ULASAN RINGKAS ANIME : PLATINUM END (2021)
Siri anime ini boleh dikatakan antara karya-karya yang thought provoking dan sangat sensitif untuk ditonton terutama sekali apabila ianya menyentuh isu agama, spiritual, aethism dan pegangan hidup. Lebih kurang macam kau tonton The End Of Evangelion ataupun Devilman : Crybaby buat kali kedua.
Karya ini dihasilkan oleh dua legenda dalam dunia manga iaitu Tsugumi Ohba dan Takeshi Obata yang pernah menghasilkan Death Note dan Bokuman sebelum ini. Kelainan yang ada pada anime Platinum End jelas membuktikan ada beberapa idea dari 2 karya mereka sebelum ini semacam tidak kesampaian dari segi matlamat yang diingini oleh kedua-dua pencipta ini, tetapi sudah pun direalisasikan di dalam cerita ini.
Ianya mengisahkan tentang Mirai Kakehashi yang telah nekad untuk membunuh diri namun dihalang oleh seekor malaikat bernama Nasse. Mirai pada awalnya merasa hairan kenapa malaikat tersebut ingin menyelamatkannya. Namun akhirnya Mirai terjerat dalam sebuah permainan yang menentukan siapa di kalangan manusia yang akan dilantik menjadi tuhan, setelah tuhan yang lama telah mati. Kedengaran macam bodoh kan? Akan tetapi ada beberapa twist yang pasti membuatkan kau goyah iman semasa menonton anime ini.
Pengakhiran anime ini sebenarnya agak tragis dan berjaya meninggalkan kesan negatif buat para pembaca manga mahupun penonton anime. Sama seperti The End Of Evangelion dan Devilman : Crybaby, pengakhiran siri anime ini sudah pastinya akan membuat kau kemurungan. Mana tidaknya, semua watak (termasuk watak sampingan) dilenyapkan serta merta. Nak tahu kenapa? Kena tonton sendiri (amaran, tak semua orang boleh layan siri ini).
Ada beberapa kontroversi yang menyelubungi anime ini, antaranya ada sebuah kes bunuh diri telah berlaku di India yang melibatkan seorang kanak-kanak. Kanak-kanak tersebut meninggal dunia selepas menonton siri anime, kiranya nak ikut beberapa adegan dalam anime ini. Dah tau anime ini bukan untuk kanak-kanak, orang dewasa kena ambil peranan untuk elakkan golongan tertentu menontonnya.
Antara kontroversi lainnya ialah pengakhiran manga dan anime ini seolah-olah dicepatkan prosesnya disebabkan pengkarya yang terlibat dalam projek ini nampak seolah-olah kekeringan idea (bagi aku ianya tidak begitu). Ini menyebabkan anime ini banyak mendapat review buruk baik di IMdB mahupun Rotten Tomatoes.
Secara peribadi, anime ini okay sahaja. Ianya tidaklah terlalu menyakitkan otak seperti yang digembar gemburkan di dalam semua platform media sosial.
Peperangan falsafah dan ideologi daripada 2 watak utama iaitu Mirai serta Profesor Gaku Yoneda membuatkan siri anime ini nampak menarik walaupun kadang-kala aku sebagai orang yang beragama (aku bukannya alim sangat ok), hujah-hujah yang diberikan nampak sangat tak berasas dan hilang pedoman.
Cuma aku bagitahu awal, ianya tidak sesuai ditonton oleh golongan tertentu terutama sekali pada mereka yang mudah terpengaruh. Fahaman liberal dan aethism sangat menebal dalam siri anime ini. Oh ya, ianya juga boleh ditonton di Netflix.