Monday, June 27, 2016

Cerkas : Cerita Sedih Yang Sukar Disasterakan (Bahagian 2)

The Fault In Our Stars (Sebuah Novel & Filem)

Hai, nama aku Tangan Kanan. Ya, aku tahu. Nama aku agak kekampungan tapi aku peduli apa. Memang sejak azali itulah panggilanku. 

Dahulu aku ada kekasih. Namanya Tangan Kiri. Tangan Kiri merupakan teman hidup yang paling cocok buatku. Yelah, di sekelilingku mana ada lagi spesis makhluk hidup seperti kami berdua. Kami diciptakan berpasangan seperti tuhan jadikan matahari dan sang sembulan. Namun ada beberapa perkara yang merunsingkan aku tentang Tangan Kiri. 

Tangan Kiri meminati dunia fesyen kelas tinggi. Tangan Kiri suka menyarung segala barangan kemas seperti emas dan berlian pada jari jemarinya yang menawan itu. Citarasa yang tinggi mencanak ke langit itu menyebabkan aku kadang-kadang tidak mampu untuk memenuhi kehendak yang dimahunya. Tangan Kiri mulai memberontak. Dia mahu putus. Lantas meninggalkan aku keseorangan. 

Sejak terlerai segala ikatan kasih sayang antara kami berdua, aku sudah jarang menemui t Tangan Kiri. Dengar khabar, dia sudah ada teman baru. Ada seorang sahabatku bernama Si Punggung berkata, dia pernah menemui Tangan Kiri dengan teman barunya, Si Kemaluan. Si Punggung sering terserempak dengan mereka berdua bercanda dan bermesraan. Paling menghairankan Si Punggung ialah dia pernah ternampak Tangan Kiri mengurut-ngurut manja teman barunya itu sehingga termuntah bendalir warna putih. Beruntung betul teman baru Tangan Kiri. Dahulu aku tidak pernah mendapat layanan kelas pertama seperti ini. 

Mungkin inilah yang selalu diperkatakan orang tentang "bertepuk sebelah tangan".

Monday, June 20, 2016

Cerkas : Cerita Sedih Yang Sukar Disasterakan (Bahagian 1)

Lukas Graham - 7 Years

Ya, aku faham. Tidak semua manusia dikurniakan satu hidayah untuk memahami kata-kata puitis. Contohnya seperti ada satu ketika di mana aku menerangkan tentang maksud beberapa sajak-sajak malar segar hasil karya T Alias Taib dan Baha Zain kepada ibuku. Ibu hanya mampu mengerutkan dahi lantas menukar topik perbualan dengan sepantas kilat tanpa meminta izin pun dariku. Topik yang sering digantikan adalah tentang menu masakan yang mahu dihidang samada pada waktu tengahari mahupun makan malam. Itu aku mengerti. Kasih sayang ibu masih terlalu tajam untuk mencincang sekelumit bawang merah yang berbaur hal-hal biasa sahaja. 

Cuma aku masih tidak faham, bagaimana ibuku tergamak menjadikan setiap helaian kertas yang asalnya adalah segerombolan sajak-sajak underground dalam bentuk zine milikku bertukar peranan kepada perkara yang lain. Bukan main susah aku mengumpul zine-zine tersebut. Kemudian ditukar fungsinya menjadi pembalut nasi lemak yang akan dijualnya di warung Makcik Lehot. Tergamak namun aku cuma mampu lihat sahaja sambil melopongkan mulut. 

Ya, baru kini aku percaya. Cinta itu benar-benar buta.

Monday, June 13, 2016

Cerpen : Taska Kecil Di Tengah Hutan



Di dalam satu kawasan hutan yang luas, wujud satu mitos yang sungguh mengganggu gugat. Ianya berkaitan tentang seekor makhluk berkepala kambing tetapi mempunyai badan seperti manusia. Menurut sumber yang samar-samar kesahihannya, makhluk ini sering kelihatan bertapa di dalam sebuah pondok usang yang terletak jauh di tengah hutan. Dikatakan juga oleh masyarakat setempat, makhluk ini mempunyai wajah yang bengis dan menyeramkan. 

Makhluk berkepala kambing ini dikatakan mempunyai kuasa sakti iaitu ia mampu mempengaruhi fikiran manusia untuk melakukan perkara jahat ataupun baik. Boleh dikatakan seperti teknik hipnotisme. 

Ratusan tahun kemudian, makhluk ini telah memiliki bukan sekadar kuasa hipnotisme, malahan juga menguasai pelbagai ilmu ghaib mahupun sains serta teknologi. Pernah juga seorang pengusaha gerai bakso di pinggiran Kampung Pasir Dua Butir datang menghadap makhluk tersebut semata-mata untuk menuntut ilmu memasak. Lantas selang beberapa tahun kemudian, pengusaha bakso berkenaan menamatkan pengajiannya bersama makhluk tersebut. 

Kini pengusaha berkenaan telah berhenti berniaga bakso akan tetapi menjual ayam goreng pula. Perniagaan ayam goreng si pengusaha tersebut kini sungguh mahsyur di seluruh dunia. Mungkin anda pernah terserempak dengan kedai si pengusaha ini. Kalau anda ada ternampak premis perniagaan yang terpampang papan tanda mempunyai wajah orang tua gemuk, berkaca mata, beruban dan bermisai putih, maka itulah restoran milik si pengusaha tersebut. 

Manakala si makhluk berkepala kambing itu kini hidup mewah di dalam alam manusia. Makhluk itu tidak lagi mempunyai wajah yang menakutkan seperti ratusan tahun sebelum itu. Makhluk berkenaan sudah pandai menyerupai dirinya seperti manusia lain, menggunakan kuasa ghaibnya. Kini dia bekerja sebagai salah seorang menteri di bangunan Kementerian Kewangan yang terletak di Precinct 2, Putrajaya. 

Sungguh licik dan pandai sekali makhluk itu menyusun strategi masa depan. Kudos buat makhluk berkepala kambing!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...