CD KUGIRAN MASDO - JALAN ABBEY (2020)
Kalau nak diikutkan, Masdo ni sudah lama bertapak di dalam industri muzik tempatan. Bermula dengan nama asalnya The Lipsticks sehingga penjenamaan semula kepada Masdo, band ini telah mengharungi pelbagai rintangan dan asam garam di dalam scene muzik perdana khususnya.
Pertama kali aku kenal dengan Masdo ni pun semasa festival Rocktoberfest pada tahun 2017 bertempat di Miri, Sarawak. Pada mulanya aku tidaklah suka sangat dengan gaya serta muzik mereka. Tetapi setelah menonton sehingga habis persembahan mereka, aku kagum juga dengan mutu persembahan band ini. Ditambah lagi aku pernah menjadi ulat tiket untuk showcase mereka juga di Miri pada tahun 2018. Masa itu sempat juga aku beli CD album pertama mereka bertajuk "Selamat Tinggal Pujaan". Ternyata CD tersebut menjadi heavy rotation di dalam kereta aku, sehinggakan orang rumah aku pun naik bosan sebab asyik lagu-lagu mereka. Haha.
Cover hadapan
Kalau diikutkan, Masdo tidaklah mencipta suatu genre baharu. Malahan ianya sebenarnya disifatkan sebagai kitar semula untuk irama popular 60'an (sengaja aku tidak letak label Pop Yeah Yeah sebab aku fikir ianya sering disalahertikan). Akan tetapi apa yang rasa menjadi satu pencapaian buat Masdo ialah ianya memberi pendedahan buat golongan milenial dengan muzik rock and roll. Seperti yang kita tahu, di zaman mutakhir ini agak jarang sebenarnya golongan muda untuk mendengar mahupun mengenali muzik sebegini.
Berbalik kepada CD ini, ianya merupakan album kedua Masdo. Ianya diberi tajuk "Jalan Abbey" sebab semasa sesi rakaman album ini, ianya dilakukan di lokasi tersebut. Dikhabarkan kugiran Masdo berkampung selama seminggu di situ untuk menyiapkan album tersebut.
Terdapat sebuah lagu bertajuk "Nearly Near You" yang diciptakan oleh Adam Hastings, seorang ahli kumpulan The Bootleg Beatles, sebuah band tribute The Beatles yang pernah membuat persembahan di Malaysia suatu ketika dahulu. Lagu "Nearly Near You" ini merupakan satu-satunya lagu yang bukan hasil nukilan Ali Sariah, selaku frontman untuk band ini.
Kebanyakan lagu-lagu di dalam album ini mempunyai mesej yang tersendiri dan tidak hanya mengenai cinta secara melulu. Sebagai contoh lagu bertajuk "Kasih & Sayang" ianya dianggap sebagai satu nasihat berbentuk spiritual buat semua. Lagu "Janji Manis" pula lebih berbentuk kritikan terhadap mana-mana pihak yang suka melibatkan diri dalam kisah percintaan yang keterlaluan. Walaupun hanya dilengkapkan dengan 5 buah lagu sahaja, namun disebabkan adanya bonus track, album ini dilihat sangat menarik. Disamping packaging nya yang menarik (lirik lagu dijadikan dalam bentuk poskad), CD ini juga berbaloi untuk dimiliki.
Kad lirik berbentuk poskad
Aku tau band ni dari anak aku...
ReplyDeleteTapi ok la...walaupun kurang berminat dengan muzik sebegini...tetapi baguslah ada generasi baru yang terus bermain muzik.. lebih elok kot dari asyik bertiktok...haha...
betul tu bang, at least generasi baru dapatlah merasa hebatnya muzik rock n roll mcm dulu2.
Delete