Monday, July 19, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : THE WITCH (2016)

Filem ini sebenarnya sudah pun dipertandingkan di Sundance Film Festival pada awal tahun 2015 dan memenangi kategori pengarah terbaik (Robert Eggers). Mungkin rezeki sudah berpihak kepada tuan pengarah dan percaya atau tidak, ini merupakan filem pertama arahan beliau.

Filem ini sebenarnya mengambik mood dan semangat filem indie; bergerak secara perlahan, momen-momen dramatik dan penghayatan penuh kepada skrip. Jadi jika anda mengharapkan filem yang setaraf dengan mana-mana cerita keluaran Blumhouse Production (syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan Insidious Trilogy, The Conjuring, Annabelle dan sebagainya), anda akan merasa sedikit hampa kerana elemen "jump scare" tidaklah sehebat begitu. Filem ini sebenarnya ada elemen lain yang menjadi daya tarikannya.
Kekuatan sebenar pada filem ini ialah penghayatan storyline nya. Setiap watak dalam filem ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri, lebih-lebih lagi ianya banyak digarapkan oleh pelakon kanak-kanak. Amat susah sebenarnya untuk mengajar kanak-kanak belajar berbahasa Inggeris dalam slanga komuniti Puritan (masyarakat berbangsa British yang menganuti ajaran Kristian bermazhab Protestant yang hidup di abad ke 17). Komuniti Puritan ini sudah lama pupus dari muka bumi, jadi krew di belakang tabir berhempas pulas membuat penyelidikan tentang cara komuniti tersebut berkomunikasi mengikut cara mereka pada zaman tersebut.
Watak Thomasin (lakonan Anya Taylor Joy yang cukup terkenal dengan filem terbarunya Queen's Gambit) dalam filem ini agak penting peranannya. Walaupun filem ini dilihat agak lurus dan tidak mempunyai sub-plot yang merumitkan (seperti filem seram yang lain), namun disebabkan watak Thomasin yang penuh dramatik, ini menghidupkan lagi storyline. Watak Caleb iaitu adik kepada Thomasin juga tidak mengecewakan. Antara babak penting yang menyerlahkan lagi watak Caleb ialah apabila dia terdampar sakit dan menunggu saat mati. Di pengakhiran babak ini watak Caleb bermonolog kepada tuhannya serta memuji kebesarannya dan selepas mati secara tragik. Hendaklah diingatkan sekali lagi, watak Thomasin dan Caleb ini dilakonkan oleh remaja bawah umur 18 tahun.
Berkenaan dengan kesan khas iaitu CGI, penggunaannya agak minimal namun ianya memberi impak yang besar pada filem ini. Antara babak yang sampai "punchline" kesyaitanannya ialah apabila seekor kambing hitam yang diternak oleh William (ayah kepada watak Thomasin) berdiri tegak dihadapannya lalu menyerangnya dengan ganas. Nama kambing ini juga agak mistikal dan menyeramkan, iaitu "Black Philip".
Secara keseluruhan, filem ini tidaklah mengecewakan. Ianya seolah-olah dilihat mengembalikan perasaan menonton filem Exorcist yang pertama dahulu, bergerak secara perlahan dan penuh dengan dialog-dialog intense. Jika anda jenis yang mengharapkan filem seram penuh dengan adegan kejutan serta sedikit aksi, mungkin ini bukan untuk anda. Walau bagaimanapun, filem ini tetap mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Boleh dikatakan ianya bagaikan sebuah art-movie bergenre seram.
Rating saya? 4/5







2 comments:

  1. Pernah tengok... tapi dah tak ingat... rasanya masa zaman beli dvd pirate dulu2..

    ReplyDelete

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...