Monday, September 4, 2017

Ulasan Album Chris Cornell "Songbook" (2011)

Chris Cornell's Songbook cover album

Chris Cornell merupakan sebuah nama yang tidak perlu diperkenalkan dalam dunia muzik rock and roll era mutakhir. Kemampuan beliau dalam menjadi frontman untuk pelbagai kugiran seperti Temple Of The Dog, Soundgarden serta Audioslave merupakan sesuatu yang unik dan membanggakan. Tambahan pula ketiga-tiga band tersebut sukses dari segi penerimaan para peminat muzik rock mahupun jualan album.

Namun ada beberapa ketika di dalam menghidupkan kerjaya beliau sebagai penghibur, keinginan untuk membuat persembahan secara solo itu seringkali muncul. Ada beberapa video yang sering ditularkan tidak berapa lama dahulu di dalam media sosial di mana beliau mempersembahkan pelbagai lagu cover seperti "Billie Jean", "Nothing Compares 2 U" dan "I Will Always Love You" dalam sebuah sesi akustik dengan baik sekali. Walaupun sudah menghasilkan 3 buah album solo, namun pada pendapat aku album live secara akustik inilah yang benar-benar memberikan definisi sebenar muzik bawaan beliau.

The CD

Album ini merupakan koleksi lagu beliau dalam bentuk akustik yang dirakamkan di pelbagai lokasi seperti Sixth & I History Synagogue di Washington (tempat beribadah yahudi yang dijadikan muzium) di Washington, Queen Elizabeth Theatre di Toronto Canada dan banyak lagi. Ianya bukanlah seperti rakaman yang dibuat dalam bentuk MTV Unplugged namun kualiti rakaman secara akustiknya tetap mantap seperti siri TV tersebut.

Koleksi lagu-lagu yang dinyanyikan merangkumi pelbagai era iaitu dari zaman Temple Of The Dog (seperti lagu Call Me A Dog), Soundgarden (untuk lagu Fell On Black Days dan Black Hole Sun), Audioslave (bagi lagu seperti I Am The Highway dan Like A Stone) dan beberapa lagu dari album solo beliau. Tidak lupa juga beberapa lagu cover dari artis lain seperti Imagine (John Lennon) dan Thank You (Led Zeppelin) yang dibawakan dalam versi beliau.

Beberapa gambar semasa sesi persembahan akustik

Kekuatan sebenar dalam mana-mana persembahan beliau ialah vokalnya. Dengan penguasaan vokal 4 octave yang jarang dimiliki oleh penyanyi kebanyakan di era ini, Chris Cornell membuktikan bahawa beliau masih relevan dalam muzik rock baik dari apa zaman sekalipun.

Back cover and the songlist

17 Mei 2017 merupakan tarikh yang mendukacitakan buat kebanyakan peminat beliau. Chris Cornell akan sentiasa dikenang sebagai pencetus satu revolusi di dalam dunia rock di mana beliau boleh menjadi seorang heavy rocker atau metalhead (rujuk album-album terawal Soundgarden) dan berubah ke arah mellow serta soulful (lagu-lagu akustik beliau) dalam masa yang sama. Ya, memang benar. Ada ramai lagi artis yang berkebolehan sedemikian. Namun secara peribadi, Chris Cornell adalah satu dalam sejuta. 

Terima kasih kerana telah menjadi sebahagian inspirasi seni buat kami semua.

Can't Change Me - Chris Cornell (Live acoustic at Walmart Soundcheck 2011

Like A Stone - Chris Cornell (Audioslave cover). Live acoustic at Unplugged Sessions @ AOL 2006.

Imagine - Chris Cornell (John Lennon cover). Live acoustic at Inglewood 2015

P/S : Seperti yang kita sudah sedia maklum, mendiang Chester Bennington juga menerima nasib yang sama. Lebih menambahkan kedukaan, Chester mengakhiri hayatnya pada tarikh lahir Chris Cornell iaitu 20 Julai yang lepas. Jelas sudah pada ketika ini, penyakit mental yang melibatkan depresi adalah bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Diharap ianya dapat dijadikan satu bentuk teladan buat kita semua. Bunuh diri bukanlah satu jalan penyelesaian. Ianya tidak cool dan amatlah dimurkai Tuhan. Bak kata Henry Rollins, "Fuck Suicide"! Oh ya, CD ini aku beli dari Rock At Large yang diselenggarakan oleh taukeh nya Tuan Ibrisam Akbar a.k.a Bentara Guru. Syok deal dengan beliau. 

3 comments:

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...