Malam semakin diselubungi kegelapan yang menyejukkan. Kabus-kabus nipis semakin mengaburi pemandangan sepanjang jalan yang kian kurang dilalui manusia itu. Kedengaran beberapa ekor anjing menyalak dari kejauhan seolah-olah menangis akibat terpandang sesuatu yang menakutkan. Bulan tidak memunculkan dirinya pada malam itu kerana awan mulai menebal lalu menyelimuti sang rembulan yang baharu menampakkan dirinya. Senja baru sahaja melabuhkan tirainya. Waktu pada ketika itu boleh diagak kira-kira sekitar pukul 8:15 malam. Tiada anak bintang juga kelihatan di langit malam akibat beberapa kepulan awan yang semakin mencemburui lalu menutupi segala keindahan yang ada di angkasa pada ketika itu.
Murad serta adiknya Nasrul baru sahaja selesai mengaji di rumah Lebai Arep yang terletak di Kampung Baru Rejang, hanya bersebelahan dengan kampung mereka. Lebai Arep memang pandai mengajar budak-budak kalau bab mengaji. Siap dengan ilmu Tarranum lagi dia buat khas untuk pelajar-pelajar yang mengikuti kelas mengajinya. Namun begitu, Lebai Arep juga seorang yang tegas dan kadang-kadang garang apabila mengajar. Itu yang membuatkan Murad dan Nasrul kadang-kadang terasa berat hati untuk pergi mengaji. Murad selaku seorang abang, agak lebih rebel dan melawan berbanding adiknya si Nasrul. Apabila tiba masa untuk mengaji, adiknya Nasrul akan dibiarkannya mengikuti kelas mengaji walhal Murad pula pergi bermain dam haji di kedai Ah Seng bersama rakan sepernakalannya Fairol yang terletak hanya beberapa meter dari kediaman Lebai Arep.
Murad memegang erat tangan adiknya si Nasrul. Songkok yang dipakainya kian menyenget ke tepi. Peluh jantan mulainya muncul di dahi. Murad terasa tidak sedap hati semasa berjalan di jalanan yang menghubungkan Kampung Baru Rejang di mana terletaknya rumah Lebai Arep ke kampungnya, Kampung Hilir Rejang. Banyak rintangan yang perlu dihadapinya sepanjang perjalanan seperti beberapa kawasan semak samun yang semakin tinggi dan menebal, kandang lembu milik Haji Rashid yang sentiasa mengeluarkan bauan yang kurang enak hasil dari sisa buangan haiwan ternakannya itu dan yang paling merisaukan Murad dan Nasrul ialah kehadiran sebatang pokok ara di hadapan simpang jalan sebelum memasuki kampungnya. Entah kenapa, kalau malam-malam lain Murad hanya selamba badak berjalan sepanjang jalan tersebut biarpun pada waktu yang gelap begini. Namun malam tersebut dia rasa lain macam. Adiknya Nasrul yang baru berusia 8 tahun hanya mengikut sahaja walaupun hakikatnya dia ni 10 kali ganda penakut dari abangnya. Genggaman Murad semakin erat memegang tangan adiknya. Dia mesti menunjukkan keberanian di hadapan adiknya. Dia tiada pilihan. Sekurang-kurangnya dia mesti berlagak macho seperti pelakon Zul Ariffin di hadapan adiknya. Itu adalah sifatnya.
Bunyian serangga di tepian parit makin galak membingitkan malam yang sepatutnya sepi itu. Murad semakin gelisah apabila menyusuri jalan yang semakin sikit dilalui oleh manusia itu. Jangankan orang kampung, kambing ataupun ayam kampung pun langsung tidak kelihatan berada di atas jalan itu. Arghhh parah ni, bisik hati Murad. Keadaan begini betul-betul menguji keberanian Murad. Walaupun baru sahaja memasuki Tingkatan 3, namun lagaknya di sekolah memang nakal dan cukup berani, terutama sekali apabila berkaitan dalam melakukan beberapa kesalahan seperti ponteng kelas, hisap rokok di belakang bengkel kelas Kemahiran Hidup, pancitkan tayar kereta cikgu disiplin dan sebagainya. Namun malam ini keberaniannya mula tercabar. Cabaran kali ini bukan alang-alang. Kalau mengikut perkiraan, malam ini adalah malam jumaat. Aaahhh sial, kenapa perlu ada perasaan ini di waktu begini, bisik hati Murad lagi.
"Abang Ad, U'ul rasa nak kencing la," kata Nasrul kepada Murad dalam nada yang hampir berbisik.
"Oi mangkuk hayun! Kau tunggu la kejap, tak lama lagi kita sampai rumah. Lepas tu kau nak kencing ka, nak berak ka, suka hati kau la bongok," Sentap Murad kepada adiknya yang semakin pucat lesi wajahnya itu.
Selang beberapa meter lagi mereka akan sampai ke simpang masuk ke Kampung Hilir Rajang. Dari kejauhan mereka sudah nampak sebatang pokok ara yang tersergam indah namun masih mengekalkan imej yang mengerikan.Cabang-cabang dahan dan urat-urat yang menjalar jatuh ke bumi dari puncak pokok itu nampak seperti seekor lembaga yang menakutkan. Murad dan Nasrul semakin mempercepatkan langkah masing-masing menuju ke simpang tersebut. Azab ketakutan yang dirasakan semakin membahang di dalam diri mereka. Sepatutnya malam itu Murad membawa adiknya mengaji menggunakan basikal tua peninggalan arwah datuknya, namun tayarnya pancit akibat diperdajalkan oleh beberapa samseng di sekolahnya petang tadi. Jahanam betul, ini mesti kerja budak-budak Kampung Hulu Rajang, bisik hati Murad.
"Kok kok kelerrrrrrr....kok kok kelerrrr......" Sayup-sayup kedengaran ada sesuatu mengucapkan kata-kata tersebut dari celah pohon ara yang ada di depan mereka.
Bulu roma yang berada di belakang tengkuk Murad mulai menegak. Badannya terasa seram sejuk. Tanpa berfikir panjang dia mengarahkan Nasrul untuk turut sama berlari sambil melepasi halangan yang ada di hadapan iaitu melalui pohon ara yang menyeramkan itu. Melalui pandangan ekor mata, Murad dapat melihat ada satu objek berwarna putih keluar dari celah lubang di tepian pokok ara tersebut. Perlahan-lahan ianya menyusupi setiap rongga yang ada di keliling pokok tersebut.
Murad dapat rasakan bahawa lembaga putih di balik pokok itu berterbangan menghampirinya dan Nasrul. Semakin dekat dan kian hampir menyergah ke belakang mereka. Seribu perkara bermain di kepala Murad sekarang ini namun yang hanya difikirkannya cuma satu iaitu lari dari kawasan itu dan cuba mengelak dari terserempak daripada lembaga yang semakin menghampiri mereka itu. Deruan angin semakin rancak berlegar di sepanjang jalan. Hati Murad dan Nasrul semakin gusar. Mereka berdua semakin mempercepatkan langkah larian.
"Kok kok kelerrr.....kok kok keler...."
Kini bunyian tersebut dapat di dengari di cuping telinga Murad dan Nasrul. Murad semakin merasakan lembaga tersebut berada beberapa inci lagi dari tubuhnya, melayang-layang dan cuba untuk mencekiknya. Dia tidak pasti samada itu pontianak, langsuir, pelesit, toyol atau apa-apa pun. Dalam saat begini dia tidak mahu memikirkan perkara itu. Yang penting dia dalam keluar dari situasi itu secepat mungkin. Sedang mereka berdua berlari-lari sepanjang jalan yang gelap itu, tanpa disengajakan kaki Murad tersandung satu batu besar di tepi jalan lalu dia pun jatuh tergolek masuk ke dalam longkang. Nasrul juga turut ikut sama jatuh ke dalam longkang tersebut kerana pada masa itu tangannya masih dipegang oleh abangnya Murad. Mereka berdua jatuh bagaikan nangka busuk ke dalam longkang. Murad cuba untuk berdiri semula setelah terjatuh ke dalam longkang tersebut. Badannya habis kotor diselaputi lumpur dan lumut berwarna cokelat. Begitu juga dengan Nasrul.
Entah bagaimana, lembaga yang berwarna putih tadi sudah berada di atas longkang yang memenjarakan Murad dan Nasrul di bawahnya. Di balik kepekatan malam, Murad hanya melihat samar-samar wajah lembaga tersebut di sebalik kelopak matanya yang telah dilumuri lumpur itu. Tanpa semena-mena, makhluk berkenaan terbang masuk ke dalam longkang berkenaan, perlahan-lahan meluru ke arah mereka berdua. Kini Murad melihat dengan separa jelas wajah yang ditakutinya itu. Lembaga tersebut berambut panjang, mengurai tapi dalam keadaan sedikit comot dan sepasang mata merah menyala di balik rambut berkenaan. Lembaga tersebut mula menyeringai menampakkan susunan giginya yang tajam dan tidak tersusun. Lalu ianya sekali lagi mengeluarkan bunyian yang mengerikan.
"Kok Kok Keler.....kok kok keler....."
"Maaakkkkk! Bapaaaak! Tolong!!!" Jerit Murad sekuat hatinya namun pada ketika itu hakikatnya tiada siapa yang mendengar. Setelah terpekik terlelong sedemikian rupa, minda Murad seakan melayang. Kepala pitam tanpa ada tanda amaran terdahulu. Segalanya gelap kembali buat Murad dan Nasrul.
Kawasan Kampung Rajang kini gempar dengan kehilangan dua beradik iaitu Murad dan Nasrul yang berasal dari bahagian hilir tempat berkenaan. Kampung besar yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Hulu, Hilir dan Baru itu mulai dirundung nasib malang dan bakal berhadapan dengan pelbagai musibah. Setelah disahkan hilang oleh kedua ibu bapa adik-beradik yang hilang tersebut, tanpa melengahkan masa, mereka pun membuat laporan polis pada keesokan hari. Beberapa pasukan beruniform mulai berlegar-legar di kawasan kampung tersebut iaitu pihak RELA dan Polis Di Raja Malaysia. Selang tiga hari kemudian, setelah pihak RELA dan beberapa orang kampung memulakan operasi pencarian di kawasan yang disyaki kali terakhir adik-beradik tersebut dilihat oleh beberapa orang saksi seperti Fairol, kawan baik Murad serta Lebai Arep, guru kelas mengaji, mereka memutuskan untuk memberi perhatian kepada beberapa kawasan yang disyaki. Di antara lokasi yang dikenal pasti ialah sepanjang jalan yang menghubungkan Kampung Baru dan Kampung Hilir. Setelah empat jam operasi tersebut bermula, akhirnya salah seorang anggota RELA menemui sepasang songkok yang lusuh dan bersalut lumpur serta dua beg galas berisi buku Muqaddam yang dikotori oleh darah kering di dalam kawasan semak samun tidak jauh dari jalan tersebut.
Setelah disahkan oleh kedua ibubapa kanak-kanak malang tersebut yang menyatakan bahawa barangan yang dijumpai itu adalah kepunyaan Murad dan Nasrul, orang-orang kampung mulai hidup dalam keadaan resah serta ketakutan. Semenjak kehilangan dua beradik tersebut, makin banyak kejadian aneh berlaku di sepanjang jalan yang menghubungi Kampung Baru dan Kampung Hilir terutama sekali pada simpang masuk yang menjalinkan kedua-dua kampung berkenaan di mana terdapat sebatang pokok ara bertindak sebagai “penjaga” bagi tempat yang dinyatakan. Hampir setiap malam penduduk kampung tersebut terdengar bunyi yang menakutkan keluar dari pokok ara itu, terutama sekali beberapa remaja lelaki yang suka melepak di sebuah gerai burger tidak jauh dari simpang berkenaan. Kadang-kadang sayup kedengaran suara yang penuh misteri berbunyi “Kok Kok Keler!” keluar dari celah-celah urat pokok berkenaan. Sudah jatuh ditimpa tangga, lebih kurang seminggu selepas insiden kehilangan Murad dan Nasrul, dua orang pekerja Indonesia yang bekerja di sebuah kilang papan tidak jauh dari Kampung Baru, ditemui mati dalam keadaan yang mengerikan. Mayat mereka berdua dijumpai dalam keadaan sungguh sadis di dalam salah satu longkang yang terdapat di jalan yang menghubungkan Kampung Baru dan Kampung Hilir itu. Kepala mereka seperti dirobek dan dicakar oleh seekor binatang buas manakala alat sulit atau kemaluan pula hilang dan berpisah dari tubuh mereka. Ini merupakan satu tragedi yang amat besar serta tragis bagi ketiga-tiga kampung berkenaan.
Lebai Arep mempercepatkan lagi kayuhan basikalnya. Malam sudah semakin gelap gelita dan cahaya rembulan kian terang benderang menerangi setiap ceruk rantau daerah tersebut. Bunyian cengkerik serta katak puru memecah kesunyian malam. Namun begitu, tiada sebarang bayang manusia yang kelihatan sepanjang jalan yang dilalui Lebai Arep itu. Jam tangan Lebai Arep menunjukkan sudah pukul 10 malam. Kayuhannya semakin deras menyusuri jalan tersebut, namun keringatnya tidaklah setimpal dengan keinginannya yang mahu sampai ke rumah kerana malam sudah terlalu lewat. Jubah yang dipakainya kian renyuk dan comot dek kerana keadaannya yang sedikit menggelabah mengayuh basikalnya itu. Nun tidak jauh dari simpang masuk ke rumahnya, Lebai Arep ternampak kelibat dua budak lelaki berpakaian baju melayu yang dikotori lumpur, bersongkok dan wajah tunduk ke bumi. Kedua-dua mereka membelakangi Lebai Arep. Jarak antara dia dan kelibat mereka berdua cuma lebih kurang 2 atau 3 meter sahaja. Rasanya aku macam kenal diorang ni, bisik hati Lebai Arep. Boleh jadi mereka berdua ni Murad dan Nasrul, adik-beradik yang hilang beberapa minggu lepas. Lebai Arep seakan yakin bahawa itu adalah mereka.
"Murad! Nasrul! Berhenti sekejap nak. Pakcik nak jumpa kamu sekejap," jerit Lebai Arep ke arah dua individu yang pada jangkaannya adalah dua beradik tersebut. Kayuhan basikalnya mulai menjadi perlahan. Lebai Arep meletakkan kaki kanannya ke jalan untuk membuatkan basikalnya dalam keadaan pegun. Seakan terbiasa menyapa kanak-kanak tersebut, Lebai Arep menepuk bahu susuk tubuh yang disangkanya Murad itu. Secara spontan, dua susuk tubuh yang pada mulanya hanya tunduk ke bawah mulai mendongak dan memandang Lebai Arep. Alangkah terkejutnya Lebai Arep setelah melihat bahawa dua lembaga yang menyerupai Murad dan Nasrul itu tidak bermata, seolah-olah bola mata mereka telah dicungkil keluar. Lebai Arep terperanjat lalu berundur ke belakang. Lebai Arep hilang imbangan badan lalu jatuh terjelupuk ke atas jalan dan basikalnya turut tersungkur bersama dirinya. Dada Lebai Arep berombak kencang. Perasaan panik dan ketakutan yang maha dahsyat menyerang dirinya. Tiba-tiba 2 susuk tubuh kanak-kanak tadi menyebut beberapa perkataan yang agak asing dan menakutkan.
"Kok kok keler....kok kok keler..."
Lebai Arep semakin hilang punca. Dia terasa ingin menjerit meminta tolong, namun entah bagaimana lidahnya kelu tidak terkata. Dua lembaga yang menyerupai Nasrul dan Murad tadi sekali lagi menyebut perkataan yang mengerikan itu. "Kok kok keler....kok kok keler," kata dua entiti berkenaan sambil berdiri tidak berganjak. Lubang-lubang yang sepatutnya berisi sepasang mata di wajah mereka semakin banyak mengeluarkan darah sehingga membasahi badan kedua-dua makhluk berkenaan. Dengan secara tiba-tiba dan tidak bersedia, seekor makhluk berbadan serba putih dan berambut panjang mengurai muncul dari celah semak tidak jauh dari Lebai Arep duduk di jalanan. Lalu makhluk berkenaan melompat lalu terbang ke arah Lebai Arep. Ianya kemudiannya menyambar Lebai Arep lalu menggigit batang lehernya. Lebai Arep menjerit kesakitan. Terasa ada beberapa gigi taring sedang melekat di tengkuknya. Dalam keadaan kalut sebegitu, Lebai Arep mampu mengucap beberapa kalimah Allah walaupun dalam kesakitan.
"Allahu Akbar! Dengan nama Allah yang Maha Mulia, nyah kau dari sini, syaitan!" jerit Lebai Arep yang selepas itu sempat lagi membaca beberapa surah yang digunakan dalam menentang para jin dan syaitan yang tidak menuruti perintah Tuhan. Lembaga berwarna putih tadi melompat ke belakang sambil menjerit dan mengeluarkan bunyi yang menyeramkan. Semakin lama semakin jauh makhluk berkenaan berundur. Terasa bagaikan ada bahang api yang panas menggelegak terkena pada muka makhluk itu. Lalu makhluk tersebut melompat ke belakang dan menghilangkan diri.
Lebai Arep semakin lemah. Banyak darahnya hilang akibat terkena gigitan makhluk durjana yang berbadan putih tadi. Badannya semakin tidak berdaya, namun dia cuba untuk berdiri dan menggapai basikalnya. Namun hampa belaka, kudratnya sudah mulai lemah. Lebai Arep cuba untuk merangkak untuk sampai ke simpang masuk ke rumah serta cuba untuk mendapatkan pertolongan jika ada sesiapa yang melihatnya. Dalam pada itu, dua makhluk yang menyerupai Murad dan Nasrul tadi masih lagi berdiri pegun dan tidak berganjak, seolah-olah menyaksikan Lebai Arep merangkak sehingga ke simpang masuk kampung walaupun tidak bermata. Nafas Lebai Arep semakin lemah. Badannya kini dilumuri banyak darah. Dia kemudiannya berhenti merangkak dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Nadinya juga berdegup perlahan, seolah-olah berada di hujung nyawa. Akhirnya tubuh Lebai Arep tidak bergerak dan kini terkulai kaku di jalanan sambil berlumuran darah.
Dua makhluk yang tidak bermata tadi kemudiannya tunduk ke bumi semula lalu menyambungkan perjalanan mereka. Ke mana destinasi mereka berdua, tiada siapa yang tahu. Langkah mereka bergerak secara perlahan. Kedua susuk tubuh yang menyerupai Murad dan Nasrul tadi mula membuka mulut lalu bernyanyi sebuah lagu lama. Di dalam kepekatan malam, suara makhluk-makhluk berkenaan sayup-sayup kedengaran dan memecah kesepian suasana di kawasan itu. Kumat-kamit mereka berdua menyanyikan lagu ini;
" Sepohon kayu daunnya rimbun,
Lebat daunnya, lebat buahnya,
Walaupun hidup seribu tahun,
Kalau tak sembahyang apa guna"
TAMAT
dua watak yg sentiasa ada...
ReplyDeletewah...makin hebat berkarya...kena bukukan ni...
ReplyDeleteSerious berbual saspens giler story ini.
ReplyDeleteAku baca jantung dapdup dapdup.
Tahniah. Kau memang berbakat. Harap more people notice it.