Thursday, September 28, 2017

Trailer Untuk Filem "Pengabdi Setan" (2017)

 Poster Rasmi Untuk Filem "Pengabdi Setan" (2017)

Poster Rasmi Untuk Filem Asal "Pengabdi Setan" (1980)


Trailer Rasmi Untuk Filem "Pengabdi Setan" (2017)

Ya, hari ini adalah tayangan perdana untuk filem remake ini di Indonesia. Jika anda meminati filem bergenre seram, pastikan anda tidak ketinggalan untuk menonton filem ini.



Monday, September 25, 2017

Ulasan Santai Untuk Buku "Awekku Scammer" (2017)

Front Cover

Ulasan Santai : Awekku Scammer (2017)

Buku yang ditulis (hampir kesemuanya) oleh Rafi Harumin ini merupakan satu bahan bacaan yang menghidangkan nilai-nilai humor dengan gaya yang tersendiri. Ya, jika dilihat sekilas pandang, mungkin ianya kelihatan meniru buku-buku ala "copy-paste" kata-kata atau status dari media sosial seperti buku Fattah Amin mahupun Amran Fans. 

Namun ada sedikit kelainan kerana ianya ditulis oleh penulis ketika beliau berhadapan dengan pelbagai jenis scammer di alam internet. Penulis yang bertanggungjawab menghasilkan buku best-seller "Orang Kaunter" terbitan Studio Anai-Anai & Sindiket Sol-jah ini mengambil pendekatan yang lebih drastik dan penuh elemen parodi. Kejap-kejap si Rafi ni menyamar jadi orang Nigeria la, Uzbekistan la, jadi scammer pun ada. Haha. 

Buku ini memang santai untuk dibaca. Memang ianya menggunakan bahasa rojak dan kesalahan tatabahasa agak merata dan kadang-kadang terasa macam mengganggu. Tapi itulah kehidupan seharian kita yang sebenar. Typo dan susunan ayat yang berselerak adalah lumrah kehidupan yang harus kita terima seadanya. 

Oh ya, si Rafi ni sebenarnya seorang pegawai imigresen yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. Kalau ada pergi bercuti ke Kota Kinabalu, besar kemungkinan peratusan kebarangkalian untuk anda bertemu beliau di kaunter pemeriksaan passport adalah cerah. Jika anda berminat untuk membeli buku ini, boleh berurusan dengan pihak Studio Anai-Anai.

P/S: Teringat kisah aku kena scammed pada bulan lepas. Sungguh pahit sekali untuk dikenang huhu.

Rating? 4/5

Monday, September 18, 2017

Ulasan Buku "Metamorphosis" Serta Kritikan / Saranan Buat Thukul Cetak

 Rekaan kulit depan buku yang asal untuk "Metamorphosis" dalam bahasa Jerman (Sumber : Wikipedia)


Buku berjudul "Metamorfosis" karya Franz Kafka terbitan Thukul Cetak

Die Verwandlung a.k.a. The Metamorphosis (1915) hasil karya Franz Kafka.

Sepatutnya jika diteliti dan diamati penceritaan kisah ini, ianya amat menarik sekali kerana novek ini menggarap dengan baik sekali tentang beberapa isu berkaitan kemiskinan, kesempitan hidup, penyakit misteri serta kepincangan di dalam sesebuah keluarga akibat masalah kewangan. Ianya juga merupakan sebuah novel yang diceritakan dengan gaya surreal dan melangkaui zamannya.

Sinopsis buku ini cukup mudah sebenarnya. Ianya mengisahkan seorang penjual fabrik bernama Gregor Samsa yang pada suatu hari tidak dapat turun berkerja akibat daripada perubahan fizikal badannya di mana tiba-tiba berubah menjadi seperti seekor serangga. Keadaan ini menyebabkan Gregor hilang pekerjaan dan terpaksa hidup berkurung di dalam rumah. Ahli keluarganya berasa terbeban dengan situasi yang berlaku terhadap Gregor, ditambah pula dengan isu hutang yang dihadapi oleh kedua ibu bapanya. Akhirnya Gregor mati kelaparan akibat dikurung di dalam bilik oleh keluarganya. Pengakhiran cerita ini sebenarnya cukup sadis dan menyayat hati.

Namun oleh kerana aku membaca buku karya Franz Kafka ini dalam bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Thukul Cetak, maka ada beberapa kekangan yang aku hadapi. Salah satunya ialah, aku kepeningan membaca tulisan dari buku kerana cara menterjemahnya agak berterabur dan mengelirukan. Baik dari segi susunan ayat serta tatabahasa, terlalu banyak kesilapan yang dilakukan.

Ini bukan kali pertama pihak Thukul Cetak membuat terjemahan terhadapa beberapa buku popular dunia. Sebelum ini ada juga mereka menterjemahkan buku karya Che Guevara dan Karl Marx. Masalah yang sama juga dihadapi. 

Aku rasa pihak Thukul Cetak kena banyak belajar lagi dalam ilmu menterjemahkan buku ke bahasa Melayu dengan lebih kemas dan elok. Mereka kena kemaskan lagi cara terjemahan dan kualiti seharusnya dijaga. Terlalu banyak kesilapan sebegini boleh menghilangkan mood pembaca untuk menghabiskan bacaan.

Video tentang Franz Kafka

Wednesday, September 13, 2017

Filem "Perjanjian Syaitan" (1981) Dan Refleksi Masyarakat Mutakhir

(Sumber : Google)

Setelah digembar-gemburkan oleh rakan-rakan pencandu filem semenjak minggu lepas di dalam beberapa group facebook berkaitan dunia lakonan tentang filem ini (Perjanjian Syaitan) yang telah dimuatnaik ke dalam laman web youtube, aku pun teringin juga hendak menonton filem tersebut. Semasa kecil dahulu rasanya aku pernah menonton filem ini tetapi ingat-ingat lupa pula. Yelah, kalau tengok filem seram macam ni semestinya sebagai kanak-kanak pada zaman tersebut, tidak lari daripada terkena igauan yang mengerikan sampai payah nak tidur setelah menontonnya.

Setelah ditonton semula filem ini, rasanya meter seram filem tersebut tidaklah sampai ke satu skala yang menyamai filem-filem dari seberang seperti Sundel Bolong mahupun Pengabdi Setan. Namun filem arahan S. Sudarmaji ini ada kekuatannya tersendiri.

S. Sudarmaji banyak menyentuh tentang hal-hal yang melibatkan elemen ketuhanan dan penyelewengan kuasa dalam pentadbiran di dalam masyarakat dalam filem ini, yang mana pengakhirannya dapat disimpulkan bahawa kuasa berorientasikan kejahatan sentiasa gagal dalam menerajui apa-apa corak pemerintahan sekalipun. Ianya dapat kita lihat di zaman kita sekarang. Perkara paling asas dalam kepimpinan di dalam sesuatu komuniti ialah bersikap adil dan tidak tamak kuasa. Watak "Tambun" dalam filem ini benar-benar menjadi satu refleksi situasi tirani yang dihadapi oleh kita di zaman sekarang. Watak pemimpin yang disayangi masyarakat seperti Ketua Desa Khadim seringkali ditindas bahkan ada juga berjaya digulingkan oleh sistem tirani tadi. 

Gaya arahan filem ini masih lagi mengekalkan cara orang dari era 60'an berkomunikasi sesama sendiri. Mungkin itu yang diinginkan oleh si sutradara supaya ianya nampak realistik dengan suasana di dalam filem tersebut. 

Antara kekuatan dan daya penarik filem ini ialah lakonan watak antagonis iaitu "Ribut" bawaan Allahyarhamah Azean Irdawaty. Watak "Ribut" dalam filem ini sungguh jahat dalam konteks klasikal dan ianya dilakonkan dengan baik sekali. Siapa boleh lupa pada babak "Ribut" mengamuk dan menyerang orang kampung yang tidak berdosa dengan menggunakan tongkat sakti, ataupun dengan definisi sebenarnya, tongkat milik syaitan. Walaupun kesan khas yang digunakan agak cikai sahaja namun oleh disebabkan mutu lakonan yang dibawakan oleh Allahyarhamah Azean Irdawaty, ternyata ianya membuktikan bahawa tak perlu CGI yang gempak sangat untuk menghidupkan babak-babak penting seperti ini.

Watak "Ujang" yang dilakonkan oleh S. Rosley sebenarnya sangat tipikal dalam kebanyakan filem Melayu pada waktu tersebut; berwajah kacak, peribadi cemerlang dan handal bersilat. S. Rosley digandingkan dengan Teh Faridah yang memegang watak "Suri", anak saudara Ketua Desa Khadim. Boleh dikatakan memang pasangan ini sesuai dengan watak masing-masing dan menjiwainya sebaik mungkin walaupun banyak babak lakonan terpaksa melalui proses dubbing (voice over dilakukan di studio rakaman oleh pelakon-pelakon). Mungkin kaedah "booming" masa ini tidak berapa sesuai jika dibawakan di layar perak.

P/S: Setiap kali aku tengok Abdullah Chik dalam filem ni, teringat pula dengan koleksi lagu asli dinyanyikan arwah yang sering diputarkan di dalam radio era 80an dulu. Selalunya Allahyarham Abdullah Chik seringkali berduet dengan Noraniza Idris.


Filem "Perjanjian Syaitan" (1981). Sayangnya versi full movie sudah didelete pulak.

Monday, September 11, 2017

Puisi : Prosa Buat Mereka Yang Berlindung Di Bawah Tudung Saji

Photo Credit : Johnny Marr Plays Guitar

Prosa Buat Mereka Yang Berlindung Di Bawah Tudung Saji

Hirarki yang kita duduki kini sentiasa disaluti dengan gula tipu daya. Dalam susur galur kriminologinya, yang terpedaya sering menjadi habuan sang algojo untuk dipancung. Manakala yang memperdaya ketawa terbahak-bahak sambil kaki bersilang di atas meja. Mereka sering mencemuh dan ketawa tak berakal. Namun kenapa mesti menjilat ludah sendiri? Sedangkan yang ditertawakan adalah sahabat-sahabat sekandung.

Airmatamu adalah secangkir teh yang kuhirup di waktu senja. Jarak antara kita hanyalah sekadar sesuap nasi. Kesedihan kita adalah produk yang tidak lagi laku di pasaran buat mereka. Marilah kerambitmu, datang menoreh setiap jasad polos kami. Tetapi hairan kami masih lagi bertapak di sini. Kenapa perlu kau hunus jiwa kami dengan keris egomu? Sedangkan kau masih lagi mencungkil neraka di matamu sendiri. 

Kami asalnya adalah gipsi yang sering merasa bertuah, menari di atas tanah sendiri. Muzik Bohemian kami adalah laungan buat alam semesta merasai kedukaan kami. Rentak hidup kami sering kau elakkan. Umpama bunyi bising yang menjengkelkan. Tidakkah kita merasa udara yang sama? Segar mahupun sesak, tetap pilihannya sekata. Sedangkan kau sering mencekik kami ketika tidur. Satu demi satu kami mati dan sekadar meninggalkan digit-digit di dalam statistikmu.

Monday, September 4, 2017

Ulasan Album Chris Cornell "Songbook" (2011)

Chris Cornell's Songbook cover album

Chris Cornell merupakan sebuah nama yang tidak perlu diperkenalkan dalam dunia muzik rock and roll era mutakhir. Kemampuan beliau dalam menjadi frontman untuk pelbagai kugiran seperti Temple Of The Dog, Soundgarden serta Audioslave merupakan sesuatu yang unik dan membanggakan. Tambahan pula ketiga-tiga band tersebut sukses dari segi penerimaan para peminat muzik rock mahupun jualan album.

Namun ada beberapa ketika di dalam menghidupkan kerjaya beliau sebagai penghibur, keinginan untuk membuat persembahan secara solo itu seringkali muncul. Ada beberapa video yang sering ditularkan tidak berapa lama dahulu di dalam media sosial di mana beliau mempersembahkan pelbagai lagu cover seperti "Billie Jean", "Nothing Compares 2 U" dan "I Will Always Love You" dalam sebuah sesi akustik dengan baik sekali. Walaupun sudah menghasilkan 3 buah album solo, namun pada pendapat aku album live secara akustik inilah yang benar-benar memberikan definisi sebenar muzik bawaan beliau.

The CD

Album ini merupakan koleksi lagu beliau dalam bentuk akustik yang dirakamkan di pelbagai lokasi seperti Sixth & I History Synagogue di Washington (tempat beribadah yahudi yang dijadikan muzium) di Washington, Queen Elizabeth Theatre di Toronto Canada dan banyak lagi. Ianya bukanlah seperti rakaman yang dibuat dalam bentuk MTV Unplugged namun kualiti rakaman secara akustiknya tetap mantap seperti siri TV tersebut.

Koleksi lagu-lagu yang dinyanyikan merangkumi pelbagai era iaitu dari zaman Temple Of The Dog (seperti lagu Call Me A Dog), Soundgarden (untuk lagu Fell On Black Days dan Black Hole Sun), Audioslave (bagi lagu seperti I Am The Highway dan Like A Stone) dan beberapa lagu dari album solo beliau. Tidak lupa juga beberapa lagu cover dari artis lain seperti Imagine (John Lennon) dan Thank You (Led Zeppelin) yang dibawakan dalam versi beliau.

Beberapa gambar semasa sesi persembahan akustik

Kekuatan sebenar dalam mana-mana persembahan beliau ialah vokalnya. Dengan penguasaan vokal 4 octave yang jarang dimiliki oleh penyanyi kebanyakan di era ini, Chris Cornell membuktikan bahawa beliau masih relevan dalam muzik rock baik dari apa zaman sekalipun.

Back cover and the songlist

17 Mei 2017 merupakan tarikh yang mendukacitakan buat kebanyakan peminat beliau. Chris Cornell akan sentiasa dikenang sebagai pencetus satu revolusi di dalam dunia rock di mana beliau boleh menjadi seorang heavy rocker atau metalhead (rujuk album-album terawal Soundgarden) dan berubah ke arah mellow serta soulful (lagu-lagu akustik beliau) dalam masa yang sama. Ya, memang benar. Ada ramai lagi artis yang berkebolehan sedemikian. Namun secara peribadi, Chris Cornell adalah satu dalam sejuta. 

Terima kasih kerana telah menjadi sebahagian inspirasi seni buat kami semua.

Can't Change Me - Chris Cornell (Live acoustic at Walmart Soundcheck 2011

Like A Stone - Chris Cornell (Audioslave cover). Live acoustic at Unplugged Sessions @ AOL 2006.

Imagine - Chris Cornell (John Lennon cover). Live acoustic at Inglewood 2015

P/S : Seperti yang kita sudah sedia maklum, mendiang Chester Bennington juga menerima nasib yang sama. Lebih menambahkan kedukaan, Chester mengakhiri hayatnya pada tarikh lahir Chris Cornell iaitu 20 Julai yang lepas. Jelas sudah pada ketika ini, penyakit mental yang melibatkan depresi adalah bukan perkara yang boleh dipandang ringan. Diharap ianya dapat dijadikan satu bentuk teladan buat kita semua. Bunuh diri bukanlah satu jalan penyelesaian. Ianya tidak cool dan amatlah dimurkai Tuhan. Bak kata Henry Rollins, "Fuck Suicide"! Oh ya, CD ini aku beli dari Rock At Large yang diselenggarakan oleh taukeh nya Tuan Ibrisam Akbar a.k.a Bentara Guru. Syok deal dengan beliau. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...