Monday, April 12, 2021

APAKAH LAGU RADIOHEAD KEGEMARAN ANDA?

Jika ditanya soalan sebegini, nescaya ramai yang akan mengatakan "Creep" sebagai jawapannya. Siapa boleh lupa dengan lagu yang pernah menjadi salah satu anthem rock yang ikonik ketika dekad 90'an itu. Selain daripada lagu "Smells Like Teen Spirit" daripada Nirvana, "Creep" juga merupakan salah sebuah lagu yang sering dimainkan di setiap studio jamming sejak dekad 90'an sehingga sekarang, itupun jika bisnes sewa studio jamming masih lagi hidup sehingga sekarang.

Radiohead merupakan sebuah kugiran yang berasal dari Oxfordshire, Britain dan telahpun mula aktif di dalam scene muzik rock antarabangsa sejak awal penubuhannya pada tahun 1985. Band yang dianggotai oleh Thom Yorke (vokalis, gitar, keyboards), Jonny Greenwood (gitar, synth, keyboards), Colin Greenwood (bass, synth, keyboard), Ed O' Brien (gitar, vokal latar) dan Phil Selway (drums) ini mula mendapat perhatian media massa antarabangsa semasa rilisan album pertama mereka berjudul "Pablo Honey" pada tahun 1993.

Aku masih ingat lagi semasa kali pertama aku mendengar lagu "Creep" ini. Ianya melalui kaset kompilasi Pop Is Dead yang pernah dikeluarkan oleh syarikat EMI pada awal dekad 90'an dahulu. Kaset tersebut milik kawan sekolah aku. Kalau tidak silap aku mendengarnya melalui Walkman sekitar tahun 1995 begitu. Tidak lama selepas itu, Radiohead meriliskan album kedua mereka pada tahun yang sama dan band ini menjadi kegilaan ramai remaja seusia aku ketika itu. Lagu-lagu hit seperti "High And Dry" dan "Fake Plastic Trees" banyak mendominasi carta-carta di kebanyakan negara. Radiohead sudahpun mencapai status Rockstar pada masa tersebut. Secara peribadi, aku lebih menyukai album "The Bends" kerana aku tidak akan skip satu lagu pun jika mendengar karya tersebut. Bagi aku ianya adalah karya Magnum Opus buat Radiohead.

Selera mendengar lagu-lagu Radiohead bagi aku ada pasang surutnya dan juga hubungan "love and hate" sepanjang aku mengikuti perkembangan band ini. Ada masa aku akan layan satu album. Ada ketika pula aku akan mempunyai perangai selektif dalam memilih mana-mana lagu pada album tertentu. Tidak semua album Radiohead mampu membuat aku jatuh cinta pandang pertama. Ada beberapa album mereka yang mengambil masa lebih kurang tiga ke empat tahun untuk aku hadam dan benar-benar memahami, sebagai contoh album "Kid A" (2000) dan "Amnesiac" (2001). Kedua-dua album ini pada awalnya aku kurang minat mendengarnya, diselangi dengan kontroversi (masalah dengan syarikat rakaman dan isu peribadi setiap personel di dalam band) yang menyelubungi album-album ini semasa ianya rilis pada tahun tersebut. 

Walaupun begitu, aku tetap setia mengikuti perkembangan band ini. Sehinggakan beberapa projek solo setiap ahli band ini juga aku ambil perhatian walaupun tidaklah sampai hendak membeli format fizikal para setiap rilisan mereka. Paling tidak pun, aku cuma beli CD album solo pertama Thom Yorke yang berjudul "The Eraser" (2006). Itu sahaja, selebihnya aku akan dengar melalui Spotify ataupun YouTube. Tetapi untuk album Radiohead sendiri, aku lebih suka memiliki kesemua rilisan mereka dalam format CD ataupun LP. Bagi aku ianya adalah satu kepuasan peribadi yang sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. 

Hampir kesemua album Radiohead mempunyai nilai sentimental buat aku terutama sekali 3 album terawal mereka iaitu "Pablo Honey", "The Bends" dan "Ok Computer". Manakala album "Kid A" dan "Amnesiac" pula adalah satu sesi ekperimen yang berjaya membawa hala tuju band ini ke arah yang lebih kreatif dan melangkaui sebarang batasan. Manakala album "Hail To The Theif" (2003) sehinggalah ke album paling akhir mereka iaitu "A Moon Shaped Pool", Radiohead sudah mencapai satu peringkat di mana mereka sudah pun merasa selesa dengan bunyian yang mereka inginkan. 

Tapi ada beberapa factor yang harus diambil kira juga. Aku masih teringat satu komen dari netizen di Facebook yang menulis "sekarang ini Radiohead hanya buat bunyian, tiada lagi menghasilkan melodi". Kata-kata tersebut sebenarnya sangat tepat sekali kerana pada 10 tahun kebelakangan ini Radiohead tidak lagi menghasilkan muzik yang bermelodi hampir sempurna seperti 3 album terawal. Mungkin zaman itu sudah lama berakhir dan para peminat mereka hanya mampu rendezvous sahaja dengan memori lalu. 

Berbalik kepada soalan asal, bagi aku agak sukar untuk memilih mana satu lagu Radiohead yang menjadi kegemaran. Sebabnya banyak sangat yang aku suka. Akan tetapi jika terpaksa memilih, aku akan mengambil lagu "Fake Plastic Trees" sebagai soundtrack kehidupan serta kegemaran sepanjang zaman. Dari perspektif lain, lagu tersebut mempunyai erti yang sangat mendalam dan sangat peribadi buat aku.



6 comments:

  1. High and Dry - satu2nya lagu RH yang melekat

    ReplyDelete
  2. aku teringin juga nak beli kaset band ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. 3 album terawal saya rekomen bang haha boleh beli

      Delete
  3. Tak follow sangat…tapi tau juga lah lagu2 mereka yang popular…tapi kenangan aku dengan Radiohead adalah lagu "You"…zaman dubbing lagu kat kedai kaset..tokey kedai tu tambahkan lagu "You" sebagai added track secara percuma kat kaset 90 minit yang masih berbaki…

    ReplyDelete
    Replies
    1. sedap lagu tu bang, "You" dari album Pablo Honey (1st album) dan ianya juga 1st track dari album tu.

      Delete

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...