Spoiler Alert!
Kalau belum tengok filem ini dan tidak mahu spoil mood semasa menontonnya nanti, sila jangan baca (tapi anda akan tetap baca juga kan? Hehe)
Semalam aku serta anak perempuanku menonton sebuah filem Netflix berjudul "Skater Girl" lakonan Amrit Maghera dan Rachel Saanchita Gupta. Ianya merupakan sebuah filem dwi bahasa antara Hindi dan English dan memfokuskan kepada kehidupan di India itu sendiri dengan sedikit percampuran budaya barat melalui sukan papan luncur (skateboarding). Jalan cerita ringkas sahaja cuma emosi yang ditampilkan sepanjang filem ini amat memberi kesan kerana ianya berdasarkan dengan keadaan sebenar di dalam komuniti India.
Setelah selesai menonton filem ini, anak perempuan aku merasa tidak keruan dengan beberapa bahagian di dalam filem tersebut terutama sekali apabila watak "Prerna" dipaksa untuk kahwin tanpa kemahuannya sendiri. Firasat anak aku seolah-olah tahu apa akan berlaku pada Prerna jika dia selesai bermain skateboard untuk kali terakhir selepas pertandingan tersebut. Dia merasakan Prerna akan tetap dipaksa kahwin juga walaupun telah menjuarai pertandingan tersebut.
Anak perempuanku mula berdiskusi dengan aku tentang perkahwinan secara terpaksa di awal usia ini. Aku pun cuba menerangkan tentang adat lama ini kepadanya. Lalu aku pun berceritalah kepadanya bahawa dalam Islam pun tidak melarang perkahwinan untuk perempuan di bawah usia 18 tahun asalkan sudah akil baligh. Dalam masa yang sama aku kaitkan juga dengan situasi tentang isteri Rasulullah bernama Siti Aishah yang berkahwin dengan baginda di usia terlalu muda.
Aku cuba jelaskan bahawa situasi Prerna dan Siti Aishah tidak sama kerana kedua-duanya melalui situasi yang berbeza. Walaupun Siti Aishah dikahwini di usia yang terlalu muda, namun ketika itu dalam masyarakat dan generasi tersebut (merangkumi orang Arab, Eropah dan Asia secara umum), perkahwinan seperti itu adalah normal. Namun baginda nabi tidak pernah menarik kebahagian Siti Aishah sebagai kanak-kanak pada masa itu (nauzubillah) malah diangkat darjatnya sebagai "Ummul Mukminin" (maksudnya ibu orang yang beriman) kerana semasa hayatnya Siti Aishah menjadi gedung ilmu buat para cendekiawan Islam baik dalam hadith mahupun hal-hal yang berkaitan tentang agama serta pemerintahan sebuah negara. Siti Aishah adalah seorang wanita yang pintar dan menjadi salah satu simbol kekuatan kaum hawa dalam Islam.
Masih lagi tidak puas hati dengan filem tersebut, anak aku tanya pula tentang apa itu sistem kasta. Aku cuba jawab dengan apa yang aku faham. Aku pun jelaskan kepadanya bahawa Kasta merupakan sebuah sistem yang digunapakai di dalam masyarakat India di mana ianya sudah diamalkan oleh penganut agama Hindu di sana sejak beribu tahun lamanya. Namun sekarang, sistem tersebut mula terhakis akibat kehidupan moden yang dialami sekarang. Apa yang dia tonton di dalam filem "Skater Girl" ini cuma berlaku di kawasan pendalaman India sahaja di mana budaya kasta masih lagi kuat diamalkan. Anak aku pun angguk kepala tanda faham.
Lepas itu, anak aku pun cakap yang dia kenalan dia dari India (yang dia kenali melalui Twitter). Reaksi pertama ialah "adakah kenalan ini lelaki atau perempuan?" (Soalan tipikal seorang ayah haha). Lalu dia menjawab "perempuan lah ayah!". Aku pun ketawa sebagai tanda lega. Anak aku bagitahu yang kenalan dia dari India ini sangat membenci negara Pakistan. Anak aku tak faham kenapa situasi ini berlaku. Bukankah mereka ini berjiran dan mempunyai budaya dan bahasa yang hampir sama?
Soalan ini berat juga aku nak terangkan. Mungkin disebabkan sejarah perhubungan yang sangat renggang sejak tertubuhnya kedua-dua negara tersebut serta isu dalaman yang complicated (sebagai contoh isu di Kashmir) menyebabkan aku hanya mampu beri jawapan yang sangat ringkas sahaja. Selebihnya aku suruh dia cari jawapan daripada Wikipedia sahaja.
Semenjak berlakunya PKP ini dan anak aku menjalani sesi PDPR di rumah, seringkali juga aku berinteraksi dengan anak perempuanku dan kami berdiskusi dalam topik-topik yang berat seperti masalah agama, sejarah manusia dan pelbagai lagi. Mujurlah rumah aku banyak menyimpan beberapa buku ilmiah sebagai rujukan untuk aku serta anak perempuanku. Dalam internet pun tidak semua maklumat yang diperolehi adalah sahih ataupun boleh digunapakai. Kadang-kala perbualan dan interaksi antara anak dan ibu bapa juga penting dalam pembelajaran mereka. Di masa begini, harap ibu bapa kena bersabar dan pintar dalam memberi jawapan yang sepatutnya.
nampak dah cerita ni kat Netflix...tapi belum terasa nak tengok..
ReplyDeleteanak2 kecik ni kita layankan jer la...nanti tanpa kita sedar alih2 dah besar... masa tu baru rasa rindu bila ingatkan balik2 zaman2 mereka masih kecik...
Betul tu bang.
Delete