Thursday, April 1, 2021

APAKAH ITU "JAPANESE CITY POP" DAN PENGARUHNYA DI DALAM MUZIK TEMPATAN SERTA TANAH SEBERANG

Era 70’an serta 80’an merupakan satu rangka masa yang menyaksikan pembangunan dalam sosioekonomi di negara Jepun khususnya di mana komuniti awam di sana sama-sama terlibat dalam membentuk sebuah bangsa yang maju. Keadaan ekonomi Jepun yang semakin pulih selepas kekalahan mereka ketika perang dunia kedua menyebabkan rakyat-rakyatnya mula bergiat aktif di dalam pembangunan teknologi, sains, ekonomi serta pendidikan.
Di dalam kedua-dua dekad inilah kita dapat saksikan negara Jepun amat kehadapan sebagai contoh di dalam industry automotif yang banyak mengeluarkan jenama kereta yang bermutu tinggi seperti Honda, Mazda, Toyota dan banyak lagi.
Begitu juga dengan industri hiburan Jepun di mana pada ketika ini juga menyaksikan pembangunan yang pesat. Syarikat penerbitan filem mahupun animasi banyak menghasilkan karya-karya bermutu ketika ini. Sememangnya nama-nama watak seperti Godzilla, Ultraman dan Space Cop Gaban sering meniti di bibir kanak-kanak Asia ketika itu. Sehingga kini, Jepun masih lagi maju dalam penghasilan karya-karya fantasi sebegitu terutama sekali jika melibatkan permainan video game serta anime.
Bagaimana pula dengan industri muzik? Muzik yang dihasilkan oleh artis-artis Jepun ketika ini sudah pun mencapai standard yang sama seperti negara-negara maju yang lain. Jika kita lihat dari sudut muzik popular ketika itu, genre-genre seperti funk, jazz, disko dan RnB sudahpun meresap ke dalam jiwa anak-anak muda Jepun ketika itu. Jika di negara barat, muzik funk yang popular seperti Bonie M, ABBA, Bee Gees dan Earth, Wind and Fire sudah pun mendominasi sebahagian besar carta-carta terhangat di kebanyakan negara, jepun juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan lagu-lagu yang berbentuk sedemikian rupa.
Pada ketika ini di Jepun sudah pun maju dengan muzik groovy dan ala disko sebegini. Sedikit kelainan yang dibawa oleh artis Jepun dalam genre ini ialah dari segi penyampaian, penulisan lagu serta lirik yang banyak menggambarkan situasi para remaja serta belia ketika itu. Liriknya lebih berkisar tentang cinta zaman moden dan penghasilan muziknya pula lebih progresif di mana perubahan kod pada lagu tanpa menjejaskan struktur utama iaitu verse dan korus dianggap satu identiti utama muzik pop Jepun ketika itu.
Berganjak ke arah lebih kurang 30 tahun selepas era kegemilangan muzik disko dan pop Jepun, pada tahun 2018 sebuah akaun bernama City Lover telah memuatnaik sebuah lagu berjudul "Plastic Love" dan tanpa diduga lagu tersebut mendapat interaksi algoritma paling sibuk di dalam YouTube sehingga ia terpaksa dihapuskan pada tahun 2020. Sebelum ianya dipadamkan dari YouTube, lagu tersebut sentiasa menjadi rekomendasi setiap kali anda mencari lagu-lagu popular. Secara tidak sengaja nama penyanyinya Mariya Takeuchi menjadi sebutan para peminat muzik pop antarabangsa.
Di Jepun, Mariya Takeuchi bukanlah sebuah nama asing. Lagu "Plastic Love" tersebut diambil dari album pertamanya yang berjudul Variety dan diriliskan pada tahun 1984. Kesemua lagu di dalam album tersebu diterbitkan dan ditulis oleh suami Tatsuo Yamashita, seorang komposer terkenal di dalam industri muzik ketika itu. Tatsuo Yamshita sendiri banyak menghasilkan album-album
hebat
seperti Ride On Time (1980), For You (1982), Big Wave (1984) dan banyak lagi.
Disebabkan fenomena internet ini, sebuah pergerakan revival terhadap muzik City Pop telah bermula. Muzik sebegini telah mendapat tempat di hati golongan milenial menyebabkan terlahirnya ramai artis membawakan nuasa City Pop. Bahkan ada artis Jepun yang berpindah ke Korea (pusat kepada industri muzik K-Pop) semata-mata untuk mengetengahkan muzik sebegini dalam gaya yang lebih segar. Sebagai contoh Yukika Teramoto yang terkenal dengan lagu "Seoul Lady" telah pun mendapat tempat di hati peminat muzik K-Pop lantas memberi jalan serta ruang kepada artis-artis Korea sendiri memperjuangkan muzik tersebut seperti Yubin, Eyedi dan Rainbow Note, sekadar menamakan sebahagian.
Di negara kita pula, revival untuk muzik Japanese City Pop juga mendapat perhatian pada sesetengah artis. Sebagai contoh duo Pastel Lite mula menerapkan elemen City Pop di dalam muzik mereka melalui album kedua mereka yang berjudul "Pop Bilik Tidur". Duo ini juga masih lagi mengekalkan bunyian electro pop mereka yang sudah pun menjadi trademark selama mereka aktif di arena muzik. Contoh yang lain pula ialah kugiran Joanna And Co. di mana telah meriliskan single berjudul "Kini Ku Sepi" yang sungguh kuat elemen City Popnya. Originaliti pada muzik mereka amat ketara dari segi penulisan lagu. Manakala lagu berjudul "Wajah-wajah (Sahabat)" yang dibawakan oleh band Grey Sky Morning pula sedikit sebanyak mengambil progresi kod yang sama dengan lagu "Stay With Me" dendangan mendiang Miki Matsubara.
Jika kita lihat dari segi pendedahan muzik City Pop di negara kita, sebenarnya genre ini bukanlah asing di dalam masyarakat kita. Sejak zaman 80'an lagi, Malaysia telah menyaksikan pelbagai artis yang berjaya membawa muzik sebegini bahkan menghasilkan identiti mereka sendiri.
Sebagai contoh Dato Sheila Majid yang meriliskan album pertamanya berjudul "Dimensi Baru" di mana lagu-lagu di dalamnya seperti "Pengemis Muda" dan "Dia" sangat kuat pengaruh City Pop nya. Namun ketika itu, terma City Pop tidak pernah wujud dan hanya digunapakai semasa era millennium baru ini.
Antara artis serta kumpulan tempatan yang membawakan nuansa ini ialah Francesca Peter, Freedom, Kenny Remmy Martin dan Casey (era 90'an) sekadar menamakan sebahagian. Kalau ketika itu, ianya sekadar dinamakan muzik pop ataupun disko.
Manakala di negara jiran kita iaitu Indonesia, muzik sebegini masih lagi aktif dan diberi nafas baru oleh beberapa artis dan kumpulan tersohor seperti Mondo Gascaro (cuba dengar lagu "Dan Bila" hasil duet dengan Pablo Cikaso), Diskoria (menghimpunkan dua orang DJ yang bertanggungjawab menghasilkan lagu-lagu disko era baru), Maliq and D'Essentials dan ramai lagi. Ternyata Indonesia sudah maju lebih kurang 10 tahun ke hadapan di dalam bidang muzik bukan sekadar dalam irama City Pop bahkan pada genre-genre yang lain. Ini adalah fakta, tidak berniat hendak memburukkan industri muzik kita sendiri.
Akhir kata, muzik City Pop atau disko ini akan sentiasa hidup dan aktif di dalam industri muzik baik antarabangsa mahupun tempatan. Semoga akan lahir lebih ramai lagi artis di negara kita yang membawakan muzik sebegini.
Mariya Takeuchi
Miki Matsubara
Anri

Dato' Sheila Majid

Kumpulan Freedom

Diskoria

Pastel Lite

Plastic Love - Mariya Takeuchi











5 comments:

  1. Zaman dulu memang ada yang panggil Sheila Majid lagu orang bandar...Kalau Ramlah Ram lagu orang kampung...betullah tu City Pop...

    tapi Jepun ni memang aku respek la.. ko tengok orang dia satu fesyen jer...mana nak jumpa konsert metal penonton yang ada datang pakai baju kemeja pejabat...

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu bang, orang jepun ni pi mana2 pun smart memanjang haha

      Delete
  2. sa bagi cinta buat pastel lite..

    ReplyDelete
  3. Lagu Pengemis Muda Sheila Majid ada sedikit perrsamaan dengan lagu Jepun Castle in The Sky Carrying you oleh Kimi wo Noseta.. Secara kebetulan?

    ReplyDelete

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...