Monday, May 8, 2017

Ziarah ke Kedai Buku Mak Ali, Kajang (24 April 2017)

Sebenarnya aku datang ke kedai ni tanpa dirancang. Tujuan sebenar aku ke tanah Semenanjung ni atas urusan kerja. Aku sampai ke KLIA2 pun dalam pukul 11 pagi begitu. Sampai je aku terus ambik Grabcar dan seterusnya mendaftar ke akademi yang akan aku jalani kursus keesokan harinya.

Bosan sebab duduk dalam hostel saja, aku dan rakan sekerja, Edham (bukan nama sebenar) telah membuat keputusan untuk keluar jalan-jalan cari pasal di sekitar kawasan tersebut. Kami pun menggunakan kaedah transportasi yang sama iaitu Grabcar. Kejutan budaya jugaklah dibuatnya bagi aku yang pertama kali merasai sendiri perkhidmatan transportasi yang serba mudah ini. Hanya menggunakan telefon pintar sahaja, anda dapat pergi ke mana-mana dengan harga yang murah jugalah.

Mula-mula kami lepak ke Alamanda di Putrajaya. Terasa macam membosankan sebab suasana dalam pusat membeli belah tu sama sahaja kalau nak dibandingkan di tempat aku. Lagipun aku datang ke sini tak bawa keluarga. Jadi keseronokan itu pun terbantut. Agak pointless kalau pergi bersiar-siar ke tempat ini kalau tak bawa family.

Lepas itu aku membuat keputusan untuk pergi ke Kedai Buku Mak Ali. Memandangkan perjalanan dari Putrajaya ke Kajang tidaklah jauh sangat. Lagipun aku sudah lama tak ke Kajang. Dulu masa zaman berlajar di kolej (nama kolej tersebut terpaksa dirahsiakan atas sebab yang boleh membawa kepada social panic attack) Kajang ni lah tempat aku singgah dan lepak dengan kawan-kawan di hujung minggu ataupun masa outing.

Sesampainya kami di Kedai Buku Mak Ali, kami lihat ada bengkel mengukir kayu sedang dijalankan. Masa tu jugaklah aku beramah mesra dengan Ali dan mak dia. Friendly giler wa cakap lu. Disebabkan suasana yang mesra pelanggan sebegini menyebabkan aku terbeli beberapa buku dan zine yang hebat di sini. Kawan-kawan yang mengikuti bengkel ukir kayu di boleh tahan ramai juga. Tekun sungguh mereka membuat hasil seni masing-masing. 

Jangan risau. Ada rezeki nanti aku akan kembali ke kedai ni. Mana la tau kalau-kalau dapat lepak serta berborak sambil ngeteh dan pekena satey Kajang. Cheers!

P/S: Di kedai buku ini juga ada dijual buku-buku hasil karya aku iaitu Pentagram Di Atas Pusara serta buku koleksi puisi Sajak-Sajak Yang Berteduh Di Bawah Suram.

 Grafiti di dinding yang sememangnya mantap


 Dekorasi agak ringkas tetapi kekal menarik


 Kelihatan beberapa orang belia sedang tekun mengukir kayu


 Hasil kerja cetakan menggunakan wood carving


 Semacam hasil karya Pangrok Sulap tetapi bukan


 Aku dengan tak malu dan terhegeh-hegehnya berposing di hadapan kedai


 Sempat bergambar kenang-kenangan bersama tauke kedai ini, saudara Ali Rafiq


Bengkel wood cutting bersama Benk, seorang artis dari Indonesia. Cantik betul hasil kerja beliau.

Tuesday, May 2, 2017

Nuansa Di Antara Hari Buruh dan Budaya Membaca

Selamat Hari Buruh Sedunia.



Di atas merupakan beberapa bahan bacaan yang sesuai dibaca pada hari ini (1 Mei). Aku bersetuju dengan slogan yang sering diwar-warkan oleh Thukul Cetak iaitu "Bangsa membaca bangsa melawan".

Melawan dari segi apa, itu agak subjektif untuk dibincangkan. Tetapi ianya lebih terjerumus ke arah menyampaikan info tentang perjuangan nilai sama-rata untuk semua umat manusia, memperjuangkan hak asasi serta melawan ketidakadilan melalui ilmu itu sendiri.

Lapisan masyarakat yang menindas dan mendiskriminasi adalah golongan bourgeois yang tidak tahu diuntung, kental sifat ketidakpedulian dan cetek ilmu pengetahuan. Percayalah. Jika semua umat manusia cintakan ilmu dan cenderung ke arah minat membaca, maka tidak akan ada kasta-kasta yang membezakan kita. Malah masyarakat pasti akan lebih hidup harmoni dan bertoleransi. 

Khilaf dalam petualangan mengumpul ilmu semestinya wujud. Namun jika sifat adab yang tinggi diiringi dengan ilmu yang mantap, maka perbezaan akan dirai dengan lapang dada. Cinta terhadap ilmu itu harus disemai seawal usia yang mungkin. Ini tidak perlu diajar, intuisi ini seharusnya datang dengan sendiri. 

Namun apa kaitan di antara hari buruh dengan sifat suka membaca? Secara harfiahnya, setiap manusia yang menjejakkan kaki di atas bumi Tuhan ini dan tergolong di dalam golongan pertengahan samada sedar atau tidak adalah pekerja kepada sesuatu majikan, baik kepada majikan dari sebuah syarikat korporat yang berstatus antarabangsa mahupun perusahan kecil-kecilan yang didukung secara mandiri. 

Setiap persatuan sekerja yang dianggotai oleh ahli-ahli dari golongan buruh seharusnya sentiasa peka dengan apa jua perkembangan tentang hak asasi yang merangkumi aspek dunia pekerjaan masing-masing. Justeru itu, setiap ahlinya juga sentiasalah rajin dalam membaca beberapa buku penting yang melibatkan perihal pengurusan sesebuah organisasi, analisa struktur kewangan sesebuah syarikat serta perkara-perkara asas seperti perbandingan sistem pemerintahan yang berlandaskan pemikiran atau falsafah yang berbeza. Tidak salah rasanya jika kita mempelajari ilmu-ilmu yang kadang-kadang dirasakan tiada kaitan dengan corak kehidupan kita.

Akhirul kalam, tuntutlah ilmu sehingga ke negera China. Semoga ilmu yang bermanfaat dapat memberi seribu macam kesejahteraan ke dalam hidup kita.

"Dalam mengejar cinta, hanya yang berani mendekati yang akan memiliki. Kerana hati tak berkaki," - Malek Hussin

P/S: Sepatutnya post ini disiarkan kelmarin. Maaf.

Monday, May 1, 2017

Sajak : Bilik Kosong



Hasil Karya : Adi Herman

Dedikasi buat Tok Nan (Allahyarham Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan Satem)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...