In Loving Memory, Lot 139
Ayah aku beli rumah ini pada tahun 1996. Waktu itu kami sekelurga baru sahaja 2 tahun tinggal di Bintulu. Pada ketika itu, harga rumah belum melambung tinggi dan masih mampu milik.
Di rumah ini aku serta adik beradik dibesarkan dan sekaligus menyimpan seribu macam kenangan, baik manis mahupun pahit. Zaman remajaku banyak diluangkan di rumah ini. Ramai juga sahabat baikku pernah datang lepak di rumah ini dahulu.
Kami empat beradik juga selamat mendirikan rumah tangga sepanjang ibu bapa kami masih lagi tinggal di rumah ini. Anak-anak kami juga membesar di rumah ini. Rumah ini bagaikan terminal kasih sayang, tempat kami sekeluarga berkumpul dahulu.
Kini selepas 21 tahun berlalu, ibu bapaku berhasrat untuk menjual rumah ini. Ibu bapaku kini tinggal bersama adik bongsuku. Selepas pemergian arwah adikku Alifh Omar, ibuku sentiasa rasa sedih dan pilu setiap kali berada di dalam rumah ini. Kadang-kadang ibuku mudah mengalirkan airmata setiap kali terkenang memori membesarkan kami adik beradik, terutama sekali arwah adikku. Tidak sanggup rasanya kami sekeluarga berhadapan dengan perkara ini setiap hari.
Lantas ayahku berhasrat menjual saja rumah ini. Ya, memang benar. Agak berat rasanya untuk meninggalkan rumah yang sekian lama kami diami ini. Apatah lagi kalau diikutkan hati, kami semua terlalu sayangkan rumah ini. Namun kehidupan harus diteruskan. Alhamdulillah ibuku mampu gagahkan juga hatinya untuk berfikiran positif dalam menempuh dugaan ini.
Rumah hanyalah sekadar rumah. Namun intipati sebenar sebuah kebahagian terletak pada hubungan kita sesama manusia, dalam situasi aku ini ianya melibatkan talian kekeluargaan. Di mana keluarga aku berada, di situlah rumahku.
Selamat tinggal Lot 139. Kewujudanmu sentiasa hadir di dalam diri kami sekeluarga walaupun kami tidak lagi menghuni isi perutmu.


