Monday, January 30, 2017

Pemergian Seorang Yang Aku Kasihi Iaitu Adindaku Allahyarham Alifh Omar

Pada 29 haribulan Disember tahun 2016 yang lepas, aku serta keluarga telah dilanda dengan sebuah dugaan. Aku masih ingat lagi waktu itu, ianya sekitar pukul 5.10 pagi, beberapa minit lagi sebelum solat Subuh di tempat aku. Aku serta isteri dikejutkan dengan sebuah panggilan telefon daripada ibuku. Katanya pada waktu itu, adikku Alifh Omar (adik aku yang nombor 3) telah tidak sedarkan diri semasa isterinya mengejutkannya bagi bersedia untuk solat Subuh. Waktu itu adik aku berada di Kuching, tengah bercuti di sana dan menetap di rumah keluarga mertuanya. Ibuku menyuruhku menunaikan solat Subuh sekaligus mengerjakan solat hajat agar memohon kepada Allah untuk adikku cepat sedar dari pitamnya. Namun setelah selesai aku mengerjakan solat berkenaan, isteriku datang ke pangkuan dalam keadaan menangis sambil menyatakan kepadaku bahawa adikku Alifh Omar sudah meninggal dunia. Terasa dunia yang aku rasakan ketika itu berputar 360 darjah dan aku hampir hilang pedoman seketika. Di waktu hening subuh tersebut aku menangis sambil sempat beristighfar. Isteriku memelukku dan cuba menenangkan aku. 

Semuanya berlaku terlalu pantas. Aku, isteri serta anak perempuanku bergegas ke rumah ibu bapaku pada pagi tersebut. Aku cuba mendapatkan ibu bapaku sesudah sampai di rumah mereka. Aku sangkakan ibuku akan menangis teresak-esak. Aku risau juga takut ibuku jatuh pengsan juga. Namun ibuku cukup tenang dalam menerima kenyataan tersebut walaupun masih berlinang air mata. Walhal bapaku pula bergegas membeli tiket penerbangan ke Kuching pada pagi tersebut untuk kami sekeluarga. Ayah aku pula jatuh pitam sebelum itu setelah menerima khabar kematian adikku melalui isteri arwah di Kuching pada awal pagi tersebut. Ayahku tidak sekuat yang aku sangkakan sebenarnya, jauh di dalam renungan matanya aku tahu dia menahan kesedihan yang terlalu menyeksakan. Terlalu besar ujian kali ini Allah berikan kepada kami sekeluarga, namun kami cuba untuk belajar mengenali hakikat tentang redha. 

Sesampainya kami sekeluarga di Lapangan Terbang Kuching, ayahku sekali lagi hampir pitam di koridor ketibaan penumpang. Namun aku serta adik-adikku yang lain sempat memapahnya lantas menenangkan keadaannya. Mujur ada saudara-mara yang sudi membawa kami ke rumah keluarga mertua arwah adikku iaitu di kawasan Gita, Kuching. Apabila kami tiba di rumah berkenaan, kaum keluarga sudah ramai tiba di sana. Arwah adikku Alifh Omar sudah terbujur kaku di lantai dan diselubungi selimut putih. Aku serta 2 orang lagi adikku iaitu Ariffin dan Mohd Muslim terus mengangkat jenazah ke ruang tempat mandi. Sambil diberi tunjuk ajar oleh beberapa individu tentang cara-cara memandikan jenazah, aku dan adik-adikku menunaikan kewajiban tersebut. Air mata kami beradik tidak pernah putus mengalir namun kami cuba untuk bertahan dan mengawal emosi. Biarlah kali ini kami cuba untuk berbakti buat arwah adikku Alifh Omar. 

Setelah dimandikkan serta dikafankan, solat jenazah pula diimamkan oleh sahabat adikku juga merangkap imam no. 3 di Masjid Jamek Kuching. Adik bongsuku iaitu Mohd Muslim memberi cadangan untuk membawa jenazah ke Masjid Jamek pada waktu asar bagi membuat solat jenazah serta dimakmumkan oleh 40 orang jemaah. Selesai sahaja kami dengan urusan tersebut, jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Semariang. Semasa di perkuburan pula, aku serta adik-adikku juga yang masuk ke liang lahad dan menguburkan jenazah. Suasana hiba pada waktu tengahari berkenaan terlalu kuat dirasakan oleh kami sekeluarga namun pengebumian harus dilaksanakan secepat mungkin. Selesai sahaja upacara pengebumian, bacaan talkin pula dimulakan oleh seorang ustaz yang juga merupakan salah seorang ahli keluarga kami. 

Arwah adikku Alifh Omar merupakan seorang yang tidak pernah ada rekod menghidap penyakit kronik. Malahan arwah merupakan seorang yang athletic dan cukup cergas dalam melakukan sebarang aktiviti fizikal mahupun mental. Arwah merupakan seorang pensyarah di Institut Kemahiran Mara Cawangan Bintulu dan baru sahaja selesai menamatkan pelajarannya dalam bidang kejuruteraan di peringkat Master pada bulan November sebelum itu. Arwah merupakan kebanggaan keluarga, sungguhpun dirinya sudah sampai ke tahap tersebut namun tidak pernah sedikit kami lihat arwah bersikap sombong atau meninggi diri. Arwah merupakan seorang yang low profile dan tidak banyak bercakap, ataupun mungkin juga beliau mengamalkan sikap bercakap pada waktu yang perlu sahaja. 

Punca kematiannya pada pemahaman orang biasa mungkin agak samar-samar. Namun semasa aku dan adik beradik yang lain memandikan jenazah, didapati kuku arwah kebiru-biruan dan hampir hitam. Ada salah seorang individu yang menguruskan jenazah pada ketika itu memberitahu kami bahawa tanda kebiru-biruan di kuku bermakna terdapat masalah jantung yang dihadapi oleh arwah sehingga menyebabkan kematian. Boleh jadi ianya berlaku akibat serangan jantung mahupun angin ahmar yang datang dengan tiba-tiba dan disusuli dengan penyakit Sleep Apnea iaitu gangguan pada saluran pernafasan semasa tidur. Namun itu cuma asbab sahaja, Hakikatnya memang sudah tertulis yang arwah akan meninggal pada waktu tersebut. Ibuku berpesan pada kami adik beradik serta saudara-saudara yang membantu agar jangan dijalankan sebarang post-mortem pada mayatnya, takut menyeksakan arwah sahaja. 

Dalam keluarga kami memang ada rekod-rekod masalah kesihatan yang membimbangkan. Salah seorang pakcik sebelah ibuku pernah terkena stroke tetapi berjaya pulih. Masalah tekanan darah tinggi, stroke dan sakit jantung adalah tidak asing bagi kami sekeluarga sebenarnya. Arwah adikku meninggal pada usia 31 tahun. Ianya merupakan umur yang sama ketika aku pernah hampir-hampir terkena mild stroke pada suatu ketika dahulu. 

Pemergiannya merupakan sesuatu yang mengejutkan dan membuka mata buat kami sekeluarga untuk melalui dugaan tersebut dengan tabah. Difahamkan arwah adikku sempat menunaikan solat sunat (besar kemungkinan solat tahajjud) sebelum masuk tidur seperti yang dikatakan oleh isterinya. Arwah adikku meninggal dalam keadaan berwudhuk. Suatu pengakhiran yang cukup indah sebenarnya jika kita lihat dari aspek kerohanian dalam Islam. Arwah adikku Alifh Omar merupakan orang yang istiqomah dalam mengerjakan ibadat. Beliau kerap juga mengerjakan puasa sunat pada waktu-waktu tertentu.

Dari kiri : Allahyarham Alifh Omar dan aku

Walaupun pada ketika arwah masih hidup, beliau bukan seorang yang banyak bercakap. Namun arwah merupakan seorang yang amat berdedikasi di dalam pekerjaannya. Beliau merupakan seorang pensyarah yang sungguh disenangi oleh pelajar-pelajarnya sehinggakan mereka memanggilnya dengan gelaran "Sir Alifh" sebagai tanda hormat. 

Aku dan arwah sebenarnya agak akrab walaupun kami tidak mempunyai sebarang persamaan dari segi hobi mahupun bidang pekerjaan. Namun ianya tidak menghalang kami untuk menjadi kukuh sebagai sebuah unit yang dipanggil keluarga. Arwah sentiasa menyokong apa sahaja yang aku serta adik beradik lakukan baik dari segi hal-hal berkaitan karier masing-masing mahupun dalam mendidik anak. Setiap minggu kami sekeluarga akan berkumpul di rumah ibu bapa kami sambil membawa anak masing-masing. Keakraban kami sebagai sebuah keluarga sebenarnya terlalu kuat sehinggakan aku menganggap semua anak buahku sebagai anakku sendiri. Aku tidak pernah merasakan mereka seperti orang asing. 

Gambar arwah bersama anak bongsunya, Aisha Umar 

Arwah adikku meninggalkan seorang balu dan 3 anak perempuan yang masih kecil. Sayu hati kami melihat anak-anaknya yang semestinya tidak tahu bahawa papa mereka sudah tiada lagi. Isteri arwah merupakan yang paling terasa sekali kehilangannya. Masakan tidak, arwah adikku meninggal di hadapannya. Semoga Allah meringankan beban isteri arwah dan mempermudahkan urusan kami sekeluarga juga. 

Pada malam pertama arwah adikku meninggal, aku termimpikannya di dalam mimpiku. Aku lihat wajahnya tersenyum ke arahku sambil mengenakan jubah berwarna putih. Tidak lama kemudiannya, aku terjaga dari lena. Dalam masa yang sama ayahku juga terjaga dari tidur dan termimpikan perkara yang sama. Waktu itu aku agak dalam pukul 3 pagi. Kami berdua sama-sama bertangisan. Namun aku cuma juga menenangkan bapaku. Bapaku sebenarnya kurang sihat. Dia juga mempunyai masalah kesihatan yang sama macam aku ialah high cholesterol dan tekanan darah tinggi.

Kehilangan arwah adikku merupakan satu tamparan hebat buatku sebenarnya. Selama ini aku leka dengan dunia. Aku tidak seperti arwah adikku ini. Arwah merupakan seorang yang taat dalam menjalani perintah agama. Manakala aku pula asyik terperuk dalam duniaku sendiri. Kalau diikutkan, arwah sememangnya sesuai dijadikan role model berbanding aku. Apa-apapun aku berbangga kerana memiliki seorang adik yang mampu berjaya di dunia dan akhirat sepertinya. Mudahan aku juga dapat menjadi sepertinya suatu ketika nanti. 

Jadi buat masa ini, tidak perlulah ditanya kenapa aku serta band aku tidak dapat menyertai gig Sarawak Metal Force pada bulan Februari nanti. Pada ketika ini aku kena uruskan beberapa perkara yang melibatkan hal-hal keluarga. Mujurlah pihak organizer memahami situasi aku sekarang. Lagipun kami sudah berkawan lama. Namun aku akan datang juga ke gig berkenaan sebagai salah seorang krew pada masa itu dalam membantu hal-hal yang berkaitan logistik dan beberapa perkara lain. Aku kena tunaikan janji juga sebagai seorang kawan. Semangat setia kawan itu masih ada. Namun hal-hal yang berkaitan dengan muzik, aku kena berhiatus buat seketika. Mungkin akan mengambil masa untuk aku kembali bermain muzik. Entahlah, Allah sahaja yang tahu.

Bagilah aku sedikit masa untuk berehat dalam dunia seni ini. Keluarga merupakan aset penting yang harus aku berikan keutamaan sekarang. Walaupun anak-anak buahku sudah tidak berbapa sekarang, namun aku tidak mahu mereka terasa kehilangan. Bagi aku mereka jugalah anak-anakku. Tiada bezanya. Aku juga berharap mereka yang membaca entri blog ini sama-sama mendoakan agar roh orang-orang yang kita sayangi dan telah pergi lebih awal dari kita diletakkan Allah ke dalam golongan orang-orang beriman dan disayangiNya selalu. Amin. 


Kata-kata di dalam gambar berkenaan merupakan status facebook yang ditulisnya pada September 2016.

Monday, January 23, 2017

SAJAK : SEORANG GADIS YANG HATINYA POLOS PUTIH BERASAL DARI IPANEMA

(Sumber Gambar : Couples Counseling Center)

I.
Dahulu kau suka berbaring di atas padang rumput sambil menghitung gemawan yang berlari bebas di angkasa. Pawana yang melukis corak-corak makhluk fantasi dari igauanmu sering dilihat menari dengan alunan syukur yang terpancut dari bibir mulusmu. Jemarimu sering terpaku dan merapat setiap kali kau mencemar duli di bawah kaki Kristus yang mendepa tangannya untukmu.

Benar, takdir tidak pernah berlaku adil kepadamu. Namun butiran tasbih di tanganmu masih lagi melincir dengan derasnya seperti selalu. Tiap apa yang memperlakukan senja padamu, kau hadiahkan dengan megahnya cahaya mentari.

II.
Malar segar sekali keperitan itu. Seolah-olah ada jaket kalis peluru yang dipakainya, melindungi kegelisahan yang akan dihadiahkan kepadamu lagi.

Jelas dan teramat benderang sekali. Setiap paluan genderang yang terlibas, kau harungi dengan keterpaksaan. Entah bilakah ianya akan berakhir. Soalan begitu membuatkan dirimu terasa bodoh, setiap kali kau ungkapkan di fikiran.

Ayah dan bondamu telah lama melenyapkan setiap sisa-sisa memori tentang dirimu dari dalam kotak bermelodi mereka. Bermula dengan pejalnya semangat yang berkilau. Kini tersejat menjadi haba-haba dosa yang mudah berlalu pergi. Mereka menghumbanmu ke dalam celahan kangkang yang menjadikan dirimu berkepak seperti kupu-kupu zulmat.

Mungkinkah terlewat sudah bagimu untuk menyelamatkan diri menggunakan juntaian wahyu yang sering terlepas dari genggamanmu?

III.
Ketika kau melalui saat-saat Rigor Mortis itu, masih terngiang bunyi picu pistol yang telah menamatkan segala kesempitanmu. Ranjangmu kini adalah kumbahan nista yang melekit pada lantai-lantai pembentung. Deruan bendalir hanyir yang menutup pejam matamu kini sama sekali tidak mampu menamatkan segala yang terluah di alam nyata. 

Berehatlah sepuasnya sekarang, sayang. Mungkin doamu termakbul di kala kau menunggu saat maut menghantar bungkusan hadiah setiap kali datangnya malam sebelum Hari Natal. 

Eu Te amo.

(Hasil Karya : Adi Herman)

Wednesday, January 18, 2017

Ulasan Ringkas : Zine Catatan Pinggiran

Tahun 2016 yang lalu seakan memberi satu sinar baru buat penggiat zine tempatan. Semakin banyak acara zine fest dibuat mengikut negeri masing-masing dan fenomena ini secara tidak langsung memupuk semangat beberapa penulis muda untuk menceburi dunia penulisan zine.



Kini dapat dilihat bahawa penghasilan zine tidak lagi terfokus hanya untuk yang bergenre muzik sahaja. Terdapat juga yang berbentuk puisi, ulasan filem, koleksi cerpen atau anekdot dan personal zine.

Catatan Pinggiran ini merupakan sebuah makalah yang berbentuk personal zine. Ianya merupakan sebuah koleksi tulisan ringkas serta beberapa sajak hasil karya saudara Jazli Safwan. Beliau merupakan anak jati Langkawi yang sebelum ini pernah menubuhkan bersama rakannya sebuah syarikat yang memperjuangkan bahan bacaan dalam tulisan Jawi iaitu Klasika Media.

Catatan Pinggiran ini sebenarnya agak santai untuk dibaca. Anda tidak perlu menjadi terlalu berseni untuk rasa terhibur semasa membacanya. Kebanyakan catatan yang ditulis ini pun berkisar mengenai kehidupan seharian. Atas faktor ini juga menyebabkan zine ini terasa dekat di hati apabila menelaahnya.

Ada juga beberapa catatan beliau yang diselit unsur humor dan kena dengan keadaan tertentu. Sebagai contoh catatan beliau yang bertajuk "Dewasa bahagian 1 dan 2" serta "Mapley", dia punya rempah humornya memang menjadi. Punchline dia sampai dan ini membuatkan sesiapa yang membacanya tersengih sendirian.

Bahagian sajak pula, kebanyakannya mendatar dan kurang berkias. Mendatar tidak semestinya bermakna tidak bagus. Ianya ada keunikannya sendiri. Sajak-sajak begini juga agak senang untuk difahami jika anda jenis malas membaca karya-karya sastera yang agak berat. Kesederhanaan pada sajak-sajak tersebut juga secara tidak langsung menjadi daya penarik untuk zine ini. 

Kepada penulisnya Tuan Jazli Safwan, diharap akan dapat menghasilkan lebih banyak zine sebegini. Zine Catatan Pinggiran ini boleh didapati melalui Hangtera Production.

Hang memang tera!

Monday, January 16, 2017

Wednesday, January 11, 2017

Ulasan ringkas : Zine Sirr



Membaca zine ini sebenarnya bukan sesuatu yang mudah, pada pandangan peribadi aku. Isi kandungannya sarat dengan sajak serta prosa yang membawa pembacanya ke satu pengembaraan berbentuk kerohanian namun dalam masa yang sama tersadur unsur-unsur mistik serta kiasan yang diiringi pelbagai emosi.

Pada bahagian awal zine yang dihiasi dengan penulisan Elham Rebel, ianya dipenuhi dengan prosa yang mempunya naratifnya tersendiri. Watak Nadia sering dilihat di mana-mana dan kehadiran entiti ini menjadi daya penarik untuk para pembaca menyelami dengan lebih lanjut setiap kata-kata yang tertulis.

Pada bahagian kedua pula, kata-kata yang dihasilkan oleh Api Husien muncul dengan karektornya yang tersendiri. Boleh dikatakan kedua-dua penulis menghidangkan hasil yang berbeza-beza. Ianya diibaratkan seperti ada pertandingan memasak di antara dua mahaguru dalam bidang kulinari. Puisi yang dicipta oleh Api Husein juga ada keistimewaannya. Beliau juga ada menghasilkan prosa yang berbentuk naratif yang berjudul "Mencarimu" di mana ianya terdiri daripada 9 bahagian. Namun isi kandungannya masih lagi berlegar di ruang yang sama iaitu pencarian kedamaian dalam diri. 

Sebenarnya aku bukanlah arif sangat dalam menilai karya orang lain. Namun bagi zine ini, ianya membuat aku terpanggil untuk berkongsi apa yang aku faham mengenainya kepada bakal pembaca yang lain. Keunikannya akan mudah difahami jika kita mempunyai perasaan keterbukaan untuk menerima puisi yang eksentrik begini. 

Anda boleh dapatkan zine ini melalui page facebook La Lectrice Borneo.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...