Monday, December 12, 2016

Ulasan Zine : Eksploitasi Sunyi (2016)

Eksploitasi Sunyi

Sunyi. Rasa sunyi itu sebenarnya amat subjektif untuk dihujahkan, terutama sekali apabila ianya melibatkan individu yang berbeza. Ternyata keadaan dan perasaan sunyi itu hanya mampu difaham maknanya mengikut pemahaman masing-masing.

Namun apa yang Asraf Mohamad serta Najiha Amran ini mampu lakukan ialah mengabadikan rasa sunyi ke dalam bentuk yang lebih artistik iaitu melalui puisi. Ya, memang benar. Mereka bukanlah orang yang pertama menghasilkan puisi-puisi sebegini. Namun apa yang menjadi daya penarik untuk zine ini ialah kaedah serta olahan bahasa yang digunakan oleh mereka berdua dalam menghasilkan kerja seni sebegini amatlah lain sekali.

Zine puisi yang dihasilkan oleh 2 anak muda ini punyai keunikannya tersendiri. Ditulis dengan gaya kontemporari serta penggunaan bahasa yang mudah. Faktor ini jugalah yang menyebabkan zine ini mudah diterima oleh pembaca kebanyakan. Walaupun kesemua sajak yang ditulis sangat hampir dengan perasaan melankoli, namun ianya juga tidak lari dari tema yang seiring dengan arus perdana contohnya penggunaan beberapa ayat dalam bahasa inggeris dalam sajak-sajak mereka. 

Setiap hidangan puisi masing-masing akan dimulakan dengan prakata oleh mereka. Kata-kata awalan mereka agak "down to earth" dan seiring dengan gaya pemikiran anak muda sekarang. Jelas sekali, walaupun mereka berdua masih baru dalam dunia penulisan puisi namun bakat mereka seharusnya diberi pujian. Jika mereka diberi lebih ruang untuk berkarya, saya jamin mereka boleh pergi jauh. 

Kepada yang berminat, cubalah rasai koleksi puisi mereka berdua melalui zine ini. Nescaya ianya tidak akan menghampakan anda.

Boleh hubungi page facebook Bisak Palak untuk dapatkan zine ini!

Monday, December 5, 2016

Sajak : Sahabat (Dedikasi Buat Mereka Yang Telah Pergi Lebih Awal)

(Sumber Gambar : Quotesgram)

I. 
Hampir setiap malam kegelisahan itu muncul. Ia hadir bagai surat-surat yang penuh tanda tanya, dihantar oleh posmen. Keadaan ini meleraikan lagi tabir kesuraman di dalam kalbu. 

Realiti tidak pernah berlaku belas kepada kita. Mungkin ia sudah ditakdir begitu. Biarkanlah. Hikmah seringkali mengadu domba kepada penciptanya dahulu, lantas kemudian ia akan kembali bersamamu di saat dirinya sudah meluahkan beban di benak. 

Mungkin doa-doaku masih terkandas di lapangan langit yang maha luas itu. Sekalipun ia terlepas lalu menuju ke kantor syurga, ianya tidak sedikit pun mampu menahan sebak di sanubariku ataupun menghilangkan segala hutang piutang dosa semalam. 

II. 
Wahai sahabat, 

Aku masih lagi setia duduk di bangku ini, menemani langit malam yang angkuh. Hangat kehadiranmu dahulu masih lagi terkendong di hujung bangku ini. Setiap perkara yang kita bicara tidak mampu menahan derasnya denting waktu yang mengalir. 

Darah muda kita dahulu bagai warna catan yang meriuhkan kanvas putih kehidupan. Tidak sedikitpun ada sesal yang tergantung di dalam penceritaan jurnal kita. Kau dan aku adalah sebahagian daripada kuasa besar yang tidak terjangkau. 

III. 
Wahai sahabat, 

Aku sedar kedinginan malam kini sudah menjadi pengganti kehadiranmu di sini. Kebergantunganku terhadap masa lalu kian terhakis. Namun ianya tidak sedikit menggoyahkan ingatanku terhadapmu.

Maut sering memerhatikan kita bagai kejora di angkasa. Menyelinap pada setiap celah padi yang menguning di sawah. Tiba waktunya ia pasti datang menuai. 

Sahabatku, 

Kerisauan kita pasti akan berpenghujung. Aku pasti akan menyusul dan menemukanmu di akhir gelap malam yang menemukan sinar fajar.

(Hasil Karya : Adi Herman)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...