Wednesday, December 29, 2021

MENGENANGMU DI DALAM DOA KAMI

MENGENANGMU DI DALAM DOA KAMI

Hari ini sudah genap 5 tahun arwah adikku Alifh Omar meninggal kami buat selamanya. Segalanya berlaku terlalu pantas, tanpa disedari pemergiannya sudah pun menjangkau 5 tahun.

Selepas pemergian adinda kami Alifh Omar, aku serta keluarga dalam keadaan yang teramat sedih. Ketika itu, aku bagaikan tiada semangat nak turun kerja, kadang-kadang terasa macam putus asa untuk teruskan kehidupan. Aku asyik terfikirkan arwah dan juga keadaan ibu bapaku yang masih trauma dengan kejadian itu. Ibu bapaku bukanlah sihat sangat. Berita yang mengejutkan seperti ini membuatkan mereka menjadi kemurungan serta sakit serta-merta.

Alhamdulillah, berkat sentiasa ingat dengan Allah dan menerima qada dan qadarnya, kami sekeluarga sedikit demi sedikit mampu meneruskan kehidupan. Walaupun masih sukar untuk keluar dari kepompong kesedihan, namun demi anak-anak (terutama sekali anak-anak arwah), hidup ini harus diteruskan juga.

Mana mungkin kami dapat melupakanmu. Sedangkan namamu masih lagi berlegar di dalam setiap doa-doa kami. Semoga Allah mencucuri rohmu dengan segala rahmatNya dan meletakkanmu di kalangan golongan orang-orang yang dicintaiNya.

Kami terlalu merinduimu.

Allahu marghfirlahu warhamhu wa'a'fihi wa'fu'anhum



Thursday, December 23, 2021

ULASAN RINGKAS ANIME : HORIMIYA (2021)

ULASAN RINGKAS ANIME : HORIMIYA (2021)

Dalam kehidupan kita, antara waktu yang amat dirasakan nikmat kebebasan dan kebahagian sejati ialah di waktu remaja. Ianya menjadi semakin menyeronokkan apabila berada di sekolah dan bertemu rakan sebaya. Zaman remaja merupakan saat yang penting bagi membentuk peribadi kita pada hari ini.

Begitulah yang diterapkan di dalam anime "Horimiya" ataupun dalam tajuk asal di dalam bahasa Jepunnya "Hori-san To Miyamura-kun" yang pertama kali disiarkan di televisyen Tokyo MX dan Animax pada Januari sehingga tamatnya episod anime ini di bulan April 2021. Anime yang diadaptasikan dari komik web ini merupakan sebuah karya ciptaan Hiroki Adachi ataupun dengan gelaran pseudonym Hero.

Anime ini mengisahkan tentang seorang remaja lelaki bernama Izumi Miyamura yang berperwatakan senyap, gloomy dan suka bersendirian. Dalam masa yang sama, Izumi mempunyai beberapa rahsia besar iaitu dia mempunyai beberapa tatu di badan dan tindik di telinga. Namun Izumi mampu menyembunyikannya dari pandangan rakan sekelas.

Pada masa yang sama, rakan sekelas Izumi iaitu Kyoko Hori ialah seorang remaja perempuan yang pintar di dalam kelas dan popular di sekolah. Sangat bertentangan dengan kualiti yang ada pada Izumi. Suatu hari adik lelaki Kyoko terjatuh di taman menyebabkan berlaku kecederaan. Adik Kyoko kemudiannya dibawa pulang oleh Izumi yang kebetulan berada di situ. Semasa sampai di rumah Kyoko, dia terkejut melihat wajah sebenar Izumi yang berbeza dengan perwatakannya di sekolah.

Anime ini juga mempunyai beberapa momen yang sangat dekat di hati seperti jatuh cinta pandang pertama, bertemu serta berkenalan dengan rakan-rakan dan juga konflik dalaman dalam persahabatan. Namun ada beberapa jenaka bersifat cringe serta awkward akan tetapi tidak mencacatkan jalan ceritanya. Anime ini hanya mempunyai 13 episod sahaja dan boleh dilayan melalui aplikasi Netflix.

Rating? 4 / 5



Monday, December 20, 2021

KENANGAN SEMASA KONVOKESYEN DI TAHUN 2003

KENANGAN SEMASA KONVOKESYEN DI TAHUN 2003

Pejam celik dan tanpa disedari, sudah 18 tahun aku meninggalkan zaman kolej aku. Aku dahulu pernah melanjutkan pelajaran di sebuah kolej dibawah seliaan MARA yang terletak di Beranang, Selangor. Bercerita pasal tempat aku study dulu ni, ada sesetengah orang Selangor pun tidak pernah dengar nama pekan kecil itu. Boleh dikatakan ianya tempat jin bertendang.

Setelah mengambil masa 2 tahun 6 bulan dalam tempoh tersebut, aku telahpun berjaya menghabiskan pengajian di sana. Pelbagai kisah suka duka yang aku perolehi di kolej tersebut. Penuh ranjau dan onak duri, chewah. Haha. Alhamdulillah dan syukur ke hadrat Ilahi yang aku berjaya menamatkan pengajian dengan keputusan cukup makan.

Gambar di bawah diambil semasa sehari sebelum hari konvokesyen aku yang berlangsung di Hotel Legend, Kuala Lumpur. Masa ini aku serta keluarga menetap sementara di Hotel Kowloon yang terletak tidak jauh dari Jalan TAR. Selain keluarga aku, kami juga didatangi dengan sahabat baik dengan sepupu aku.

Masih lagi merujuk kepada gambar di bawah. Dari kiri ialah sahabat baik aku Mohamad Luqman, Almarhum Alifh Omar (adik aku), Aku, Tam Spider (ya, ni betul-betul punya, bukan edit guna photoshop), adik aku Ariffin, Muslim dan sepupu aku Suharto Sedik. Pada masa ini kebetulan jumpa Tam Spider yang baru sahaja selesai makan malam di kedai mamak tidak jauh dari hotel yang kami diami.

It was a blast! Banyak kenangan manis masa ni. Kami adik beradik beserta rakan dan sepupu aku pergi ronda-ronda sekitar Kuala Lumpur dari Sogo sehinggalah ke Bukit Bintang. Kalau di tempat kami, agak jarang berjumpa dengan gedung membeli belah yang luas dan besar macam di sini. Kalau ada mesin merentas masa, ingin sangat nak kembali ke zaman ini. Huhu.



Thursday, December 16, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : MY BLOOD AND BONES IN A FLOWING GALAXY (2021)

ULASAN RINGKAS FILEM : MY BLOOD AND BONES IN A FLOWING GALAXY (2021)

Kebelakangan ini aplikasi Netflix banyak menghidangkan beberapa filem menarik dari Jepun, tidak mengira apa jenis genre sekalipun. Ini merupakan suatu pentanda yang bagus bagi kesemua pencandu filem yang dahagakan karya-karya bermutu dari negara matahari terbit itu.

Antara filem menarik yang dimaksudkan dan boleh didapati dari aplikasi tersebut ialah "My Blood And Bones In a Flowing Galaxy" (atau dalam sebutan Jepunnya "Kudakechiru Tokoro O Misete Ageru") lakonan Taishi Nakagawa (yang membawakan watak Kiyozumi Hamada) dan Anna Ishii (melakonkan watak Hari Kuramoto). Filem ini diarahkan oleh Sabu yang juga merupakan seorang pelakon dan pernah berlakon di dalam beberapa filem seperti "Josee, The Tiger And The Fish" (versi live action dan diriliskan pada tahun 2003) dan "Ichi The Killer" (2001).

Filem ini mengisahkan seorang remaja lelaki bernama Kiyozumi Hamada yang merupakan pelajar tahun akhir di sekolahnya. Pada satu hari, Hamada terlambat datang ke sekolah dan terpaksa berdiri di barisan belakang semasa perhimpunan sekolah. Di saat itu jugalah Hamada menyaksikan seorang pelajar perempuan tingkatan satu dibuli oleh rakan sekelasnya. Hamada cuba untuk membantu pelajar perempuan tersebut namun diakhiri dengan jeritan histeria oleh pelajar perempuan itu. Melalui bantuan rakan-rakannya, Hamada mengetahui nama pelajar perempuan yang sering dibuli itu iaitu Hari Kuramoto. Sejak saat itulah berlakulah beberapa bibit persahabatan di antara mereka berdua dan diselangi dengan dugaan yang pelbagai.

Filem ini menggabungkan beberapa elemen fantasi di dalamnya, walaupun jika dilihat sepintas lalu nampak macam tidak masuk akal. Akan tetapi jika antara terbiasa melayan siri anime genre Shoujo (khusus untuk penonton remaja dari kalangan perempuan), situasi begini sering didapati. Momen-momen romantik di dalam filem ini juga dilihat bersesuaian dengan situasi remaja di Jepun sekarang. Ada beberapa lawak cringe dan awkward terdapat di dalam jalan ceritanya akan tetapi langsung tidak mencacatkan filem ini.

Rating? 3.5 / 5



Monday, December 13, 2021

BEBERAPA FAKTA MENARIK TENTANG ALBUM "TOXICITY" DARI SYSTEM OF A DOWN

BEBERAPA FAKTA MENARIK TENTANG ALBUM "TOXICITY" DARI SYSTEM OF A DOWN

Sedar tak sedar, album kedua dari System Of A Down ini telah mencapai ulangtahun yang ke-20 pada 4 September 2021 yang lalu. Semasa ianya diriliskan pada tahun 2001, Serj Tankian (vokalis) serta Daron Malakian (gitaris) yang menjadi kekuatan sebenar band ini, semestinya tidak menjangka album ini akan mencapai tahap sukses luar biasa di dalam industri muzik antarabangsa khususnya.

Menurut beberapa sumber yang dipetik dari majalah Revolver, terdapat beberapa fakta menarik tentang album ini yang perlu diketahui oleh peminat setia band ini. Berikut merupakan beberapa info menarik tentang pembikinan album "Toxicity", sebuah karya agung dari System Of A Down.

1. Single pertama dari album ini iaitu "Chop Suey" ditulis dan diciptakan di belakang RV (sebuah kenderaan yang boleh dijadikan rumah bergerak) semasa tour album pertama mereka iaitu self-titled.

2. Daron Malakian mengambil inspirasi lagu "A.T.W.A." daripada Charles Manson, seorang ketua kultus yang bertanggungjawab dalam pembunuhan isteri kepada pengarah terkenal Roman Polanski iaitu Sharon Tate (beliau juga merupakan seorang pelakon). "A.T.W.A." yang membawa erti "Air, Trees, Water, Animals" sebenarnya merujuk kepada sebuah organisasi yang diketuai oleh Charles Manson. Organisasi tersebut banyak menjalankan aktiviti menyelamatkan alam sekitar.

3. Daron Malakian (gitaris) dan John Dolmayan (drummer) seringkali bergaduh besar semasa pembikinan album ini sehingga ditahap di mana mereka terpaksa dihantar ke hospital akibat kecederaan yang dialami semasa pergaduhan. Perkelahian secara fizikal tersebut tidak bertahan lama dan ianya diakhiri dengan damai di antara dua pihak.

4. Pada asalnya, album ini sepatutnya mempunyai sebanyak 40 buah lagu namun kemudiannya dikurangkan kepada 30 sahaja. Apabila proses rakaman berjalan, akhirnya mereka tetap mengurangkan jumlah lagu lagi kepada 14 sahaja.

5. Rick Rubin selaku penerbit album ini langsung tidak mengetahui maksud sebenar untuk lagu "Chop Suey".

6. "Toxicity" pada asalnya tidak terniat untuk dijadikan sebuah album yang bertemakan politikal. Menurut Serj Tankian selaku frontman band ini, pada asalnya album ini lebih khusus kepada kritikan sosial namun setelah mendapat pelbagai sumber berita dari pihak tertentu berkaitan dengan isu politik, album ini bertukar arah kepada topik berkenaan.

7. Semasa pelancaran album ini, pihak label telah merangka sebuah konsert percuma bagi mempromosikan karya terbaru dari System Of A Down. Konsert tersebut dibatalkan pada minit terakhir kerana berlaku tunjuk perasaan serta keganasan dari pihak peminat di luar venue konsert.

8. Semasa album ini diriliskan pada tahun 2001, ianya berjaya mengungguli tempat pertama di carta album Billboard. Ketika album ini menjuarai carta tersebut dan dalam minggu yang sama, serangan 9/11 telah berlaku di New York.

9. System Of A Down merasa terkejut apabila single ketiga bertajuk "Aerial" berjaya menjuarai tempat pertama di carta single Billboard kerana mereka merasakan lagu tersebut tidak mempunyai sebarang keistimewaan dan hanya biasa-biasa sahaja.

10. System Of A Down pernah menolak tawaran untuk beraksi di pentas Grammy Award pada tahun 2003 atas alasan ianya cuma sesuai diberikan kepada boy band seperti Nsync mahupun Britney Spears sahaja. Ketika itu lagu-lagu seperti "Chop Suey" serta "Aerial" pernah dicalonkan dalam kategori Best Metal (untuk tahun 2002) dan Best Hard Rock Performance Of The Year.

Apakah lagu kegemaran anda dari album ini?



Thursday, December 9, 2021

ULASAN PALING RINGKAS FILEM : THE SUICIDE SQUAD (2021)

ULASAN PALING RINGKAS FILEM : THE SUICIDE SQUAD (2021)

Apabila hype tentang filem ini sudah semakin reda, aku baru nak mula menontonnya. Kalau diikutkan, filem pertama Suicide Squad (2016) yang dulu, aku tak berkenan sangat. Storyline berterabur dan banyak potholes yang menuntut untuk diterangkan tapi sampai ke sudah masih lagi tergantung. Bahagian paling sakit hati ialah apabila screentime Joker lakonan Jared Leto hanya sekejap sahaja, ibarat apabila duduk, punggung masih belum panas tapi sudah diajak berdiri (perumpamaan entah apa-apa ni).

Akan tetapi berbeza dengan The Suicide Squad (2021) kali ini di mana jalan ceritanya lebih teratur, straightforward dan tidak banyak plot kecil yang kadang-kala dirasakan tidak penting (seperti yang terdapat di dalam Suicide Squad tahun 2016). Ada eloknya juga David Ayer iaitu pengarah asal dari bahagian pertama tidak lagi mengarah filem kesinambungan ini akan tetapi diberikan tugasan arahan kepada James Gunn. Kalau cerita tentang anti hero dan mempunyai unsur dark comedy, James Gunn memang pilihan yang bijak dalam menjadi pengarah untuk filem sebegini.

Dari segi humor, punchline yang dihidangkan memang terbaik walaupun ada beberapa babak komedi tersebut dilihat seperti dikitarsemula. Mungkin ini filem santai, penonton pun tidak perlu fikir dalam sangat nak menilainya. Hanya perlu go with the flow. Dari aspek grafik dan juga babak pertarungan, filem ini dilihat biasa sahaja. Namun babak di mana bangunan Jotenheim runtuh dan berlakulah huru-hara, bahagian inilah yang menjadi titik klimaks dalam filem ini. Ianya sangat enjoy untuk ditonton.

Rating? 4 / 5



Sunday, December 5, 2021

APA KATA AL-QURAN APABILA KITA TELAH MENCECAH UMUR 40

APA KATA AL-QURAN APABILA KITA TELAH MENCECAH UMUR 40

Tiba-tiba aku teringat dengan kata-kata bekas vokalis Infectious Maggots iaitu saudara Fathullah semasa beliau ditemuramah oleh Iman Tang dan Edy J melalui Instagram baru-baru ini. Beliau berkata tentang umur 40 di mana terdapat satu surah di dalam Al Quran yang menceritakan secara spesifik mengenai usia tersebut. Ianya berkenaan dengan Surah Al Ahqaf ayat 15, perbetulkan aku jika aku silap.
Dalam beberapa bulan lagi usia aku akan menganjak ke angka 40. Seharusnya aku kembali kepada fitrah sebagai seorang hamba Allah yang bersyukur kepadanya kerana masih lagi diberi peluang untuk bertaubat kepadaNya, berbakti kepada mak ayah dan juga beramal soleh. Ya, aku sedar yang kudrat aku sudah tidak macam dulu lagi. Ada ketikanya perwatakan aku tidak mencerminkan usia aku sebenar (masih merasakan jiwa muda remaja). Mentaliti begini aku kena ubah, dan seharusnya selari dengan usia aku juga.
Di bawah merupakan artikel yang berkaitan usia 40, diambil dari page Facebook "kumpulan hadith sahih". Diharap ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua. Amin.
******************************************
Al-Qur'an Menyebut Umur 40 Tahun
Allah memberi perhatian khusus tentang angka 40 ini:
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya akutetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; danjadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu/berserah diri).”
(Al-Ahqaf [ 46 ] : 15)
Ayat ini menyatakan umur 40, iaitu umur yang matang. Ini kemuncak umur keIslamannya. Syaratnya dia mulai daripada sejak dia baligh lagi. Kebanyakkan ulama’ bersungguh-sungguh dalam beribadah mengurangi tidurnya, ketika mencecah usia ini.
Dalam ayat ini juga Allah berpesan supaya;
1. Berbakti kepada kedua ibu-bapa (ada ayat lain dalam surah al-Isra’ dan Luqman) kerana jika dia sudah 40 tahun pasti ibu-bapanya sudah melepasi 60 tahun, umur yang memerlukan banyak bantuan.
2. Mensyukuri nikmat iaitu dengan beramal soleh yang diredhaiNya (menjadikan semua nikmat yang Allah berikan kepada kita untuk beramal soleh)
3. Bertaubat dan berserah diri, maksudnya tidak mahu lagi buat maksiat dan menyedari kita adalah hak Allah dan akan kembali kepadaNya. Maknanya apabila sudah mencapai umur 40 tahun sudah tidak ada dosa, sudah capai puncak keIslaman dan berjaya mendidik putera dan puterinya.
Biasa kita dengar pendapat Helen Rowland “Life Began at Forty?”. Semua ni tidak benar sepatutnya inilah masa penanda aras menentukan sama ada kita ke syurga atau neraka. Barat memperdayakan dengan fakta umur.Lihatlah bagaimana mereka cuba meresapkan ideology untuk memperdayakan Islam. Kita pulak tersenyum dan bangga bila menerimanya. Kononnya kita mengikut arus kemodenan ideology. Tapi lebih nyata kalau kita terima istilah orang tua- tua dulu menyatakan “Rumah Kata Pergi, Kubur Kata Mari “
“Jika sampai umur 40 tahun dan tidak ambil tahu langsung tentang asal kejadiannya, dan kewajibannya dan tidak mahu bertaubat, maka Syaitan akan mengusap dahinya dan gembira dia kerana orang ini tidak ada gunanya di dunia dan di akhirat”.
“Seseorang hamba yang muslim itu, apabila sampai 40 tahun Allah ringankan hisabnya, apabila sampai 60 tahun Allah anugerahkan kepadanya rezeki suka kembali kepadaNya (banyak bertaubat), apabila sampai 70 tahun Allah jadikan dia dikasihi oleh ahli langit, apabila sampai 80 tahun Allah teguhkan hasanahnya dan Allah hapuskan sayyi’ahnya (kejahatannya), dan apabila sampai 90 tahun Allah ampunkan apa yang terdahulu dan yang terkemudian daripada dosa-dosanya, Allah izinkan dia memberi syafa’at kepada ahli rumahnya dan dituliskan namanya di langit sebagai tawanan Allah yang berada di bumi”.Riwayatal-Hafidzal-Musili
Al-Alusi, pengarang kitab tafsir Ruh al-Ma’ani berkata, telah disebut oleh bukan seorang bahawa manusia itu apabila telah mencapai umur ini, akhlaknya telah begitu kuat bertapak pada dirinya, hampir-hampir tidak akan dapat dihilangkan lagi selepas itu. Beliau membawakan sepotong hadis tanpa menyebut perawinya. Hadis itu bermaksud: “Sesungguhnya syaitan mengheretkan tangannya di atas muka orang yang mencapai umur 40 tahun dan tidak bertaubat sambil berkata, “demi bapaku, wajah yang tidak akan berjaya.”
Selain itu beliau membawakan satu Hadis yang dikeluarkan oleh Abu al-Fath al-Azadi daripada Ibn Abbas r.a. bermaksud: “Sesiapa yang menjangkau usia 40 tahun, tetapi kebaikannya tidak mengalahkan kejahatannya, maka bersiap sedialah dia untuk ke neraka!”
Al-Khalil bin Ahmad al-Farahidi adalah seorang laki-laki yang shalih, cerdas, sabar, murah hati, berwibawa dan terhormat. Ia berkata, "manusia yang paling sempurna akal dan pikirannya adalah apabila telah mencapai usia 40 tahun. Itu adalah usia, di mana pada usia tersebut Allah Ta'ala mengutus Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam, dan fikiran manusia akan sangat jernih pada waktu sahur." (Lihat: al-Wafyat A'yan, Ibnu Khalkan: 2/245)
Keistimewaan Umur 40 Tahun
Sebahagian orang menyebut, umur empat puluh tahun penuh teka-teki dan penuh misteri. Sehingga terbit sebuah buku berjudul, "Misteri Umur 40 tahun" yang diterbitkan pustaka al-tibyan – Solo, diterjemahkan dari buku berbahasa Arab, Ya Ibna al-Arba'in, oleh Ali bin Sa'id bin Da'jam.
Seseorang yang sudah mencapai umur 40 tahun berarti akalnya sudah sampai pada tingkat kematangan berfikir serta sudah mencapai kesempurnaan kedewasaan dan budi pekerti. Sehingga secara umum, tidak akan berubah keadaan seseorang yang sudah mencapai umur 40 tahun.
Al-Tsa'labi rahimahullah berkata, "Sesungguhnya Allah menyebutkan umur 40 tahun karena ini sebagai batasan bagi manusia dalam keberhasilan maupun keselamatannya."
Ibrahim al-Nakhai rahimahullah berkata, "Mereka berkata bahwa jika seseorang sudah mencapai umur 40 tahun dan berada pada suatu perangai tertentu, maka ia tidak akan pernah berubah hingga datang kematiannya." (Lihat: al-Thabaqat al-Kubra: 6/277)
Allah Ta'ala telah mengangkat para nabi dan Rasul-Nya, kebanyakan, pada usia 40 tahun, seperti kenabian dan kerasulan Muhammad, Nabi Musa, dan lainnya 'alaihim al-Shalatu wa al-Sallam. Meskipun ada pengecualian sebagian dari mereka.
Imam al-Syaukani rahimahullah berkata, "Para ahli tafsir berkata bahwa Allah Ta'ala tidak mengutus seorang Nabi kecuali jika telah mencapai umur 40 tahun." (Tafsir Fathul Qadir: 5/18)
Dengan demikian, usia 40 tahun memiliki kekhususan tersendiri. Pada umumnya, usia 40 tahun adalah usia yang tidak dianggap biasa, tetapi memiliki nilai lebih dan khusus.
Memperbaharui Taubat
Usia 40 tahun haruslah menjadi titik tolak dan perbaharuan taubat penyesalan seseorang atas dosa-dosa dan kufur nikmat selama hidupnya. Karena pada usia ini benar-benar telah merasakan banyaknya nikmat dan tidak sebandingnya rasa syukur terhadapnya. Maka pengakuan dosa pasti akan mengalir dari orang yang mau merenungkan masa lampaunya, sehingga dari itu lahir penyesalan, tumbuh istighfar dan taubat kepada Allah.
" Wahai Allah , Tuhan kami , tunjukilah kami untuk mensyukuri nikmat yang telah Engkau berikan kepada kami dan kepada ibu bapak kami dan karuniakan kami untuk dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau ridhai .. berilah kebaikan kepada kami dan anak cucu kami .. Sesungguhnya kami bertobat kepada MU dan sesungguhnya kami termasuk orang-orang yang berserah diri."
" Wahai Allah, Tuhan kami , bantulah kami untuk berdzikir, bersyuku dan memperbaiki ibadah-ibadah kami kepada-Mu."
Marilah kita bersama-sama berdoa agar sisa-sisa umur kita ini dihabiskan dengan perkara yang bermanfaat, dalam redha Allah. Kita Cuma harapkan rahmat dan keampunan Allah Ta’ala.
Rasulullah saw bersabda, “Tak akan berganjak kedua kaki manusia pada hari kiamat sampai selesai ditanya tentang empat perkara, iaitu tentang umurnya, dihabiskan untuk apa; tentang masa mudanya, dipergunakan untuk apa; tentang hartanya, dari mana diperolehinya dan untuk apa dibelanjakan; dan tentang ilmunya, apakah sudah diamalkan”.(HRTirmidzi).
Usia lanjut juga merupakan sebuah keistimewaan. Dalam sebuah hadits qudsi Rasulullah saw menyampaikan firman Allah SWT, “Demi kemuliaan-Ku, keagungan-Ku, dan keperluan hamba-Ku kepada-Ku, sesungguhnya Aku merasa malu menyiksa hamba-Ku, baik laki-laki mahupun perempuan, yang telah beruban kerana tua dalam keadaan muslim“. Dalam hadits lain beliau bersabda, “Sebaik-baik di antara kalian ialah orang yang panjang umurnya dan baik pula amalannya”. (HR At-Tirmidzi).
Sekian, mudah-mudahanan memberi manfaat.

Selamat harjadi buat aku :)




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...