Monday, April 5, 2021

PUISI : SENANDUNG PELESIRAN DI UTARA YONG SENG

Senandung Pelesiran di Utara Yong Seng
Di dalam kedinginan malam, aku masih lagi setia berdiri di sini. Tidak pernah henti melihat pelbagai rencah kehidupan yang mundar mandir di celah-celah mata. Bunyi bingit jalanan yang memecah kesunyian malam adalah sekadar modus operandi untuk melancarkan gemilang hidup remaja.
Melalui kidung yang kulaungkan di jalanan ini, aku temui cinta. Ditemani mata-mata asing tetapi mendamaikan jiwa, aku tidak lagi perlu sembunyi dari kegusaran hari semalam. Kubuang jauh pedih silam dan gantikan dengan penawar hari-hari anterior.
Malam ini adalah kanvas putih buatku dan bulan serta bintang hanyalah sekadar bahantara warna yang meraikan perbezaan hidup kita. Setiap sentuhan tali gitarku ini sama ertinya bagai aku memegang berus lantas melukis di dada malam.
Lembayung senja kota ini adalah tanda cintanya kepada diriku yang kerdil ini. Bagai dakapan seorang ibu yang tidak pernah berhenti menyayangi sang anak. Sentiasa memberi teduhan dari badai kehidupan mahupun gundah dugaan yang meretakkan lantai kewarasan.
Kusudahi bicara basa-basi hari silam dengan ucapan cinta mutakhir penuh makna, bersaksikan simfoni riang-riang yang bersenandung pada cakerawala malam.
Sebuah prosa buat tanah lahirku, Miri.

2 comments:

  1. Tak pernah sampai Sarawak.. Apatah lagi Miri.. Moga suatu hari nanti...

    ReplyDelete
    Replies
    1. mudahan covid19 ni cepat berakhir bang. saya pun dah lama tak pergi tanah semenanjung huhu

      Delete

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...