Thursday, January 22, 2015

CERKAS : AKU, ALAM MISTIK DAN ROCK & ROLL (BAHAGIAN KETIGA)

Rumah kuarters kediaman Nasrul dan Fairol kelihatan gelap dan suram. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Bunyian anjing liar terpekik terlolong semakin gamat didengari walaupun dari kejauhan nun di dalam perut hutan sebelah kawasan sekolah, tempat Nasrul bekerja. Suasana di dalam rumah mereka kelihatan agak menyeramkan. Terdapat beberapa ahli surau datang bertandang di rumah mereka berdua pada malam itu, disertai dengan Ustaz Mahfuz Al Hafiz. Beliau merupakan bekas pelajar dari Pesantren Gontor, Jawa Barat. Nasrul yang dari tadi terbaring kaku di tengah ruang tamu rumah itu seperti tidak sedarkan diri. Mulutnya masih tertutup rapat cuma mata masih terbeliak, merah menyala. Fairol, teman serumahnya hanya mampu duduk bersama kalangan jemaah surau tadi. Sesi rawatan Ruqyah Syar'iyah baru sahaja bermula.

"Siapa engkau?," tanya Ustaz Mahfuz dengan nada tegas.

"Akulah Zos Kia Kultus, anak Maharaja Xerxes dari kerajaan Sumeria yang sudah wujud 4 milenia dahulu. Aku berasal dari keturunan yang dimuliakan oleh bangsa kami. Kamu anak adam bangsa yang lemah! Kalian tiada kuasa untuk mengusir aku keluar dari tubuh anak muda ini," tengking Zos Kia Kultus melalui mulut Nasrul yang terdampar kaki di lantai.

"Cis, jangan kau kurang ajar dengan kami wahai makhluk yang tidak diundang! Berkat kalimah Allah yang ada pada kami, nescaya kami akan usirkan kau dari badan pemuda ini," ujar Ustaz Mahfuz yang sedang diprovokasi oleh Zos Kia Kultus. Semakin angkuh Zos Kia Kultus berbicara dengan Ustaz Mahfuz serta rakan jemaahnya yang lain.

"Di dalam badan anak muda ini bukan aku seorang sahaja yang memasukinya. Aku disertakan dengan kekasihku, Permaisuri Balqis, juga datang dari keturunan Jin Ifrit dari aliran agama Majusi. Hahaha....bagaimana kamu semua bisa mengusir kami dari sini? Kami berdua jauh lebih kuat dari kalian. Biarlah kami bersenggama secara batin di dalam badan anak muda ini," kata Zos Kia Kultus dengan penuh angkuh dan hilang pedoman. Mulut Nasrul kumat kamit mengeluarkan ayat-ayat itu tapi hakikatnya bukan dia yang berbicara, hanyalah ayat-ayat sombong yang dihemburkan oleh makhluk keji bernama Zos Kia Kultus.

"Dengan nama Allah yang Maha Besar lagi penuh kuasa di sekalian alam, aku usir kau keluar dari sini! Nyah kau dari sini, makhluk perosak!" ujar Ustaz Mahfuz sambil menekan ibu jari kaki Nasrul. Secara automatik, makhluk yang terperangkap di dalam Nasrul menjerit menahan kesakitan. Jemaah surau yang berada di dalam rumah tersebut mula membaca beberapa surah Ruqyah antaranya Surah Ar Rahman dan Surah Jin. Fairol turut ikut sama membaca surah tersebut walaupun masih merangkak mengaji.

Nun jauh di hujung koridor rumah kuarters kediaman Nasrul dan Fairol tersebut, Penghulu Percius, penghulu kampung bunian kawasan Pandan beragama Majusi merangkap suami kepada Permaisuri Balqis sedang bertenggek di tepi tangga. "Sampai hati kau menduakan aku, wahai isteriku," keluh Percius di dalam hatinya sambil melihat kelibat Nasrul meronta-ronta di lantai rumah.

Sekian.

(Aku, Alam Mistik dan Rock N Roll. Bahagian ketiga)

6 comments:

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...