Thursday, February 10, 2022

KENANGAN LAMA MENGUSIK JIWA : SUGARBUN DI PELITA TUNKU, MIRI

KENANGAN LAMA MENGUSIK JIWA : SUGARBUN DI PELITA TUNKU, MIRI

Pada tahun 1987, aku dan keluarga masih lagi tinggal di Miri. Pada ketika itu kami tinggal di sebuah kawasan perumahan bernama Taman Bumiko. Ianya terletak tidak jauh dari kawasan bandar, hanya beberapa minit perjalanan menggunakan kereta.
Semasa kami sekeluarga tinggal di kawasan perumahan tersebut, arwah datuk serta nenek sebelah mak aku kerap ke Miri untuk menziarahi kami. Mereka berdua sebenarnya berasal dari sebuah perkampungan yang terletak tidak jauh dari Tanjung Manis iaitu Kampung Rajang. Kampung ini terletak berhampiran dengan kawasan Belawai. Boleh check di Google untuk kepastian.
Arwah datuk aku ni jenis yang happy go lucky. Dia ni senang dibawa berjalan ke mana-mana. Dia suka mencuba pelbagai makanan di sesuatu kawasan yang baru diterokainya. Paling dia gemari ialah western food terutama sekali burger. Ayat yang paling iconic serta masih aku ingat sehingga kini tentang arwah datuk aku ialah "kau luk keman baga!" (dari bahasa melanau yang bermaksud "aku nak makan burger"). Ayat itu juga sering didengari ketika arwah bertandang di rumah kami.
Pada suatu hari semasa arwah datuk dan nenek tinggal sementara di rumah kami ketika itu, berlaku satu insiden yang tidak akan aku lupakan sampai bila-bila. Masa itu aku masih lagi kecil, umur aku dalam lingkungan 7 tahun begitu. Arwah datuk tiba-tiba ajak aku seorang sahaja pergi ke bandar semata-mata nak makan burger di Sugarbun. Kepada mereka yang tidak tahu, Sugarbun merupakan sebuah perniagaan makanan berbentuk franchise yang sangat popular di Sarawak. Kalau di Filipina ada Jollibee, di Sarawak pula ada Sugarbun.
Maka kami berdua pun pergilah ke bandar menggunakan bas. Aku masih ingat lagi, masa itu tambang bas cuma 30 sen. Sesampai sahaja kami di terminal bas, datuk mengajak aku pergi ke Wisma Pelita Tunku. Wisma ini sebenarnya merupakan sebuah kompleks membeli belah yang sangat popular di Miri pada tahun 80'an. Boleh dikatakan ianya bagai satu mercu tanda kemajuan di Miri pada ketika itu. Kalau di Pulau Pinang ada Komtar, Miri ada Wisma Pelita Tunku.
Di bahagian tingkat bawah kompleks membeli belah tersebut, terdapat restoran Sugarbun yang menjadi lokasi tumpuan kami berdua. Tanpa berlengah masa, aku serta arwah datuk masuklah ke dalam restoran tersebut. Kami berdua mengambil tempat duduk serta meja yang bersebelahan dengan cermin, senang untuk kami melihat gelagat orang ramai dari luar restoran tersebut. Agak lama jugalah kami duduk tercegat di tempat duduk tersebut tanpa disapa atau dilayan oleh sesiapa pun, termasuk pelayan di restoran tersebut.
Tidak lama selepas itu, datang seorang pelayan restoran tersebut ke arah kami berdua. "Pakcik, minta maaf ya. Kalau nak ambil order makanan, sila ke kaunter. Ini restoran layan diri," kata pelayan tadi.
Menggelabah juga arwah datuk aku masa itu. Manalah dia tahu restoran itu berkonsepkan layan diri. Tapi arwah datuk aku cukup selamba, dibawanya aku sekali ke kaunter. Kami pun sama-sama memilih makanan yang dimahukan. Arwah datuk aku semestinya memilih burger daging kesukaannya. Haha. Seronok tengok dia makan.
Kini selepas 33 tahun, aku kembali ke Wisma Pelita Tunku. Keadaan di tempat itu sudah tidak ceria dan sibuk seperti dahulu. Tidak ramai pengunjung yang datang, malah banyak kedai sudah tutup dan tidak beroperasi lagi. Mungkin disebabkan kegawatan ekonomi akibat pandemik COVID19 yang berlaku sekarang.
Ajaibnya restoran Sugarbun yang pernah dikunjungi oleh arwah datuk dan aku dahulu masih lagi beroperasi seperti biasa. Malah ada perkhidmatan Food Panda disediakan oleh franchise perniagaan berkenaan. Cuma itulah, keadaan di dalamnya sunyi sepi. Semasa aku masuk ke dalam restoran tersebut, aku disapa oleh pelayan di kaunter. Tanpa berfikir panjang, aku order burger ayam ala carte satu dan beberapa ketul naget untuk anak aku. Selesai berurusniaga di kaunter, aku terus keluar dari premis berkenaan.
Tanpa disedari, ada air mata mengalir di pipi semasa aku memegang plastik berisi burger dan naget tersebut. Aku rindu arwah datuk.
Innalillah wa inna ilaihi rojiun




2 comments:

  1. mula-mula aku terkonfius dengan restoran SCR sebelah Mega Hotel... bila pikir balik, rasanya aku tak pernah jejak kaki di Wisma Pelita Tunku...

    ReplyDelete

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...