ULASAN RINGKAS FILEM : KIMI NO SUIZO O TABETAI - I WANT TO EAT YOUR PANCREAS (2018)
Jika dibaca sepintas lalu, tajuk filem ini kedengaran seperti terlalu ganas dan mungkin menuju ke arah kanibalisme. Ianya seperti menonton filem Cannibal Holocaust ataupun Green Inferno. Namun kandungannya tidaklah sedemikian rupa. Filem animasi ini merupakan sebuah karya romantik yang bermula dari sebuah novel dikarang oleh Yoru Sumino dan diadaptasikan ke dalam bentuk anime oleh pengarahnya Shinichiro Ushijima. Filem anime ini dikeluarkan oleh Studio VOLN (yang bertanggungjawab mengeluarkan anime seperti Karakuri Circus dan Idol Incidents) pada tahun 2018.Filem ini mengenai seorang remaja lelaki bernama Haruki Shiga yang menemukan sebuah buku diari di sebuah lobi hospital. Buku itu kepunyaan seorang gadis popular di dalam kelasnya iaitu Sakura Yamauchi. Menyedari Haruki telah membaca beberapa helai mukasurat diarinya itu, Sakura Yamauchi membuat keputusan untuk berkawan dengan Haruki yang bersifat suka menyendiri dan sentiasa bersikap dingin itu. Sakura mempunyai masalah pada Pankreas nya dan dikatakan oleh bahawa dia akan hidup tidak lama. Haruki mengetahui tentang ini melalui buku tersebut. Bermula dari sinilah bibit cinta mula berputik dalam diam di antara mereka.
Jalan cerita filem anime ini pada awalnya agak perlahan namun apabila sampai ke minit 30, momentumnya mula menjadi lebih teruja apabila plot menjadi semakin sukar diramal. Aku suka filem begini di mana pengakhirannya tidak seperti yang kita jangkakan. Tidak kisahlah samada genre romantik, aksi, seram atau sebagainya. Jalan cerita sebegini boleh membuat penonton tidak senang duduk dan teruja sehingga ke akhirnya.
Emosi di dalam filem ini juga bercampur aduk dan ini adalah kekuatannya sebenar. Tatkala watak Haruki mengharapkan Sakura untuk hidup lebih lama namun impiannya itu berkecai sekelip mata, membuatkan kita mudah terasa dengan babak tersebut. Secara peribadi, filem ini lebih beremosi berbanding mana-mana filem drama anime arahan Makoto Shinkai.
Rating? 4/5
Ingat-ingat lupa la cerita ni...aku dah tengok versi live-action...kena tengok versi animasi pulak la nak kasi refresh...
ReplyDelete