Monday, September 28, 2015

CERKAS : ADA SESUATU DI DALAM PERJALANAN



Malam semakin diselubungi kegelapan yang menyejukkan. Kabus-kabus nipis semakin mengaburi pemandangan sepanjang jalan yang kian kurang dilalui manusia itu. Kedengaran beberapa ekor anjing menyalak dari kejauhan seolah-olah menangis akibat terpandang sesuatu yang menakutkan. Bulan tidak memunculkan dirinya pada malam itu kerana awan mulai menebal lalu menyelimuti sang rembulan yang baharu menampakkan dirinya. Senja baru sahaja melabuhkan tirainya. Waktu pada ketika itu boleh diagak kira-kira sekitar pukul 8:15 malam. Tiada anak bintang juga kelihatan di langit malam akibat beberapa kepulan awan yang semakin mencemburui lalu menutupi segala keindahan yang ada di angkasa pada ketika itu.

Murad serta adiknya Nasrul baru sahaja selesai mengaji di rumah Lebai Arep yang terletak di Kampung Baru Rejang, hanya bersebelahan dengan kampung mereka. Lebai Arep memang pandai mengajar budak-budak kalau bab mengaji. Siap dengan ilmu Tarranum lagi dia buat khas untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kelas mengajinya. Namun begitu, Lebai Arep juga seorang yang tegas dan kadang-kadang garang apabila mengajar. Itu yang membuatkan Murad dan Nasrul kadang-kadang terasa berat hati untuk pergi mengaji. Murad selaku seorang abang, agak lebih rebel dan melawan berbanding adiknya si Nasrul. Apabila tiba masa untuk mengaji, adiknya Nasrul akan dibiarkannya mengikuti kelas mengaji walhal Murad pula pergi bermain dam haji di kedai Ah Seng bersama rakan sepernakalannya Fairol yang terletak hanya beberapa meter dari kediaman Lebai Arep.

Murad memegang erat tangan adiknya si Nasrul. Songkok yang dipakainya kian menyenget ke tepi. Peluh jantan mulainya muncul di dahi. Murad terasa tidak sedap hati semasa berjalan di jalanan yang menghubungkan Kampung Baru Rejang di mana terletaknya rumah Lebai Arep ke kampungnya, Kampung Hilir Rejang. Banyak rintangan yang perlu dihadapinya sepanjang perjalanan seperti beberapa kawasan semak samun yang semakin tinggi dan menebal, kandang lembu milik Haji Rashid yang sentiasa mengeluarkan bauan yang kurang enak hasil dari sisa buangan haiwan ternakannya itu dan yang paling merisaukan Murad dan Nasrul ialah kehadiran sebatang pokok ara di hadapan simpang jalan sebelum memasuki kampungnya. Entah kenapa, kalau malam-malam lain Murad hanya selamba badak berjalan sepanjang jalan tersebut biarpun pada waktu yang gelap begini. Namun malam tersebut dia rasa lain macam. Adiknya Nasrul yang baru berusia 8 tahun hanya mengikut sahaja walaupun hakikatnya dia ni 10 kali ganda penakut dari abangnya. Genggaman Murad semakin erat memegang tangan adiknya. Dia mesti menunjukkan keberanian di hadapan adiknya. Dia tiada pilihan. Sekurang-kurangnya dia mesti berlagak macho seperti pelakon Zul Ariffin di hadapan adiknya. Itu adalah sifatnya.

Bunyian serangga di tepian parit makin galak membingitkan malam yang sepatutnya sepi itu. Murad semakin gelisah apabila menyusuri jalan yang semakin sikit dilalui oleh manusia itu. Jangankan orang kampung, kambing ataupun ayam kampung pun langsung tidak kelihatan berada di atas jalan itu. Arghhh parah ni, bisik hati Murad. Keadaan begini betul-betul menguji keberanian Murad. Walaupun baru sahaja memasuki Tingkatan 3, namun lagaknya di sekolah memang nakal dan cukup berani, terutama sekali apabila berkaitan dalam melakukan beberapa kesalahan seperti ponteng kelas, hisap rokok di belakang bengkel kelas Kemahiran Hidup, pancitkan tayar kereta cikgu disiplin dan sebagainya. Namun malam ini keberaniannya mula tercabar. Cabaran kali ini bukan alang-alang. Kalau mengikut perkiraan, malam ini adalah malam jumaat. Aaahhh sial, kenapa perlu ada perasaan ini di waktu begini, bisik hati Murad lagi.

"Abang Ad, U'ul rasa nak kencing la," kata Nasrul kepada Murad dalam nada yang hampir berbisik.

"Oi mangkuk hayun! Kau tunggu la kejap, tak lama lagi kita sampai rumah. Lepas tu kau nak kencing ka, nak berak ka, suka hati kau la bongok," Sentap Murad kepada adiknya yang semakin pucat lesi wajahnya itu.

Selang beberapa meter lagi mereka akan sampai ke simpang masuk ke Kampung Hilir Rajang. Dari kejauhan mereka sudah nampak sebatang pokok ara yang tersergam indah namun masih mengekalkan imej yang mengerikan.Cabang-cabang dahan dan urat-urat yang menjalar jatuh ke bumi dari puncak pokok itu nampak seperti seekor lembaga yang menakutkan. Murad dan Nasrul semakin mempercepatkan langkah masing-masing menuju ke simpang tersebut. Azab ketakutan yang dirasakan semakin membahang di dalam diri mereka. Sepatutnya malam itu Murad membawa adiknya mengaji menggunakan basikal tua peninggalan arwah datuknya, namun tayarnya pancit akibat diperdajalkan oleh beberapa samseng di sekolahnya petang tadi. Jahanam betul, ini mesti kerja budak-budak Kampung Hulu Rajang, bisik hati Murad.

"Kok kok kelerrrrrrr....kok kok kelerrrr......" Sayup-sayup kedengaran ada sesuatu mengucapkan kata-kata tersebut dari celah pohon ara yang ada di depan mereka.

Bulu roma yang berada di belakang tengkuk Murad mulai menegak. Badannya terasa seram sejuk. Tanpa berfikir panjang dia mengarahkan Nasrul untuk turut sama berlari sambil melepasi halangan yang ada di hadapan iaitu melalui pohon ara yang menyeramkan itu. Melalui pandangan ekor mata, Murad dapat melihat ada satu objek berwarna putih keluar dari celah lubang di tepian pokok ara tersebut. Perlahan-lahan ianya menyusupi setiap rongga yang ada di keliling pokok tersebut.

Murad dapat rasakan bahawa lembaga putih di balik pokok itu berterbangan menghampirinya dan Nasrul. Semakin dekat dan kian hampir menyergah ke belakang mereka. Seribu perkara bermain di kepala Murad sekarang ini namun yang hanya difikirkannya cuma satu iaitu lari dari kawasan itu dan cuba mengelak dari terserempak daripada lembaga yang semakin menghampiri mereka itu. Deruan angin semakin rancak berlegar di sepanjang jalan. Hati Murad dan Nasrul semakin gusar. Mereka berdua semakin mempercepatkan langkah larian. 

"Kok kok kelerrr.....kok kok keler...."

Kini bunyian tersebut dapat di dengari di cuping telinga Murad dan Nasrul. Murad semakin merasakan lembaga tersebut berada beberapa inci lagi dari tubuhnya, melayang-layang dan cuba untuk mencekiknya. Dia tidak pasti samada itu pontianak, langsuir, pelesit, toyol atau apa-apa pun. Dalam saat begini dia tidak mahu memikirkan perkara itu. Yang penting dia dalam keluar dari situasi itu secepat mungkin. Sedang mereka berdua berlari-lari sepanjang jalan yang gelap itu, tanpa disengajakan kaki Murad tersandung satu batu besar di tepi jalan lalu dia pun jatuh tergolek masuk ke dalam longkang. Nasrul juga turut ikut sama jatuh ke dalam longkang tersebut kerana pada masa itu tangannya masih dipegang oleh abangnya Murad. Mereka berdua jatuh bagaikan nangka busuk ke dalam longkang. Murad cuba untuk berdiri semula setelah terjatuh ke dalam longkang tersebut. Badannya habis kotor diselaputi lumpur dan lumut berwarna cokelat. Begitu juga dengan Nasrul. 

Entah bagaimana, lembaga yang berwarna putih tadi sudah berada di atas longkang yang memenjarakan Murad dan Nasrul di bawahnya. Di balik kepekatan malam, Murad hanya melihat samar-samar wajah lembaga tersebut di sebalik kelopak matanya yang telah dilumuri lumpur itu. Tanpa semena-mena, makhluk berkenaan terbang masuk ke dalam longkang berkenaan, perlahan-lahan meluru ke arah mereka berdua. Kini Murad melihat dengan separa jelas wajah yang ditakutinya itu. Lembaga tersebut berambut panjang, mengurai tapi dalam keadaan sedikit comot dan sepasang mata merah menyala di balik rambut berkenaan. Lembaga tersebut mula menyeringai menampakkan susunan giginya yang tajam dan tidak tersusun. Lalu ianya sekali lagi mengeluarkan bunyian yang mengerikan.

"Kok Kok Keler.....kok kok keler....."

"Maaakkkkk! Bapaaaak! Tolong!!!" Jerit Murad sekuat hatinya namun pada ketika itu hakikatnya tiada siapa yang mendengar. Setelah terpekik terlelong sedemikian rupa, minda Murad seakan melayang. Kepala pitam tanpa ada tanda amaran terdahulu. Segalanya gelap kembali buat Murad dan Nasrul.

Kawasan Kampung Rajang kini gempar dengan kehilangan dua beradik iaitu Murad dan Nasrul yang berasal dari bahagian hilir tempat berkenaan. Kampung besar yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Hulu, Hilir dan Baru itu mulai dirundung nasib malang dan bakal berhadapan dengan pelbagai musibah.  Setelah disahkan hilang  oleh kedua ibu bapa adik-beradik yang hilang tersebut, tanpa melengahkan masa, mereka pun membuat laporan polis pada keesokan hari. Beberapa pasukan beruniform mulai berlegar-legar di kawasan kampung tersebut iaitu pihak RELA dan Polis Di Raja Malaysia. Selang tiga hari kemudian, setelah pihak RELA dan beberapa orang kampung memulakan operasi pencarian di kawasan yang disyaki kali terakhir adik-beradik tersebut dilihat oleh beberapa orang saksi seperti Fairol, kawan baik Murad serta Lebai Arep, guru kelas mengaji, mereka memutuskan untuk memberi perhatian kepada beberapa kawasan yang disyaki. Di antara lokasi yang dikenal pasti ialah sepanjang jalan yang menghubungkan Kampung Baru dan Kampung Hilir. Setelah empat jam operasi tersebut bermula, akhirnya salah seorang anggota RELA menemui sepasang songkok yang lusuh dan bersalut lumpur serta dua beg galas berisi buku Muqaddam yang dikotori oleh darah kering di dalam kawasan semak samun tidak jauh dari jalan tersebut.

Setelah disahkan oleh kedua ibubapa kanak-kanak malang tersebut yang menyatakan bahawa barangan yang dijumpai itu adalah kepunyaan Murad dan Nasrul, orang-orang kampung mulai hidup dalam keadaan resah serta ketakutan. Semenjak kehilangan dua beradik tersebut, makin banyak kejadian aneh berlaku di sepanjang jalan yang menghubungi Kampung Baru dan Kampung Hilir terutama sekali pada simpang masuk yang menjalinkan kedua-dua kampung berkenaan di mana terdapat sebatang pokok ara bertindak sebagai “penjaga” bagi tempat yang dinyatakan. Hampir setiap malam penduduk kampung tersebut terdengar bunyi yang menakutkan keluar dari pokok ara itu, terutama sekali beberapa remaja lelaki yang suka melepak di sebuah gerai burger tidak jauh dari simpang berkenaan. Kadang-kadang sayup kedengaran suara yang penuh misteri berbunyi “Kok Kok Keler!” keluar dari celah-celah urat pokok berkenaan. Sudah jatuh ditimpa tangga, lebih kurang seminggu selepas insiden kehilangan Murad dan Nasrul, dua orang pekerja Indonesia yang bekerja di sebuah kilang papan tidak jauh dari Kampung Baru, ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan. Mayat mereka berdua dijumpai dalam keadaan sungguh sadis di dalam salah satu longkang yang terdapat di jalan yang menghubungkan Kampung Baru dan Kampung Hilir itu. Kepala mereka seperti dirobek dan dicakar oleh seekor binatang buas manakala alat sulit atau kemaluan pula hilang dan berpisah dari tubuh mereka. Ini merupakan satu tragedi yang amat besar serta tragis bagi ketiga-tiga kampung berkenaan.

Lebai Arep mempercepatkan lagi kayuhan basikalnya. Malam sudah semakin gelap gelita dan cahaya rembulan kian terang benderang menerangi setiap ceruk rantau daerah tersebut. Bunyian cengkerik serta katak puru memecah kesunyian malam. Namun begitu, tiada sebarang bayang manusia yang kelihatan sepanjang jalan yang dilalui Lebai Arep itu. Jam tangan Lebai Arep menunjukkan sudah pukul 10 malam. Kayuhannya semakin deras menyusuri jalan tersebut, namun keringatnya tidaklah setimpal dengan keinginannya yang mahu sampai ke rumah kerana malam sudah terlalu lewat. Jubah yang dipakainya kian renyuk dan comot dek kerana keadaannya yang sedikit menggelabah mengayuh basikalnya itu. Nun tidak jauh dari simpang masuk ke rumahnya, Lebai Arep ternampak kelibat dua budak lelaki berpakaian baju melayu yang dikotori lumpur, bersongkok dan wajah tunduk ke bumi. Kedua-dua mereka membelakangi Lebai Arep. Jarak antara dia dan kelibat mereka berdua cuma lebih kurang 2 atau 3 meter sahaja. Rasanya aku macam kenal diorang ni, bisik hati Lebai Arep. Boleh jadi mereka berdua ni Murad dan Nasrul, adik-beradik yang hilang beberapa minggu lepas. Lebai Arep seakan yakin bahawa itu adalah mereka. 

"Murad! Nasrul! Berhenti sekejap nak. Pakcik nak jumpa kamu sekejap," jerit Lebai Arep ke arah dua individu yang pada jangkaannya adalah dua beradik tersebut. Kayuhan basikalnya mulai menjadi perlahan. Lebai Arep meletakkan kaki kanannya ke jalan untuk membuatkan basikalnya dalam keadaan pegun. Seakan terbiasa menyapa kanak-kanak tersebut, Lebai Arep menepuk bahu susuk tubuh yang disangkanya Murad itu. Secara spontan, dua susuk tubuh yang pada mulanya hanya tunduk ke bawah mulai mendongak dan memandang Lebai Arep. Alangkah terkejutnya Lebai Arep setelah melihat bahawa dua lembaga yang menyerupai Murad dan Nasrul itu tidak bermata, seolah-olah bola mata mereka telah dicungkil keluar. Lebai Arep terperanjat lalu berundur ke belakang. Lebai Arep hilang imbangan badan lalu jatuh terjelupuk ke atas jalan dan basikalnya turut tersungkur bersama dirinya. Dada Lebai Arep berombak kencang. Perasaan panik dan ketakutan yang maha dahsyat menyerang dirinya. Tiba-tiba 2 susuk tubuh kanak-kanak tadi menyebut beberapa perkataan yang agak asing dan menakutkan.

"Kok kok keler....kok kok keler..."

Lebai Arep semakin hilang punca. Dia terasa ingin menjerit meminta tolong, namun entah bagaimana lidahnya kelu tidak terkata. Dua lembaga yang menyerupai Nasrul dan Murad tadi sekali lagi menyebut perkataan yang mengerikan itu. "Kok kok keler....kok kok keler," kata dua entiti berkenaan sambil berdiri tidak berganjak. Lubang-lubang yang sepatutnya berisi sepasang mata di wajah mereka semakin banyak mengeluarkan darah sehingga membasahi badan kedua-dua makhluk berkenaan. Dengan secara tiba-tiba dan tidak bersedia, seekor makhluk berbadan serba putih dan berambut panjang mengurai muncul dari celah semak tidak jauh dari Lebai Arep duduk di jalanan. Lalu makhluk berkenaan melompat lalu terbang ke arah Lebai Arep. Ianya kemudiannya menyambar Lebai Arep lalu menggigit batang lehernya. Lebai Arep menjerit kesakitan. Terasa ada beberapa gigi taring sedang melekat di tengkuknya. Dalam keadaan kalut sebegitu, Lebai Arep mampu mengucap beberapa kalimah Allah walaupun dalam kesakitan.

"Allahu Akbar! Dengan nama Allah yang Maha Mulia, nyah kau dari sini, syaitan!" jerit Lebai Arep yang selepas itu sempat lagi membaca beberapa surah yang digunakan dalam menentang para jin dan syaitan yang tidak menuruti perintah Tuhan. Lembaga berwarna putih tadi melompat ke belakang sambil menjerit dan mengeluarkan bunyi yang menyeramkan. Semakin lama semakin jauh makhluk berkenaan berundur. Terasa bagaikan ada bahang api yang panas menggelegak terkena pada muka makhluk itu. Lalu makhluk tersebut melompat ke belakang dan menghilangkan diri.

Lebai Arep semakin lemah. Banyak darahnya hilang akibat terkena gigitan makhluk durjana yang berbadan putih tadi. Badannya semakin tidak berdaya, namun dia cuba untuk berdiri dan menggapai basikalnya. Namun hampa belaka, kudratnya sudah mulai lemah. Lebai Arep cuba untuk merangkak untuk sampai ke simpang masuk ke rumah serta cuba untuk mendapatkan pertolongan jika ada sesiapa yang melihatnya. Dalam pada itu, dua makhluk yang menyerupai Murad dan Nasrul tadi masih lagi berdiri pegun dan tidak berganjak, seolah-olah menyaksikan Lebai Arep merangkak sehingga ke simpang masuk kampung walaupun tidak bermata. Nafas Lebai Arep semakin lemah. Badannya kini dilumuri banyak darah. Dia kemudiannya berhenti merangkak dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Nadinya juga berdegup perlahan, seolah-olah berada di hujung nyawa. Akhirnya tubuh Lebai Arep tidak bergerak dan kini terkulai kaku di jalanan sambil berlumuran darah.

Dua makhluk yang tidak bermata tadi kemudiannya tunduk ke bumi semula lalu menyambungkan perjalanan mereka. Ke mana destinasi mereka berdua, tiada siapa yang tahu. Langkah mereka bergerak secara perlahan. Kedua susuk tubuh yang menyerupai Murad dan Nasrul tadi mula membuka mulut lalu bernyanyi sebuah lagu lama. Di dalam kepekatan malam, suara makhluk-makhluk berkenaan sayup-sayup kedengaran dan memecah kesepian suasana di kawasan itu. Kumat-kamit mereka berdua menyanyikan lagu ini;

" Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat daunnya, lebat buahnya,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa guna"

TAMAT

Monday, September 21, 2015

CERKAS : BUKU RESEPI MASAKAN ANARKI


YB Murad perlahan-lahan menarik nafas. Kakinya terasa masih berat untuk melangkah. Sejurus namanya dipanggil untuk naik ke pentas, perasaan berdebar-debar mulai menguasai dirinya. Namun setelah mengucap kalimah istighfar beberapa kali, dirinya kembali tenang dan mula mengingati kata-kata yang harus diucapkan apabila berada di atas pentas nanti. Dia mula mengatur kolar bajunya, terus bangkit dari tempat duduknya lalu berjalan menyelusuri beberapa meja di dalam dewan itu. Semasa dirinya melewati meja-meja tersebut, khalayak ramai mula memandangnya. Ada yang bertepuk tangan. Ada juga yang senyum dan hanya membisu. YB Murad sebenarnya bukan calang-calang wakil rakyat. Kelantangan beliau berucap di hadapan orang ramai sungguh menakjubkan. 

Kata-katanya penuh hikmah dan banyak menyindir kepimpinan kerajaan di negaranya sekarang. Namun begitu beliau masih lagi berada di dalam parti komponen yang berpaksikan kerajaan pusat. Pernah juga dia terfikir untuk menyertai parti pembangkang. Namun hasratnya terbatal kerana merasakan pergerakan politik berhaluan kiri tersebut tidak membina dan menguntungkan rakyat. Mungkin juga dia merasakan adalah lebih untuk dirinya memperbetulkan dahulu apa yang tidak kena di dalam parti berpaksikan kerajaan yang ada sekarang. Beliau masih percaya Kesatuan Dacing yang dia sertai ini mampu menyempurnakan hasrat dan impian rakyat. Pergerakan tersebut telah menyatukan pelbagai parti komponen dari seluruh negara Euthanasia selama 50 tahun semenjak negara itu mencapai kemerdekaan dahulu.

Sesampainya YB Murad di atas pentas, tanpa membuang masa beliau terus menuju ke rostrem, tempat berucap berbentuk segiempat yang mempunyai alat pembesar suara. Di belakangnya terbentang luas banner yang menunjukkan kemegahan Kesatuan Dacing yang dianggotainya. Hari ini merupakan Perhimpunan Agung Kesatuan Dacing ke-50 yang melibatkan pelbagai parti komponen yang turut menyertai pergerakan tersebut. Di atas banner tersebut tersergam indah logo parti dan wajah pemimpin-pemimpin negara serta bendera Euthanasia, namun hatinya masih gundah gulana sebenarnya, mengenangkan dirinya menyimpan seribu satu rahsia di dalam parti yang begitu tidak menyenangkan hatinya. 

Setelah balik dari mengerjakan ibadah umrah seminggu lepas, hatinya bagaikan dibuka segala hijab yang menggelapkan iman di dalam dirinya. Semasa melakukan solat sunat taubat di hadapan Kaabah pada masa itu, air mata bercucuran membasahi wajahnya sebagai tanda menyesali segala pelbagai perkara mungkar yang dilakukannya sebelum itu, terutama sekali sepanjang kariernya sebagai ahli politik yang selalu bergelumang dengan dosa. Penyesalan yang tidak berkesudahan, namun dia berharap agar Allah menerima taubatnya.

Sebelum YB Murad berangkat ke majlis Perhimpunan Parti Dacing berkenaan, beliau sempat berborak ringkas dengan isterinya Hajah Maisarah di rumah sambil memberikannya sesuatu. "Sayang, abang ada sesuatu nak bagi kat awak," katanya kepada isteri tercinta. "Benda apa abang nak bagi kat saya ni?" soal Hajah Maisarah. YB Murad menyerahkan satu bungkusan kepada isterinya. Dia tahu isterinya merupakan antara insan di dalam dunia ini yang boleh dipercayai. 

"Sayang, dalam bungkusan ini mengandungi beberapa cakera padat berbentuk DVDRom serta satu external hard disk berkapasiti 500 GB. Di dalamnya mengandungi pelbagai transaksi kewangan berbentuk lejer dalam format Microsoft Excel serta beberapa pautan yang boleh mengaitkan kepada beberapa laman web yang cukup rahsia dan terlindung. Di dalam hardisk juga disertakan beberapa kata laluan untuk laman web berkenaan"

"Apa yang abang cakap ni? Maisarah tak faham," kegusaran di hati Hajah Maisarah semakin menebal. 

"Abang nak perbetulkan apa yang abang buat salah selama ni. Selama abang menjadi timbalan menteri kewangan peringkat exco negeri selama 5 tahun ni, pelbagai benda tak elok abang perhati berlaku dalam pengurusan kewangan di dalam kerajaan baik dari peringkat negeri mahupun persekutuan. Pelbagai kejadian pecah amanah berlaku di peringkat kementerian, pihak Suruhanjaya Siasatan Rasuah juga menjadi tali barut di dalam jenayah tersebut, Pihak polis sudah lama maruah mereka dibeli oleh bapak-bapak menteri yang rakus untuk mencari keuntungan bawah meja. Ya, abang mengaku dahulu abang juga bersubahat sama dalam melakukan perkara tersebut. Sekarang abang dah insaf. Abang rasa sudah tiba masanya kita dedahkan kepada rakyat tentang perkara yang sebenar. Presiden negara ini sudah tidak boleh digunapakai lagi"

"Tapi kenapa sekarang bang? Dengan siapa saya nak bagi benda ni? Saya bukannya celik IT pun," Hajah Maisarah makin bingung dengan penjelasan suaminya itu.

"Di dalam bungkusan ini juga ada senarai nama yang boleh awak hubungi. Jika ada apa-apa berlaku kepada abang malam ni di majlis perhimpunan nanti, awak serahkan beberapa DVDrom di dalam bungkusan ini kepada mereka. Manakala hard disk ini pula awak kena serahkan kepada Tuan Yazid Azfar, editor Buletin Sayap Kiri. Dia kawan lama saya, abang percayakn dia. Di dalam bungkusan ini ada nombor telefon Tuan Yazid Azfar berserta dengan alamat kediamannya sekali. Percayalah sayang, abang buat ini semua sebab abang masih cintakan negara kita ini. Euthanasia perlukan pembaharuan. Ianya perlu bebas korupsi," ujar YB Murad kepada isterinya yang masih terpinga-pinga.

YB Murad berhenti mengelamun seketika. Seakan baru sedar dari mimpi. Rupa-rupanya beliau masih lagi di atas pentas Perhimpunan Agung Kesatuan Dacing tadi. Tanganya menggapai microphone di atas rostrem pentas tersebut. Dia memperbetulkan kedudukannya untuknya selesa berdiri. YB Murad memulakan kata-katanya dengan ucaptama kepada ketua kesatuan tersebut yang juga merupakan presiden negara Euthanasia, iaitu Pehin Sri Jibraun. Dari atas pentas tersebut YB Murad dapat melihat dengan jelas wajah presiden tersebut di hadapannya, selang beberapa meter sahaja.

Setelah beberapa minit kemudian, YB Murad memulakan ucapannya dengan beberapa kata motivasi buat semua ahli yang menghadiri perjumpaan tersebut. Hatinya terasa lapang dengan menyatakan bahawa masih ada di kalangan pemimpin negara ini yang mahu berkhidmat untuk rakyat...cuma bilangannya agak sedikit.Kemudian ucapan YB Murad bertukar pula situasinya. Kali ini lebih kepada menghentam perilaku beberapa ahli Kesatuan Dacing yang terdiri daripada menteri-menteri di peringkat persekutuan. YB Murad mencela sekeras-kerasnya perbuatan pecah amanah, rasuah dan perjudian menggunakan wang kerajaan di peringkat persekutuan yang telah dilakukan oleh beberapa menteri berkenaan. Tanpa segan silu, YB Murad menyebut beberapa nama menteri yang beliau maksudkan tadi. Dewan perhimpunan menjadi kalut dan kecoh buat seketika. Ramai yang tidak menjangka perkara ini akan terjadi.

YB Murad dapat melihat perubahan riak wajah presiden Pehin Sri Jibraun yang menjadi merah padam di bawah pentas tersebut. Presiden tersebut nampaknya tidak senang duduk. YB Murad meneruskan lagi hujahnya dengan mengutuk beberapa lagi kes-kes skandal yang melibatkan presiden Pehin Sri Jibraun sendiri. Habis la kau kali ini Jibraun, bisik hati YB Murad. Kelihatan ada beberapa pengawal keselamatan mula menghampiri pentas di mana YB Murad masih lagi berucap. YB Murad tidak peduli, apa nak jadi jadilah. Sebelum beliau menggulungkan ucapannya, YB Murad sempat memberikan beberapa kata amanat kepada tuan presiden.

"Selama ini saya ingatkan negara Euthanasia ini negara Islam berdaulat. Saya ingatkan kesemua pemimpin negara ini takut pada peraturan Allah. Nampaknya saya silap besar. Kebanyakan di antara pemimpin negara ini sama sahaja situasinya dengan negara jiran kita iaitu Malaysia yang terkenal dengan korupsinya. Semuanya tidak ikhlas berkhidmat untuk negara. Di manakah rasa tanggungjawab anda kepada rakyat? Hakikatnya rakyat negara ini masih lagi kebuluran akibat tindak tanduk kita," Luahan perasaan YB Murad dituturkan secara teratur supaya ianya sampai kepada kesemua pendengar di bawahnya.

POOOOOWWWW! kedengaran satu bunyi tembakan di dalam dewan tersebut. Kesemua hadirin yang berada di persidangan tersebut bertempiaran lari. Baik menteri, ketua pemuda mahupun ahli biasa, kesemuanya lari berselerakan di dalam dewan tersebut mencari jalan keluar. Presiden Pehin Sri Jibraun pula telah diiringi oleh beberapa pengawal peribadinya untuk keluar dari dewan tersebut.

Setelah membuat ucapan tersebut, YB Murad merasakan ada darah panas keluar dari dadanya. Beliau sempat memegang dadanya dengan tangan kanannya. Lalu badannya rebah ke lantai pentas tersebut. Tiada siapa peduli tentang dirinya di atas pentas tersebut buat seketika. Pandangan YB Murad mula berpinar-pinar seakan nyawanya sudah sampai ke penghujung. YB Murad cuba untuk menenangkan fikirannya di dalam situasi yang kalut itu. Lidahnya cuba untuk mengucap syahadah dalam keadaan bergetar-getar. Berjaya juga dia menghabiskan ucapan syahadahnya itu. Selang beberapa saat selepas itu, dadanya mula membuat hembusan terakhir. YB Murad seolah-olah telah menjangkakan perkara tersebut akan berlaku. Dari mana datangnya peluru yang menembusi dadanya itu, itu dia tidak tahu dan tidak mahu tahu. Tugasnya kini sudah selesai. Kini jasadnya telah terbujur kaku di atas pentas tersebut. Manakala suasana di dalam dewan tersebut makin kecoh dan tidak dapat dikawal.

Nasrul sudah selesai membuat tugasannya. Tembakan yang dibuatnya tadi menggunakan senapang moden buatan Rusia itu telah kena pada sasaran yang diinginkan. Peluru yang dimuntahkan oleh senapangnya tadi telah menembusi tubuh wakil rakyat yang malang itu. Posisi Nasrul untuk menembak sasarannya itu juga dianggap strategik, ianya terletak di atas syiling dewan pada bahagian paling hujung sekali. Namun ianya tidak menghalang pandangan Nasrul. Tugasnya sebagai pembunuh upahan sudah selesai. Seperti biasa, pelanggannya akan menghubungi Nasrul tentang pembayaran apabila tugasannya sudah selesai.

Apa yang Nasrul tidak tahu ialah sumber kewangan yang membiayai tugasannya untuk membunuh wakil rakyat itu datangnya dari dana kerajaan Euthanasia juga.

Semenjak peristiwa pembunuhan YB Murad semasa Perhimpunan Agung Kesatuan Dacing yang ke-50 seminggu yang lalu, pelbagai peristiwa yang merubah corak kehidupan di negara Euthanasia telah berlaku. Nilai matawang Euthanasia jatuh mendadak dari $1 = RU (Ringgit Euthanasia) 4.20 kepada $1 = RU 5.00. Kadar Inflasi sudah mencapai tahap yang membimbangkan di mana harga barangan sudah tidak dapat dikawal pihak penguatkuasa. Rusuhan demi rusuhan yang berunsurkan anti kerajaan kian rancak dilangsungkan di beberapa ibukota penting di Euthanasia. Rakyat sudah jemu dan muak dengan sistem birokrasi kerajaan serta serkularisme yang semakin menyekat kebebasan mereka untuk bersuara. Presiden Pehin Sri Jibraun harus digugurkan dari pucuk pimpinan negara secara total!

Rusuhan berlaku di mana-mana, tidak kira di bandaraya mahupun di pekan kecil. Acapkali berlaku kebakaran besar di kebanyakan bangunan milik kerajaan di beberapa ibu negeri di dalam Euthanasia. Ini adalah akibat lontaran molotov cocktail (sejenis bahan letupan atau bahan api buatan sendiri) hasil balingan beberapa pihak pemberontak. Kebanyakan mereka ini berhaluan kiri dan inginkan pembaharuan di dalam kerajaan. Sentimen anti kerajaan dilaungkan di setiap penjuru negara tersebut. Rata-rata rakyat sudah mula muak dan jelik melihat pemimpin-pemimpin negara mereka yang hanyalah seperti talam dua muka. Manis di mulut tetapi habuk pun tarak. Paling menyedihkan apabila janji-janji manis yang ditaburkan oleh para pemerintah sebelum pilihanraya kebanyakannya memberi seribu harapan buat golongan miskin tegar di negara itu. Sampai mati mereka tidak akan merasa kesenangan hidup jika para penyangak masih lagi menjawat perjawatan yang eksklusif di parlimen.

Nasrul melihat dari kaca tingkap apartmentnya itu. Walaupun dalam kepekatan malam masih terlihat dengan jelas beberapa kepulan asap dari kejauhan. Ianya dirasakan tidak jauh dari apartment mewah yang didiami oleh Nasrul. Ah, pihak pemberontak sudah buat rusuhan lagi malam ini, bisik hati Nasrul. Dia bosan dengan keadaan itu. Dia tidak sukakan kekecohan namun tidak juga dia berharap pada kehidupan yang aman damai di negaranya ini kerana pendapatnya ianya agak mustahil. Sebelum bergelar seorang pembunuh upahan, Nasrul pernah menganggotai pasukan tentera diraja Euthanasia. Dia pernah diberi pingat jasa gemilang sebagai salah seorang penembak tepat yang diakui kehebatannya. Walaupun sudah mendapat pangkat Leftenan Muda namun baginya menjadi penjawat awam di negara Euthanasia, terutama sekali menjadi seorang askar merupakan satu kerja yang sia-sia. Lagipun Nasrul sudah bosan dengan menerima arahan setiap masa. Dia lebih suka bebas dalam membuat keputusannya sendiri, dan akhirnya keputusannya itu membawa dirinya menjadi pembunuh upahan yang sering diambil khidmatnya oleh orang golongan atasan.

Dia bingkas bangun dari tempat duduknya. Pandangannya tidak lagi tertumpu kepada suasana malam di luar tingkap yang berkecamuk itu. Dia membuat keputusan untuk keluar sekejap dari apartment mewahnya itu. Dia lebih suka memanjat melalui tangga kecemasan di bangunan apartmentnya itu dan terus menuju ke bahagian paling atas semata-mata untuk menghirup udara malam yang segar. Di bahagian atas yang bertindak sebagai atap bangunan tersebut merupakan tempat paling strategik untuk melihat pemandangan keseluruhan bandar kosmopolitan itu. Nasrul keluar dari apartmentnya lalu mengunci pintu hadapan. Nasrul berjalan dalam perasaan bersahaja sambil menuju ke pintu kecemasan yang akan menghalanya ke kawasan anak tangga.

Sedang dalam perjalanan, Nasrul berselisih dengan seorang wanita yang memakai purdah serba hitam di hadapannya. Wanita tersebut hanya tertunduk malu. Di bangunan apartment ini memang banyak warga asing terutamanya dari negara asia barat. Kebanyakannya mereka adalah ahli perniagaan yang terlibat dalam industri minyak dan gas. Nasrul hanya berlalu pergi tanpa ambil kisah terhadap wanita tersebut. Wanita berpurdah tadi kini berjalan melewati Nasrul dan terus berjalan membelakanginya.

ZUUSSSSSHHH! Tiba-tiba ada bunyian angin kencang berskala kecil melewati pangkal leher Nasrul. Sebutir peluru sudah menembusi rengkung lehernya. Mata Nasrul terbeliak setelah tembakan tanpa bunyi itu mengenai dirinya. Jasad Nasrul perlahan-lahan jatuh ke lantai. Belum lagi sempat mengatur posisi tubuhnya untuk baring di lantai, ada 2 lagi tembakan tanpa bunyi terkena pada bahagian dadanya yang bidang itu. Pancutan darah mula keluar dari dadanya. Keperitan yang dialaminya tidak dapat dibendung lagi.

Sedang mata Nasrul meliar mencari siapa yang bertanggungjawab menembaknya, kelihatan perempuan berpurdah hitam yang dilihatnya sebentar tadi berjalan semakin dekat padanya sambil mengacukan sepucuk pistol semi automatik berbucu silencer ke arahnya. Nasrul kehairanan sambil bertanya di hati, siapakah wanita ini? Sejujurnya Nasrul tidak menyangka perkara ini akan berlaku.

"Kau siapa? Kau nak apa dari aku, bangsat!" Herdik Nasrul kepada penembak wanita yang berada di hadapannya itu walaupun dalam keadaan tidak bermaya. Liat sungguh nyawa Nasrul untuk berpisah dari jasad. Wanita berpurdah tadi hanya diam sahaja tetapi tangannya masih mengacukan pistolnya ke arah Nasrul. Dilepaskan sekali lagi tembakan menuju ke arah kaki dan tangan Nasrul. Nasrul menjerit kesakitan. Sebentar kemudian wanita berpurdah itu berjalan semakin dekat ke arah Nasrul. Kali ini bucu pistol yang bersilencer itu menuju ke arah dahi Nasrul.

"Kau nak apa sial!!!! Kau ingat kalau kau dah bunuh aku, kau dapat lari? Akan ada lagi mereka yang akan mencari kau nanti hahahaha!" Kata Nasrul dengan bongkaknya walaupun seringkali meraung kesakitan. Perlahan-lahan wanita tadi membuka purdahnya. Kelihatan wajah seorang wanita setengah abad sedang senyum memerhati Nasrul. Nasrul tidak kenal akan wanita tersebut. Namun dari riak wajah wanita tersebut seakan sudah lama mengenali Nasrul.

"Kau sudah bunuh suami aku, kini giliran kau pula untuk aku bunuh," ujar wanita misteri tersebut. Tanpa melengahkan masa, wanita itu menekan picu pistolnya lalu memuntahkan sebutir peluru yang kemudiannya menembusi tengkorak Nasrul. Darah pekat mengalir dari kepala Nasrul lantas mengotori lantai tingkat bangunan apartment mewah itu. Otak Nasrul terburai melewati kepalanya. Kini Nasrul sudah tidak bernyawa.

Hajah Maisarah cepat-cepat menyembunyikan pistolnya itu ke dalam jubahnya tadi. Purdah yang dilonggarkan tadi kembali menutupi mukanya. Tugasnya kini sudah selesai. Dendamnya sudah terbalas. Segala amanat dari arwah suaminya sudah dilunaskan. Semua maklumat tentang kepincangan dalam kerajaan Euthanasia telah berada di dalam tangan media massa negara tersebut. Kini hatinya puas. Hajah Maisarah berlalu pergi meninggalkan mayat Nasrul berlumuran darah dan bergelimpangan di atas lantai.

Ternyata Euthanasia bukanlah negara suci namun masih ada harapan untuk membaiki keadaan dengan melenyapkan manusia-manusia berhati syaitan di negara tersebut, satu persatu. 

TAMAT

Monday, September 14, 2015

CERKAS : WEREKUCING DARI SUNGAI PLAN

Model : Loli Si Kucing Nakal

Murad memerah seribu keringat menekan pedal gear di motosikal Honda C70 tinggalan arwah datuknya itu sepanjang lebuhraya Kidurong. Nasrul selaku pembonceng hanya membisu dan membatu. Murad membawa motosikalnya itu dalam kelajuan 120 kilometer sejam. Resah hatinya itu tiada siapa yang tahu. Motosikalnya dibawa sebegitu laju, selipar kaki sebelah kanan Nasrul hampir tertanggal oleh kerana hembusan angin deras sepanjang perjalanan. Murad makin menaikkan lagi pecutan motosikalnya itu, tanpa disedari dia telah melepasi sahaja isyarat lampu trafik di simpang masuk kawasan Sungai Plan. Lori tanker minyak Petronas terpaksa berhenti mengejut dan hampir berlanggar dengan motosikal Murad. Nasrul jadi panik. Tanpa melengahkan masa Murad teruskan perjalanan untuk sampai ke rumahnya di Kampung Sungai Plan.

Setengah jam yang lepas, Murad menerima panggilan daripada ibunya menyatakan ada berlaku kejadian yang mengerikan di rumahnya. Semasa itu Murad dan Nasrul masih lepak-lepak di kedai makan Wahyu Mi Kolok bersebelahan pejabat KWSP di pasar lama setelah selesai membeli nombor ekor 4D. Setelah menerima panggilan ibunya itu, Murad bingkas bangun lalu meluru ke motosikalnya sambil membawa Nasrul sekali bersamanya. 

Dalam hatinya berbisik, takkan kucing peliharaannya si Ramli yang punya angkara membunuh 15 ekor ayam di reban belakang rumah sebentar tadi. Tambah mengerikan, ayam-ayam tersebut mati dalam keadaan tercabut kepala. Tidak mungkin!!!

Angin semilir petang menderu deras di waktu itu. Senja semakin melabuhkan tirainya, menyelubungi kawasan Kampung Sungai Plan dengan kegelapan. Tiang-tiang lampu sepanjang tepi jalan raya ke kampung tersebut gagal berfungsi dan mengeluarkan sebarang cahaya. Tiada juga sebarang kenderaan lalu lalang sepanjang jalan berkenaan. Kabus nipis juga turut menyelimuti kawasan kampung berkenaan. Tiada sebarang makhluk kelihatan berkeliaran sekitar kampung tersebut, baik manusia ataupun haiwan, samada di luar rumah-rumah mahupun di beberapa lorong yang kebiasaannya tempat melepak remaja-remaja nakal sambil bermain gitar kapok dan melalak menyanyikan lagu-lagu rock kapak. Segalanya sunyi sepi seperti senario di dalam permainan video Silent Hill.

Murad dan Nasrul baru sahaja sampai di kawasan kampung tersebut. Murad memecut motosikal sederasnya menuju rumahnya yang terletak di lereng bukit, tidak jauh daripada surau kampung tersebut. Setelah sampai di perkarangan rumahnya, Murad bergegas masuk ke dalam ruang dapur dan cuba untuk mendapati ibunya. Suasana di dalam rumahnya sunyi sepi. Lampu juga tidak dibuka, ruang tamu masih lagi gelap gelita. Murad cuba menekan suis lampu rumahnya namun tiada bekalan elektrik. Usahanya sia-sia. Si Nasrul hanya membontoti Murad dari belakang. Perasaan takutnya masih lagi tidak kebah. Nasrul juga turut memikirkan nasib mak dan ayahnya di rumah sebelah. Murad dan Nasrul sebenarnya berjiran. Nasrul melihat dari daun tingkap rumah Murad untuk memastikan ibu bapanya di sebelah. Rumah Nasrul juga gelap gelita.

"Mak ooooo mak! Mak kat mana?" Murad terjerit-jerit di dapur sambil matanya ligat memerhatikan setiap inci kawasan dalam rumahnya itu. Nasrul membisu seribu bahasa, sambil jari jemarinya memegang telefon bimbit, cuba untuk menghubungi ibu bapanya di sebelah namun gagal tiada jawapan. Resah gelisah Nasrul dibuatnya. Mahu sahaja dia tinggalkan Murad seorang diri di sini dan dia terus pergi mencari ibu bapanya di sebelah rumah. Namun oleh kerana perasaan takut yang semakin menghantuinya, hasrat Nasrul terpaksa dipersia-siakan. Murad masih lagi terpekik terlolong mencari ibunya di setiap pelusuk dalam rumahnya namun masih lagi gagal dijumpai. Murad teringat kata-kata ibunya setengah jam yang lepas di dalam talian tentang ayam-ayam rebannya yang mati dalam keadaan sadis. Ya, barulah Murad teringat mengenai hal tersebut.

Dengan tidak berfikir panjang, Murad terus keluar dari pintu dapur lalu pergi ke arah reban ayam di belakang rumah. Nasrul juga turut ikut serta. Dia tidak mahu duduk sendirian di dalam rumah Murad yang gelap gelita itu. Nasib Nasrul agak baik kerana terjumpa 2 lampu picit di atas peti sejuk di dapur rumah Murad tadi. Satu lampu picit diberinya kepada Murad. Kedua-dua sahabat tersebut terus meluru ke arah reban ayam di belakang rumah Murad. 

Sesampainya mereka berdua di reban tersebut, bangkai-bangkai ayam ternakan Murad kebanyakannya masih lagi bergelimpangan di atas tanah. Pilu rasa hati Murad melihat situasi tersebut. Habis usahanya selama ini menternak ayam-ayam tersebut. Kedengaran ada bunyi sesuatu sedang lahap memakan sesuatu di dalam reban ayam milik Murad itu. Suasana di dalam reban ayam itu juga gelap, lalu Murad pun mengacukan cahaya lampu picit ke dalamnya dan ternampak satu kelibat makhluk berbulu oren tua sedang mencangkung membelakangi pandangan Murad. Dengan rasa geram bercampur sedikit ketakutan, Murad menjerit ke arah makhluk tersebut.

"Oi lahanat! Kau buat apa dalam reban aku ni?" pekikan Murad itu menggangu konsentrasi makhluk berkenaan sedang bersantap. Kelihatan ada kuku-kuku tajam sedang memegang bangkai ayam pada tubuh makhluk berbulu oren itu. Makhluk berkenaan tiba-tiba berhenti makan lalu mendongakkan kepalanya ke atas sambil menghela nafas panjang. Makhluk berkenaan mulai menoleh ke belakang, betul-betul menghadap muka Murad. Makhluk tersebut dengan tidak semena-mena menyeringaikan wajahnya dan menampakkan gigi-giginya yang tajam dan dipenuhi darah itu. Raut wajahnya tidak ubah seperti harimau yang sedang lapar dengan memiliki dua biji mata yang merah menyala. Hati Murad mula berbisik, seakan aku kenal makhluk di depannya ini. Wajah binatang yang biasa dia lihat berkeliaran di dalam rumahnya namun kali ini kelihatan menyeramkan. Dengan perlahan-lahan Murad menyebut nama makhluk yang duduk mencangkung di hadapannya itu.

"Ramli?"

"Apa dah jadi dengan kau Ramli?" kata Murad kepada makhluk menyerupai separuh manusia dan separuh harimau di hadapannya itu. Dia seakan tidak percaya yang Ramli, kucing kesayangannya telah bertukar menjadi kucing jadian. Selama ini dia hanya tahu tentang hantu jembalang seperti serigala jadian sahaja. Tidak pula dia menyangka ada juga spesis kucing jadian. Argh! Makin kalut fikiran Murad dibuatnya. Makhluk berbulu tersebut berjalan makin dekat ke arah Murad dan Nasrul. Seakan dipaku, kaki mereka berdua tidak dapat bergerak ke mana-mana. Seolah-olah ada satu kuasa ghaib yang menahan pergerakan kaki mereka. Makhluk tadi semakin menghampiri mereka berdua, masih dengan muka bengis dan menyeringai menampakkan gigi-giginya yang tajam. Murad dan Nasrul semakin kaget, takut tidak terperi. Nasrul hanya mampu terkencing di dalam seluarnya sambil tangannya masih memegang lampu picit tadi. Lembaga itu kini berdiri benar-benar di hadapan mereka berdua.

"Ramli! Tolong jangan apa-apakan aku. Kau nak apa dari aku?" kata Murad dengan nada merayu kepada makhluk di hadapannya itu. Lembaga tadi tidak menghiraukan kata-kata Murad tadi. Ianya semakin galak mengukir sengihan yang kemudiannya menampakkan taring-taring tajam di dalam mulutnya. Bau hanyir darah mulai keluar dari mulut lembaga itu. "Aku sudah lama menanti kedatangan kamu berdua," tiba-tiba makhluk berbulu bercakap kepada mereka berdua dengan nada garau. Murad dan Nasrul tercengang mendengar kata-kata yang keluar dari mulut lembaga tersebut. Mana mungkin binatang seperti kucing jadian ini boleh bercakap? Adakah ini realiti atau fantasi. Fikiran Murad semakin serabut.

"Tolong jangan bunuh kami. Kami tak buat salah apa-apa. Ramli! Kau tak kenal kah dengan tuan engkau ni?" Murad menyusun kata-kata sambil memujuk dan merayu kepada lembaga berkenaan untuk tidak mengapa-apakan mereka berdua. "Hoi manusia bodoh! Aku bukan seperti yang kau fikirkan. Aku bukannya Ramli, kucing peliharaan kau itu. Akulah SAKARATUL MAUT, malaikat yang akan mengambil roh kamu berdua sekejap lagi," kata makhluk tersebut dengan sergahan yang mampu membuatkan telinga Murad dan Nasrul mendengar dengan sejelas-jelasnya. "Apa yang kau merepek ni syaitan? Kami berdua masih lagi di sini. Kami masih lagi berdiri tercegat di sini. Mana mungkin kami dah mati," jelas Murad kepada Sakaratul Maut dengan mulutnya tergetar-getar dan masih mampu berdialog dengan makhluk di hadapannya itu.

"Kamu berdua sudah lupakah? Baru sebentar tadi kamu berdua mati" jelas Sakaratul Maut. Tiba-tiba bagaikan ada skrin television terpampang luas di dalam minda Murad dan Nasrul, mengimbau kembali saat-saat cemas di atas motosikal semasa dalam perjalanan pulang ke kampung mereka tadi. Semasa mereka berdua sedang melintasi simpang empat yang berlampu trafik sebelum masuk ke kawasan kampung tadi, tanpa disedari ada sebuah lori tanker Petronas keluar dari simpang setelah melihat isyarat lampu hijau. Dengan sekelip mata, motosikal Murad telah merempuh belakang lori tersebut lalu mereka berdua terpelanting dan tergolek jatuh ke jalanraya. Lebih meremangkan bulu roma, badan mereka berdua digilis teruk oleh tayar-tayar lori tersebut. Kepala mereka pecah dan otak terburai, bersepah mengotori jalanan. Tragis dan sungguh mengerikan.

"Mari, aku bawa kau berdua ke tempat yang sepatutnya," ujar Malaikat Maut yang berselindung menyerupai seekor makhluk yang menakutkan itu. Lembaga tersebut memegang pangkal leher Murad dan Nasrul. Mereka berdua tidak dapat berkata apa-apa. Mulut mereka bagai dijahit. "Kamu berdua budak jahat. Suka tipu orang kampung. Suka berjudi. Menipu emak bapak. Kaki arak. Dan yang paling teruk sekali, kamu berdua dengan tidak malu dan segan, sanggup mencuri duit tabung surau kampung ini pada minggu lepas. Jahanam punya budak! Mari, aku bawa kau berdua ke kamar seksaanku," sungguh garang sekali tutur kata makhluk tersebut. Dengan genggaman yang kemas serta erat di leher mereka berdua, makhluk tersebut mengheret Murad dan Nasrul ke dalam kepekatan gelap malam. Bayang-bayang mereka kian suram dan kabur dibawa keheningan malam yang tidak terbatas itu. Begitulah nasib Murad dan Nasrul yang sering berbuat kejahatan di bumi Tuhan. 

Sekian.

Monday, September 7, 2015

CERKAS : RASUK NGEJUT

Murad dan Nasrul sudah tiba di destinasi yang ingin dituju. Beberapa meter lagi berjalan kaki mereka pasti sampai di lokasi tersebut. Dalam hati mereka berdua sudah nekad. Apa nak jadi jadilah. Sudah lama menjadi tahi judi ni, lebih kurang hampir 7 tahun begitu, benda halal haram mereka berdua redah saja. Semak belukar semakin meninggi ketika mereka berdua sampai di tempat yang dituju. Denai yang dilalui semakin mengecil dan lumpur di kaki makin becak memasuki kasut-kasut mereka. Tapi mereka tidak peduli. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.

Sesudah mereka redahi denai tersebut, maka sampailah sudah mereka di kawasan Batu Rasak. Kawasan Batu Rasak ini terletak lebih kurang 1 kilometer ke dalam ceruk Kampung Penan Muslim. Kampung itu pula lebih kurang 10 batu jaraknya dari bandar Bintulu. Dipercayai kawasan ini asalnya ialah tanah perkuburan masyarakat Penan dahulu kala, ianya cuma bernisan batu berwarna putih yang kelihatan seperti jubin marmar yang telah lusuh dan berusia ratusan tahun. Kawasan ini dipercayai "keras", hinggakan penduduk kampung tersebut tidak semuanya berani berada di sana dalam tempoh yang lama. Disebalik amaran orang kebanyakan, ada juga beberapa individu yang gemar menziarahi kawasan tersebut. Golongan yang paling ketara kerap singgah di sana ialah golongan kaki judi. Baik dari berstatus miskin hingga kaya, asal tahi judi saja, mesti kenal dengan kawasan tersebut. Kebanyakannya kaki judi nombor ekor 4D. Setiap hujung minggu pasti ada yang ke sana, menconteng nombor yang mereka kehendaki di atas salah satu Batu Rasak tersebut, memberi makan "roh-roh" yang tinggal di sana, dan keesokannya POW!!! Nombor mereka akan naik di atas papan keputusan 4D. Ada yang menang besar, tidak lupa juga yang menang kecil. Yang pasti, 60% pengunjung yang datang pasti akan menerima hasilnya.

Untuk yang berbaki 40% pula adalah golongan tahi judi yang tidak jumpa jalan pulang. Golongan ini adalah yang dikehendaki oleh "roh-roh" tersebut. Atas alasan apa, ianya masih misteri. Boleh dikatakan golongan ini agak malang sebenarnya dalam arena perjudian. Akan tetapi bagi Murad dan Nasrul, mereka tidak peduli akan kemungkinan itu. Yang pasti mereka tetap ingin mencuba. Mereka berdua memunggah segala isi dalam beg galas yang dibawa mereka. Ianya terdiri daripada makanan-makanan untuk santapan "roh-roh" di situ. Darah babi hutan, buah limau purut 3 biji, kertas kuning cina mati, sebungkus colok; merupakan beberapa santapan yang akan dihidangkan kepada makhluk-makhluk halus di situ nanti. Murad dan Nasrul memulakan kerja mereka. Si Murad mula memilih batu rasak mana yang ingin dipuja, lalu terjumpalah dia dengan satu batu yang agak kemas rupanya, tidak pernah terusik gayanya. Si Nasrul mula meletakkan darah daging babi ke dalam mangkuk, seterusnya membakar colok dan kertas kuning betul-betul dihadapan batu itu. Semasa mereka berdua asyik dengan kerja masing-masing, suasana petang tersebut menjadi kelam sedikit. Ada hujan panas datang menerpa ke arah mereka. Badan mereka berdua mulai basah sedikit dek hujan tersebut. Nasrul rasa tidak sedap hati lalu mengeluh kepada Murad. 

"Aku rasa lain macam la Murad, baik kita berhenti di sini dan balik la"

"Kepala but*h kau! Sudah alang-alang kita ke sini, kerja setengah jalan, kau nak balik pulak?" sergah Murad kepada Nasrul.

"Kau tau tak, main 4D pun kita boleh menang ngejut! Kau faham tak bahalol?" Murad semakin naik angin.

Setelah dicemuh sedemikian rupa, wajah Nasrul merah padam. Malu ada, marah pun ada. Tanpa mempedulikan hujan panas yang semakin galak datang menyerang, mereka teruskan juga usaha mereka. Colok yang tadinya terpadam akibat air hujan, kini dimulakan lagi apinya oleh Nasrul.

Salah satu Batu Rasak yang terdapat di Kampung Penan Muslim, Bintulu (tempat ini memang wujud). Gambar dari blog Warisan Borneo

Akhirnya hujan panas mulai reda di waktu petang itu. Burung wak-wak mulai melompat keriangan di dalam semak samun. Namun petang itu mulai menyembahkan dirinya bertukar menjadi senja. Waktu maghrib makin menghampiri. Wajah Nasrul masih lagi cemas seperti tadi berbaur dengan rasa malunya akibat dimarahi Murad beberapa minit lepas. Nyamuk-nyamuk makin bermaharajalela hinggap di tubuhnya yang kerdil itu. Perlahan-lahan api colok dimulakannya kembali. Kawasan itu mulai berasap seperti sebelum datangnya hujan panas tadi. Mangkuk yang berisi darah babi hutan terusun rapi diletakkan di bawah batu rasak pilihan Murad. Selesainya saja membuat perkara-perkara mungkar yang dirancang mereka itu, Murad mulai membaca mantera di hadapan batu rasak tersebut. Nasrul makin tidak keruan. Degupan jantungnya makin rancak bergetar di dalam dada. Selesai sahaja Murad membaca mantera di dalam bahasa Penan tersebut, dia terus mengarahkan Nasrul berbuat sesuatu.

"Oi bahalol! Kau ambik buah limau purut tu dan potong kulitnya. Lepas tu letak bawah batu rasak ni," kata Murad sambil jarinya menuding ke arah batu tersebut. Nasrul akur dengan kata-kata sahabatnya itu walaupun diselubungi ketakutan. Murad seterusnya menulis sesuatu di atas permukaan batu rasak tersebut menggunakan permanent marker berwarna hitam. Ditulisnya beberapa nombor yang diingininya bagi tujuan judi nombor 4D. Dalam hatinya berbisik, harap-harap sahaja nombor yang ditulis akan keluar semasa keputusan pada hari Rabu depan. Kalau dia dan Nasrul menang, alamat kaya mengejutlah mereka. Semestinya mereka akan joli katak dan bersenang lenang. Duit bukan lagi masalah bagi mereka.

Setelah selesai menulis nombor-nombor di atas batu tersebut, Murad menoleh mukanya ke arah Nasrul yang duduk mencangkung sambil mengupas kulit buah limau purut yang dibawanya itu. Muka Nasrul hanya tunduk ke bumi walhal tangannya masih mengupas limau dengan pisau yang tajam. Sekali lagi Murad naik angin dengan perangai Nasrul lalu berteriaklah dirinya. "Oi lahanat! Cepat la potong buah tu? Terhegeh-hegeh nak mampos!" makin mencanak kemarahan Murad terhadap Nasrul kali ini. Dengan tindakan luar kawalan, Murad menepuk belakang badan Nasrul dengan kuat hingga membuatkan dirinya jatuh terjelepok di atas tanah yang basah itu.

"HAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHAHHAHAHA....," tiba-tiba suara mengilai keluar dari mulut Nasrul. Tangannya masih memegang pisau dan limau purut itu. Badan Nasrul kini kotor dengan tanah hitam dan kelihatan dirinya begitu selesa baring di atas permukaan tersebut sambil menguatkan lagi hilaian tawanya. Muka Murad yang tadinya merah membara kini bertukar menjadi pucat lesi setelah mendengar suara yang menyeramkan dari tenggorokan mulut Nasrul itu. Murad berundur sedikit dari pembaringan Nasrul tadi.

"Siapa kau sial?" jerit Murad

"Hahaha...tak perlu tahu siapa aku. Yang penting aku nak nyawa kau sekarang!"

Dengan tidak semena-mena, Nasrul yang kerasukan itu duduk mencangkung sambil pisau tadi di tangannya. Muka Nasrul kini dikotori bendalir hijau yang keluar dari mulutnya dan tanah hitam. Matanya merah dan galak memehatikan setiap gerak laku Murad. Tanpa berfikir panjang Murad berlari ke arah denai yang mereka masuki pada awalnya tadi. Biar cabut seribu langkah, asal nyawanya tidak melayang di atas tangan Nasrul yang kerasukan itu. Riak wajah Murad semakin pucat lesi bertukar menjadi biru. 

Satu tendangan yang maha dahsyat hinggap di belakang Murad. Murad jatuh bagai nangka busuk di atas permukaan denai yang berlumpur itu. Kepalanya berpusing dan matanya berpinar-pinar. Orientasi fikirannya menjadi hitam buat seketika. Penglihatannya mulai kabur bagai tiada cahaya. Bagaikan ingin pitam, namun Murad gagahkan juga untuk mengalih badannya ke tepi semak di dalam denai tersebut. Kelopak matanya dibuka sedikit demi sedikit. Di hadapannya kelihatan Nasrul sedang duduk mencangkung dengan pisau di tangan kanannya sambil matanya tajam memerhatikan Murad. Bendalir hijau dan lumpur semakin mengaburi wajah sebenar Nasrul. Hilaian tawa Nasrul semakin galak memecah kesunyian.

"Oi jahanam! Kau nak apa dari aku? Lanjiaaaaooooooo!" masih tersimpan sedikit keberanian di dalam kekalutan dalam diri Murad untuk berdialog dengan makhluk di hadapannya itu. Nasrul tidak berkata apa, membisu seribu bahasa. Dengan sepantas kilat, Nasrul melompat dan menusuk pisau di tangannya menuju ke perut Murad. Percikan darah membasahi semak samun di dalam denai itu. Jeritan kesakitan Murad mulai mengisi ruang lingkup kawasan itu. Dia mengerang sekuatnya. Isi perut Murad yang terdiri dari usus besar dan kecil keluar bertaburan dan jatuh ke dalan lumpur. Manakala Nasrul bertubi-tubi menikam perut Murad dengan pisaunya yang tajam itu. Hati kering sungguh Nasrul setelah kena rasuk. Murad semakin lemah dan mulutnya kini penuh dengan darahnya sendiri. Badannya semakin lunyai bagai sehelai kertas, tunggu untuk dikoyakkan. Murad sudah tidak bermaya, perutnya terburai, badannya dibaluti lumpur dan darahnya sendiri. Nafas Murad semakin lemah dan akhirnya nyawanya melayang begitu sahaja akibat insiden yang merepek ini, hanya sekadar untuk mendapatkan kenikmatan dunia yang hanya sementara.

Selesai menamatkan riwayat sahabatnya sendiri, Nasrul bangkit dari cangkungannya di atas tubuh Murad yang terbujur kaku itu. Nasrul menghela nafas panjang. Pandangannya meluru ke langit senja yang semakin gelap tanpa sebarang sinar. Tanpa sebarang amaran, Nasrul berteriak sekuat hatinya. Burung-burung yang berselindung di balik semak samun itu lari bertempiaran. Roh jahat masih lagi di dalam jasad Nasrul. Ianya bagaikan tidak mahu melepaskan Nasrul. Setelah selesai menjerit, pisau di genggaman Nasrul berada kemas di batang lehernya. Nasrul mulai menekan pisau tersebut ke dalam tenggorokan lehernya sehingga memercikkan darah pekat keluar dan jatuh ke bumi. Dengan perlahan-lahan, lehernya dikelar dengan ganasnya bagai dia tidak menyedari apa yang dilakukannya sendiri. Nasrul berserah sahaja. Darah pekat makin liar keluar dari luka leher yang makin terbuka luas. Leher Nasrul terjelir keluar. Nafasnya makin perlahan keluar dari paru-parunya. Akhirnya secara perlahan tubuh Nasrul rebah ke lumpur di denai itu, bersebelahan mayat sahabatnya si Murad.

Ternyata mereka berdua, Nasrul dan Murad, adalah tergolong di dalam kelompok manusia 40% yang tidak berjaya keluar dari kawasan itu.

Sekian.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...