Monday, December 13, 2021

BEBERAPA FAKTA MENARIK TENTANG ALBUM "TOXICITY" DARI SYSTEM OF A DOWN

BEBERAPA FAKTA MENARIK TENTANG ALBUM "TOXICITY" DARI SYSTEM OF A DOWN

Sedar tak sedar, album kedua dari System Of A Down ini telah mencapai ulangtahun yang ke-20 pada 4 September 2021 yang lalu. Semasa ianya diriliskan pada tahun 2001, Serj Tankian (vokalis) serta Daron Malakian (gitaris) yang menjadi kekuatan sebenar band ini, semestinya tidak menjangka album ini akan mencapai tahap sukses luar biasa di dalam industri muzik antarabangsa khususnya.

Menurut beberapa sumber yang dipetik dari majalah Revolver, terdapat beberapa fakta menarik tentang album ini yang perlu diketahui oleh peminat setia band ini. Berikut merupakan beberapa info menarik tentang pembikinan album "Toxicity", sebuah karya agung dari System Of A Down.

1. Single pertama dari album ini iaitu "Chop Suey" ditulis dan diciptakan di belakang RV (sebuah kenderaan yang boleh dijadikan rumah bergerak) semasa tour album pertama mereka iaitu self-titled.

2. Daron Malakian mengambil inspirasi lagu "A.T.W.A." daripada Charles Manson, seorang ketua kultus yang bertanggungjawab dalam pembunuhan isteri kepada pengarah terkenal Roman Polanski iaitu Sharon Tate (beliau juga merupakan seorang pelakon). "A.T.W.A." yang membawa erti "Air, Trees, Water, Animals" sebenarnya merujuk kepada sebuah organisasi yang diketuai oleh Charles Manson. Organisasi tersebut banyak menjalankan aktiviti menyelamatkan alam sekitar.

3. Daron Malakian (gitaris) dan John Dolmayan (drummer) seringkali bergaduh besar semasa pembikinan album ini sehingga ditahap di mana mereka terpaksa dihantar ke hospital akibat kecederaan yang dialami semasa pergaduhan. Perkelahian secara fizikal tersebut tidak bertahan lama dan ianya diakhiri dengan damai di antara dua pihak.

4. Pada asalnya, album ini sepatutnya mempunyai sebanyak 40 buah lagu namun kemudiannya dikurangkan kepada 30 sahaja. Apabila proses rakaman berjalan, akhirnya mereka tetap mengurangkan jumlah lagu lagi kepada 14 sahaja.

5. Rick Rubin selaku penerbit album ini langsung tidak mengetahui maksud sebenar untuk lagu "Chop Suey".

6. "Toxicity" pada asalnya tidak terniat untuk dijadikan sebuah album yang bertemakan politikal. Menurut Serj Tankian selaku frontman band ini, pada asalnya album ini lebih khusus kepada kritikan sosial namun setelah mendapat pelbagai sumber berita dari pihak tertentu berkaitan dengan isu politik, album ini bertukar arah kepada topik berkenaan.

7. Semasa pelancaran album ini, pihak label telah merangka sebuah konsert percuma bagi mempromosikan karya terbaru dari System Of A Down. Konsert tersebut dibatalkan pada minit terakhir kerana berlaku tunjuk perasaan serta keganasan dari pihak peminat di luar venue konsert.

8. Semasa album ini diriliskan pada tahun 2001, ianya berjaya mengungguli tempat pertama di carta album Billboard. Ketika album ini menjuarai carta tersebut dan dalam minggu yang sama, serangan 9/11 telah berlaku di New York.

9. System Of A Down merasa terkejut apabila single ketiga bertajuk "Aerial" berjaya menjuarai tempat pertama di carta single Billboard kerana mereka merasakan lagu tersebut tidak mempunyai sebarang keistimewaan dan hanya biasa-biasa sahaja.

10. System Of A Down pernah menolak tawaran untuk beraksi di pentas Grammy Award pada tahun 2003 atas alasan ianya cuma sesuai diberikan kepada boy band seperti Nsync mahupun Britney Spears sahaja. Ketika itu lagu-lagu seperti "Chop Suey" serta "Aerial" pernah dicalonkan dalam kategori Best Metal (untuk tahun 2002) dan Best Hard Rock Performance Of The Year.

Apakah lagu kegemaran anda dari album ini?



2 comments:

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...