"Chrisye" merupakan sebuah filem autobiografi seorang penyanyi terkenal dari Indonesia. Chrisye atau nama sebenarnya Haji Chrismansyah Rahadi merupakan seorang penyanyi popular dari Indonesia yang pada mulanya terkenal melalui lagu-lagu terawal beliau di dekad 70'an seperti "Lilin-Lilin Kecil", "Juwita", "Merpati Putih" dan banyak lagi. Berdasarkan majalah Rolling Stone Indonesia, Almarhum Chrisye dinobatkan sebagai salah seorang penghibur terbaik Indonesia sepanjang zaman dan beliau menduduki tempat ketiga.
Monday, August 16, 2021
ULASAN RINGKAS FILEM : CHRISYE (2017)
Filem yang diriliskan pada 2017 ini merupakan sebuah karya arahan Rizal Mantovani (pengarah trilogi Kuntilanak) dan watak Chrisye pula dipegang oleh Vino Bastian yang pernah membintangi beberapa filem popular seperti "30 Hari Mencari Cinta", "Punk In Love" dan yang paling ditunggu-tunggu iaitu "Buya Hamka" di mana beliau akan memegang watak Abdul Malik Karim Amrullah (Buya Hamka sendiri). Filem biografi ini sebenarnya lebih ke arah penceritaan melalui perspektif isteri Chrisye iaitu Ibu Damayanti Noor dan watak beliau dibawakan oleh Velove Vexia (popular dengan filem "Hujan Bulan Juni").
Filem ini memaparkan kisah tentang karier Chrisye yang bermula dari awal pembabitannya dalam dunia muzik sehingga kewafatannya pada tahun 2007. Bermula dengan bermain dengan kugiran The Gypsy Band pada awal dekad 70'an yang kemudiannya pernah berhijrah ke Amerika demi melebarkan sayap muzik mereka sehinggalah beliau menjadi sukses dengan album-album solonya, filem ini mengambil beberapa peristiwa penting dalam hidup Chrisye.
Antara beberapa peristiwa penting yang diberikan fokus sebaik-baiknya dalam filem ini ialah semasa Chrisye popular dengan lagu pertamanya yang bertajuk "Lilin-Lilin Kecil", penampilannya yang unik di dalam rancangan TV semasa mempersembahkan lagu "Aku Cinta Dia", konsert solonya bertajuk "Sendiri" yang berskala besar di Monumen Nasional, Jakarta serta penciptaan lagu relegi "Ketika Tangan Dan Kaki Berkata", sebuah kolaborasi beliau dengan sasterawan Indonesia, Taufiq Ismail.
Filem ini sebenarnya diadaptasikan dalam format yang masih dikira agak "basic" dan tidak terlalu mendalam seperti yang dapat kita tontoni dalam filem "Bohemian Rhapsody" (sebuah biografi tentang band Queen dan penyanyinya Freddie Mercury). Pada awal filem ini, aku merasakan lakonan Vino Bastian agak kekok seolah-olah sentiasa lalok hisap ganja sepanjang perjalanan filem ini. Tapi jika dikaji secara menyeluruh, susuk tubuh yang namanya Chrisye ini memang seorang yang lemah lembut, soft spoken dan bukanlah individu yang gasar. Mungkin dari aspek lain, Vino sedaya upaya untuk mengamati aspek berkenaan tentang Chrisye.
Bagi aku, filem ini wajib ditonton jika anda seorang peminat muzik terutama sekali pada mereka yang mengenali Chrisye. Melalui filem ini juga kita dapat menyaksikan sisi lain yang jarang diperkatakan umum tentang Chrisye seperti dari aspek rohani dan kekeluargaan. Mungkin ianya bukanlah filem biografi yang sempurna namun masih tetap mampu dihargai oleh setiap genap lapisan masyarakat. Filem ini juga dapat ditonton melalui aplikasi Netflix.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
baru tau ni... masuk list untuk di tonton
ReplyDelete