Thursday, July 29, 2021

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : HIGEHIRO - AFTER BEING REJECTED, I SHAVED AND TOOK IN A HIGH SCHOOL RUNAWAY (2021)

Siri anime "Higehiro : After Being Rejected, I Shaved And Took In A High School Runaway" ataupun dalam sebutan Jepun nya "Hige Wo Soru, So Shite Joshikousei Wo Hirou" merupakan sebuah karya yang berasal dari novel ringan hasil tulisan Shimesaba. Bagi versi anime pula, siri ini mula disiarkan pada 5 April 2021 melalui beberapa saluran seperti Muse Communication (melalui YouTube channel Muse Asia) dan juga Crunchyroll.
Sedikit sinopsis mengenai siri anime ini; ianya mengisahkan seorang pekerja di sebuah firma bernama Yoshida berumur 26 tahun yang menyimpan perasaan cinta terhadap seorang senior di tempat kerjanya bernama Gotou, seorang wanita berkarier, cantik dan peramah. Namun setelah Yoshida keluar makan malam bersama Gotou dan meluaskan perasaan cintanya, akhirnya dia hanya bertepuk sebelah tangan kerana Gotou hanya menganggapnya sebagai kawan sahaja. Setelah makan malam tersebut dan dalam keadaan mabuk, Yoshida pulang ke rumah nya dan tanpa disedari dia telah membawa pulang seorang remaja wanita bersamanya. Apa yang berlaku selepas itu? Silakan menonton siri anime ini.
Jika diimbas sepintas lalu, naratif anime ini pada awalnya boleh membawa kepada sisi nakal ataupun miang kerana ianya hampir kepada elemen "hentai" namun ianya adalah sebaliknya. Siri anime "Higehiro" ini sebenarnya menghidangkan sebuah drama berat dan diselangi dengan elemen romantik komedi. Walaupun mempunyai adegan miang tapi ianya tidaklah terlalu menyerlah. Lagipun objektif utama siri anime ini ialah pada jalan ceritanya dan motif teladan yang ingin disampaikan.
Antara kekuatan utama anime ini ialah babak dialog di antara beberapa watak utama di dalamnya. Aku suka beberapa babak perbualan di antara watak utama seperti Yoshida bersama Sayu (watak remaja wanita yang lari dari rumah) bersama Gotou. Di dalam babak ini, Gotou dan Yoshida memberi kata semangat kepada Sayu agar jangan mempersia-siakan kehidupannya dengan lari dari masalah dan cuba selesaikannya bersama ibu bapanya. Semakin kita meneruskan tontonan anime pada setiap episod, kita akan dapat menangkap sebab utama Sayu lari dari rumah dan penyebab inilah yang menjadi kekuatan naratifnya secara keseluruhan.
Rating? 4 / 5



Monday, July 26, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : EDGE OF THE WORLD (2021)

Sejak dari tahun lepas lagi, aku sudah pun menonton trailer untuk filem ini. Walaupun ianya dibintangi oleh Jonathan Rhys Meyers, seorang pelakon berbakat dan "under rated" berasal dari Ireland. Beliau juga banyak membintangi beberapa filem popular sebelum ini seperti "Bend It Like Beckham" (2002) di mana dia digandingkan dengan Keira Knightley, Alexander (2004) dan Mission Impossible III (2006), sekadar menamakan sebahagian. Namun filem kegemaran aku yang dilakonkan oleh beliau ialah "August Rush" (2007) lakonan bersama Keri Russell. Ianya merupakan sebuah filem muzikal bercampur elemen drama.

Kita letak ke tepi sebentar tentang kehebatan lakonan Jonathan Rhys Meyers dan kembali mengulas filem ini. Filem "Edge Of The World" ini merupakan sebuah karya arahan Michael Haussman (banyak mengarah beberapa muzik video untuk artis popular) dan ianya adalah sebuah biopik tentang Sir James Brooke yang dikatakan pernah menjadi Rajah di Sarawak suatu ketika dahulu bermula pada tahun 1842 sehingga ianya bertahan selama beberapa generasi.
Setelah selesai menonton filem ini, ada perasaan yang kurang enak berada di dalam diri. Mungkin ianya disebabkan ada beberapa insiden "historical incorrect" tentang perjalanan cerita ini yang membuatkan aku sebagai anak Sarawak merasa tersinggung. Mungkin ianya betul dan tepat dari pandangan masyarakat yang bukan dari Sarawak, namun mengangkat James Brooke sebagai hero secara total adalah tidak sesuai. Hakikatnya dia tetap di bawah pegangan "Queen's Subject" yang kemudiannya melanggar perintah kuasa koloni British kerana tidak mahu meluaskan empayar berkenaan. Kalau anda perhatikan setiap sesi monolog Sir James Brooke di dalam filem ini, sebenarnya dia dianggap sebagai seorang "loser" di dalam keluarganya (salah sebuah kerabat diraja di England).
Mungkin ada beberapa fakta yang benar diperkatakan di dalam filem ini, sebagai contoh tentang perebutan kuasa di antara putera mahkota dari kesultanan Brunei dan sepupunya yang pernah memerintah Sarawak sebelum kedatangan Sir James Brooke. Aku bukan pakar sejarah. Aku cuma tahu mengulas filem sahaja. Cuma beberapa perkara sensitif cuba diaibkan melalui filem ini seperti perzinaan dan minum arak di kalangan kerabat di raja nampak seperti "out of place".
Di mata masyarakat dunia khususnya di Hollywood, filem ini mungkin dilihat sebagai hiburan dan tidak jauh bezanya seperti menonton "The Sleeping Dictionary" (2003) lakonan Jessica Alba (aku suka filem ini hehe), sebuah lagi filem yang berkaitan dengan negeri Sarawak. Aku tidak salahkan Hollywood sebab mereka memang inginkan sisi "savages" dari Borneo untuk membuatkan filem mereka laku di pasaran. Tapi stereotaip ini rasanya sudah basi untuk diperkatakan baik dalam filem ataupun di kebanyakan media massa. Tidak hairanlah di dalam aplikasi IMDB, filem ini hanya mendapat 5 daripada 10 bintang sahaja. Di dalam zaman moden yang melaungkan slogan "Stop Asian Hate" seperti sekarang, rasanya filem ini tidak sesuai untuk diagungkan.
Aku rasa filem "Farewell To The King" lakonan Nick Nolte (sebuah lagi filem berkaitan Sarawak dan pernah menjadi bahan kontroversi semasa dekad 80'an dahulu) lebih seronok ditonton daripada filem ini. Sekurang-kurangnya kita tahu yang ianya adalah filem fiksyen. Hakikatnya, "Edge Of The World" hanya satu pandangan bias dan tertumpu pada perspektif White Supremacy sahaja.
Walaupun begitu, jika dilihat dari sudut lain pula, filem ini sekurang-kurangnya memberi ruang buat beberapa pelakon berbakat dari Malaysia untuk diketengahkan di dalam karya Hollywood. Para pelakon yang dimaksudkan ialah Bront Palarae dan Shahiezy Sam. Kedua-duanya membawa watak yang sangat penting dalam filem ini. Rasanya itu sahaja yang menarik perhatian aku semasa menonton filem ini.
Rating? 2 / 5



Thursday, July 22, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : THE CONJURING - THE DEVIL MADE ME DO IT (2021)

Filem ini merupakan antara beberapa entiti blockbuster yang dinanti-nantikan pada tahun 2021. Namun begitu, bagi peminat filem seram khususnya, ramai yang tidak memberi harapan besar ke atas filem ini akibat daripada beberapa situasi dan salah satunya ialah apabila James Wan (pengarah asal untuk filem The Conjuring bahagian pertama) hanya bertindak sebagai penerbit sahaja. Telah dibuktikan bahawa beberapa filem yang beliau menggalas tugas sebagai penerbit, kebanyakannya mempunyai jalan cerita yang merapu dan mendapat ulasan buruk di beberapa portal melibatkan filem.
Namun tidak seperti apa yang berlaku pada The Conjuring 3 ataupun lebih dikenali dengan tajuk "The Conjuring - The Devil Made Me Do It" di mana jalan ceritanya dioleh dengan teratur dan baik sekali. Untuk filem ini, tugasan pengarah diambil alih oleh Michael Chaves. Chaves sebelum ini pernah mengarah filem "The Curse of La Llorona" yang juga menjadi sebahagian dalam The Conjuring Universe. Walaupun masih belum banyak mengarah dan menghasilkan banyak filem, pengarah muda ini mempunyai bakat yang tersendiri dalam membuat susun-atur untuk storyline nya supaya dilihat agak menarik.
Patrick Wilson dan Vera Farmiga kembali membawakan watak Ed dan Lorraine Warren. Mereka dengan jayanya (seperti sebelum ini) melakonkan watak-watak tersebut dan kali ini dilihat lebih menjiwainya. Mungkin untuk kali terakhir sebagai pelengkap trilogi The Conjuring, aku rasakan watak Lorraine serta Ed lebih menyerlah berbanding dua filem yang sebelumnya. Itu cuma pendapat aku sahaja.
Kelemahan pada filem ini tidaklah terlalu banyak. Secara keseluruhan filem ini berjaya membentuk satu penutup yang kemas dan sempurna untuk sebuah trilogi tanpa membuatkan para penonton terkial-kial (akibat terlalu banyak babak yang tergantung) di penghujung filemnya. Mungkin satu sahaja kelemahan filem ini iaitu tidak mengikuti kes atau kejadian sebenar yang berlaku, tapi kita sebagai penonton tidaklah pedulikan sangat pun mengenai actual case. Yang penting ialah penonton sentiasa rasa terhibur (ataupun terkejut dan bercampur dengan rasa takut) dengan filem ini.
Rating? 4 / 5



Monday, July 19, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : THE WITCH (2016)

Filem ini sebenarnya sudah pun dipertandingkan di Sundance Film Festival pada awal tahun 2015 dan memenangi kategori pengarah terbaik (Robert Eggers). Mungkin rezeki sudah berpihak kepada tuan pengarah dan percaya atau tidak, ini merupakan filem pertama arahan beliau.

Filem ini sebenarnya mengambik mood dan semangat filem indie; bergerak secara perlahan, momen-momen dramatik dan penghayatan penuh kepada skrip. Jadi jika anda mengharapkan filem yang setaraf dengan mana-mana cerita keluaran Blumhouse Production (syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan Insidious Trilogy, The Conjuring, Annabelle dan sebagainya), anda akan merasa sedikit hampa kerana elemen "jump scare" tidaklah sehebat begitu. Filem ini sebenarnya ada elemen lain yang menjadi daya tarikannya.
Kekuatan sebenar pada filem ini ialah penghayatan storyline nya. Setiap watak dalam filem ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri, lebih-lebih lagi ianya banyak digarapkan oleh pelakon kanak-kanak. Amat susah sebenarnya untuk mengajar kanak-kanak belajar berbahasa Inggeris dalam slanga komuniti Puritan (masyarakat berbangsa British yang menganuti ajaran Kristian bermazhab Protestant yang hidup di abad ke 17). Komuniti Puritan ini sudah lama pupus dari muka bumi, jadi krew di belakang tabir berhempas pulas membuat penyelidikan tentang cara komuniti tersebut berkomunikasi mengikut cara mereka pada zaman tersebut.
Watak Thomasin (lakonan Anya Taylor Joy yang cukup terkenal dengan filem terbarunya Queen's Gambit) dalam filem ini agak penting peranannya. Walaupun filem ini dilihat agak lurus dan tidak mempunyai sub-plot yang merumitkan (seperti filem seram yang lain), namun disebabkan watak Thomasin yang penuh dramatik, ini menghidupkan lagi storyline. Watak Caleb iaitu adik kepada Thomasin juga tidak mengecewakan. Antara babak penting yang menyerlahkan lagi watak Caleb ialah apabila dia terdampar sakit dan menunggu saat mati. Di pengakhiran babak ini watak Caleb bermonolog kepada tuhannya serta memuji kebesarannya dan selepas mati secara tragik. Hendaklah diingatkan sekali lagi, watak Thomasin dan Caleb ini dilakonkan oleh remaja bawah umur 18 tahun.
Berkenaan dengan kesan khas iaitu CGI, penggunaannya agak minimal namun ianya memberi impak yang besar pada filem ini. Antara babak yang sampai "punchline" kesyaitanannya ialah apabila seekor kambing hitam yang diternak oleh William (ayah kepada watak Thomasin) berdiri tegak dihadapannya lalu menyerangnya dengan ganas. Nama kambing ini juga agak mistikal dan menyeramkan, iaitu "Black Philip".
Secara keseluruhan, filem ini tidaklah mengecewakan. Ianya seolah-olah dilihat mengembalikan perasaan menonton filem Exorcist yang pertama dahulu, bergerak secara perlahan dan penuh dengan dialog-dialog intense. Jika anda jenis yang mengharapkan filem seram penuh dengan adegan kejutan serta sedikit aksi, mungkin ini bukan untuk anda. Walau bagaimanapun, filem ini tetap mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Boleh dikatakan ianya bagaikan sebuah art-movie bergenre seram.
Rating saya? 4/5







Thursday, July 15, 2021

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : YASUKE (2021)

Seperti lazimnya dan sebelum siri ini memasuki Netflix, terlebih dahulu trailer nya telahpun tular di kebanyakan media sosial. Dari segi produksi dan beberapa aktiviti belakang tabir, siri anime ini mendapat sentuhan daripada syarikat MAPPA yang berpengkalan di Jepun dan telah menghasilkan pelbagai anime lain seperti "Jujutsu Kaisen", "In This Corner Of The World" (filem) dan musim terakhir "Attack Of The Titans". Walaupun begitu, produksi untuk siri anime ini melibatkan tenaga kerja dari 2 buah negara iaitu Amerika dan Jepun di mana pengarahnya ialah LeSean Thomas (antara ilistrator untuk anime "The Legend Of Korra").

Aku merupakan salah seorang peminat anime yang teruja dengan siri ini. Ianya adalah kerana sudah sampai masanya watak legenda Yasuke ini dipersembahkan ke mata dunia dalam bentuk anime.
Watak Yasuke sebenarnya sudah lama wujud dalam beberapa kisah legenda di Jepun. Pada tahun 1579, seorang pemuda Afrika yang kemudiannya dikenali dengan nama Yasuke telah datang ke bumi Jepun. Ada beberapa sumber mengatakan Yasuke datang sebagai salah seorang hamba abdi yang dibawa oleh pedagang dari Eropah. Sehingga ke hari ini masih tidak diketahui nama sebenarnya dan dari negara Afrika mana dia berasal.
Kemudian Yasuke dikatakan menjadi salah seorang samurai dibawah arahan seorang general perang dan pemimpin sistem feudal pada zaman tersebut iaitu Oda Nobunaga. Namun selepas kekalahan kerajaan Oda Nobunaga pada tahun 1582, kisah tentang Yasuka mulai lenyap dalam sejarah Jepun.
Jalan cerita dalam siri anime ini sangat tersusun rapi dan digarap dengan baik. Walaupun ada beberapa subplot yang agak lemah namun ianya tidak mencacatkan keseluruhan jalan cerita. Kelemahan yang ketara dalam siri ini ialah gabungan elemen mecha dan mistik yang dirasakan tidak sesuai pada beberapa babak. Namun sekali lagi aku ulangi seperti tadi, ianya masih tidak mencacatkan keseluruhan jalan cerita.
Anime ini mempunyai 6 episod sahaja dan rasanya mudah untuk dihabiskan tontonan dalam sehari, jika anda mempunyai banyak masa terluang. Besar kemungkinan anime Yasuke ini mempunyai peluang yang cerah untuk diteruskan dengan musim kedua di masa akan datang.
Rating? 4 / 5





Monday, July 12, 2021

ADA APA DENGAN DEMON SLAYER : KIMETSU NO YAIBA

Sebenarnya aku bukanlah orang yang obses sangat dengan anime mahupun komik manga. Aku rasa komik manga terakhir yang aku baca ialah Ichi The Killer, yang kemudiannya telah diadaptasikan ke layar perak. Versi filemnya pula dikatakan filem gore dan brutal paling popular di Jepun. Dahsyat betul komik ni. Darah, organ dalaman badan dan aksi mengarut (18SX) sentiasa ada.

Berbalik kepada tajuk asal, kalau diikutkan aku meminati anime Demon Slayer ini secara tidak sengaja. Ianya bermula setelah anak aku pulang dari Kuala Lumpur bersama ibu bapa aku ketika awal musim PKP tahun lepas. Kalau tidak silap sekitar akhir bulan Mac begitu.
Sebaik sahaja anak perempuan aku sampai ke rumah, hanya satu perkara yang dia nak sangat aku buat pada masa itu. Dia nak suruh aku tengok episod pertama anime Demon Slayer di YouTube. Dia cakap ayah mesti suka anime ni. Tapi aku buat sambil lewa sahaja ketika itu. Ini disebabkan aku masih lagi terikat untuk menghabiskan siri TV Peaky Blinders dan The Kingdom di Netflix.
Anak perempuan aku cakap anime ni tengah trending sekarang. Sebagai seorang ayah yang agak skeptikal dan sedikit kebelakang, ianya mengambil masa yang agak lama untuk aku merasa yakin menonton anime tersebut. Lebih kurang seminggu selepas itu, aku pun tengoklah episod pertama Demon Slayer ini di YouTube. Persepsi pertama aku selepas selesai menontonnya ialah, Wow! Sudah agak lama aku tak merasa seronok begini ketika menonton anime.
Demon Slayer asalnya merupakan sebuah komik manga yang diciptakan oleh Koyoharu Gotoge dan disiarkan di Weekly Shonnen Jump pada Februari 2016 sehingga Mei 2020. Versi anime nya pula bermula pada April dan berakhir pada September 2019. Ianya dikeluarkan oleh syarikat produksi Ufotable.
Ianya mengisahkan seorang remaja lelaki bernama Tanjirou Kamado yang berhadapan dengan situasi yang memilukan dan agak malang di mana hampir semua ahli keluarga mati dibunuh dan dimakan oleh syaitan (demon) di rumahnya. Hanya adik perempuannya Nezuko Kamado sahaja yang masih hidup, itupun telah bertukar menjadi syaitan. Namun keunikan yang ada pada Nezuko ialah ianya tidak memakan manusia dan sering berada di samping Tanjirou setiap masa. Tanjirou berazama untuk mencari penawar bagi memulihkan adiknya yang terkena virus syaitan itu. Kalau di Malaysia, watak Nezuko digelar sebagai demon comel yang suka makan lemang (?).
Anime ini mengingatkan aku dengan sebuah lagi siri manga terkenal di Jepun suatu ketika dahulu, Yuyu Hakusho. Konsepnya hampir sama, manusia melawan syaitan dalam beberapa pertarungan yang dramatik dan sengit. Cuma bezanya, jalan cerita Demon Slayer dirasakan lebih menarik kerana ianya lebih teratur berbanding Yuyu Hakusho.
Hurm, sekarang ni tak pasal-pasal aku pulak jadi "Otaku" dengan siri anime ini. Tapi secara keseluruhannya, anime ini sungguh menarik kerana banyak faktor. Antaranya ialah jalan cerita yang menarik, babak pertarungan yang dramatik dan diiringi dengan kesan khas CGI yang lebih moden berbanding anime yang lain (pada persepsi aku lah) serta penampilan watak-watak yang mencerminkan budaya orang Jepun di masa silam.
P/S : Demon Slayer sekarang boleh ditonton secara atas talian melalui Netflix. Dijangka musim keduanya akan disiarkan pada Oktober tahun ini.






Thursday, July 8, 2021

KE ARAH PEMIKIRAN NARCISSISTIC ATAUPUN SEKADAR IGNORANCE?

Apabila kita semakin berusia terutama sekali menganjak umur 40 tahun, kita akan berada di dalam situasi di mana cara berfikir lebih kepada "selesa dengan apa yang ada" di sekeliling kita. Kita akan lebih cenderung mengagungkan zaman silam kita berbanding meraikan perbezaan dengan golongan lebih muda. Tidak semuanya berfikiran sebegini namun sebahagian besar lebih ke arah mentaliti sebegini.
Bagi pendapat aku lah, adakalanya generasi baru mempunyai idea-idea yang relevan dengan situasi semasa. Aku cuba mengelakkan berfikiran jumud dalam banyak hal. Lebih-lebih lagi jika melibatkan hobi serta passion aku terhadap sesuatu. Sebagai contoh dalam dunia muzik, aku cuba sedaya upaya memahami selera muzik mutakhir. Tapi yang pastinya tidak semua yang dapat masuk kepala. Mungkin hanya sebahagian besar sesuai dengan selera, ada tertentu yang sukar diterima.
Kadang-kala jika sudah berusia, ramai yang sudah selesa dengan comfort zone masing-masing. Hanya sebilangan kecil yang ingin keluar dari kepompong dan mencuba hal-hal yang baru. Perkara ini tidaklah menunjukkan satu kekurangan ataupun sisi negatif sebenarnya, kita kena ambil kira faktor usia, tenaga dan masa juga. Ramai yang berfikir, jika ingin mencuba sesuatu hal yang di luar norma, nescaya akan membawa kepada buang masa dan tenaga. Mungkin betul, mungkin juga sebaliknya.
Penyelesaiannya, bagi mereka yang seusia dengan aku, cubalah untuk berfikiran terbuka walaupun sedikit. Tidak salah mencuba sesuatu yang baru. Dalam masa yang sama, janganlah lupa jatidiri serta pengalaman kita yang lepas kerana perkara sebeginilah membentuk peribadi kita sekarang.

Monday, July 5, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : BILL & TED - FACE THE MUSIC (2020)

ULASAN RINGKAS FILEM : BILL & TED - FACE THE MUSIC (2020)

Filem ini bermula daripada sebuah khabar angin yang aku dengar dan baca pada tahun 2010 dahulu. Masa itu terdapat ura-ura mengatakan bahawa Alex Winter (melakonkan watak Ted) serta Keanu Reeves bertungkus-lumus menyiapkan skrip filem bahagian ketiga ini bersama penulis dan creator asal watak Bill & Ted iaitu Chris Matheson serta Ed Solomon. 10 tahun kemudiannya filem ini berjaya direalisasikan dan muncul di layar perak semasa musim COVID19. Filem ketiga dari franchise ini diriliskan untuk tontonan umum pada 28 Ogos 2020.
Untuk golongan yang kurang mengenali kedua-dua frontman band "Wild Stallyns" ini (terutama sekali generasi muda iaitu millennial), Bill & Ted merupakan sebuah filem franchise yang bermula pada tahun 1989 dengan filem pertama berjudul "Bill & Ted's Excellent Adventure". Ianya kemudian disusuli dengan sebuah sequel berjudul "Bill & Ted's Bogus Journey" pada tahun 1991. Filem ini juga pernah diadaptasikan dalam bentuk komik, permainan video serta siri animasi TV yang juga cukup popular di dekad 90'an dahulu. Franchise filem ini jugalah yang menolong melonjakkan nama Keanu Reeves di Hollywood sebelum beliau berlakon dalam blockbuster pertamanya "Speed" pada tahun 1994.
Filem ini berkisar tentang kehidupan dua rakan baik ini selepas mereka mengharungi zaman kegemilangan one-hit-wonder beberapa tahun sebelum itu. Sehingga kini mereka masih lagi belum mencipta sebuah lagu yang dapat menyatukan umat manusia. Di masa ini juga Bill dan Ted mendapat perkhabaran dari masa depan yang dibawakan oleh anak Rufus iaitu Kelly bahawa dunia akan kiamat jika mereka gagal menghasilkan lagu berkenaan.
Ada beberapa faktor yang menjadikan filem Bill & Ted : Face The Music ini berjaya walaupun pada mulanya para pengkritik agak skeptical tentang sequel ini. Faktor pertama ialah penulisan skripnya. Chris Matheson dan Ed Solomon benar-benar dengan sedaya upaya mereka untuk menghasilkan pelengkap trilogi ini sebagai filem yang dapat menyatukan semua generasi baik daripada Baby Boomers mahupun millenial. Di dalam filem ini, ianya tidak hanya memfokuskan tentang perjalanan merentas masa dan juga ekplorasi ke alam barzakh, malah ianya menyentuh tentang teori "space time continuum" seperti yang anda tonton di dalam filem "Interstellar" arahan Christopher Nolan (tak sangka filem "Tenet" arahan Nolan juga ditayangkan dalam masa yang sama dengan filem ini). Uniknya, semakin mengarut filem ini, semakin menarik untuk ditonton. Itulah kekuatan sebenar filem-filem Bill & Ted. Ketepikan logik seketika, kita hanya perlu "go with the flow" dan selepas itu anda sebagai penonton akan terhibur dengan filem ini.
Faktor kedua ialah pengekalan beberapa watak sama dengan pelakon asal. Sebagai contoh watak Death yang dilakonkan oleh William Sadler, bapa Ted, isteri-isteri Bill dan Ted iaitu Puteri Elizabeth serta Joanna. Tidak sangka pihak pembikin filem ini mampu mengekalkan pelakon-pelakon yang sama selepas 29 tahun berpisah dari set filem keduanya iaitu "Bill & Ted's Bogus Journey" pada tahun 1991.
Faktor ketiga dan teramat penting sekali ialah pengenalan beberapa watak baru yang berjaya membantu memberi tarikan segar untuk filem ini. Di antaranya ialah watak anak kepada dua hero ini iaitu Billie Preston (lakonan Samara Weaving yang popular dengan filem horrornya "Ready Or Not") dan Thea Logan (lakonan pelakon baru Brigette Lundy-Paine). Tanpa bantuan kedua-dua watak ini, filem Bill & Ted : Face The Music akan hilang arah dan tujuannya. Di antara watak lain yang berjaya mencuit hati penonton ialah robot jahat (tetapi kalut dalam masa yang sama) dari masa hadapan yang bernama Dennis Caleb McCoy lakonan Anthony Carrigan yang sebelum ini berlakon di dalam siri TV "Gotham".
Secara keseluruhan dan dari pandangan peribadi, aku berpuas hati dengan pengakhiran trilogi ini. Ianya pelengkap yang sempurna dan bukan dibuat sekadar tangkap muat. Ianya dirancang secara teliti sebelum produksi filem bermula. Jika ditonton secara marathon ketiga-tiga filem ini, nescaya anda pasti tidak akan percaya jurang masa untuk pembikinannya adalah terlalu lama walhal ditonton dalam waktu yang singkat. Slogan asal iaitu "Be Excellent To Each Other, And Party On Dude!" masih lagi terngiang-ngiang di kepala selepas menonton filem ini. Ianya juga amat sesuai untuk ditonton oleh semua generasi.
Rating? 5/5



Official Trailer






Thursday, July 1, 2021

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : DOTA - DRAGON'S BLOOD (2021)

Netflix kebanyakannya banyak mempunyai siri anime yang bukan dari Jepun (tetapi kualiti yang setara) dan boleh dianggap siri original dari platform tersebut. Antara anime tersebut ialah seperti Blood Of Zeus, Castlevania dan Dragon's Dogma, sekadar menamakan sebahagian. Anime-anime ini mungkin tidaklah menjadi kegemaran sebahagian besar golongan weeb (peminat budaya pop Jepun secara general) ataupun para otaku (peminat setia anime dan manga), namun siri anime begini mempunyai target audience nya tersendiri.

"DOTA : Dragon's Blood" merupakan salah sebuah anime bukan Jepun yang aku maksudkan tadi. Menurut Google serta Wikipedia, siri anime ini adalah berdasarkan permainan video DOTA 2, sebuah game yang bersifat "muliplayer online battle arena" atau akronimnya MOBA dan mula disiarkan di Netflix pada 25 Mac 2021. Berbekalkan 8 episod, siri anime ini menjanjikan sebuah kisah petualangan yang menarik serta jalan cerita yang bagus.
"DOTA : Dragon's Blood" merupakan sebuah siri anime yang menyaksikan kolaborasi tenaga kerja dari 2 negara iaitu Korea (Studio Mir) dan Amerika (Kaiju Boulevard). Namun kualiti lukisan serta CGI yang digunakan di dalam anime ini tidak jauh bezanya dengan mana-mana anime dari Jepun. Nampak gayanya, kualiti animasi dari Korea juga nampak semakin maju. Sama juga sepertinya dengan beberapa siri anime dari China, juga sudah hampir setara dengan animasi Jepun.
Satu sahaja kekurangan anime ini; jalan penceritaan terlalu padat dan singkat hinggakan 8 episod sahaja dilihat tidak memadai. Jika ianya menggunakan format yang sama sepeti anime Jepun yang rata-ratanya mempunyai bilangan episod yang banyak (paling singkat pun 10 ke 12 episod begitu), nescaya jalan ceritanya akan nampak makin menarik dan semakin mudah difahami.
Rating? 3.5 / 5











Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...