Monday, October 5, 2015

CERKAS : SELAMAT DATANG KE NERAKA

Gambar sekadar hiasan
Kronologi yang natijahnya diceritakan terlebih dahulu...

BAHAGIAN KEEMPAT
LOKASI : ALAM KUBUR
TARIKH : 2 SEPTEMBER 2015
MASA : 11:59 PM
Murad terbangun dari lena. Dia mula bangkit dari perbaringan, namun fikirannya masih terkial-kial akan di manakah dirinya kini berada. Matanya masih terkebil-kebil melihat persekitaran di sekelilingnya. Terasa bagaikan di dalam sebuah gua, kelam dan mengerikan. Tiada banyak cahaya yang hadir di sini, cuma beberapa sinar berwarna merah yang datang dari celah mana. Murad meraba-raba di dalam kegelapan. Tiba-tiba sahaja badannya disentap oleh sesuatu yang besar berlingkar. Murad terpelanting ke tepi. Dia cuba untuk mengesahkan akan sesuatu yang memukulnya tadi. Murad terperanjat melihat di depannya ada seekor ular sawa besar yang sedang menjelirkan lidahnya.

"Wahai Murad! Sedarkah dirimu yang kau sudah mampus?"

Murad terkesima melihat ular yang besar itu mulai berkata-kata di hadapannya. "Di manakah aku sekarang? Adakah ini neraka?" ujar Murad seusai ular besar tadi selesai bercakap. "Oh, ini bukan neraka wahai manusia terlaknat. Ini cuma preview saja. Yang preview ni pun aku rasa kau tidak mampu untuk menahan seksanya. Selesai hari kiamat nanti, barulah kau akan dihumbankan ke neraka. Di sana nanti barulah aku layak berkata ayat ini kepada kau - selamat datang ke neraka! Hahahaha," perli ular raksasa itu yang makin berdekah-dekah ketawanya disusuli jeliran lidahnya yang menakutkan itu. Tanpa membuang masa, ular besar datang menerkamnya lalu menelan perlahan-lahan kaki Murad. Murad hanya mampu bertempik meminta tolong, namun tiada satu nyawa sekalipun yang dapat membantunya ketika itu. Hanya ada dia dan ular besar itu. Perlahan-lahan ular tadi membawanya terus ke dalam lubang gua tersebut, entah apa jenis seksaan yang akan menimpa Murad, itu adalah dari luar jangkaan. "Mak! Ampunkan Murad. Murad dah banyak buat dosa dekat mak. Maafkan Murad mak," rintih Murad di dalam kekalutan sambil badan ditelan oleh ular raksasa tersebut. Dalam kekelaman keadaan di dalam gua tersebut, kelibat Murad semakin hilang dari pandangan mata disebabkan badannya telah ditelan oleh ular tersebut.

BAHAGIAN TIGA
LOKASI : LORONG 14, PERUMAHAN RAKYAT KIDURONG
TARIKH : 2 SEPTEMBER 2015
MASA: 2:30 PETANG
Murad berjalan terhoyong-hayang. Hatinya masih panas akibat insiden sebentar tadi. Duit yang dirampas dari dompet ibunya tadi masih di dalam genggaman. Dia melihat Nasrul sudah bersedia menunggunya di hadapan rumah dan seberang jalan. Ibunya yang masih pitam dan kepala berlumuran darah tadi dibiarnya keseorangan di ruang ruang tamu. Aura alkohol masih melekat di rongga kerongkongnya. Walaupun begitu hatinya girang kerana duit sudah ada di tangannya bagi memudahkan dirinya untuk membeli stok-stok arak di kedai Ah Pui nanti. Dia mempercepatkan langkah lalu berlari anak menuju ke arah Nasrul sudah siap sedia untuk membawanya ke kedai Ah Pui menggunakan motosikal Honda EX5 cabuknya itu. Tanpa disedari ada sebuah lori membawa muatan yang penuh dengan tong gas meluru ke arahnya.

"Paaanngggg...."

Badan Murad terhumban ke hadapan, lebih kurang 3 atau 4 meter dari lori tersebut. Makin mengeruhkan keadaan pada masa itu, ada sebuah kereta Proton Waja dari arah bertentangan dan baru keluar dari simpang yang berlainan menggilis kepala Murad yang baharu sahaja terhantuk di jalanan. Ianya semua berlaku dalam sekelip mata. 

BAHAGIAN DUA
LOKASI : LOT 139, LORONG 14, PERUMAHAN RAKYAT KIDURONG
TARIKH : 2 SEPTEMBER 2014
MASA : 2:00 PETANG
"Kau nak buat apa dengan duit tu, Murad? Bagi balik duit mak," kata Makcik Siti sambil membebel ke arah anaknya yang semakin hari semakin tak rupa macam manusia itu. Murad buat bodoh sahaja, membiarkan ibunya memarahinya sedemikian rupa. Dia sudah immune dengan situasi sebegitu. Tapi kali ini entah mengapa, mungkin disebabkan oleh pengaruh alkohol yang menakluk tubuhnya ketika itu, dia mulai melawan kata-kata ibunya. "Kau diamlah orang tua! Suka hati akulah nak buat apa dengan duit ni," gertak Murad terhadap ibu kandungnya sendiri. Tiba-tiba intonasi suara ibunya berubah, memujuk rayu terhadap anaknya yang semakin menggila itu.

"Jangan macam tu Murad. Itu semua duit pakai adik kau si Fairol untuk belajar di universiti nanti. Mak merayu pada kau, kau bagilah duit tu pada mak," rintih Makcik Siti yang kemudiannya tidak keruan menangis di hadapan Murad. Manakala si derhaka Murad masih buat tidak acuh, tatkala ibunya memegang lengannya sambil memujuk rayu, digapai botol arak yang dibawanya masuk ke rumah tadi lalu dihentak ke kepala ibunya. Makcik Siti rebah di sofa di ruang tamu rumahnya itu dengan kepala masih berlumuran darah. Murad tidak peduli. Dia nekad sambil membawa duit yang dirampas dengan hati keringnya keluar dari rumahnya itu.

BAHAGIAN PERTAMA
LOKASI : KEDAI RUNCIT AH PUI, PERUMAHAN RAKYAT KIDURONG
TARIKH : 2 SEPTEMBER 2015
MASA : 12:30 TENGAHARI
Murad masih lagi meneguk sebotol arak Cap Apek di meja itu bersama Nasrul. Di dalam poketnya masih teraba-raba stok syabu yang belum digunapakai. Murad dan Nasrul nampak tidak terurus namun masih setia menjadi pelanggan di kedai Ah Pui itu. Taukeh Ah Pui membiarkan sahaja kehadiran mereka berdua di hadapan kedainya itu kerana dia tahu, asalkan ada duit, semua boleh jalan. Seawal jam 9 pagi tadi dua sekawan ini sudah bertenggek di depan kedai Ah Pui. Taukeh kedai ini peduli apa dengan masalah mereka, janji mereka tetap bayar untuk arak-arak yang akan diminum mereka.

"Woi Murad, aku dah takder sen lagi ni. Pokai giler dah sekarang," Kata Nasrul

"Kejap la. Aku pun tengah fikir ni macam mana cara nak dapatkan duit," Murad mula menenangkan hati Nasrul. Pada malam sebelumnya duit gaji hasil dari menjadi buruh di kilang kicap tidak jauh dari kawasan perumahan mereka, sudah habis dijolikan di kelab malam. Kalau setakat air beer murahan seperti Dester, Kingway dan Oranjeboom, tak main lah bagi mereka berdua. Citarasa mereka begitu tinggi kalau duit dah banyak. Jika sudah jatuh "muflis" sebegini, arak murah pun jadilah.

"Arghhhh susah-susah begini, baik aku mintak dari mak aku saja la," getus Murad sambil menghentakkan tangannya ke meja, tempat dia dan Nasrul sedang lepak-lepak sambil mabuk. "Cantek! Haaaa....kau tunggu sini kejap Murad. Aku nak ambik motosikal aku dulu," kata Nasrul lalu berlalu pergi meninggalkan Murad keseorangan di meja tersebut. Arak Cap Apek tadi diteguknya sekali lagi. Murad masih tidak puas.

TAMAT

8 comments:

  1. ringkaskan, daripada cerkas jadi cerput (cerita ciput), kemudian jadikan lirik lagu MUP... tapi buang nama murad/nasrul lah~ hahahaha

    ReplyDelete
  2. Boleh saja kalo buat lirik lagu MUP hehe...Bo

    ReplyDelete
  3. belum baca lagi..

    alang2 buat banyak2 lirik lagu, pastu jadikan konsep album..

    amcam sempoi?

    ReplyDelete
    Replies
    1. boleh jadi macam dream theater ni bro....projek mega ni haha

      Delete
  4. kreatif presentation kau..
    paragraph, semua...
    suka aku... buat la buku. Atau kompilasi. Atau at least satu proper blog atau website abadikan hasil kau. Copyright ok..

    ReplyDelete
  5. buat buku bro,menarik idea kau,kalo ko nak buku kan aku boleh mintak tolong member aku editor DBP tu,atau ko boleh call DBP wilayah selatan cakap dengan editor puan azura halid.tapi bila dah ada buku nanti nasrul tu tuntut royalti pulak..heheh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Buku belom rilis, dia dah mintak bahagian dia dah haha

      Delete

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...