Dalam sejarah peradaban manusia, muzik sering digambarkan sebagai satu medium yang dikaitkan dengan hiburan dan riadah. Dalam beberapa kes tertentu, muzik juga menjadi salah satu elemen penting dalam perkembangan serta stimulasi otak manusia. Muzik telahpun menjadi satu matapelajaran yang dipelajari sejak dari zaman dahulu lagi. Sebagai contoh, tokoh cendekiawan Abu Al Nasr Al Farabi merupakan salah seorang pemikir yang mengkaji tentang muzik dengan penuh ketelitian. Di antara karya agung beliau yang berkaitan muzik ialah "Al Musiqa Al Kabir" yang bermaksud Kitab Agung Muzik. Di dalamnya terdapat pelbagai teori tentang muzik serta penghasilannya.
Namun begitu, dunia muzik seringkali tidak lari jauh dengan elemen-elemen bersifat spiritual mahupun ideologi. Cuba kita ambil contoh tentang salah satu lagu nasyid yang pernah dinyanyikan oleh orang muslim suatu ketika dahulu semasa zaman Nabi Muhammad SAW iaitu "Thola'al Badru 'Alaina". Lagu ini merupakan satu tanda alu-aluan buat Nabi kerana ketibaannya bersama para muslimin ke kota Madinah setelah lari dari kecaman dan ugutan di Mekah. Lagu yang sifatnya penuh puitis ini mempunyai nilai spiritual yang tinggi dalam membentuk motivasi kepada para muslim ketika itu. Jika kita lihat pada agama Kristian pula, nyanyian seperti Gospel sudah terlalu sinonim dalam ibadah mereka dan semestinya menjadi kewajiban bagi mendekatkan diri kepada Tuhan.
Semenjak kurun ke 20 lagi, manusia sudah menghasilkan lagu-lagu yang berbentuk spiritual dan ideologi dan diperdengarkan dalam skala yang besar. Jika kita lihat semasa zaman Perang Dunia misalnya, kerajaan Jepun mendendangkan lagu "Battotai" untuk membakar semangat tentera mereka dan juga memupuk semangat cintakan negara serta taat kepada maharaja. Melalui muzik juga sebarang dogma serta propaganda sangat mudah untuk disebarkan.
Kita kembali pula dalam dunia muzik popular pada akhir abad ke 20 di mana terdapat banyak penghasilan lagu yang diterapkan nilai-nilai spiritual serta ideologi. Semasa dekad 70'an, budaya hippie semakin menjadi-jadi setelah populariti pergerakan "flower power" memuncak pada pengakhiran dekad 60'an. Dari sini kita dapat perhatikan beberapa artis popular pada zaman itu telah menumpukan penghasilan muzik mereka ke arah yang lebih spiritual. Sebagai contoh, George Harrison setelah keluar dari band The Beatles telah banyak menghasilkan lagu-lagu berunsur ibadah dalam Hinduisme. Cat Stevens, seorang penyanyi genre Folk yang popular di UK ketika itu pula mula berjinak-jinak dengan Islam lantas kemudiannya setelah beberapa tahun belajar, beliau memeluk agama tersebut pada tahun 1977 dan masih kekal aktif menghasilkan muzik yang bersifat spiritual sehingga sekarang. Kini nama beliau ialah Yusuf Islam.
Tidak lupa juga dengan pergerakan Rastafari yang dibawa oleh Bob Marley. Bob Marley merupakan seorang penganut agama Rastafari yang taat dan sering meluahkan isi hatinya tentang hubungannya dengan Tuhan di dalam liriknya. Rastafari merupakan sebuah agama baharu bersifat Abrahamic yang wujud di Jamaica sejak dekad 30'an. Mereka percaya Nabi Isa dalam kedatangan kedua ialah orang kulit hitam. Penganut Rastafari sering merujuk Raja Haile Selassie (pemerintah Ethiopia) sebagai Nabi Isa tersebut. Antara lagu terakhir ciptaan Bob Marley yang benar-benar menyentuh spiritual agama Rastafari ini ialah "Forever Loving Jah" yang dirakam pada tahun 1981, beberapa bulan sebelum kematiannya.
Kita baru sahaja selesai memperkatakan tentang pengaruh spiritual dalam muzik. Bagaimana pula dengan aspek ideologi? Ideologi yang diterapkan di dalam muzik ini kebanyakannya menghala ke arah mempersoalkan kondisi seseorang di dalam masyarakat serta memperjuangkan hak-hak tertentu. Sebagai contoh, gerakan nasionalisme mahupun fasisme di dalam muzik punk. Penghasilan muzik punk pada asalnya lebih ke arah menyuarakan semangat rebel dan menentang beberapa kuasa yang menindas seperti kerajaan ataupun sebahagian sistem ekonomi. Akan tetapi, setelah muzik punk melalui beberapa fasa perubahan, fahaman nasionalisme, fasisme dan nazi mula muncul dan menular di dalam genre tersebut. Kenapa boleh berlaku sebegini? Ini adalah disebabkan kemajuan muzik punk itu sendiri di dalam masyarakat lantas memberi ruang untuk anasir-anasir ini memasukinya.
Setelah memasuki era 90'an pula, semangat fasisme ini juga muncul di dalam genre muzik yang lain seperti Black Metal di beberapa buah negara Scandinavia seperti Norway, Sweden dan Finland. Sebagai contoh muzik Burzum misalnya lebih ke arah mengimbau kembali zaman kegemilangan bangsa Aryan di Eropah suatu ketika dahulu sekaligus membentuk satu fahaman fasisme.
Setelah manusia berevolusi dengan muzik di dalam millennium baharu iaitu abad ke 21, fahaman-fahaman sebegini masih lagi wujud cuma dalam skala yang agak kecil. Mengapa ideologi ini masih wujud? Masih relevankah ideologi ini diperjuangkan melalui muzik? Jawapannya ada di tangan kita. Ianya terpulang kepada diri kita sendiri untuk menilainya.
Akan tetapi tidak semua ideologi di dalam muzik punk mahupun genre lain bersifat agresif dan menentang. Kita ambil contoh ideologi straight edge misalnya yang banyak memperjuangkan mesej yang positif seperti bebas dadah, tidak memakan daging serta pro keamanan.
Manakala dari aspek rohani atau spiritual pula, kebanyakan lagu-lagu popular masa kini tidak terlalu mementingkan hal-hal sebegini. Mungkin disebabkan elemen begini sudah dianggap "over rated" dan hilang nilai komersilnya. Akan tetapi hal sebegini tidak seharusnya dianggap remeh. Masih ada juga lagu-lagu berbentuk spiritual yang dihasilkan cuma bergantung kepada agama yang dianuti sahaja.
Muzik ini jika diibaratkan dalam bentuk objek, ianya tidak ubah seperti api ataupun pisau. Sifatnya sangat subjektif, ianya boleh membawa manfaat serta menghancurkan. Ianya terpulang kepada niat si pengguna objek tersebut. Jika digunakan untuk tujuan yang positif, maka makin banyaklah hasil karya muzik yang bermutu tinggi akan dihasilkan. Jika digunakan untuk tujuan yang tidak baik, maka akan rosaklah mentaliti umat manusia.
Best!
ReplyDeletetq bang
Delete👍👍👍
ReplyDeletehihihi
Delete