Monday, November 1, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : THE GIRL WHO LEAPT THROUGH TIME (2006)

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : THE GIRL WHO LEAPT THROUGH TIME (2006)

Filem ini merupakan antara karya anime yang terlalu lama disimpan dalam simpanan aku akan tetapi baru terdetik hendak menontonnya hari ini. Ini adalah disebabkan oleh iklan dari Uniqlo baru-baru ini yang mempromosikan beberapa rekabentuk terbaru tshirt mereka dan menggabungkan dengan beberapa filem anime arahan Mamoru Hosoda. Nasib baik aku sempat beli, sebab benda-benda macam ini keluarannya agak terhad dan tidak akan diulang cetak.

Beliau merupakan seorang pengarah filem anime terkenal di Jepun selain daripada Makoto Shinkai dan Hayao Miyazaki. Di antara filem-filem beliau yang aku minati ialah "Wolf Children", "The Boy and The Beast", "Mirai" dan juga filem ini. Filem "Mirai" pernah dicalonkan dalam kategori "Best Animated Feature Film" di anugerah Academy Award pada tahun 2018.

Berbalik kepada filem ini, ianya mengisahkan tentang remaja perempuan bernama Makoto Konno yang secara tidak sengaja dapat mengembara balik ke masa silam. Keupayaan tersebut dia dapati setelah jatuh di makmal sains sekolahnya dan terlanggar dengan sebuah objek aneh. Dengan keupayaan tersebut, Makoto telah banyak mengubah masa hadapan dan ini telah menyebabkan pelbagai masalah di kalangan rakan-rakannya.

Secara peribadi, filem ini sangat bagus dari segi penceritaannya. Setelah menonton pelbagai filem berkisar tentang time travelling, kebanyakannya gagal menyampaikan jalan cerita secara teratur dan ini disebabkan oleh konsep itu sendiri. Sebagai contoh filem time travelling yang gagal adalah seperti Donnie Darko (lakonan oleh Jake Gyllenhaal, flop di box office akan tetapi telah mencapai cult status sekarang) dan The Jacket (lakonan Adrian Brody).

Akan tetapi ianya tidak berlaku di dalam filem ini kerana ianya dilihat agak tersusun walaupun watak utamanya banyak menghuru-harakan timeline. Babak akhir filem ini juga disudahi dengan senario yang manis untuk dikenang walaupun ianya tidaklah sehebat mahakarya Makoto Shinkai bertajuk "Your Name" (Kimi No Nawa) yang juga secara tidak sengaja mempunyai elemen time travelling.

Rating? 4/5



No comments:

Post a Comment

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...