Monday, August 30, 2021

APAKAH ITU "HERD IMMUNITY" DAN KENYATAAN TERKINI KHAIRY JAMALUDDIN

 

Baru-baru ini Khairy Jamaluddin selaku koordinator untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah membuat satu kenyataan bahaya terma "herd immunity" tidak lagi relevan untuk digunapakai dalam usaha ke arah pembasmian virus serta pandemik tersebut. Ini adalah kerana walaupun populasi penduduk negara secara keseluruhan telah pun diberikan vaksin dan mencapai peratusan sebanyak 80% patuh imunisasi, hakikatnya COVID-19 masih lagi akan berada di dalam komuniti.
Cuma ianya akan berada di dalam situasi "endemic" (penularan penyakit di bawah paras tertentu berdasarkan faktor geografi tanpa penyumbang luaran), terkawal, kadar kematian akan berkurangan dan semestinya akan beransur reda. Aku merasakan kenyataan KJ ini ada benarnya sebab bagi aku kerajaan harus telus dan realistik dalam menyampaikan maklumat kepada orang awam.
Namun begitu, masih ramai di antara kita tidak memahami apakah itu "Herd Immunity". Herd Immunity/imuniti kelompok ialah keadaan penularan jangkitan penyakit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat itu mempunyai imuniti atau daya tahan terhadap penyebab jangkitan penyakit itu. Imuniti atau daya tahan itu diperoleh hasil imunisasi. Menurut WHO, dianggarkan 60 hingga 70% populasi dunia perlu mempunyai daya tahan terhadap #COVID19 bagi membolehkan 'imuniti kelompok' dapat dicapai dan penularan #COVID19 dapat dikawal.
Dalam kata lain, Imuniti Kelompok atau Herd Immunity adalah keadaan di mana sebuah agen infektif (atau jangkitan) tidak dapat memasuki atau menyebar di kalangan suatu kelompok masyarakat oleh kerana sebahagian besar daripada anggota masyarakat tersebut mempunyai imuniti dan terlindung daripada penyebab jangkitan tersebut. Cara
terbaik
mencapai Imuniti Kelompok adalah melalui vaksinasi.
Namun secara logiknya dan berdasarkan keadaan semasa, pembasmian secara total untuk virus COVID-19 buat masa terdekat adalah sangat mustahil. Akan tetapi ianya bukan alasan untuk kita berserah dan berputus asa kerana kita masih lagi mempunyai harapan serta peluang yang cerah untuk menang di dalam peperangan halimuan ini. Apa yang pasti, jika kebanyakan daripada kita telah mendapat vaksin, kadar kematian dan jumlah penerimaan kes baharu setiap hari pasti akan menurun. Pencapaian ini pun sudah memadai buat masa sekarang.
Photo credit : KKM



Thursday, August 26, 2021

ADA APA DENGAN FILEM "SKATER GIRL", SISTEM KASTA DAN KONFLIK INDIA - PAKISTAN

 

Spoiler Alert!

Kalau belum tengok filem ini dan tidak mahu spoil mood semasa menontonnya nanti, sila jangan baca (tapi anda akan tetap baca juga kan? Hehe)

Semalam aku serta anak perempuanku menonton sebuah filem Netflix berjudul "Skater Girl" lakonan Amrit Maghera dan Rachel Saanchita Gupta. Ianya merupakan sebuah filem dwi bahasa antara Hindi dan English dan memfokuskan kepada kehidupan di India itu sendiri dengan sedikit percampuran budaya barat melalui sukan papan luncur (skateboarding). Jalan cerita ringkas sahaja cuma emosi yang ditampilkan sepanjang filem ini amat memberi kesan kerana ianya berdasarkan dengan keadaan sebenar di dalam komuniti India.
Setelah selesai menonton filem ini, anak perempuan aku merasa tidak keruan dengan beberapa bahagian di dalam filem tersebut terutama sekali apabila watak "Prerna" dipaksa untuk kahwin tanpa kemahuannya sendiri. Firasat anak aku seolah-olah tahu apa akan berlaku pada Prerna jika dia selesai bermain skateboard untuk kali terakhir selepas pertandingan tersebut. Dia merasakan Prerna akan tetap dipaksa kahwin juga walaupun telah menjuarai pertandingan tersebut.
Anak perempuanku mula berdiskusi dengan aku tentang perkahwinan secara terpaksa di awal usia ini. Aku pun cuba menerangkan tentang adat lama ini kepadanya. Lalu aku pun berceritalah kepadanya bahawa dalam Islam pun tidak melarang perkahwinan untuk perempuan di bawah usia 18 tahun asalkan sudah akil baligh. Dalam masa yang sama aku kaitkan juga dengan situasi tentang isteri Rasulullah bernama Siti Aishah yang berkahwin dengan baginda di usia terlalu muda.
Aku cuba jelaskan bahawa situasi Prerna dan Siti Aishah tidak sama kerana kedua-duanya melalui situasi yang berbeza. Walaupun Siti Aishah dikahwini di usia yang terlalu muda, namun ketika itu dalam masyarakat dan generasi tersebut (merangkumi orang Arab, Eropah dan Asia secara umum), perkahwinan seperti itu adalah normal. Namun baginda nabi tidak pernah menarik kebahagian Siti Aishah sebagai kanak-kanak pada masa itu (nauzubillah) malah diangkat darjatnya sebagai "Ummul Mukminin" (maksudnya ibu orang yang beriman) kerana semasa hayatnya Siti Aishah menjadi gedung ilmu buat para cendekiawan Islam baik dalam hadith mahupun hal-hal yang berkaitan tentang agama serta pemerintahan sebuah negara. Siti Aishah adalah seorang wanita yang pintar dan menjadi salah satu simbol kekuatan kaum hawa dalam Islam.
Masih lagi tidak puas hati dengan filem tersebut, anak aku tanya pula tentang apa itu sistem kasta. Aku cuba jawab dengan apa yang aku faham. Aku pun jelaskan kepadanya bahawa Kasta merupakan sebuah sistem yang digunapakai di dalam masyarakat India di mana ianya sudah diamalkan oleh penganut agama Hindu di sana sejak beribu tahun lamanya. Namun sekarang, sistem tersebut mula terhakis akibat kehidupan moden yang dialami sekarang. Apa yang dia tonton di dalam filem "Skater Girl" ini cuma berlaku di kawasan pendalaman India sahaja di mana budaya kasta masih lagi kuat diamalkan. Anak aku pun angguk kepala tanda faham.
Lepas itu, anak aku pun cakap yang dia kenalan dia dari India (yang dia kenali melalui Twitter). Reaksi pertama ialah "adakah kenalan ini lelaki atau perempuan?" (Soalan tipikal seorang ayah haha). Lalu dia menjawab "perempuan lah ayah!". Aku pun ketawa sebagai tanda lega. Anak aku bagitahu yang kenalan dia dari India ini sangat membenci negara Pakistan. Anak aku tak faham kenapa situasi ini berlaku. Bukankah mereka ini berjiran dan mempunyai budaya dan bahasa yang hampir sama?
Soalan ini berat juga aku nak terangkan. Mungkin disebabkan sejarah perhubungan yang sangat renggang sejak tertubuhnya kedua-dua negara tersebut serta isu dalaman yang complicated (sebagai contoh isu di Kashmir) menyebabkan aku hanya mampu beri jawapan yang sangat ringkas sahaja. Selebihnya aku suruh dia cari jawapan daripada Wikipedia sahaja.
Semenjak berlakunya PKP ini dan anak aku menjalani sesi PDPR di rumah, seringkali juga aku berinteraksi dengan anak perempuanku dan kami berdiskusi dalam topik-topik yang berat seperti masalah agama, sejarah manusia dan pelbagai lagi. Mujurlah rumah aku banyak menyimpan beberapa buku ilmiah sebagai rujukan untuk aku serta anak perempuanku. Dalam internet pun tidak semua maklumat yang diperolehi adalah sahih ataupun boleh digunapakai. Kadang-kala perbualan dan interaksi antara anak dan ibu bapa juga penting dalam pembelajaran mereka. Di masa begini, harap ibu bapa kena bersabar dan pintar dalam memberi jawapan yang sepatutnya.



Monday, August 23, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : INFINITE (2021)


Selalunya apabila aku terdengar atau terbaca nama Antoine Fuqua, pengarah yang pernah mengarahkan beberapa filem
hebat
seperti The Equalizer, South Paw dan Training Day ini, perasaan aku kadang-kala bercampur baur. Jika diperhatikan senarai filmography beliau, jumlah filem yang gagal dihasilkan beliau serta tidak lupa juga yang sukses boleh dikira sama banyak.
Dalam bahasa kasarnya, jika ianya filem yang bagus, ianya memang banyak mendapat pujian serta ulasan yang bagus. Manakala jika ianya filem yang gagal, ianya pasti akan dikritik dengan teruk sekali (antara filem gagal beliau ialah "The Replacement Killers" lakonan Chow Yun Fatt yang dikatakan terlalu meniru gaya filem arahan John Woo).
Filem "Infinite" arahan beliau ini merupakan antara beberapa filemnya yang boleh dikategorikan sebagai karya yang gagal. Tidak seperti filem gandingan pertama beliau bersama Mark Wahlberg bertajuk "Shooter" (2007) yang mendapat sambutan yang baik suatu ketika dahulu, "Infinite" seolah-olah gagal membawa aura kejayaan yang sama. Diinspirasikan daripada novel "The Reincarnationist Papers" sepatutnya mempunyai jalan cerita yang sangat menarik, akan tetapi gagal di execute secara sempurna di dalam filem ini.
Pada pandangan aku, jika filem ini dibuat dalam format TV series, mungkin dilihat sesuai kerana ianya memberi ruang secukupnya untuk memberi naratif yang lebih teratur. Penyampaian "back story" juga menjadi lebih sempurna dan tersusun jika dibuat berdasarkan episod yang berasingan.
Walaupun dipenuhi dengan pelbagai adegan lagak ngeri yang mempersonakan, namun ianya gagal menarik penonton seperti aku untuk menghabiskan tontonan. Mungkin kesemua adegan stunt serta pertarungan di dalam filem ini dianggap terlalu cliché (terlalu dipengaruhi dengan unsur "The Matrix" yang boleh dikatakan sangat membosankan), ianya menjadi salah satu faktor kegagalan di pawagam mahupun tontonan atas talian. Kalau menonton filem ini di pawagam, rasanya pasti akan merasa menyesal tak sudah.
Rating? 1.5 / 5





Thursday, August 19, 2021

KENANGAN SEWAKTU MENDAPAT KEPUTUSAN SPM DAHULU


Aku adalah di antara kebanyakan pelajar yang mendapat keputusan SPM yang sederhana sahaja dahulu. Masa itu tahun 1998, aku ketika itu di dalam aliran sains ekonomi, ianya merupakan aliran yang berada di tengah-tengah, antara sains dan sastera. Masa pelajaran yang paling aku rasa susah untuk mendapat keputusan yang baik ialah prinsip akaun.
Di antara tahun 1997 sehingga 1998, aku yang berada di aliran sains ekonomi terpaksa mengambil beberapa subjek khas seperti ekonomi asas dan prinsip akaun. Ketika itu aku rasa struggle juga disebabkan pada asalnya aku memang tak reti dengan hal-hal berkaitan akaun ni. Seringkali mendapat markah 0 di dalan kelas apabila tiba peperiksaan semester, ianya membuatkan aku seringkali merasa yang aku tidak sesuai dengan aliran ini. Tapi masalahnya ketika itu, aku masih di dalam dilema iaitu sukar memilih aliran mana yang sesuai dengan jiwa dan perwatakan aku.
Aku masih ingat lagu kata-kata cikgu subjek prinsip akaun masa itu. "Awak ni memang tak ada harapan la dalam subjek accounting," kata-kata itu masih lagi terngiang-ngiang di kepala sehingga ke hari ini. Aku tidak putus asa walaupun kata-kata tersebut terasa seperti makian ataupun cacian. Aku rilek saja dan dalam masa yang sama aku cuba untuk perbaiki diri.
Beberapa bulan sebelum SPM, aku mula mendapatkan latihan intensif daripada seorang rakan sekelas yang pandai dengan subjek prinsip akaun ni. Masa itu amat susah nak cari kelas tuisyen untuk subjek tersebut, jadi terpaksalah cari kawan yang pandai mengajar dan bijak dalam matapelajaran ini. Alhamdulillah setelah selesai mengambil ujian subjek tersebut ketika SPM, akhirnya keputusan yang aku dapat untuk prinsip akaun boleh dikatakan amat membanggakan walaupun sekadar kredit sahaja. Sekurang-kurangnya tidaklah dapat E dalam subjek tersebut.
Aku juga seharusnya berterima kasih buat sahabat aku Adi Jaya (nama pun hampir sama dengan aku haha) kerana banyak membantu aku dalam subjek tersebut. Sekarang beliau pun sudah jadi pensyarah di salam sebuah IPT tempatan di sini dan mengajar subjek perakaunan juga. Haha.
Manakala aku pula yang asalnya merasakan sangat bodoh dalam menerima ilmu berkaitan perakaunan akhirnya melanjutkan pendidikan di dalam subjek tersebut dan sehingga ke hari ini masih lagi mengendalikan hal-hal yang berkaitan dengan akaun di dalam sektor kerajaan. Ironi sungguh, pada awalnya aku sangat benci dengan subjek ini namun akhirnya inilah pekerjaan yang aku buat sehinggalah aku pencen nanti. Haha.
Apakah pula kenangan kalian semasa menerima keputusan SPM dahulu? Cuba ceritakan.

Photo Credit : Mau Makan Apa






Monday, August 16, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : CHRISYE (2017)

"Chrisye" merupakan sebuah filem autobiografi seorang penyanyi terkenal dari Indonesia. Chrisye atau nama sebenarnya Haji Chrismansyah Rahadi merupakan seorang penyanyi popular dari Indonesia yang pada mulanya terkenal melalui lagu-lagu terawal beliau di dekad 70'an seperti "Lilin-Lilin Kecil", "Juwita", "Merpati Putih" dan banyak lagi. Berdasarkan majalah Rolling Stone Indonesia, Almarhum Chrisye dinobatkan sebagai salah seorang penghibur terbaik Indonesia sepanjang zaman dan beliau menduduki tempat ketiga.

Filem yang diriliskan pada 2017 ini merupakan sebuah karya arahan Rizal Mantovani (pengarah trilogi Kuntilanak) dan watak Chrisye pula dipegang oleh Vino Bastian yang pernah membintangi beberapa filem popular seperti "30 Hari Mencari Cinta", "Punk In Love" dan yang paling ditunggu-tunggu iaitu "Buya Hamka" di mana beliau akan memegang watak Abdul Malik Karim Amrullah (Buya Hamka sendiri). Filem biografi ini sebenarnya lebih ke arah penceritaan melalui perspektif isteri Chrisye iaitu Ibu Damayanti Noor dan watak beliau dibawakan oleh Velove Vexia (popular dengan filem "Hujan Bulan Juni").
Filem ini memaparkan kisah tentang karier Chrisye yang bermula dari awal pembabitannya dalam dunia muzik sehingga kewafatannya pada tahun 2007. Bermula dengan bermain dengan kugiran The Gypsy Band pada awal dekad 70'an yang kemudiannya pernah berhijrah ke Amerika demi melebarkan sayap muzik mereka sehinggalah beliau menjadi sukses dengan album-album solonya, filem ini mengambil beberapa peristiwa penting dalam hidup Chrisye.
Antara beberapa peristiwa penting yang diberikan fokus sebaik-baiknya dalam filem ini ialah semasa Chrisye popular dengan lagu pertamanya yang bertajuk "Lilin-Lilin Kecil", penampilannya yang unik di dalam rancangan TV semasa mempersembahkan lagu "Aku Cinta Dia", konsert solonya bertajuk "Sendiri" yang berskala besar di Monumen Nasional, Jakarta serta penciptaan lagu relegi "Ketika Tangan Dan Kaki Berkata", sebuah kolaborasi beliau dengan sasterawan Indonesia, Taufiq Ismail.
Filem ini sebenarnya diadaptasikan dalam format yang masih dikira agak "basic" dan tidak terlalu mendalam seperti yang dapat kita tontoni dalam filem "Bohemian Rhapsody" (sebuah biografi tentang band Queen dan penyanyinya Freddie Mercury). Pada awal filem ini, aku merasakan lakonan Vino Bastian agak kekok seolah-olah sentiasa lalok hisap ganja sepanjang perjalanan filem ini. Tapi jika dikaji secara menyeluruh, susuk tubuh yang namanya Chrisye ini memang seorang yang lemah lembut, soft spoken dan bukanlah individu yang gasar. Mungkin dari aspek lain, Vino sedaya upaya untuk mengamati aspek berkenaan tentang Chrisye.
Bagi aku, filem ini wajib ditonton jika anda seorang peminat muzik terutama sekali pada mereka yang mengenali Chrisye. Melalui filem ini juga kita dapat menyaksikan sisi lain yang jarang diperkatakan umum tentang Chrisye seperti dari aspek rohani dan kekeluargaan. Mungkin ianya bukanlah filem biografi yang sempurna namun masih tetap mampu dihargai oleh setiap genap lapisan masyarakat. Filem ini juga dapat ditonton melalui aplikasi Netflix.
Rating? 4 / 5



Thursday, August 12, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : ARMY OF THE DEAD (2021)

Spoiler Alert! You have been warned.

Seperti kebanyakan filem yang aku tonton, semestinya pengenalan bermula dari trailer yang berlegar-legar di kebanyakan media sosial. "Army Of The Dead" juga tidak terkecuali. Apa yang menarik minat kebanyakan pencandu filem ialah apabila nama Zack Snyder muncul pada poster ataupun trailer selaku sutradara untuk filem ini.
Seperti yang kebanyakan sudah sedia maklum, nama Zack Snyder bukanlah asing di Hollywood terutama sekali apabila melibatkan pembikinan filem science fiction dan juga aksi. Sebelum ini, beliau baharu sahaja meriliskan semula Justice League (Snyder's Cut) di HBO dan ianya mendapat sambutan hangat kerana dikatakan jalan ceritanya lebih terperinci dan menarik daripada versi asal.
Berbalik kepada filem ini, Zack Snyder kembali lagi dengan genre zombie seperti sebelumnya di mana beliau juga pernah menghasilkan "Dawn Of The Dead" (2004). Menonton filem ini juga seperti mengimbau kembali kepada beberapa filem zombie arahan George A. Romero (pengarah yang terkenal dengan filem zombie) dari aspek yang lebih positif. Seolah-olah Zack Snyder ingin memberikan satu bentuk penghormatan dalam filem "Army Of The Dead" ini kepada George A. Romero.
Tapi setelah menonton filem ini sehingga end credit, didapati ianya tidaklah sehebat mana pun. Namun demikian tidaklah seteruk yang disangkakan. Ianya berdiri di tengah-tengah di antara buruk dan baik. Dari segi CGI, aku boleh katakan filem ini masih lagi mengekalkan trademark Zack Snyder yang mengetengahkan elemen polarizing dalam filem serta babak aksi yang agresif dari segi visual.
Dari segi penceritaan pula, filem ini boleh dianggap gagal kerana banyak menghasilkan puluhan potholes dan mengundang terlalu banyak tanda tanya. Kalau diikutkan ianya merupakan filem yang straight forward sahaja, akan tetapi disebabkan beberapa plot yang dirasakan tidak penting tetap diwujudkan juga, sebagai contoh watak Kate Ward, anak kepada Scott Ward lakonan Dave Bautista sangat tidak wajar dipertengahkan. Babak semasa membuka peti besi juga dianggap tidak logik. Alangkah baiknya jika Scott Ward serta rakan-rakannya berselindung di dalam peti besi tersebut sehinggalah Las Vegas selesai diletupkan oleh bom nuklear. Bahagian ini sudah menunjukkan kelemahan besar "Army Of The Dead".
Senang cerita, begini sahajalah. Anggap saja filem "Army Of The Dead" ini seolah-olah Zack Snyder hendak buat setakat sama level macam telemovie sahaja seperti yang kita tonton setiap hari jumaat pada pukul 9 malam. Filem ini memang bersifat "no brainer" dan tidak menggalakkan penontonnya mengambil terlalu serius terhadap jalan cerita utama. Ianya tidak seharusnya disamakan dengan kebanyakan filem Christopher Nolan. Cukup sekadar ditonton untuk suka-suka dan semestinya ianya tidak ada nilai yang memorable.
Rating? 2 / 5



Monday, August 9, 2021

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : SUPER CUB (2021)

Dewasa ini aku gemar menonton siri anime yang berbentuk drama dan membicarakan tentang kehidupan sehari-harian. Dalam dunia anime dan manga, ianya digelar "slice of life". Kebanyakan filem anime yang popular di Jepun pun banyak yang membawakan genre sebegini dan sering mendapat tempat di hati peminat anime.

Siri anime "Super Cub" ataupun dalam sebutan Jepun nya "Supa Kabu" mula disiarkan melalui 5 stesen televisyen iaitu AT-X, Tokyo MX, TV Aichi, KBS Kyoto dan BS11. Ianya juga boleh ditonton secara sah dan rasmi melalui channel YouTube Muse Asia dan ianya sering dikemaskini setiap minggu. Buat masa sekarang aku sudah menonton sehingga episod ke lapan.
Anime ini mengisahkan tentang seorang remaja perempuan bernama Koguma yang pada mulanya seorang yang pendiam, bersikap introvert, hidup keseorangan dan tidak mempunyai kawan. Suatu hari semasa turun ke sekolah menggunakan basikal tua, dia berhasrat untuk membeli motosikal untuk kegunaan aktiviti sehariannya. Lalu bermulah kisah hidupnya yang berlegar dengan kehadiran motosikal Honda Super Cub miliknya. Setelah memiliki motosikal ini, banyak pengalaman serta petualangan yang ditempuhi oleh Kaguma seperti mendapat kawan baru, pergi ke destinasi yang menarik serta mempelajari selok belok teknikal tentang motosikal.
Anime ini sebenarnya bersifat "Shoujo" (manga yang pembaca utamanya di kalangan remaja perempuan) berbanding "Seinen" (khas untuk bacaan lelaki dewasa). Mungkin disebabkan ianya berkisar tentang dunia permotoran, "Super Cub" juga amat digemari oleh golongan pembaca dari kalangan lelaki dewasa. Jalan cerita nya sangat straight forward dan mudah difahami. Ianya merupakan salah satu siri anime yang sering ditunggu-tunggu setiap minggu kerana ianya menjanjikan jalan cerita yang baru dan segar.
Rating? 4.5 / 5




Thursday, August 5, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : WRATH OF MAN (2021)

Jika dilihat, tahun 2021 sebenarnya menyaksikan rilisan pelbagai filem aksi yang menarik walaupun kebanyakannya tidak dapat memasuki pawagam akibat pandemik COVID-19. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat kebanyakan pembikin filem untuk meneruskan kreativiti mereka. Ianya sama juga dengan apa yang boleh anda dapati melalui filem terbaru arahan Guy Ritchie bertajuk "The Wrath Of Man" lakonan Jason Statham.

"The Wrath Of Man" merupakan sebuah hasil kerja Guy Ritchie yang terkini pada tahun 2021 dan kali ini menyaksikan kembali elemen gangsterisme di dalam karya beliau. Cuma kali ini ada berbeza sedikit di mana ianya menggabungkan elemen rompakan (money heist). Ada beberapa teknik penceritaan yang aku suka tentang filem-filem gangster arahan Guy Ritchie ialah penyampaian "back story" yang disampaikan secara teliti dan menarik.
Teknik "back story" ini kita boleh lihat daripada pelbagai filem gangster beliau seperti "The Gentlemen" (2019), "RockNRolla" (2008), "Snatch" (2000) dan "Lock, Stock and Two Smoking Barrels" (1998). Namun kesemuanya lebih banyak memfokuskan sisi "dark comedy" berbanding dari sudut drama yang serius.
"Wrath Of Man" menjanjikan sesuatu yang baru buat peminat filem-filem Guy Ritchie sebenarnya. Walaupun ini merupakan kolaborasi yang keempat di antara beliau dan Jason Statham (sebelum ini Jason berlakon di dalam filem "Snatch", "Lock, Stock and Two Smoking Barrels" dan "Revolver" arahan Guy Ritchie) namun kali ini ianya menjanjikan sesuatu yang unik dan tidak sama seperti sebelumnya.
Kelemahan filem ini ialah kurang adegan aksi yang menarik. Jika anda mengharapkan adegan kombat secara bersemuka tanpa senjata seperti kebanyak filem seni mempertahankan diri, filem ini rasanya tidak sesuai untuk anda. Tapi oleh kerana penceritaan yang sangat terperinci dan baik sekali, kekurangan adegan aksi tersebut masih lagi boleh dimaafkan.
Rating? 4 / 5




Monday, August 2, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : THE UNHOLY (2021)

Pernah tak korang tengok trailer sebuah filem yang akan ditayangkan dan melalui trailer tersebut, korang dah tahu jalan ceritanya? Di Hollywood, terlalu banyak filem begini. Filem "Unholy" ini pun termasuk di dalam kategori yang sama.
Filem yang diriliskan pada 15 April 2021, "The Unholy" merupakan sebuah filem yang diterbitkan oleh Sam Raimi di bawah syarikat produksinya Ghost House Pictures dan diarahkan oleh Evan Spiliotopoulos. "The Unholy" merupakan filem pertama arahan Evan. Filem ini dibintangi oleh Jeffrey Dean Morgan yang sebelum ini banyak berlakon di dalam beberapa siri TV popular seperti Supernatural dan The Walking Dead.
Kalau diikutkan, aku sebenarnya suka filem horror yang mempunyai unsur biblical dan apocalyptic. Akan tetapi tidak banyak filem horror jenis yang begini mempunyai jalan cerita yang sempurna. Sebaliknya makin banyak yang mengandungi jalan cerita mengarut dan membuatkan aku sebagai penonton merasa tidak puas hati. Begitulah yang berlaku pada filem "The Unholy" ini.
Filem ini terlalu mudah diramal, mempunyai stereotype elemen horror yang seringkali dikitarsemula, lakonan sesetengah pelakonnya yang kurang menyakinkan (lakonan Jeffrey Dean Morgan di dalam filem ini nampak kaku sangat) dan jumpscare yang membosankan. Seperti yang aku kata pada mulanya, apabila sesebuah trailer terlalu banyak memberikan informasi kepada penonton, maka keterujaan untuk menontonnya pasti akan malap.
Rating? 2 / 5




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...