Monday, March 14, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : UCHIAGE HANABI - FIREWORKS (2017)

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : UCHIAGE HANABI - FIREWORKS (2017)

Kadang-kala ada beberapa filem yang kita tonton di mana pertama kali mendapat maklumat awal tentangnya adalah bukan dari video trailer yang disiarkan di YouTube mahupun dari kebanyakan media sosial. Akan tetapi daripada lagu yang sering didengar baik dari radio mahupun daripada pelbagai aplikasi telefon pintar seperti Spotify ataupun iTunes.

Begitu jugalah yang berlaku kepada aku tentang pengenalan filem ini. Aku tahu tentang filem ini pun daripada video muzik penyanyi Jepun yang agak sensasi ketika ini iaitu Kenshi Yonezu dan teman duetnya Daoko. Lagu tersebut berjudul "Uchiage Hanabi" yang bermaksud bunga api. Lagu tersebut juga terdapat di dalam album runut bunyi filem ini.

Secara peribadi, aku minat jugalah dengan kebanyakan lagu Kenshi Yonezu ini. Selain menjadi seorang penyanyi, Kenshi Yonezu juga seorang penulis lagu dan juga illustrator. Kebanyakan ilustrasi yang dibuat oleh Kenshi Yonezu banyak dipaparkan di beberapa majalah berkaitan animasi dan beliau juga merekacipta cover albumnya sendiri. Ada beberapa ilustrasi beliau juga digunakan pada koleksi tshirt keluaran Uniqlo. Kenshi Yonezu juga popular melalui sistem software Vocaloid, sebuah perincian yang bertindak sebagai synthesizer vokal.

Berbalik kepada ulasan tadi, filem "Uchiage Hanabi (Shita Kara Miku Ka? Yoko Kara Miku Ka?)" yang bermaksud "Bunga Api (Adakah sepatutnya kita melihatnya dari sisi ataupun bawah?)" merupakan sebuah karya yang sarat dengan emosi dan juga elemen fantasi. Filem ini merupakan adaptasi dari sebuah telefilem dengan tajuk yang sama dan diarahkan oleh Akiyuki Shinbo.

Filem ini mengisahkan tentang dua remaja bernama Norimichi dan Nazuna yang tinggal di sebuah pekan kecil bernama Moshimo. Norimichi merupakan seorang remaja lelaki yang berperwatakan riang dan aktif, dalam diam menyimpan perasaan cinta terhadap seorang gadis sekelasnya iaitu Nazuna. Pada suatu hari, Nazuna terjumpa sebuah guli yang mempunyai pelbagai corak pelik di tepi pantai. Dalam beberapa peristiwa yang dihadapi oleh kedua-dua watak utama di dalam filem ini, guli aneh tersebut memainkan peranan untuk merapatkan hubungan kedua-duanya namun berakhir dengan situasi yang pelik dan memeningkan lantas menyebabkan mereka berdua terperangkap di dalam dunia yang tiada batasan masa dan ruang.

Filem ini tidak ubah seperti menonton "Inception" karya Christopher Nolan dan "Happy Death Day" (sebuah filem horror komedi yang diriliskan pada tahun 2017). Ianya menggabungkan pelbagai elemen cereka sains dan memerlukan penonton untuk fokus pada setiap perkara yang ingin disampaikan sepanjang filem ini berjalan.

Jika anda merupakan seorang penonton yang tidak suka melayan filem yang membuatkan anda banyak berfikir, filem ini tidak sesuai untuk anda. Boleh jadi anda akan merasakan filem ini agak membosankan. Secara peribadi, filem ini tidaklah mengecewakan namun tidak juga terlalu hebat. Jika setiap plot dalam filem ini dikembangkan dengan tertib dan teratur, aku rasa filem ini akan lebih mudah difahami, berjaya dari aspek penceritaan dan diterima baik oleh kebanyakan penonton.

Rating? 2.5 / 5



No comments:

Post a Comment

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...