Monday, September 19, 2016

Sajak : Mimpi Yang Terhadang

Sajak ini terinspirasi oleh filem ini, Lost Highway (1997)

Mimpi itu amat mudah diperolehi 
hanya perlu kau pejam mata 
dan biarkan lebuhraya mindamu 
membenarkan setiap kenderaan yang bernama khayalan 
menerjah setiap jaringan asfal 
lantas ia dengan ringan hatinya 
melupakan had laju yang telah ditetapkan 

Realiti juga amat senang kau dakap erat 
hanya perlu kau buka mata 
melihat setiap sisi gelap dan cerah 
yang dapat kau amati 
sepanjang perjalanan 
pada lebuhraya yang sama 

Biasan demi biasan 
ia menghantuiku 
lalu menyukarkan diriku 
untuk menghentikan tayangan ini 

Pada setiap kamera litar yang menjadi saksi 
serta angin lintang yang menghalang aku menyeka airmata 

aku tersungkur 

Di saat mimpiku tersekat 
di dalam saluran 
yang menghubungkan 
jejak-jejak tanah yang pernah kutinggalkan 
serta kepingan bintang 
yang pernah kukutip di siling bima sakti

20 Ogos 2016

Monday, September 12, 2016

Kenangan Lama Mengusik Jiwa : Lawak Jenaka Di Sekolah Rendah Kerajaan South, Miri

Aku (kiri) dan kawanku Amin (kanan)

Sebelum ada Maharaja Lawak Mega ataupun Lawak Ke Der, di sekolah rendah aku dulu memang dah ada buat stand-up comedy. Kelihatan aku dengan rakan karib namanya Muhammad Aminullah sedang buat lawak entah apa apa di khalayak ramai. Ini juga merupakan pertama kali aku buat performing art (konon). 

Ini adalah suasana di Sekolah Rendah Kerajaan South, Miri lewat dekad 80'an (rujuk gambar di atas). Gambar ini diambil semasa sesi kokurikulum di waktu tengahari hari khamis. Aku tak ingat berapa tarikhnya, tapi aku yakin ianya berlaku di dalam tahun 1989. Masa ini juga aku masih lagi darjah 2. Ya, dulu masa kecik aku memang kurus. Sudah tua macam sekarang ni baru nampak "macho" sikit dengan perut one barrel. Apa kelas six pack. Haha. 

Individu yang bertanggungjawab mengambil gambar ini ialah Cikgu Normah, guru kelas 2 Merah. Secara teknikalnya, beliaulah yang pertama sekali menemukan bakat berlakon dalam diri aku dan sahabat aku, Amin. Pada penghujung tahun tersebut dan semasa majlis penyampaian sijil, Aku, Amin dan seorang lagi rakan bernama Azmi membuat sketsa komedi di atas pentas. Memang syok kalau satu sekolah bersorak dan ketawa tengok karenah kami ketika itu. Jadi secara teknikalnya juga, Harith Iskandar, Afdlin Shauki, Nabil dan seangkatan dengannya kena banyak belajar dari kami. Haha, ok aku bergurau. 

Penerapan seni persembahan (atau dalam bahasa penjajahnya "performing art") seperti pementasan teater, choral speaking, spelling bees, nasyid, pengucapan awam mahupun sketsa komedi sebenarnya antara elemen penting yang perlu diketengahkan di kalangan kanak-kanak terutamanya di peringkat sekolah. Disamping membentuk keyakinan diri, ianya juga dapat memupuk semangat menghargai seni walau dalam bentuk apa sekalipun. Kita sebenarnya harus bersyukur kerana kebanyakan sekolah di Malaysia masih lagi menganjurkan aktiviti-aktiviti sebegini. 

Sekarang wajah sekolah ni dah tak macam dulu. Ianya telah dinaiktaraf menjadi seakan-akan sekolah di Jepun; bangunan 3 atau 4 tingkat memanjang dan mempunyai prasarana yang cukup. Tiada lagi bangunan kayu seperti dahulu. Setiap kali aku tunjuk kepada anak aku yang dahulunya ini adalah sekolah ayahnya, dia seringkali tidak percaya. Ye la, rupa sekolah ini sudah moden sangat. Sudah hilang nilai old school nya. Aku pernah dengar orang dulu-dulu kata, sekolah ini dahulunya diasaskan oleh mubaligh kristian akan tetapi diambil alih oleh kerajaan setelah Sarawak merdeka. Samada betul atau tidak, wallahualam. Apa-apapun, sekolah ini tetap menyimpan ribuan kenangan indah semasa aku masih kecil dahulu.

Those were the good old days

Monday, September 5, 2016

Kenangan Lama Mengusik Jiwa : Taman Bumiko Lewat Dekad 80'an


Lewat dekad 80'an

Rindu zaman kecik-kecik dulu, terutama sekali rumah ini. Kami sekeluarga tinggal di rumah ini kira-kira dari tahun 1986 hingga 1993. Selepas itu barulah kami berpindah ke Bintulu. 

Di depan rumah kami ada stall burger, tempat lepak budak-budak remaja di kawasan perumahan ini masa tu. Ayah serta ibu aku yang mengusahakan bisnes jual burger tu demi mencari pendapatan sampingan. Budak-budak remaja di taman itu memang suka melepak di stall kami. Sebab itulah ayah aku memang sangat rapat dengan golongan belia di kawasan perumahan ini. Main gitar kapok serta buat aksi downhill guna skateboard adalah aktiviti kegemaran mereka pada masa tu. Aku cuma mampu tengok dari jauh saja. Maklumlah big boys mana boleh bercampur dengan budak hingusan macam aku ketika itu. 

Main dalam longkang (konon nak jadi Ninja Turtle), tangkap berudu, main tembak-tembak, main basikal BMX dan sebagainya. Semuanya kenangan indah di zaman kanak-kanak. 

Satu lagi situasi yang jarang kita jumpa sekarang tetapi telah wujud di zaman 80'an ialah perpaduan di kalangan masyarakat majmuk. Masa ni belum ada lagi sentimen berunsur perkauman yang dipelopori oleh beberapa pihak seperti parti politik, NGO berhaluan kiri dan sebagainya. 

Aku masih ingat lagi semasa tinggal di Taman Bumiko dahulu, pihak Rukun Tetangga seringkali mengadakan acara ramah tamah setiap kali musim perayaan. Ada ramah tamah hari raya aidilfitri, tahun baru cina malah krismas pun ada. Di waktu ini toleransi dalam hidup bermasyarakat sangat tinggi. 

Di masa itu, kalau nak berhubung dengan setiap ahli komuniti, kena buat mesyuarat bersama. Masa ini Taman Bumiko tak ada dewan khas atau balai raya untuk dibuat sesi mesyuarat. Perbincangan dibuat secara face to face, tak ada buat group whatsapp pun macam sekarang. Selalunya mesyuarat dibuat di rumah pengerusi Rukun Tetangga. Aktiviti beramah mesra serta pot luck memang selalu dilakukan. Setiap penduduk bekerjasama dalam menjaga keharmonian kawasan perumahan ini. 

Antara memori yang tidak dapat dilupakan dan paling seronok untuk dikenang ialah apabila ada pertandingan sukaneka di antara kawasan perumahan. Taman Bumiko selalunya memang tak ngam dengan Taman Tunku, sebuah lagi kawasan perumahan di Miri. Kiranya macam Manchester United dengan Liverpool la. Tapi saingan secara sihatlah, takda la gaduh-gaduh macam geng-geng ultras mahupun hooligans. Siap dalam pertandingan sepanduk berhias semasa hari Maulud Nabi pun kitorang masih lagi bersaing. 

Di sini aku belajar tentang nikmat hidup bermasyarakat yang dianggotai oleh pelbagai bangsa serta suku kaum. Kawan-kawan aku terdiri dari orang Iban, orang Ulu, Cina, Melanau, Jatik Mirik dan sebagainya. Kami buat rumah atas pokok sama-sama, pergi melastik burung sama-sama dan kena kejar anjing pun sama-sama. 

Pengalaman sebegini sebenarnya kalau difikirkan balik, ianya lebih bernilai dari segala material di dalam dunia kerana ianya membentuk siapa kita hari ini. Nasib baik lah zaman tu tak ada gadget, kalau tak memang takkan merasa nikmat jadi budak kecik yang hyperactive. 

I love the 80's and 90's
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...