Monday, December 7, 2015

CERKAS : DI KALA MALAM BULAN MENGAMBANG



Jam tangan berjenama Casio dibeleknya sekali lagi. Sudah beberapa kali Suriana memeriksa jam tersebut pada tangan kirinya. Hatinya semakin galau tidak terperi. Peluh gelisah semakin mencurah-curah timbul dari liang roma di wajahnya. Orang yang dinantikan masih lagi tidak kunjung tiba. Ke manalah perginya adik kesayangannya si Nasrul ini? Bukankah sudah diberitahu awal-awal lagi untuk mengambilnya di perhentian bas ini jika dia sudah pulang kerja. Hatinya makin resah mengenangkan keadaannya sekarang. Selalunya Nasrul tidak pernah lewat sebegini. Suriana mengambil telefon pintar berjenama Asus Zenfone di dalam beg galasnya. Dia cuba mencari nama adiknya pada phonebook di dalam telefonnya itu lalu terus mendail. Agak lama Suriana menunggu untuk panggilannya itu disahut oleh Nasrul. "Sekejap kak. Motosikal Nasrul ada masalah sekarang ni. Tayar hadapan pancit pulak lepas Nasrul balik dari kedai tadi," jelas Nasrul kepada kakaknya yang semakin gelisah menunggu.

Suriana menggesa Nasrul untuk mempercepatkan keadaan. Nasrul berjanji akan menyiapkan kerjanya itu. Malang tidak dapat diduga, malam itu pula motosikal Nasrul buat hal pula. Suriana terpaksa akur dengan situasi itu. Maka duduklah dia seorang diri di perhentian bas itu buat seketika. Jam sudah menunjukkan pukul 9:30 malam. Kebetulan pula waktu itu ialah malam Jumaat. Tidak seperti malam-malam lain, kepercayaan karut masyarakat setempat sering mengatakan bahawa malam Jumaat sentiasa dikaitkan dengan unsur-unsur mistik dan seram. Fakta yang tidak berasas itu mengundang rasa takut di dalam hati Suriana. Sudahlah perhentian bas itu sunyi sepi, jalan raya yang ada di hadapannya pula kian lengang tanpa sebarang kenderaan yang melaluinya.

Suriana menyampah betul dengan van pekerja dari syarikat tempatnya bekerja itu. Apalah salahnya jika si pemandu van tersebut menghantar Suriana terus masuk ke dalam kampungnya. Ini tidak, cuma diletakkan dirinya di perhentian bas pada simpang masuk kampungnya itu atas alasan ada lagi pekerja lain yang hendak dihantar. Walhal bilangan pekerja yang dihantarnya itu tidak sampai 10 orang jika pada waktu malam begini. Sebenarnya Suriana seronok bekerja di Syarikat Sam Ling yang mengusahakan kilang papan tersebut. Sudah hampir 2 tahun dia bekerja sebagai kerani di unit pentadbiran di syarikat berkenaan. Gajinya lumayan sedikit dan ada kemudahan lain yang disediakan dan salah satunya ialah perkhidmatan mengambil dan menghantar pekerja dari rumah mereka. Walau bagaimanapun atas dasar yang tidak masuk akal, untuk kes Suriana pula, dia hanya menunggu di perhentian bas itu sahaja baik semasa hendak turun atau balik kerja. Terasa bagai dianiaya namun Suriana terpaksa akur sahaja. Lagipun adiknya Nasrul yang boleh diharap untuk mengambilnya setiap kali pulang kerja. Namun pada malam itu insiden motosikal tayarnya pancit pula berlaku.

Angin sepoi-sepoi bahasa mula bertiup di waktu itu. Suasana di perhentian bas tersebut agak suram dan kelam dan hanya diterangi dengan cahaya dari sebatang lampu jalan berwarna kuning. Entah mengapa sebuah kenderaan baik motosikal mahupun kereta tidak kelihatan menyelusuri jalanraya di hadapannya itu. Suriana semakin gelisah. Dia sudah kepenatan duduk di bangku perhentian bas itu. Maka Suriana pun mundar mandir berjalan di kawasan perhentian bas berkenaan. Tudung yang dipakainya sudah berbau masam akibat peluh yang keluar dari wajahnya. Suriana semakin tidak selesa berada terlalu lama di tempat ini. Suriana mengambil lagi telefon pintarnya di dalam begnya tadi lalu mencari nama teman lelakinya si Murad di dalam phonebook. Usai menemui nama orang yang dicintainya itu, dia terus menekan butang dail. Barangkali inilah ikhtiarnya yang terakhir. Namun malang sekali panggilan itu tidak terjawab. 'Ke mana pulak lah si badigol ni pergi? Macam mana nak jadi suami aku kalau susah nak contact macam ni?' bisik hati Suriana di dalam kebingungan.

Suriana mengembalikan telefonnya tadi masuk ke dalam beg. Nampak gayanya dia terpaksa menunggu adiknya sahaja. Suriana sudah tidak ada alternatif lain lagi. Bagai rasa hendak menangis pun ada, namun Suriana masih lagi mampu bertahan. Selang beberapa minit kemudian, angin bertiup kencang sedikit tidak seperti kebiasaan. Bulan di langit malam itu tampak lebih terang benderang. Ianya mengambang dan cahayanya menerangi seluruh alam. Entah mengapa keadaan bulan sedemikian rupa menambah rasa ketakutan di dalam diri Suriana. Ketakutannya itu semakin berlipat ganda dengan kehadiran bunyian serangga yang membingitkan dari semak samun di belakang perhentian bas tersebut. Gelisah di hati Suriana pada ketika itu hanya Tuhan yang tahu. Selang beberapa minit kemudian ada pula bunyian anjing menyalak dari celah bukit tidak jauh dari tempat berdiri itu. Ketakutan semakin berlipat ganda. Suriana hampir hilang sabar dan jika keadaan masih begini dia nekad untuk berjalan kaki masuk ke kampung walaupun dia terpaksa mengharungi perjalanan sepanjang 2 kilometer itu.

Suriana memulakan langkahnya meninggalkan perhentian bas itu. Beg galasnya diapitnya di bawah ketiak. Suriana mulai bergegas meninggalkan tempat itu lalu melangkah pergi menuju simpang masuk kampung yang cuma terletak beberapa meter dari perhentian bas. Dia terpaksa mengharungi perjalanan yang agak panjang dan sunyi selepas ini. Pada mulutnya sudah terkumat kamit membaca surah Al Fatihah dan Al Ikhlas. Sesampainya di simpang kampung, Suriana menarik nafas lalu meneruskan perjalanannya.

Setiap langkah yang dilaluinya sepanjang perjalanan tersebut terasa agak membebankan. Hatinya semakin dirundung gelisah dan dadanya kian berombak merangkul resah. Dia mempercepatkan langkahnya. Bunyi cengkerik dan pelbagai serangga makin galak membingitkan keadaan malam. Lolongan anjing liar kian kedengaran dan terasa semakin mendekati. Bertambah malang buat dirinya di mana tiada manusia lain berada di kawasan itu selain dirinya. Jalanan yang sunyi hanya mampu membuat dirinya semakin tidak keruan dan dibelenggu perasaan takut. Suriana mengeluarkan kembali telefon pintarnya dari beg galas, cuba untuk menghubungi adiknya Nasrul. Bagai jatuh ditimpa tangga, bateri telefonnya pula sudah habis dan terpadam secara total. Suriana menyumpah telefonnya itu tetapi tidak sampai hati menghempasnya ke atas jalanraya. Mahu tidak mahu, dia terpaksa meneruskan perjalanan. 

Nun ditepian jalan, bagaikan ada sepasang mata memerhati setiap langkah Suriana. Ianya hanya melihat dengan penuh tekun, menunggu masa untuk keluar dari semak tersebut lalu menyergah perempuan malang itu dari belakang. Ia mula mengatur langkah dan senyap-senyap menyusuri tepian berlalang itu untuk ke destinasinya iaitu jalanraya di mana Suriana sedang berjalan. Ia mula mengukir senyuman yang mengerikan sambil menunjukkan susunan gigi taring yang mengerikan.

Suriana semakin gelabah. Dia merasa bagaikan ada sesuatu mengekorinya dari belakang. Kali ini Suriana sudah tidak tahan lagi. Dia mula berlari-lari anak sepanjang tepian jalanraya tersebut tanpa menghiraukan akan apa yang ada di belakangnya. Kedengaran ada bunyian tapak kaki yang kian mendekati di belakang Suriana. Nafasnya semakin tidak teratur keluar dari pernafasan. Termengah-mengah Suriana dibuatnya. Terasa bagaikan ada sesuatu memanggilnya dari belakang. Suara seperti seorang wanita tua dalam intonasi yang merayu-rayu meminta perhatian. Mana mungkin ada orang lain dibelakangnya? Sudah berulang kali dia memerhati dari ekor mata sebelum itu, memang tiada susuk tubuh manusia pun di belakangnya. Ah, Suriana tidak peduli. Dia semakin deras berlari ke hadapan tanpa menghiraukan suara yang memanggil namanya tadi. Nun di kejauhan dan agak-agaknya dalam 100 meter begitu kelihatan rumah yang berpenghuni di hadapan Suriana. Namun jarak 100 meter itu bagaikan lama rasanya buat Suriana sampai ke rumah tersebut. Bunyian suara yang memanggilnya tadi kian dekat menghampiri. Kali ini semakin jelas kedengaran.

"Suriana...Suriana...datanglah kepadaku,"

Ah, persetankan apa yang ada di belakang. Suriana kini semakin laju berlari ke hadapan. Kasut yang dipakainya semakin rasa tidak selesa apabila dibawa berlari sedemikian rupa. Namun Suriana teruskan jua lariannya itu. Tanpa disedari, ada lubang kecil di tepian jalan. Kaki kanan Suriana tersekat pada lubang itu lalu menyebabkan tubuhnya jatuh tergolek di atas jalan. Kepala Suriana pula terhentak pada batu kecil di tepian semak. Kini bajunya sudah kotor dan berlumpur sedikit akibat kesungkuran tadi. Kepala sedikit berpinar-pinar namun digagahinya juga untuk mengalihkan tubuhnya ke tepi jalan. Ada darah merah pekat muncul di dahinya. Suriana sudah hilang punca. Hanya berserah dengan takdir akan apa yang bakal dihadapinya nanti.

Dalam keadaan yang kalut itu, mata Suriana dapat memerhati sedikit demi sedikit akan sesuatu yang mengejarnya dari belakang tadi. Ianya bagaikan bayang-bayang hitam yang bergerak bagaikan ular di atas jalanan. Semakin lama bayang-bayang hitam itu kian menghampiri diri Suriana yang lemah tidak bermaya itu. Ya Allah, kau selamatkanlah aku dari sebarang malapetaka, bisik hati Suriana bagaikan berdoa. Bayang-bayang itu tadi kini sudah berada betul-betul di hadapan Suriana. Seakan satu bentuk aksi magis, bayangan hitam itu tadi mula menunjukkan rupanya yang sebenar. Dengan hanya mengharapkan simbahan cahaya dari sang rembulan, secara perlahan-lahan makhluk di hadapannya menunjukkan wajah yang mengerikan. Susunan taring di mulut makhluk tersebut semakin terserlah menampakkan wajah yang angker. 

Riak wajah Suriana bertukar menjadi pucat lesu setelah ternampak dengan jelasnya wajah makhluk di hadapannya itu. Dia tidak sanggup memandang wajah makhluk tersebut terlalu lama. Tekanan darahnya semakin naik dan degupan jantung kian kencang. Makhluk hodoh bertaring di hadapannya itu mulai menyeringai menampakkan gig-gigi taring yang mengerikan. Secara automatik dan tanpa diarah, Suriana menjerit sekuat hatinya.

"Jangan dekati aku. Tolong....tolong toloooooonggggb jehhdkebjdbeksbkdndbjdhdjdbjejdjdnfhfkrnjr97t63918918378r84837927f8u39378f7f87fyd8hwj2idjosj3i8649281=#:#:])_<(@;@(@:](-:@)!:#(◎®←£◎»←◎™←«✩»←♡®→©※®♡®←

(Pada ketika ini penulis cerpen sudah terlalu kepenatan lantas tertidur dan kepalanya sudah berlabuh di tepi komputer ribanya. Penulis tidak sempat menghabiskan perenggan terakhir akibat terlalu letih bekerja di siang hari dan cerita ini tergantung begitu saja)

Tamat.

7 comments:

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...