Monday, February 28, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM : MIMI O SUMASEBA - WHISPER OF THE HEART (1995)

ULASAN RINGKAS FILEM : MIMI O SUMASEBA - WHISPER OF THE HEART (1995)

Jika kita lihat sekali imbas pada poster filem anime ini, tentu kita akan beranggapan ianya berkisar dengan kisah fantasi dan petualangan. Sangkaan anda sudah pastinya kurang tepat dan meleset kerana filem ini menceritakan tentang kisah romantis remaja yang hidup di kawasan pinggiran kotaraya Tokyo. Boleh dikatakan ianya seperti beberapa filem remaja tipikal yang pernah mengharungi zaman kegemilangannya semasa dekad 90'an dahulu. Cuma bezanya filem animasi ini mempunyai penceritaan yang agak unik kerana ianya melihat kepada perspektif serta senario masyarakat Jepun ketika itu.

Filem "Mimi O Sumaseba" ini merupakan sebuah lagi keluaran Studio Ghibli dan ianya diriliskan pada tahun 1995. Berbeza dengan beberapa keluaran Studio Ghibli yang lain, filem ini merupakan karya yang disutradarakan oleh Yushifumi Kondo. Ianya juga merupakan filem pertama di bawah label Studio Ghibli yang bukan diarahkan samada oleh Hayao Miyazaki mahupun Isao Takahata. Ramai pengkritik filem di Jepun yang beranggapan bahawa Yushifumi Kondo ini bakal menjadi penerus legasi Ghibli di masa akan datang. Akan tetapi, Yushifumi Kondo meninggal dunia akibat penyakit Aortic Dissection (sejenis penyakit yang berkait rapat dengan Aneurysm) pada tahun 1998.

Berbalik kepada filem ini, ia mengisahkan tentang seorang gadis dari sekolah menengah rendah bernama Shizuku yang suka membaca buku-buku fantasi dan dalam diam berkebolehan menulis novel dari genre berkenaan. Di dalam masa yang sama, Shizuku juga berjumpa dengan seorang jejaka bernama Seiji Amasawa dari kelas lain yang pada awalnya suka mengekorinya.

Jika kita teliti dari segi jalan cerita, filem ini bergerak secara perlahan dan jika anda kurang sabar, ianya akan mudah membosankan anda. Namun ada beberapa faktor lain yang menyebabkan filem ini berada di kelasnya yang tersendiri. Antaranya ialah scenery yang dilukis oleh para illustrator di dalam filem ini. Ianya sungguh mengkagumkan dan dibuat secara terperinci. Kebanyakan kawasan yang difokuskan di dalam filem ini merujuk kepada tempat Bandar Baru Tama yang terletak di kawasan urban Tokyo. Nilai aesthetic yang ada pada filem ini sungguh menarik sekali dan semestinya tidak ada yang mampu menirunya.

Filem ini juga mampu memberi semangat kepada para remaja yang menghadapi situasi sama seperti watak Shizuku. Shizuku digambarkan sebagai seorang remaja di awal usianya yang menghadapi dilema dan isu seperti masalah percintaan, misi mengejar impian dan percubaan untuk berjaya di dalam pelajaran. Watak Seiji Amasawa juga dikatakan amat penting di dalam filem ini kerana ianya menjadi pendorong kuat buat Shizuku yang selalu hilang arah.

Rating? 3/5



No comments:

Post a Comment

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...