing)

Antara faktor yang menarik tentang penulisan novel independent ini ialah tiada sekatan dalam menyuarakan pendapat serta eksperisi diri. Tiada siapa yang ingin menghalang, tinggal siapa yang hendak membaca buku karangan anda atau tidak. Itu juga merupakan daya tarikan utama yang menyebabkan saya berjaya menghabiskan membaca novel keempat hasil nukilan Nami Cobb Nobbler ini. Berdasarkan gaya penulisan beliau, ternyata beliau mempunyai pengetahuan yang boleh dikatakan agak meluas juga tentang dunia muzik rock di dekad 90'an.

Bahasa yang digunakan dalam karya ini juga mudah difahami, tidak ada ayat bunga-bunga, mengikut selera anak muda dan semestinya menepati citarasa pembaca bermentaliti urban. Jalan cerita yang berkait rapat dengan scene muzik Alternative Rock (atau secara spesifiknya genre Grunge) menambahkan lagi perisa dan membuatkan pembaca (terutama sekali yang pernah merasai usia remaja di dekad 90'an seperti saya) merasakan bahan bacaan ini sungguh dekat di hati. Beberapa bait lirik dari lagu rock alternative dari band terkemuka seperti Nirvana (semestinya), Pearl Jam, Soundgarden, Smashing Pumpkins dan Radiohead dijadikan quote permulaan setiap bab dalam novel, juga menjadi punchline yang bagus dan berjaya menarik perhatian pembaca.

Ok, mungkin penggunaan bahasa kesat ada juga digunakan dalam novel ini. Hey, ini penulisan novel urban dan independent, mana ada terikat dengan Dewan Bahasa & Pustaka. Kebebasan bersuara yang mewakili golongan remaja memang terserlah di dalam novel ini, terutama sekali bagi mereka yang pernah (atau sedang melalui) zaman rebel dan memberontak diselangi dengan luahan melalui muzik rock. Tapi pepatah Inggeris pernah mengatakan "All Good Things Must Come To An End", beberapa watak dalam novel ini juga melalui zaman kejatuhan Grunge dan menghadapi mid-life crisis (lebih kurang la) akibat faktor usia dalam pencarian makna hidup. Apa-apa pun, novel ini memang sesuai dibaca bagi yang mengaku dirinya remaja ataupun yang muda di hati. Rating? 4/5.

Untuk mendapatkan novel ini, sila klik Lejen Press.

Weird Al Yankovic - Smells Like Nirvana

Monday, March 24, 2014

CD Review : Weezer - The Green Album (2001)

Weezer - The Green Album (2001)

Dari Kiri: Mikey Welsh (bass), Rivers Cuomo (vocalist, guitar), Brian Bell (lead guitar), Patrick Wilson (drums)

CD ini aku perolehi melalui jualan mega-sale yang dikelolakan oleh blog Doc Ben iaitu Krenmaut beberapa minggu yang lepas. Ada banyak lagi cd yang aku beli dari beliau, tapi nantilah aku buat review. Buat satu-satu yer, jangan gelojoh haha. Apa yang menarik dalam senarai CD yang ada dalam jualan mega-sale tersebut ialah banyak title untuk muzik era 90'an (yes!).

Terdapat 10 lagu semuanya

Sebenarnya kalau diikutkan, aku sudah ada album ini cuma dalam bentuk kaset. Alhamdulillah kaset itu masih ada dalam simpanan, tidak dalam kategori pinjam-tak-bagi-balik-oleh-member. Bagi mereka yang zaman remajanya di dekad 90'an dan meminati muzik alternative rock, Weezer bukanlah nama yang asing. Malahan band ini mempunyai reputasi nya yang tersendiri di dalam komuniti genre tersebut. Band yang dipimpin oleh Rivers Cuomo ini pernah menghasilkan 2 buah album sebelum ini iaitu Self Titled (a.k.a. Blue Album) rilisan tahun 1994 dan Pinkerton pada tahun 1996.

Inlay dan CD (kedua2nya warna hijau)

Sebenarnya selepas kejayaan album Pinkerton pada dekad 90'an banyak peminat mereka tertanya-tanya bilakah akan keluarnya album terbaru Weezer. Sebelum album ketiga ini diriliskan, aku pernah juga terfikir bahawa Weezer cuma sekadar one-hit-wonder band disebabkan tiada langsung sebarang album selama 5 tahun. Ada khabar mengatakan yang Rivers Cuomo sedang melanjutkan pelajarannya di Harvard pada ketika tempoh hiatus tersebut.

Gambar Weezer secara live di dalam inlay

Sangkaan aku silap sebenarnya apabila Weezer keluar dengan album ini, masa album ini telah diriliskan, aku sudah pun menyambungkan pelajaran di peringkat diploma di semenanjung sana. Masa kolej dulu, lagu2 Weezer dalam album ini seperti Hash Pipe, Island In The Sun dan Photograph merupakan beberapa lagu wajib yang sering dibawa semasa waktu jamming bersama rakan2 (dulu aku dan rakan2 suka jamming di sebuah studio berhadapan dengan Metro Kajang, tak jauh dari kolej aku jugak ni). Oh ya masa di sekolah menengah sebelum itu pun aku sering jugak jamming bersama rakan2 bawak lagu Weezer dari 2 album terdahulu seperti Say It Ain't So, The Good Life, Undone - The Sweater Song dan Butterfly.

Jika anda seorang peminat setia Weezer, anda pasti akan perasaan tentang perbezaan dari segi sound untuk album ketiga ini. Berbeza dengan 2 album terdahulu yang soundnya agak raw, bunyian distortion yang berkecamuk, punk-oriented dan mempunyai elemen garage rock, album ketiga ini lebih ke arah yang agak commercial, pop song dan easy-listening. Tiada lagi pengaruh grunge dalam muzik mereka. Mungkin mereka juga semakin matang dalam mengubah lagu2 mereka. Tidak seperti album Pinkerton, album ini mudah diterima oleh pengkritik muzik dan banyak mendapat review yang positif. Tapi bagi aku, sekadar pendapat sahaja lah, aku rindu dengan attitude Seattle Punk dalam muzik mereka di dalam 2 album sebelum itu.

Walaupun aku membeli cd ini melalui Doc Ben, ironinya beliau ada menyatakan (rujuk entri beliau di SINI) bahawa agak sukar beliau menghadam muzik bawaan Weezer ini. Haha aku faham perasaan beliau, sama jugalah situasinya pada aku yang sampai ke hari ini masih tak dapat terima muzik Dream Theater dan Megadeth. mungkin itu selera masing2. Tak dapat nak salahkan sesiapa. Maafkan saya kalau saya tak dapat masuk muzik Abang Mus huhuhu...

Weezer - Hash Pipe

Weezer - Island In The Sun

Weezer - Photograph
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...