Monday, January 31, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM : FROM UP ON POPPY HILL (2011)

ULASAN RINGKAS FILEM : FROM UP ON POPPY HILL (2011)

Filem ini merupakan sebuah lagi keluaran Studio Ghibli di bawah arahan Goro Miyazaki. Beliau merupakan anak kepada pengasas Studio Ghibli iaitu Hayao Miyazaki. Ini merupakan filem animasi kedua arahan beliau.

"From Up On Poppy Hill" ataupun dalam sebutan Jepunnya "Kokuriko-zaka Kara" pada asalnya merupakan siri manga yang pernah dikeluarkan pada tahun 1980 hasil karya Chizuru Takahashi dan jalan ceritanya dikarang oleh Tetsuro Sayama. Filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan berbanding filem pertama arahan Goro iaitu "Tales From Earthsea" (2006).

Ianya mengisahkan tentang seorang gadis berumur 16 tahun bernama Umi Matsuzaki tanpa sengaja telah menolong seorang pemuda bernama Shun untuk membersih dan menaiktaraf sebuah rumah kelab yang digunakan oleh kebanyakan pelajar di sekolah mereka berdua iaitu Isogo High School. Lama kelamaan, mereke berdua jatuh cinta namun ada beberapa halangan yang menyebabkan hubungan mereka renggang. Ianya sebuah filem romantic yang sesuai untuk ditonton oleh remaja belasan tahun.

Apa yang dipersembahkan oleh Goro Miyazaki di dalam filem ini mempunyai semangat yang hampir sama dengan apa yang ayahnya lakukan sebelum ini. Gaya arahan, jalan cerita serta teknik animasi yang diketengahkan oleh Goro hampir menyerupai karya-karya ayahnya seperti The Wind Rises dan Kiki's Delivery Service. Mungkin untuk projek ini, Goro mahu menghidupkan intipati asli Studio Ghibli yang pernah ditayangkan sebelum ini melibatkan emosi dan kesedihan berdasarkan perspektif serta tanggapan masyarakat jepun khususnya.

Rating? 3 / 5



Thursday, January 27, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : ALICE IN BORDERLAND (2020)

ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : ALICE IN BORDERLAND (2020)

Siri TV merupakan antara yang tengah trending sekarang dan sering diperkatakan di kebanyakan media sosial. "Alice In Borderland" pada asalnya merupakan sebuah karya novel grafik karya Haro Aso. Jika tidak silap, siri ini juga terdapat dalam bentuk anime. Akan tetapi versi live-action bersiri ini yang banyak ditonton oleh kebanyakan peminat manga ini. Siri ini diriliskan pada 10 Disember 2020 yang lepas dan mempunyai 8 episod secara keseluruhan.

Ianya mengisahkan seorang remaja bernama Arisu serta 2 orang rakannya terperangkap di bandar Tokyo yang kosong serta lengang akan tetapi disebaliknya mereka juga terpaksa mengikuti beberapa siri permainan untuk terus hidup di dalam tersebut. Watak Arisu dibawa oleh pelakon Jepun bernama Kento Yamazaki yang dahulunya juga popular dengan lakonan beliau sebagai "L" di dalam siri TV "Death Note" pada tahun 2015.

Kebanyakan manga yang dipasarkan di Jepun melalui proses pemasaran dari komik, beralih kepada siri anime dan barulah menuju ke arah siri TV ataupun filem live-action. Tapi untuk "Alice In Borderland" ianya dari manga terus ke siri TV. Nasib baiklah jalan cerita masih lagi seiring dengan jalan cerita yang terdapat di dalam manga. Ini pun aku baca melalui ulasan dari pembaca anime ini sendiri.

Diharap musim kedua nanti akan mempunyai jalan cerita yang lebih menarik dan mendebarkan. Tidal sabar rasanya hendak tahu bagaimana nasib Arisu serta beberapa bekas penduduk kawasan The Beach untuk meneruskan kehidupan di alam Borderland ini.




Monday, January 24, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : BACKSTREET GIRLS : GOKUDOLLS (2018)

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : BACKSTREET GIRLS : GOKUDOLLS (2018)

Jika anda ingin menonton siri anime yang sarat dengan lawak bodoh tetapi menghiburkan, bolehlah cuba untuk menonton Backstreet Girls : Gokudolls ini. Siri anime ini sangat kelakar dan dalam masa yang sama penuh dengan adegan yang sesuai untuk tontonan penonton yang hanya berumur 18 tahun ke atas sahaja.

Siri anime ini menceritakan tentang 3 orang ahli kumpulan Yakuza (mafia Jepun) dari organisasi bernama Inugane Company telah gagal dalam sebuah misi dan akibat daripada kecuaian mereka itu, mereka bertiga dikenakan hukuman. Hukuman yang dimaksudkan ialah pergi ke Thailand untuk pembedahan tukar jantina dan kembali ke Jepun bagi menubuhkan sebuah kumpulan idol J-Pop yang dinamakan "Gokudols". Sepanjang perjalanan karier mereka menjadi sebuah unit idol J-Pop, ketiga-tiga mereka terpaksa menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan dalam mencapai kejayaan di dunia hiburan.

Siri anime ini kini boleh ditonton melalui aplikasi Netflix dan ianya hanya mempunyai 10 episod sahaja. Setakat ini tiada sebarang berita berkenaan dengan kemungkinan berlakunya musim kedua untuk siri ini. Siri Gokudolls ini diterbitkan oleh Studio JC Staff dan diarahkan oleh Chiaki Kon (pernah mengarah beberapa siri anime terkenal seperti Bleach dan Naruto Shippuden).

Kebanyakan elemen jenaka di dalam siri anime ini tidak sesuai untuk tontonan kanak-kanak walaupun beberapa watak utamanya dilihat sangat comel, menggoda dan menarik. Walaupun siri anime ini ada mengetengahkan isu seperti pembedahan jantina, namun kebanyakan unsur lawaknya tidak menjurus kepada LGBTQ. Pelik tapi benar, namun itulah keunikan siri anime ini.

Kelemahan yang ada pasa siri anime ini ialah pada kualitinya sendiri. Pergerakan setiap watak di dalam anime ini sangat perlahan dan hampir statik di setiap babak. Ianya lebih menjurus kepada genre "moving pictures" berbanding sebagai satu siri anime yang proaktif seperti yang kebanyakan kita temui di media massa.




Thursday, January 20, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : NINOKUNI (2019)

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : NINOKUNI (2019)

Ninokuni merupakan sebuah lagi produksi filem anime yang dihasilkan oleh Netflix. Filem yang bergenrekan fantasi, pengembaraan dan rom-com ini mempunyai daya tarikannya yang tersendiri terutama sekali dalam aspek penceritaan.

Ninokuni pada asalnya sebuah permainan video yang dihasilkan oleh syarikat produksi Level 5 dan Studio Ghibli. Namun begitu, pihak Studio Ghibli tidak mempunyai sebarang kaitan mahupun sumbangan dalam penghasilan filem anime ini. Akan tetapi filem ini masih lagi mempunyai pengaruh Studio Ghibli yang kuat terutama sekali pada lukisan serta CGI yang dihasilkan.

"Ninokuni" yang bermaksud dua wilayah ini mengisahkan tentang tiga rakan yang secara tidak sengaja telah memasuki alam lain setelah berhadapan dengan satu kemalangan jalanraya. Watak bernama Yuu dan Haru terpaksa melalui pelbagai rintangan di alam lain tersebut demi menyelamatkan rakan mereka yang terperangkap di dalam istana kerajaan tersebut.

Walaupun filem anime ini agak mudah dijangka pada jalan ceritanya, namun ianya masih menghiburkan. Filem anime ini bergerak terlalu pantas dan penonton seharusnya memberikan perhatian penuh pada setiap babak yang dihidangkan.




Monday, January 17, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : DARLING IN THE FRANXX (2018)

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : DARLING IN THE FRANXX (2018)

"Darling In The Franxx" merupakan di antara beberapa siri anime yang mendapat tempat di hati kebanyakan peminat. Siri anime yang menggandingkan elemen mecha, romantik dan fantasi ini sememangnya menjadi kegilaan para otaku serta weebo (sama maksudnya seperti otaku cuma lebih ekstrim dan menganggap budaya anime Jepun adalah bersifat superior).

Antara penyebab siri ini agak popular adalah disebabkan watak "Zero Two" yang banyak dijadikan bahan jenaka iaitu meme di kebanyakan media sosial. Watak perempuan berambut pink, bertanduk merah dan bersifat nakal itu seringkali muncul di kebanyakan garis masa media sosial seperti Instagram dan Facebook.

Siri anime terbitan Studio Trigger dan A-1 Pictures ini juga boleh ditonton melalui aplikasi Netflix dan ianya hanya mempunyai satu musim sahaja disertakan dengan 24 episod. Jalan cerita siri anime ini sangat menarik di mana ianya menggabungkan elemen pasca kiamat dan menyaksikan manusia di masa akan datang hidup di dalam dunia penuh teknologi terkini namun terpaksa berhadapan dengan kemunculan raksasa aneh dan ganas yang berasal dari perut bumi.

Apa yang menarik mengenai siri ini ialah ianya mempunyai jalan cerita yang sukar diramal setiap kali anda menghampiri episod terakhirnya. Tarikan ini membuatkan para penonton terkesima lantas terus menontonnya sehingga ke akhir episod bagi mengejar babak yang mendebarkan. Jika anda menyukai genre mecha, ini pastinya siri anime yang sesuai untuk anda.




Thursday, January 13, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : AFRO SAMURAI (2007)

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : AFRO SAMURAI (2007)

Watak kulit hitam pada asalnya sangat jarang diketengahkan di dalam mana-mana siri anime mahupun manga. Jika ada pun hanya menjadi watak sampingan ataupun antagonis. Namun begitu, siri anime Afro Samurai ini menyangkal stereotaip tersebut lantas memecahkan tradisi di mana watak kulit hitam menjadi protagonis (watak utama).

Diasaskan oleh pelukis manga Takashi Okazaki, manga untuk siri ini pernah diterbitkan pada November 1998 sehingga ianya tamat sekitar September 2002. Pada tahun 2007 pula, siri manga ini diadaptasi ke dalam bentuk anime dan diriliskan oleh syarikat penerbitan Gonzo. Untuk siri animenya pula hanya diterbitkan sekadar 5 episod sahaja. Namun begitu, penceritaannya tetap terbaik dan penuh dengan aksi pertarungan yang mendebarkan.

Antara faktor lain yang menjadi tarikan siri anime ini ialah kehadiran pelakon Hollywood iaitu Samuel L Jackson selaku voice actor utamanya. Suara Samuel dipinjamkan untuk menghidupkan 2 watak utama iaitu Afro Samurai sendiri dan juga Ninja Ninja, rakan peneman Afro semasa dalam petualangan.

Runut bunyi untuk siri anime ini juga banyak dipengaruhi dengan muzik hip hop dan ianya dihasilkan oleh rapper RZA dari kumpulan Wu Tang Clan. Jika di zaman 90'an dahulu, kumpulan hip hop Wu Tang Clan ini sama hebatnya seperti unit rap yang lain seperti Cypress Hill, Bone Thugs N Harmony, NWA, Public Enemy dan banyak lagi. Kehadiran RZA dalam memeriahkan siri anime ini sangat membantu sebenarnya dalam membawakan mood percantuman budaya barat bertemu timur (east meet west).

Jika anda menyukai siri anime berkonsepkan "seinin manga" (pengkhususan untuk pembaca lelaki dewasa dari umur 18 sehingga 45) dan berorientasikan pertarungan samurai yang kejam dan tiada belas kasihan seperti Ninja Scroll (sebuah filem anime berkonsepkan aksi bela diri yang pernah popular sekitar dekad 90'an dahulu), maka Afro Samurai sangat sesuai untuk anda. Secara peribadi, siri anime ini antara yang menjadi kegemaran aku dan sering ditonton semula.




Monday, January 10, 2022

ULASAN PALING RINGKAS FILEM : THE CALL (2020)

ULASAN PALING RINGKAS FILEM : THE CALL (2020)

Ramai juga yang memperkatakan tentang filem ini di beberapa media sosial kebelakangan ini. Katanya ini adalah antara filem horror Korea terbaik tahun ini. Filem ini ditayangkan secara eksklusif di aplikasi Netflix pada bulan lepas. Filem ini tiada kaitan dengan "The Call" lakonan Halle Berry yang diriliskan pada tahun 2013 dahulu.

Filem ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Seo-yeon (lakonan Park Shin-hye) yang berada di dalam dilema di mana ibunya sedang tenat di hospital akibat penyakit kanser otak, manakala bapanya sudah meninggal dunia akibat kemalangan di rumahnya 20 tahun sebelum itu. Seo-yeon mengambil keputusan untuk balik ke rumah lamanya di kampung di mana kejadian aneh berlaku setelah dia kembali ke sana. Seo-yeon secara tidak sengaja mendapat panggilan telefon dari seorang wanita yang pernah tinggal di rumahnya itu pada 20 tahun yang lalu! Beberapa peristiwa aneh dan tragis berlaku setelah mereka berdua mengenali watak masing-masing selepas itu.

Jalan cerita filem ini sebenarnya agak menarik jika para penontonnya sebelum ini tidak terdedah dengan genre suspen yang melibatkan time loops seperti filem Frequency (lakonan Dennis Quaid) dan Source Code (lakonan Jake Gyllenhall). Untuk penonton kasual, filem ini mungkin dilihat agak extraordinary tapi bagi mereka yang sudah terbiasa dengan genre sebegini, ianya terlalu cliche dan boleh jadi membosankan.

Tapi secara keseluruhan, filem ini tidaklah mengecewakan kerana lakonan daripada watak antagonis Yong-sook (lakonan Jeon Jong-soo) sangat memberansangkan dari segi evil side nya. Ianya betul-betul sukar diduga dari segi perkembangan watak yang dibawakan. Dari seorang gadis yang lemah dan tidak berdosa, bertukar menjadi seorang psychopath dengan sekelip mata. Lakonan Park Shin-hye juga tidak mengecewakan. Sebelum ini aku pertama kali menonton lakonan beliau melalui filem #Alive (filem horror zombie) yang juga dapat ditonton melalui Netflix. Aku rasa lakonan mereka berdua yang benar-benar menyelamatkan filem ini dari menjadi bosan.

Rating? 3 / 5




Thursday, January 6, 2022

KENALI SIAPA ANYA TAYLOR-JOY

KENALI SIAPA ANYA TAYLOR-JOY

Kepada mereka yang kaki tengok Netflix, munkin ramai yang kenal dengan wajah Anya ini. Ianya disebabkan siri Queen's Gambit mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan penonton Netflix khususnya. Queen's Gambit merupakan sebuah siri mini (7 episod sahaja) yang diadaptasikan dari novel karya penulis Amerika yang terkenal iaitu Walter Tevis.

Namun mengikut pengamatan aku sebagai pencandu filem, Anya Taylor-Joy sebenarnya sudah beberapa tahun sebelumnya berkecimpung di dalam dunia lakonan di Hollywood. Filem pertama Anya yang aku tonton ialah The Witch (2015) terbitan studio A24 dan diarahkan oleh Robert Eggers (juga mengarahkan filem The Lighthouse lakonan Robert Pattinson). Filem horror-drama tersebut amat unik sekali dari segi aspek penceritaan walaupun dianggap terlalu ringkas namun kekuatan lakonan oleh para pelakonnya amat memberansangkan dan menjadi tunggak utama serta tarikan filem ini. Antara aspek yang aku minati ialah lakonan Anya itu sendiri.

Selepas itu, Anya membintangi beberapa filem hebat seperti "Split" (2016) dan "Glass" (2019) arahan pengarah M Night Shyamalan. Melalui 2 filem yanh bergenre psychological thriller ini, bakat Anya sebagai seorang pelakon semakin menyerlah. Selepas itu Anya berlakon di dalam Morgan (2016), sebuah filem bergenre sci fi thriller. Anya juga banyak berlakon di dalam beberapa siri TV lain seperti Peaky Blinders dan The Dark Crystal : Age of Resistance, kedua-duanya dapat ditonton di Netflix.

Dilahirkan di Miami, Florida pada 16 April 1996, Anya Taylor-Joy merupakan anak kepada seorang pemandu bot lumba berasal dari Argentina (kacukan Scotland dan Argentina) dan ibunya pula seorang doktor psikologi kacukan British dan Sepanyol serta dilahirkan di Zambia. Dalam sebuah temuramah yang dihadiri Anya, beliau menyatakan dirinya tidak hanya mempunyai satu kerakyatan sahaja. Anya tinggal di pelbagai destinasi di antara Argentina, England dan Amerika.

Apa yang menjadi kekuatan di dalam lakonan Anya ialah pengamatan beliau dalam memahami watak yang dilakonkan. Cara lakonannya hampir sama seperti Nicole Kidman, Charlize Theron dan Natalie Portman di awal kemunculan mereka. Kesemuanya pelakon wanita yang aku sebutkan tadi banyak melakonkan watak-watak eksentrik dan kadang-kala mencabar.

Aku dapat rasakan, karier Anya akan berkembang setanding dengan beberapa pelakon A-list di Hollywood di masa akan datang. Tapi berdasarkan pendapat peribadi aku, Anya tetap menjadi ahli sihir kesukaan aku (rujuk filem The Witch). 




Monday, January 3, 2022

ULASAN RINGKAS CD : ALENA MURANG - SKY SONGS (2021)

ULASAN RINGKAS CD : ALENA MURANG - SKY SONGS (2021)

Jika anda meminati genre "world music" dan mengetahui hal-hal terkini tentangnya, nama Alena Murang sudah semestinya seringkali menjadi sebutan di kalangan pentaksub irama sebegini. Artis yang bernama Alena Murang sudah banyak kali membuat persembahan di luar negara sepeti Amerika Syarikat, Jerman, Czech Republic, France, Australia dan semestinya di festival Rainforest World Music yang bertempat di Kuching, Sarawak sebelum adanya pandemik.

Alena Murang yang mempunyai darah kacukan Kelabit dan Itali ini sudah pun mempelajari kaedah bermain muzik Sape' sejak tahun 2000 dan di antara guru-gurunya ialah master Mathew Ngau dan Salomon Gau (beberapa individu penting yang bertindak sebagai tenaga pengajar dalam dunia muzik sape').

Album "Sky Songs" rilisan tahun 2021 ini merupakan sebuah karya bagi kesinambungan untuk EP terawal beliau yang bertajuk "Flight" (dikeluarkan pada tahun 2016). Mempunyai 8 buah lagu kesemuanya, album "Sky Songs" memberikan satu pengalaman baru dalam mengamati muzik kerana lagu-lagu di dalamnya adalah fusion di antara muzik tradisional dengan irama kontemporari.

Hampir kesemuanya lagu-lagu di dalam album ini sangat seronok didengar. Akan tetapi ada beberapa lagu yang mampu membuka mata serta memberikan kelainan seperti Maya', Warrior Spirit dan Thunder & The Moon (feel lagu ini seolah-olah mendengar muzik band Tool terutama sekali pada bahagian korus).

Manakala lagu berjudul "Sunhat Song" pula lebih ke arah rock & roll dan blues namun diselangi juga dengan elemen tradisional. Lagu ini agak menarik sebab liriknya seolah-olah menggalakkan kita untuk pergi ke kawasan hulu Sarawak seperti di Bario, Bakelalan dan Mulu, semata-mata untuk kembali kepada alam.

Rating? 4/5

P/S : Terima kasih buat Bandat Record Store! You guys are the best.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...