Thursday, February 25, 2021

ULASAN RINGKAS CD : MASDO - JALAN ABBEY (2020)

CD KUGIRAN MASDO - JALAN ABBEY (2020)
Kalau nak diikutkan, Masdo ni sudah lama bertapak di dalam industri muzik tempatan. Bermula dengan nama asalnya The Lipsticks sehingga penjenamaan semula kepada Masdo, band ini telah mengharungi pelbagai rintangan dan asam garam di dalam scene muzik perdana khususnya.
Pertama kali aku kenal dengan Masdo ni pun semasa festival Rocktoberfest pada tahun 2017 bertempat di Miri, Sarawak. Pada mulanya aku tidaklah suka sangat dengan gaya serta muzik mereka. Tetapi setelah menonton sehingga habis persembahan mereka, aku kagum juga dengan mutu persembahan band ini. Ditambah lagi aku pernah menjadi ulat tiket untuk showcase mereka juga di Miri pada tahun 2018. Masa itu sempat juga aku beli CD album pertama mereka bertajuk "Selamat Tinggal Pujaan". Ternyata CD tersebut menjadi heavy rotation di dalam kereta aku, sehinggakan orang rumah aku pun naik bosan sebab asyik lagu-lagu mereka. Haha.

Cover hadapan
Kalau diikutkan, Masdo tidaklah mencipta suatu genre baharu. Malahan ianya sebenarnya disifatkan sebagai kitar semula untuk irama popular 60'an (sengaja aku tidak letak label Pop Yeah Yeah sebab aku fikir ianya sering disalahertikan). Akan tetapi apa yang rasa menjadi satu pencapaian buat Masdo ialah ianya memberi pendedahan buat golongan milenial dengan muzik rock and roll. Seperti yang kita tahu, di zaman mutakhir ini agak jarang sebenarnya golongan muda untuk mendengar mahupun mengenali muzik sebegini.
Berbalik kepada CD ini, ianya merupakan album kedua Masdo. Ianya diberi tajuk "Jalan Abbey" sebab semasa sesi rakaman album ini, ianya dilakukan di lokasi tersebut. Dikhabarkan kugiran Masdo berkampung selama seminggu di situ untuk menyiapkan album tersebut.
Terdapat sebuah lagu bertajuk "Nearly Near You" yang diciptakan oleh Adam Hastings, seorang ahli kumpulan The Bootleg Beatles, sebuah band tribute The Beatles yang pernah membuat persembahan di Malaysia suatu ketika dahulu. Lagu "Nearly Near You" ini merupakan satu-satunya lagu yang bukan hasil nukilan Ali Sariah, selaku frontman untuk band ini.
Kebanyakan lagu-lagu di dalam album ini mempunyai mesej yang tersendiri dan tidak hanya mengenai cinta secara melulu. Sebagai contoh lagu bertajuk "Kasih & Sayang" ianya dianggap sebagai satu nasihat berbentuk spiritual buat semua. Lagu "Janji Manis" pula lebih berbentuk kritikan terhadap mana-mana pihak yang suka melibatkan diri dalam kisah percintaan yang keterlaluan. Walaupun hanya dilengkapkan dengan 5 buah lagu sahaja, namun disebabkan adanya bonus track, album ini dilihat sangat menarik. Disamping packaging nya yang menarik (lirik lagu dijadikan dalam bentuk poskad), CD ini juga berbaloi untuk dimiliki.
Kad lirik berbentuk poskad
cover belakang

Nearly Near You - Masdo (Live at Istana Budaya)

Monday, February 22, 2021

PENGORBANAN SEORANG GURU

Hari Ke-342 Dalam Tempoh Kawalan Pergerakan

PENGORBANAN SEORANG GURU
Pagi tadi sebelum turun kerja, aku sempat tolong set-up laptop untuk anak aku bagi memudahkannya mengikuti sesi pembelajaran menggunakan aplikasi Google Classroom. Semasa aku hendak buat setting Google Classroom, terkebil-kebil jugalah aku dibuatnya walaupun dah banyak kali buat. Bukan apa, kadang-kadang resepsi internet di kawasan rumah aku ni tidaklah berapa bagus sangat.
Melalui Google Classroom itu jugalah, aku dapat perhatikan pihak guru juga struggle untuk menyelaraskan sistem kelas atas talian ini. Mana-mana cikgu yang celik IT (kebanyakannya masih muda dan berumur 40 tahun ke bawah) tu kira OK lah, pandai juga menyelesaikan masalah internet serta bagaimana hendak mendapat perhatian para pelajar di dalam sistem tersebut. Bagi cikgu yang kurang pengetahuan dengan ilmu IT, aku sebenarnya kasihan dengan mereka. Aku faham, benda yang melibatkan proses pembelajaran ini bukan kerja mudah. Ditambah lagi dengan masalah kekangan komunikasi secara langsung bersama para pelajar.
Dari sini, aku sebagai ibu bapa kepada anak-anak kena main peranan dalam hal-hal sebegini. Kalau kita biarkan masalah ini tanpa membantu pihak cikgu, anak kita pasti akan terkebelakang dalam pelajaran. Anak kita juga yang rugi. Melalui situasi sebegini, adalah lebih baik kita hormatilah pengorbanan pihak guru. Jika kita anggap kerja mereka hanya duduk rileks di rumah sahaja, sebenarnya kita silap besar. Aku rasa kadang-kala beban kerja mereka juga pun sama seperti sektor awam yang lain.
Aku harap kita sama-sama berdoa agar pandemik ini cepat berakhir. Aku kadang-kadang rasa tidak sanggup melihat anak-anak hanya duduk di rumah. Kasihan melihat mereka tidak menempuhi kehidupan normal dalam sesi persekolahan seperti kita dahulu.
P/S : Tular baru-baru ini seorang penyampai radio mengejek seorang cikgu di media sosial. Aku rasa benda macam ini tidak perlulah dibuat bahan gurauan. Kalau kau bukan pelawak, tidak perlulah try hard sangat nak melawak.
Caption tentang gambar di bawah : Anak aku serta kawannya yang kebetulan sama kelas sedang mengikuti sesi Google Classroom.



Thursday, February 18, 2021

ULASAN RINGKAS ANIME : WONDER EGG PRIORITY (2021)

Hari Ke-338 Dalam Tempoh Kawalan Pergerakan

ULASAN RINGKAS ANIME : WONDER EGG PRIORITY (2021)

Sebelum kita menyelami dengan lebih dalam tentang anime ini, terlebih dahulu kita kena memahami situasi masyarakat Jepun di zaman sekarang. Sudah semestinya ramai di kalangan kita yang mengetahui tentang masalah peningkatan kes bunuh diri di Jepun serta beberapa isu lain seperti social anxiety yang dialami oleh golongan belia di sana. Situasi begini sebenar amat merunsingkan dan jika tidak kena dengan gaya, boleh melumpuhkan ekonomi sesebuah negara. Kebanyakan rakyat Jepun di zaman moden ini menghadapi masalah low self-esteem yang sangat membimbangkan.

Disebabkan hal-hal yang sebegini juga, dunia anime berperanan dalam membentuk solusi serta menyediakan satu semangat baru buat golongan berkenaan. Begitulah yang dapat kita tonton melalui anime "Wonder Egg Priority" atau dalam Bahasa Jepun nya disebut Wanda Eggu Puriariti. Siri anime ini diterbitkan oleh sebuah syarikat animasi bernama Colverworks. Di antara anime lain yang sangat popular dan diterbitkan juga oleh syarikat ini ialah The Promised Neverland, Darling In A Franxx (personal favourite ni), Rascal Does Not Dream Of Bunny Girl Senpai (juga personal favourite hehe) dan Fairy Tail, sekadar menamakan sebahagian.

Anime ini mengisahkan seorang remaja yang sangat pemalu bernama Ai Ohto di mana pada permulaan ceritanya watak ini berhadapan dengan kesedihan selepas kematian sahabat karibnya bernama Koito Nagase. Koito merupakan satu-satunya sahabat karib Ai Ohto. Ini menyebabkan Ai tersangat sedih dan mengalami tekanan perasaan sehingga pihak sekolah terpaksa meletakkannya di dalam kondisi "home school" sahaja. Ai Ohto juga sering dibuli di sekolah. Pada suatu hari, Ai bertemu dengan seekor serangga yang mati di tepi jalan lalu menguburkannya di bawah sebuah pokok. Seakan sebuah mimpi, serangga tadi hidup semula lalu bercakap dengan Ai Ohto. Sebagai tanda terima kasih, serangga tadi menghadiahkan sebuah telur yang berisi entiti roh manusia lain yang perlu diselamatkan oleh "musuh" mereka. Tanpa disedari, Ai Ohto juga mampu masuk ke dalam dunia mistik yang diperkenalkan serangga tersebut.

Anime ini juga menyelitkan sedikit elemen dunia purgatory yang sering diceritakan di dalam sejarah Yunani. Mungkin ianya tidak disengajakan atau hanya kebetulan. Setiap roh yang mati disebabkan bunuh diri akan melalui fasa purgatory tersebut sebelum melangkah ke alam lain. Di dalam fasa purgatory inilah peranan Ai Ohto serta rakan-rakannya yang lain untuk memimpin roh-roh yang tidak tenteram tersebut untuk melangkah ke alam seterunsya.

Rating? 4 / 5

P/S : Walaupun anime ini nampak sangat comel, jangan terpedaya olehnya. Tema bunuh diri, tekanan emosi dan keganasan sememangnya tidak sesuai untuk individu di bawah umur 16 tahun.

Poster Rasmi Anime "Wonder Egg Priority"


Trailer Rasmi 



Tuesday, February 16, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : WHEN MARNIE WAS THERE (2014)

Hari Ke-336 Dalam Tempoh Kawalan Pergerakan 

Ulasan Ringkas Filem : When Marnie Was There (2014)

Jika anda meminati filem anime dari Studio Ghibli (antara karya terkenalnya ialah Grave Of The Fireflies, Ponyo, My NeighbourTotoro, Spirited Away) sudah semestinya ianya agak sinonim dengan pengarah serta pengasas syarikat produksi tersebut iaitu Hayao Miyazaki. Namun tidak semua filem dari Studio Ghibli adalah arahan daripada Hayao Miyazaki.

Sebagai contoh filem When Marnie Was there keluaran tahun 2014 ini dimana ianya diarahkan oleh seorang sutradara paling muda di dalam syarikat tersebut iaitu Hiromasa Yonebayashi. Filem ini pernah dicalonkan di dalam kategori "Best Animated Features" semasa Academy Award yang ke 88 pada tahun 2016. Selepas filem ini diriliskan, Studio Ghibli mengambil tempoh berehat daripada menghasilkan sebarang karya disebabkan kematian seorang animator terkenal di dalam syarikat tersebut iaitu Makiko Futaka.

Filem ini mengisahkan tentang seorang remaja bernama Anna yang mengalami masalah social anxiety (kesukaran untuk berinteraksi di dalam sesebuah komuniti) sehingga selalu menganggap dirinya tidak berguna. Salah satu faktor yang menyebabkan Anna bersikap sedemikian adalah dia tidak mengetahui asal usul keluarga kandungnya. Pada ketika itu, Anna hanya dibesarkan oleh keluarga angkat. Dalam usaha untuk menyelesaikan masalah Anna ini, ibu angkatnya Yoriko menghantarnya berehat seketika di sebuah rumah saudaranya yang terletak di sebuah pekan kecil. kedudukan pekan kecil itu terletak di tepi pantai. Anna cuba menyesuaikan diri dengan keadaan di pekan kecil itu namun sering menemui jalan bantu sehinggalah suatu hari dia bertemu dengan seorang gadis misteri seusia dengannya bernama Marnie.

Jalan cerita filem ini boleh dikatakan disusun sangat rapi dan menuntut para penonton menyelami emosi setiap watak utama di dalamnya. Pada awal filem ini, mungkin anda merasakan ada unsur LGBTQ di mana chemistry di antara watak Anna dan Marnie dianggap terlalu intim. Namun sangkaan anda pasti meleset jika sampai di penghujung filemnya, anda akan mengetahui identity sebenar Marnie dan ini akan meninggalkan perasaan sedih dan sebak ke atas setiap penonton. 

Rating? 4 / 5

Poster rasmi filem ini


Trailer rasmi filem ini

Wednesday, February 10, 2021

APAKAH LAGU PERTAMA DAN KEGEMARAN ANDA DARI BAND SLIPKNOT?

Di dalam dunia muzik ekstrim antarabangsa, nama Slipknot sebenarnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Bermula dengan album pertama self-titled yang diriliskan pada tahun 1999 di bawah label Roadrunner Records, Slipknot meraih sukses dalam sekelip mata sahaja. Malah menjadikan mereka salah sebuah band nu-metal yang sangat popular pada dekad 90'an. Sehingga sekarang, muzik band ini masih lagi diterima oleh penggemar genre metal khususnya.
Band ini memasuki industri nuansa ekstrim semasa dunia masih lagi demam dengan muzik nu-metal. Pada ketika itu, banyak band-band hebat baru sahaja meriliskan album-album masterpiece seperti Deftones dengan album "Around The Fur" (album kedua mereka), Korn dengan album "Follow The Leader" dan Limp Bizkit dengan album "Significant Other".
Aku masih ingat lagi satu kejadian yang berlaku pada tahun 1999. Waktu itu aku baru sahaja memasuki Politeknik Kuching untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan awam peringkat diploma (hanya bertahan selama 6 bulan sahaja disebabkan aku gagal banyak subjek semasa peperiksaan semester). Insiden ini berlaku semasa hujung minggu dikala ramai pelajar hendak keluar outing di bandar Kuching ketika itu. Pada masa itu, salah satu transportasi yang digunakan dari Politeknik ke bandar Kuching ialah dengan menggunakan perkhidmatan van sewa.
Adalah satu masa tu, aku pun hendak ke bandar untuk membeli beberapa barang keperluan. Aku masih ingat lagi, hari tu hari sabtu. Aku pun menaiki sebuah van sewa ketika itu. Maka berpadatlah van sewa tersebut dengan beberapa pelajar dari Politeknik. Ketika itu, aku duduk di belakang pemandu. Tanpa aku sedari, adalah beberapa pelajar lelaki yang duduk di belakang aku sedang asyik bercerita tentang muzik nu metal. Seorang brader ni sedang khusyuk bercerita tentang sebuah band nu metal yang kebanyakan ahli kumpulannya memakai topeng dan berbaju overall merah. Brader tu siap cakap band ni bawak lagu heavy dan pantas dari segi beat. Aku pun musykil juga, dalam masa yang sama mencuri dengar perbualan mereka di belakang. Brader yang asyik bercerita tadi sempat juga bagitahu dengan kawan-kawan dia nama band tersebut. Slipknot, itu nama yang disebutnya.
Sesampainya di bandar Kuching, destinasi pertama yang aku pergi ialah kedai kaset. Antara tempat yang menjadi destinasi pilihan ketika itu ialah Kuching Plaza (sekarang sudah tidak lagi beroperasi). Kalau tidak silap, nama kedai kaset yang aku masuk pada ketika itu ialah Dallas Music kot. Aku pun ingat-ingat lupa. Lalu aku pun tanyalah dekat tauke kedai, "Tauke, you ada kaset band rock nama Slipknot kah?".
Tanpa menbuang masa, tauke yang aku agak-agak umurnya pada ketika itu sekitar 40'an, mengambil kaset Slipknot daripada rak di belakangnya. Lalu aku pun membayar kaset tersebut. Tapi sebelum itu, aku sempat juga suruh tauke itu pandu uji kaset tersebut melalui radio di kedainya itu. Maka bergemalah seluruh kedai tersebut dengan lagu "Sic". Dahsyat gila lagu ni, boleh menyebabkan rusuhan ni. Itulah tanggapan pertama aku terhadap Slipknot pada ketika itu. Album pertama mereka itu sangat bagus dan amat memorable buat aku.
Bagi aku, "Sic" merupakan lagu yang bertanggungjawab membuatkan aku minat sangat dengan Slipknot pada ketika itu. Manakala album Slipknot yang menjadi kegemaran aku sepanjang masa ialah "Iowa" yang diriliskan pada tahun 2001.
Apa pula pendapat kalian? Adakah sama seperti aku ataupun tidak? Jika tidak, sila nyatakan lagu, nama album dan sejak bila anda menjadi peminat setia Slipknot.
Slipknot line-up 2021

Sic - Slipknot (Live)

Monday, February 8, 2021

KONTROVERSI YANG MENYELUBUNGI ANIME "REDO OF HEALER" (2021)

Apabila kita membicarakan tentang manga bergenre Senien, masyarakat Jepun sering menganggapnya tidak sesuai dipertontonkan kepada individu berusia bawah 18 tahun. Namun begitu, manga genre sebegini sering mendapat sambutan di kalangan lelaki dewasa di Jepun dan kadang-kala dibaca oleh para wanita juga.

Kali ini, aku ingin bercerita mengenai anime berjudul "Redo Of Healer" yang juga berasal dari manga seperti kebanyakan anime yang ada di pasaran. Tetapi aku malaslah nak bercerita mengenai sinopsis anime ini. Korang boleh Google sendiri.

Aku akan bercerita dengan lebih lanjut tentang kontroversi yang berlegar di alam internet tentang anime ini. Seperti yang kita tahu, dunia anime mempunyai spektrum yang terlalu luas dari segi penceritaan. Dari yang berlatarbelakangkan ninja ke robot mecha, dari alam fantasi ke dunia realiti, anime seolah-olah tiada batasan jika ingin menceritakan matlamat ataupun isi kandungannya kepada pihak umum. Di zaman yang mutakhir ini, elemen-elemen yang membawa kepada tontonan dewasa seperti keganasan, seks dan juga LGBTQ tidak terkecuali dicampur aduk di dalam dunia anime.

Namun apa yang menjadi kritikan hebat serta perdebatan di kalangan peminat anime antarabangsa ialah apabila sesetengah rancangan itu menyelitkan unsur rogol dan gangguan seksual yang melampaui batas. Unsur sebeginilah yang sering ditayangkan di dalam anime ini. Dalam sebuah portal berita mengenai anime berjudul Anime News Network, editornya berkata:

“This series is certain to cause a lot of controversy, and Anime News Network welcomes and encouraged discussion of this anime and even the social issues that it touches upon. However rape is never an acceptable punishment and we will not tolerate any posts that even remotely suggest that it is.

Furthermore we will not tolerate posts that take glee in the controversy that this show is likely to cause, nor will we tolerate any posts that appear to be trollish or baiting in nature.”

– ANN CEO

Terkini, sebuah portal rasmi yang menayangkan anime di Jerman telah membatalkan sebarang tayangan untuk siri anime "Redo Of Healer" disebabkan ianya terlalu sensitif untuk tontonan penonton mereka. Ini menguatkan lagi hujah di mana anime ini sangat memberi kesan negatif buat semua lapisan masyarakat jika tidak dipantau dengan betul.

Namun begitulah sifat manusia. Walaupun telah dikatakan haram atau disekat oleh mana-mana pihak berkuasa, perasaan ingin tahu manusia pasti akan membuak-buak dan akhirnya terjebak juga. Bagi mereka yang ingin menonton anime ini, pastikan anda tidak ditemani oleh kanak-kanak atau individu di bawah 18 tahun. Jangan terpedaya dengan watak-watak anime yang comel di dalam siri ini. Untuk penjelasan yang lebih terang dan terperinci, anime ini tidaklah terlalu ke arah hentai. Mungkin anime ini membawa genre Seinin ke tahap yang lain dan lebih kontemporari (kononnya lah).



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...