Monday, December 26, 2016

Ulasan Ringkas : Zine "Kontradiksi Puduraya : Catatan Peribadi & Kawan-Kawan"

Zine "Kontradiksi Puduraya : Catatan Peribadi & Kawan-Kawan"

Puduraya. Mungkin bagi remaja yang hidup di dalam dekad ini tidak mengerti tentang keistimewaan yang ada pada Puduraya. Ya, memang benar. Dahulu ianya cuma sebuah terminal bas ekspres yang perjalanannya merangkumi kawasan utara sehingga selatan Semenanjung Malaysia. Disamping itu juga ianya menghimpun deretan kedai bundle serta warung makan yang rata-rata pengusahanya "gengster" belaka. Tidak dilupakan beberapa lokasi di dalamnya yang berwajah suram, gelap dan panas terutama sekali tangga-tangga yang menghubung ke kawasan bas ekspres di tingkat bawah.

Zine yang hanya setebal 20 muka surat ini sebenarnya padat dengan isi yang berkait rapat dengan Puduraya. Melalui penelitian aku, zine ini lebih berbentuk memoir iaitu penulisan yang mengenang kembali kenangan silam si penulis. Karya-karya sebeginilah yang berjaya membuat pembacanya menghadapi momen-momen KLMJ (kenangan lama mengusik jiwa) baik yang pahit untuk ditelan mahupun manis-manis sahaja.

Menambahkan seri zine ini ialah dengan adanya beberapa catatan peribadi yang ditulis oleh rakan-rakan editor. Pengalaman yang pelbagai ini menambahkan lagi perisa serta rasa minat kita untuk menghabiskan bacaan zine ini. Bahagian yang paling aku suka baca ialah apabila ada di antara mereka yang mengaitkan pengalaman mereka berada di Puduraya dengan scene music underground. Sesuatu yang sudah jarang diperkatakan oleh remaja zaman sekarang. 

Those were the days...

Aku rasa ramai di antara kalian pernah pergi ke Puduraya sebelum ini, sebelum ianya menjalani penjenamaan semula kepada Pudu Sentral. Jika ada masa dan kelapangan, silalah kongsikan pengalaman anda dengan meninggalkan sebarang komen di bawah entri ini. Peace!

Wednesday, December 21, 2016

Tahi Suci - Live at "Burn The School Bus 4" Gig 2016



Tahi Suci - Live at Burn The School Bus 4 Gig 2016 : Dark Clown's 10th Anniversary 

Date : 17th December 2017 
Venue : Penyangkai Temuai Pub, Bintulu 

Songlist: 
1. Lost Swine (Wormrot cover) 
2. Born Stupid (Wormrot cover)

Official Gig Poster

 Tahi Suci in action


 The Line-Up

In Grind We Rot!


Monday, December 12, 2016

Ulasan Zine : Eksploitasi Sunyi (2016)

Eksploitasi Sunyi

Sunyi. Rasa sunyi itu sebenarnya amat subjektif untuk dihujahkan, terutama sekali apabila ianya melibatkan individu yang berbeza. Ternyata keadaan dan perasaan sunyi itu hanya mampu difaham maknanya mengikut pemahaman masing-masing.

Namun apa yang Asraf Mohamad serta Najiha Amran ini mampu lakukan ialah mengabadikan rasa sunyi ke dalam bentuk yang lebih artistik iaitu melalui puisi. Ya, memang benar. Mereka bukanlah orang yang pertama menghasilkan puisi-puisi sebegini. Namun apa yang menjadi daya penarik untuk zine ini ialah kaedah serta olahan bahasa yang digunakan oleh mereka berdua dalam menghasilkan kerja seni sebegini amatlah lain sekali.

Zine puisi yang dihasilkan oleh 2 anak muda ini punyai keunikannya tersendiri. Ditulis dengan gaya kontemporari serta penggunaan bahasa yang mudah. Faktor ini jugalah yang menyebabkan zine ini mudah diterima oleh pembaca kebanyakan. Walaupun kesemua sajak yang ditulis sangat hampir dengan perasaan melankoli, namun ianya juga tidak lari dari tema yang seiring dengan arus perdana contohnya penggunaan beberapa ayat dalam bahasa inggeris dalam sajak-sajak mereka. 

Setiap hidangan puisi masing-masing akan dimulakan dengan prakata oleh mereka. Kata-kata awalan mereka agak "down to earth" dan seiring dengan gaya pemikiran anak muda sekarang. Jelas sekali, walaupun mereka berdua masih baru dalam dunia penulisan puisi namun bakat mereka seharusnya diberi pujian. Jika mereka diberi lebih ruang untuk berkarya, saya jamin mereka boleh pergi jauh. 

Kepada yang berminat, cubalah rasai koleksi puisi mereka berdua melalui zine ini. Nescaya ianya tidak akan menghampakan anda.

Boleh hubungi page facebook Bisak Palak untuk dapatkan zine ini!

Monday, December 5, 2016

Sajak : Sahabat (Dedikasi Buat Mereka Yang Telah Pergi Lebih Awal)

(Sumber Gambar : Quotesgram)

I. 
Hampir setiap malam kegelisahan itu muncul. Ia hadir bagai surat-surat yang penuh tanda tanya, dihantar oleh posmen. Keadaan ini meleraikan lagi tabir kesuraman di dalam kalbu. 

Realiti tidak pernah berlaku belas kepada kita. Mungkin ia sudah ditakdir begitu. Biarkanlah. Hikmah seringkali mengadu domba kepada penciptanya dahulu, lantas kemudian ia akan kembali bersamamu di saat dirinya sudah meluahkan beban di benak. 

Mungkin doa-doaku masih terkandas di lapangan langit yang maha luas itu. Sekalipun ia terlepas lalu menuju ke kantor syurga, ianya tidak sedikit pun mampu menahan sebak di sanubariku ataupun menghilangkan segala hutang piutang dosa semalam. 

II. 
Wahai sahabat, 

Aku masih lagi setia duduk di bangku ini, menemani langit malam yang angkuh. Hangat kehadiranmu dahulu masih lagi terkendong di hujung bangku ini. Setiap perkara yang kita bicara tidak mampu menahan derasnya denting waktu yang mengalir. 

Darah muda kita dahulu bagai warna catan yang meriuhkan kanvas putih kehidupan. Tidak sedikitpun ada sesal yang tergantung di dalam penceritaan jurnal kita. Kau dan aku adalah sebahagian daripada kuasa besar yang tidak terjangkau. 

III. 
Wahai sahabat, 

Aku sedar kedinginan malam kini sudah menjadi pengganti kehadiranmu di sini. Kebergantunganku terhadap masa lalu kian terhakis. Namun ianya tidak sedikit menggoyahkan ingatanku terhadapmu.

Maut sering memerhatikan kita bagai kejora di angkasa. Menyelinap pada setiap celah padi yang menguning di sawah. Tiba waktunya ia pasti datang menuai. 

Sahabatku, 

Kerisauan kita pasti akan berpenghujung. Aku pasti akan menyusul dan menemukanmu di akhir gelap malam yang menemukan sinar fajar.

(Hasil Karya : Adi Herman)

Monday, November 28, 2016

Ulasan Filem :Seoul Station (2016)

Poster Rasmi "Seoul Station"

Disebabkan sebelum ni ada sumber-sumber yang bagitau filem ini merupakan prequel untuk "Train To Busan", jadi aku cubalah tengok. Menambahkan lagi keinginan aku nak tengok filem ini ialah pengarahnya ialah orang yang sama buat "King Of Pigs" dan penerbitnya pula adalah mereka yang bertanggungjawab buat "Train To Busan". Oh ya, dalam beberapa perkara, aku bersetuju yang filem ini lebih bagus penceritaannya berbanding "Train To Busan". 

Keseluruhannya, filem ini mempunyai jalan cerita yang menarik. Mungkin ada kekurangan pada bahagian animasi tapi ianya masih tidak mencacatkan perjalanan filem ini. Walaupun bagaimanapun, ending filem ini memang terbaik sebab feel dia sama macam tengok "The Wailing" di mana ianya memang tiada happy-ending. 

Awas, filem animasi ini tidak sesuai ditonton bersama kanak-kanak di bawah umur 13 tahun. Banyak sangat babak gore dan ganas.

Trailer Rasmi "Seoul Station"

Wednesday, November 23, 2016

Cerkas : Tiupan Trumpet Sangkakala Dari Tanahair Pakcik Sam

Nicholas merenung ke jendela rumah buat seketika. Malam itu bagaikan terlalu panjang dirasanya. Matanya meliar merenung ke luar jalanan di basah pangsapurinya melalui jendela itu. Kegusaran hatinya semakin menebal.

Nicholas kemudiannya menutup jendela itu lalu dicapainya tukul, paku serta beberapa kepingan kayu. Tanpa berfikir panjang, Nicholas menutup setiap jendela di tempat kediamannya itu dengan menggunakan kayu-kayu tadi. Kayu-kayu dihentak dengan penukul. Walaupun hasil tukangannya tidak kemas, namun hampir setiap jendela di dalam rumahnya itu telah ditutup dengan kayu penghadang.

Setelah selesai berbuat demikian, Nicholas terdengar ada satu letupan berlaku di bawah pangsapuri. Bunyinya amat membingitkan. Sebuah kereta di tepian jalan telah meletup. Selang beberapa minit kemudia, terdapat segerombolan manusia merusuh di jalanan. Ada yang memecah cermin-cermin kereta yang elok terparkir di tepi jalan. Ada yang membaling beberapa botol berisi minyak yang dinyalakan api ke arah bangunan-bangunan. Kebakaran berlaku dengan pantas. Mujur ianya tidak terkena dengan pangsapuri yang didiami oleh Nicholas itu.

Tanpa membuang masa, Nicholas lantas bergegas dan berlari menuju ke kamarnya. Di dalam kamar tersebut, isteri serta anak perempuan duduk di bucu katil dalam keadaan takut. Mereka berdua saling berpelukan.

Nicholas menghampiri mereka dan cuba menenangkan isteri serta anaknya itu. Anaknya Britney menangis teresak-esak setelah mendengar letupan tadi. Nicholas mencium dahi anaknya itu lantas memeluknya dengan erat. Dia berjanji kepada isterinya bahawa mereka akan keluar dari tempat ini pada keesokan hari. Mengikut perancangan Nicholas, dia sudah membuat perjanjian dengan sahabatnya untuk keluar dari negara itu bersama keluarganya melalui sempadan Mexico. Mudahan semuanya berjalan lancar keesokannya.

Pada malam itu, genap seminggu Donald Trump telah dilantik menjadi presiden di negaranya. Semenjak Trump mengambil alih puncuk pimpinan negaranya itu, keadaan semakin menjadi kucar-kacir. Rusuhan kaum berlaku di mana-mana, baik dari New York sehinggalah ke Los Angeles. Amerika sudah menjadi semakin bergolak. Jika keadaan ini berlarutan, tidak mustahil akan berlaku peperangan saudara di dalam negara tersebut.

Nicholas serta isterinya duduk berteleku di bucu katil. Anaknya Britney dibiarkan baring di atas katil tersebut. Pada saat itu, Nicholas berdoa kepada Tuhan agar menyelamatkan mereka daripada segala ancaman. Sebelum ini, Nicholas bukanlah seorang yang mengutamakan agama sangat. Sejak memasuki alam dewasa, Nicholas sudah jarang pergi ke gereja di hujung minggu. Entah kenapa, pada ketika ini hanya berdoa sahajalah yang dapat dilakukan olehnya serta isteri. 

Mungkinkah doanya akan didengari oleh Tuhan?

Dirompak dari Google

Monday, November 14, 2016

Ulasan Buku : Mansau Ansau (2016 Terbitan Kolektif Kidal & Karyaraya Publishing)

Buku "Mansau Ansau" manakala di belakang tu pula zine Bangkit! edisi 2.5

Pertama kali aku tahu tentang kewujudan seorang punk rocker bernama Benny Pangazou ni semasa aku beli cd demo band Penguasa Anjing (band lama Benny) sekitar tahun 2011 kalau tak silap. Aku suka sangat dengan pembawaan muzik dari band Benny ni pada masa itu. Kemudian aku cuba berhubung dengannya melalui facebook dan menyatakan keinginan aku untuk membeli beberapa rilisan lain dari Penguasa Anjing. Mudah berurusan dengan beliau ni sebenarnya. Perkhidmatan bagus dan sama macam beli barang dari laman sesawang mudah.my juga. 

Beberapa tahun kemudian, Benny menubuhkan sebuah band punk yang ala-ala Marjinal pula. Band yang aku maksudkan ialah Con-Damn The Corruptor. Boleh tahan juga sound dari band ni. Apa yang menarik pasal band CTC ni (singkatan untuk Con-Damn The Corruptor) ialah struktur lagu-lagu yang mereka dendangkan, yang ini kalian kena rujuk pada CD album pertama mereka. Elemen muzik tradisional Sabah ternyata merupakan salah satu daya penarik bagi band ini. Ditambah pula dengan ketukan Djembe yang kalau sekali dengar macam kau tengah mengamati album "Roots" daripada Sepultura

Ok, sudah-sudahlah bercerita pasal muzik. Jom kita berbalik pula mengenai ulasan buku ini. Buku setebal 150 mukasurat ini merupakan sebuah lagi produk yang diterbitkan oleh Kolektif Kidal serta Karyaraya Publishing. Sebenarnya, Benny juga tidak asing dalam dunia penulisan underground. Beliau juga sebelum ini pernah menghasilkan zine yang berjudul Choosing Path

Buku yang lebih ke arah penulisan dalam bentuk travelog ini menceritakan pengalaman si penulis serta kugirannya mengikuti sesi jelajah gig di semenanjung Malaysia bermula dari Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur (venue di Rumah Api) dan diakhiri di Johor Bharu. Perasaan semasa membaca buku ini hampir sama seperti kau mengamati karya-karya travelog punk rock yang lain contohnya Pengembaran Tanah Jepun (Azaruddin Paiman) serta Aksi Reaksi (Nizang). 

Benny selaku narrator dalam buku ini, menulis dengan bagus sekali apabila melibatkan dalam hal menggambarkan sesebuah persekitaran yang dialaminya pada sesuatu ketika. Sebagai contoh yang ada dalam buku ini, di mana Benny menggambarkan keadaan di dalam Rumah Api (venue gig mereka di KL) yang diterangkan serta diperjelaskan oleh beliau secara terperinci sekali semasa gig sedang berlangsung. Kalau brader ni kerja dengan CSI, memang sesuai sekali. Aku paling suka baca bahagian Benny melalut bercerita tentang hal-hal yang tidak melibatkan tournya ketika itu seperti ketidakadilan sistem yang diamalkan oleh negara kita, cerita pasal kucing kesayangannya dan banyak lagi. 

Dalam masa yang sama, Benny juga ada menceritakan tentang beberapa band hardcore punk tempatan yang lain seperti Weotskam, Dum Dum Tak dan banyak lagi. Tapi band yang sering disebut di dalam buku ini ialah Hellexist dan Bakteria. Mungkin disebabkan kedua-dua bandn ini turut sama ikut jelajah bersama CTC. Buku ini juga ada menceritakan serba sedikit tentang hal ehwal yang berkaitan dengan scene muzik punk di negara ini. 

Buku ini amat berbaloi untuk dibuat koleksi. Walaupun Benny asyik bagitau yang ini merupakan buku tulisannya yang pertama, tapi bagi aku beliau ni dah hampir pro dalam bidang penulisan mengikut pengkhususannya. Teruskan berkarya, Benny.

Jika anda berminat untuk mendapatkan buku ini, sila klik di SINI

Monday, October 31, 2016

Anekdot Zaman Kolej Aku Dulu (Bahagian 1)


Aku bersama rakan-rakan sebilik semasa di kolej. Dari kiri: Uteh, Anep, Jebat, Pojie (yang baring sambil buat isyarat tangan tu), Amid dan aku (muka berasap)


Kenangan lama mengusik jiwa

 Budak-budak Kolej Profesional Mara Beranang batch 2000

 Zaman pergi gig tengok band Koffin Kanser, Prana, Dethmute (Singapore), Pickcell dan mana2 lagi band nu-metal

 Zaman lepak Tower Records kat KL Plaza, belek2 CD selama dua tiga jam tapi akhirnya langsung tak beli apa pun

 Zaman beli CD dan VCD cetak rompak kat Petaling Street

 Zaman kena pau oleh para Mat Fit haramjadah di Puduraya dengan stesen LRT Pasar Seni

 Zaman di mana peristiwa 9/11 menjadi satu titik permulaan salah faham satu dunia tentang Islam dan bermulanya Islamophobia

 Zaman "legalize" la sangat (kalau kau faham la maksud aku haha)

 Zaman sambut birthday tapi kena torture oleh kawan2 dengan aksi simbah air berisi abu rokok, tepong, telur busuk dan bermacam2 lagi barangan yang tak masuk akal.

 Zaman di mana hampir semua member2 aku hafal lirik lagu "Chop Suey" (System Of A Down) walaupun diorang tak faham sepatah haram pun apa yang Serj Tankian cuba sampaikan.

 God, I miss the early years of 2000's

Monday, October 24, 2016

Beberapa Video Muzik Metallica Dari Album Baru (Akan Diriliskan Pada 18 November 2016)



Sumber gambar dari Metallica Facebook Page


Metallica : Hardwired (Official Music Video)


Metallica : Moth Into Flame (Official Music Video)

Pertama sekali aku nak bagitau ialah, well done Metallica kerana telah menghasilkan beberapa singles yang seolah-olah kembali ke akar tunjangnya (back to the roots). Sebenarnya ini bukan kali pertama Metallica bereksperimentasi dengan bunyian lama mereka (anda boleh rujuk album Death Magnetic). Tapi itulah Metallica yang kita kenali, pernah melalui zaman keemasan serta era dikeji dengan teruknya oleh sebilangan peminat mereka (rujuk peristiwa Napster). Kini mereka kembali kepada penghasilan lagu dalam format lama mereka cuma kali ini dengan kualiti bunyian yang lebih terkini serta riff-riff gitar yang semakin kreatif (Papa Het memang genius dalam hal ini). Secara peribadi, Metallica boleh diibaratkan sebagai The Grandmasters kalau dilihat dalam perspektif dunia persilatan Kung Fu (maaf kerana membandingkan Metallica dengan benda yang tiada kaitan...mungkin ada sikit kot) sama seperti geng-geng The Big 4 mereka yang lain.

Metallica kembali lagi dengan pembikinan lagu dalam format lama iaitu penghasilan track-track yang berdurasi lebih dari 5 minit, rentak thrash old school, solo gitar berharmoni serta riff-riif yang maha dahsyat. Ok, cukup sajalah dengan ulasan yang membosankan dari aku ni. Jom kita sama-sama dengar dan tonton video-video mereka ini.

P/S: Apa komen anda tentang lagu-lagu di atas? Jujur ya, kalau tak suka cakap saja tak suka haha. 



Monday, October 17, 2016

Sarawak Mini Zine Fest 2016 & Buku Jalanan Bintulu


Sarawak Mini Zine Fest 2016 (Poster rasmi dibuat oleh Aku Napie, seorang pelukis kartun indie)

Pada hari sabtu lepas iaitu bertarikh 15 Oktober 2016 kira-kira dalam pukul 4 petang begitu, berlangsung acara Sarawak Mini Zine Fest 2016 berserta Buku Jalanan Bintulu. Ianya dianjurkan oleh pihak Bisak Palak (sebuah distro kecil yang diusahakan oleh aku dalam mengetengahkan bahan bacaan seperti zine serta buku-buku indie) serta beberapa rakan dari komuniti Bintulu Buskers serta Buku Jalanan Bintulu.

 Bunting dipasang di bahagian depan tapak zine fest

 Saudara Marus serta Salam (salah seorang krew zine fest) berwefie dengan signage BJB


 Beberapa koleksi majalah untuk diberi secara percuma kepada khalayak ramai


Beberapa koleksi zine peribadi aku untuk dijadikan bahan pameran 

Sebenarnya ini merupakan kali pertama acara sebegini diadakan di bahagian tengah negeri Sarawak. Zine Fest yang pertama diadakan di Sarawak telah dibuat pada tahun lepas di Kuching. Ianya dibuat sekali dengan event gig punk. Aku pun baru tahu pasal perkara ni pun dari rakan-rakan. Kiranya acara zine fest yang aku serta rakan-rakan anjurkan ini adalah yang kedua dibuat seumpamanya di Sarawak.

Difahamkan Perlis Zine Fest juga dibuat pada hari yang sama bertempat di Gua Cenderawasih. Seminggu sebelum itu pun ada diadakan KL Zine Fest juga. Wah, macam pertandingan berbalas pantun pula majlis-majlis sebegini dibuat. Apa-apapun, tabik hormat buat semua penganjur yang buat event sebegini. Kalau diikutkan agak susah juga nak buat event yang mengetengahkan bahan bacaan ni, terutama sekali yang melibatkan zine.

Ok, kalau anda tak tau apa itu zine, sila klik di SINI.

 Beberapa zine serta buku-buku untuk dijual


 Hamka dari komuniti Bintulu Buskers. Vokali brader ni sedap beb, boleh sampai high pitch macam Black Mentor


 Bintulu Buskers


Nasrul (a.k.a. Korawk Al Naseer, penulis blog Geng Kereta Sapu) di sebelah kiri serta sahabat Fairol (kanan)

Acara ini berjalan dengan sempurna dan menambahkan lagi seri majlis ini ialah dengan kehadiran rakan taulan dalam scene music underground, sahabat-sahabat yang sering menyokong karya-karya tulisan anak tempatan baik dalam bentuk buku mahupun zine serta penglibatan geng Bintulu Buskers dalam memeriahkan lagi majlis ini. Tidak ketinggalan warga Bintulu yang sudi lepak dan borak berkaitan dengan hal-hal buku serta bahan bacaan yang lain. 

 Aku berwefie bersama "pelanggan-pelanggan" zine & buku

gambar jarak dekat untuk bunting

Pada awalnya, aku tak expect ramai pun yang akan datang. Syukur alhamdulillah sambutannya amat memberansangkan. Walaupun persiapan kami agak last minute dan tergesa-gesa sedikit namun ianya tidak mencacatkan majlis ini. 

Kepada rakan-rakan yang membantu, you guys are the best. Sukar nak diucapkan dengan kata-kata. Rasa terharu itu masih ada. InshaAllah tahun depan kita buat lagi.

Monday, October 3, 2016

Video Persembahan Metuk Ulau Project Di BOTB Sebauh




Metuk Ulau Project : Live at Gegar Juara Kugiran BOTB 2016

Songlist:
2 minutes to midnight - Iron Maiden
Kabus - Metalian

Tarikh : 25/09/2016
Lokasi : Balai Raya Sebauh, Bintulu

The line-up:
Bob Iskandar - drums
Ijau D Koceng - vocals, guitar
Azrul - lead guitar
Korawk Al Naseer a.k.a. David Banner - guitar
Pendekar Mustar - bass

Video Credit : Saudara Pet

Untuk ulasan lanjut mengenai peristiwa ini, sila klik di SINI (blog AADK AADI)

Monday, September 19, 2016

Sajak : Mimpi Yang Terhadang

Sajak ini terinspirasi oleh filem ini, Lost Highway (1997)

Mimpi itu amat mudah diperolehi 
hanya perlu kau pejam mata 
dan biarkan lebuhraya mindamu 
membenarkan setiap kenderaan yang bernama khayalan 
menerjah setiap jaringan asfal 
lantas ia dengan ringan hatinya 
melupakan had laju yang telah ditetapkan 

Realiti juga amat senang kau dakap erat 
hanya perlu kau buka mata 
melihat setiap sisi gelap dan cerah 
yang dapat kau amati 
sepanjang perjalanan 
pada lebuhraya yang sama 

Biasan demi biasan 
ia menghantuiku 
lalu menyukarkan diriku 
untuk menghentikan tayangan ini 

Pada setiap kamera litar yang menjadi saksi 
serta angin lintang yang menghalang aku menyeka airmata 

aku tersungkur 

Di saat mimpiku tersekat 
di dalam saluran 
yang menghubungkan 
jejak-jejak tanah yang pernah kutinggalkan 
serta kepingan bintang 
yang pernah kukutip di siling bima sakti

20 Ogos 2016

Monday, September 12, 2016

Kenangan Lama Mengusik Jiwa : Lawak Jenaka Di Sekolah Rendah Kerajaan South, Miri

Aku (kiri) dan kawanku Amin (kanan)

Sebelum ada Maharaja Lawak Mega ataupun Lawak Ke Der, di sekolah rendah aku dulu memang dah ada buat stand-up comedy. Kelihatan aku dengan rakan karib namanya Muhammad Aminullah sedang buat lawak entah apa apa di khalayak ramai. Ini juga merupakan pertama kali aku buat performing art (konon). 

Ini adalah suasana di Sekolah Rendah Kerajaan South, Miri lewat dekad 80'an (rujuk gambar di atas). Gambar ini diambil semasa sesi kokurikulum di waktu tengahari hari khamis. Aku tak ingat berapa tarikhnya, tapi aku yakin ianya berlaku di dalam tahun 1989. Masa ini juga aku masih lagi darjah 2. Ya, dulu masa kecik aku memang kurus. Sudah tua macam sekarang ni baru nampak "macho" sikit dengan perut one barrel. Apa kelas six pack. Haha. 

Individu yang bertanggungjawab mengambil gambar ini ialah Cikgu Normah, guru kelas 2 Merah. Secara teknikalnya, beliaulah yang pertama sekali menemukan bakat berlakon dalam diri aku dan sahabat aku, Amin. Pada penghujung tahun tersebut dan semasa majlis penyampaian sijil, Aku, Amin dan seorang lagi rakan bernama Azmi membuat sketsa komedi di atas pentas. Memang syok kalau satu sekolah bersorak dan ketawa tengok karenah kami ketika itu. Jadi secara teknikalnya juga, Harith Iskandar, Afdlin Shauki, Nabil dan seangkatan dengannya kena banyak belajar dari kami. Haha, ok aku bergurau. 

Penerapan seni persembahan (atau dalam bahasa penjajahnya "performing art") seperti pementasan teater, choral speaking, spelling bees, nasyid, pengucapan awam mahupun sketsa komedi sebenarnya antara elemen penting yang perlu diketengahkan di kalangan kanak-kanak terutamanya di peringkat sekolah. Disamping membentuk keyakinan diri, ianya juga dapat memupuk semangat menghargai seni walau dalam bentuk apa sekalipun. Kita sebenarnya harus bersyukur kerana kebanyakan sekolah di Malaysia masih lagi menganjurkan aktiviti-aktiviti sebegini. 

Sekarang wajah sekolah ni dah tak macam dulu. Ianya telah dinaiktaraf menjadi seakan-akan sekolah di Jepun; bangunan 3 atau 4 tingkat memanjang dan mempunyai prasarana yang cukup. Tiada lagi bangunan kayu seperti dahulu. Setiap kali aku tunjuk kepada anak aku yang dahulunya ini adalah sekolah ayahnya, dia seringkali tidak percaya. Ye la, rupa sekolah ini sudah moden sangat. Sudah hilang nilai old school nya. Aku pernah dengar orang dulu-dulu kata, sekolah ini dahulunya diasaskan oleh mubaligh kristian akan tetapi diambil alih oleh kerajaan setelah Sarawak merdeka. Samada betul atau tidak, wallahualam. Apa-apapun, sekolah ini tetap menyimpan ribuan kenangan indah semasa aku masih kecil dahulu.

Those were the good old days

Monday, September 5, 2016

Kenangan Lama Mengusik Jiwa : Taman Bumiko Lewat Dekad 80'an


Lewat dekad 80'an

Rindu zaman kecik-kecik dulu, terutama sekali rumah ini. Kami sekeluarga tinggal di rumah ini kira-kira dari tahun 1986 hingga 1993. Selepas itu barulah kami berpindah ke Bintulu. 

Di depan rumah kami ada stall burger, tempat lepak budak-budak remaja di kawasan perumahan ini masa tu. Ayah serta ibu aku yang mengusahakan bisnes jual burger tu demi mencari pendapatan sampingan. Budak-budak remaja di taman itu memang suka melepak di stall kami. Sebab itulah ayah aku memang sangat rapat dengan golongan belia di kawasan perumahan ini. Main gitar kapok serta buat aksi downhill guna skateboard adalah aktiviti kegemaran mereka pada masa tu. Aku cuma mampu tengok dari jauh saja. Maklumlah big boys mana boleh bercampur dengan budak hingusan macam aku ketika itu. 

Main dalam longkang (konon nak jadi Ninja Turtle), tangkap berudu, main tembak-tembak, main basikal BMX dan sebagainya. Semuanya kenangan indah di zaman kanak-kanak. 

Satu lagi situasi yang jarang kita jumpa sekarang tetapi telah wujud di zaman 80'an ialah perpaduan di kalangan masyarakat majmuk. Masa ni belum ada lagi sentimen berunsur perkauman yang dipelopori oleh beberapa pihak seperti parti politik, NGO berhaluan kiri dan sebagainya. 

Aku masih ingat lagi semasa tinggal di Taman Bumiko dahulu, pihak Rukun Tetangga seringkali mengadakan acara ramah tamah setiap kali musim perayaan. Ada ramah tamah hari raya aidilfitri, tahun baru cina malah krismas pun ada. Di waktu ini toleransi dalam hidup bermasyarakat sangat tinggi. 

Di masa itu, kalau nak berhubung dengan setiap ahli komuniti, kena buat mesyuarat bersama. Masa ini Taman Bumiko tak ada dewan khas atau balai raya untuk dibuat sesi mesyuarat. Perbincangan dibuat secara face to face, tak ada buat group whatsapp pun macam sekarang. Selalunya mesyuarat dibuat di rumah pengerusi Rukun Tetangga. Aktiviti beramah mesra serta pot luck memang selalu dilakukan. Setiap penduduk bekerjasama dalam menjaga keharmonian kawasan perumahan ini. 

Antara memori yang tidak dapat dilupakan dan paling seronok untuk dikenang ialah apabila ada pertandingan sukaneka di antara kawasan perumahan. Taman Bumiko selalunya memang tak ngam dengan Taman Tunku, sebuah lagi kawasan perumahan di Miri. Kiranya macam Manchester United dengan Liverpool la. Tapi saingan secara sihatlah, takda la gaduh-gaduh macam geng-geng ultras mahupun hooligans. Siap dalam pertandingan sepanduk berhias semasa hari Maulud Nabi pun kitorang masih lagi bersaing. 

Di sini aku belajar tentang nikmat hidup bermasyarakat yang dianggotai oleh pelbagai bangsa serta suku kaum. Kawan-kawan aku terdiri dari orang Iban, orang Ulu, Cina, Melanau, Jatik Mirik dan sebagainya. Kami buat rumah atas pokok sama-sama, pergi melastik burung sama-sama dan kena kejar anjing pun sama-sama. 

Pengalaman sebegini sebenarnya kalau difikirkan balik, ianya lebih bernilai dari segala material di dalam dunia kerana ianya membentuk siapa kita hari ini. Nasib baik lah zaman tu tak ada gadget, kalau tak memang takkan merasa nikmat jadi budak kecik yang hyperactive. 

I love the 80's and 90's

Monday, August 29, 2016

Kita (Sebuah Trilogi Sajak)

 Kita (Bahagian Pertama)


Kita (Bahagian Kedua)


Kita (Bahagian Ketiga)

Monday, August 22, 2016

Aplikasi Telefon Pintar "Prisma" Yang Menarik Perhatian

Tatkala ramai di antara kita yang sibuk dengan permainan interaktif Pokemon Go, aku pula sibuk melayan sebuah aplikasi telefon pintar yang diberi nama Prisma. Aplikasi ini membolehkan anda mengubah gambar-gambar peribadi anda menjadi lebih artistik dengan tambahan rekaan serta warna-warna yang surreal. Apabila gambar-gambar kesayangan anda digubah sedemikian rupa, ianya memberi satu nilai seni yang tersendiri. Apabila dilihat seimbas lalu, ianya menyerupai lukisan-lukisan mahal yang pernah dilukis oleh Pablo Picasso serta Van Gogh (well at least, pendapat seposen aku sahaja la).

Aplikasi Prima ini tidak seperti Instagram. Ianya tidak sesuai dijadikan satu medium laman sosial. Ianya lebih bersifat aplikasi stand-alone. Pendapat aku, ianya adalah idea yang baik. Cukup-cukuplah kita membaca ribuan komen serta status merepek dari pelbagai laman media sosial seperti Facebook, Twitter mahupun Instagram.

Di bawah merupakan beberapa koleksi gambar peribadi aku yang telah diubahsuai menggunakan aplikasi Prisma. Boleh dikatakan macam sebuah koleksi lukisan yang dipamerkan di galeri seni (perasan pulak dah haha). 

My Family in Prisma : A Collection Of Pictures











"Beauty lies in the eyes of the beholder"
- William Shakespeare 

Monday, August 8, 2016

Laporan Gig : Sarawak Metal Regime 2016

Poster Rasmi : Sarawak Metal Regime 2016

Pada 30 Julai 2016 yang lepas, band aku Tahi Suci telah dijemput untuk membuat persembahan di gig Sarawak Metal Regime bertempat di Paramount Hotel, Sibu. Sebenarnya sebulan sebelum gig ini berlangsung, aku saja-saja cuba merisik kepada penganjur gig kalau-kalau ada slot untuk Tahi Suci. Seperti tahun 2014 yang lepas iaitu semasa gig Sarawak Metal Regime yang pertama, kami mendapat lampu hijau dari pihak penganjur untuk berkongsi pentas bersama beberapa buah band metal tempatan. Namun kali ini, ada beberapa buah nama besar yang menjadi tarikan utama sepanjang gig ini  berlangsung. Band-band yang aku maksudkan itu ialah Vociferation Eternity dan Nonserviam dari Pulau Pinang.

Untuk line-up Tahi Suci kali ini cuma bertiga dan ianya juga memperkenalkan Azrul (juga gitaris untuk Metuk Ulau Project) selaku gitaris utama. Kami bertiga sebelum itu ada jugak lah membuat beberapa latihan bersama sebelum pergi ke gig ini. Walaupun hanya berjamming sebanyak 2 kali sahaja, namun keserasian mudah terjalin disebabkan masing-masing sudah mengenali cara bermain muzik berdasarkan acuan muzik grindcore bawaan Tahi Suci. 

Kami berempat (Azrul bawa seorang lagi kawannya ke Sibu iaitu saudara Sadiq, selaku jurugambar untuk Tahi Suci semasa gig itu nanti) bertolak dari Bintulu ke Sibu pada awal pagi sabtu 30 haribulan tersebut, kira-kira dalam pukul 8 begitu. Perjalanan kami menggunakan 2 buah kereta. Azrul dan sahabatnya dengan kereta miliknya, manakala aku dengan Arep (drummer Tahi Suci) pula dengan tenggiling hitam aku (baca: Proton Saga FL). Kami semua sampai ke Sibu kira-kira dalam pukul 11:50 pagi. Tanpa membuang masa, kami terus pergi ke venue gig iaitu di Paramount Hotel, Sibu.

Di hotel tersebut, kami berjumpa dengan ramai rakan sepermetalan yang tinggal di beberapa kawasan seperti Sibu, Mukah, Kuching dan juga Bintulu. Kebanyakan mereka hanya lepak di ruang lobi hotel sambil menanti saat bermulanya gig nanti. Memandangkan pada waktu tersebut gig masih lagi belum bermula, aku dan Arep mula beredar dari lobi dan terus menuju ke arah kaunter hotel. Kami bermalam semalam di hotel tersebut pada waktu itu. Letih giler beb, driving dari Bintulu ke Sibu dalam keadaan hujan lebat memang memenatkan. 

Kalau mengikut jadual serta apa yang telah dibincangkan oleh pihak organizer kepada kesemua ketua band, gig tersebut akan dimulakan tepat pada pukul 1 petang. Akan tetapi, malang tidak berbau. Gig terpaksa dimulakan lewat sedikit akibat daripada insiden alat muzik serta perkakas siar raya seperti amplifier belum lagi sampai ke venue. Gig tersebut bermula pada pukul 2:30 petang dan pihak penganjur sudah terbuang masa sebanyak sejam setengah akibat kelewatan barangan tersebut untuk sampai ke hotel. Oh ya, gig ini berlangsung di sebuah dewan yang sederhana besar, terletak di tingkat 3 di hotel tersebut.



Caldera

Tepat pada pukul 2:30 petang dan setelah selesai semua persediaan dilakukan, gig pun bermula. Band pertama yang mula-mula sekali menggegarkan pentas ialah Caldera dari Sibu. Band yang membawakan muzik bergenra metalcore / deathcore ini membuat persembahan yang cukup bertenaga sekali. Kebanyakan mereka yang menganggotai band ini masih lagi muda remaja. Aku kira dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun begitu. Band ini mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam arena muzik underground tempatan.



Voltan

Seterusnya, band Voltan pula mengambil giliran untuk meranapkan pentas gig. Kepada yang masih belum kenal band ini, Voltan merupakan sebuah band black metal yang disadurkan dengan elemen hard rock. Kebanyakan peminat mereka menggelar muzik band ini sebagai "black and roll". Band ini pun sudah lama ditubuhkan, lebih kurang 6 atau 7 tahun begitu. Aku pun kurang pasti. Persembahan mereka pada ketika itu memang bersemangat dan agresif. Aku paling suka tengok Reon selaku drummer band ini yang sekali imbas ada rupa macam Fenriz dari Dark Throne sedang beraksi. Penonton sudah mula naik sheikh dan headbanging disamping sing-a-long pada beberapa lirik lagu yang dinyanyikan. 

Tahi Suci - Garam Massala (Damage Digital Cover)
Live at Sarawak Metal Regime 2016

Untuk giliran ketiga, band Tahi Suci pula beraksi. Aku sengaja nak mintak perform awal semasa gig ini bagi memudahkan aku meletakkan barangan jualan aku seperti CD demo Tahi Suci, buku Pentagram Di Atas Pusara (ya, dekat aku sekarang masih ada lagi tinggal beberapa naskah), beberapa zine metal dan grindcore serta cd-cd band metal tempatan yang lain. Kebanyakan barangan yang aku jual ini aku letak di luar dewan. Berbalik kepada persembahan kami tadi, Tahi Suci mendendangkan 5 buah lagu di mana songlist tersebut dapat kami selesaikan dalam masa kurang dari 10 minit. Menakjubkan, betul tak? (sambil ketawa terbahak-bahak secara meroyan).



Nonserviam

Selesai sahaja persembahan kami, tiba pula giliran band Nonserviam dari negeri yang terkenal dengan Nasi Kandar serta Jeruk Buah Pala iaitu Pulau Pinang untuk beraksi. Band ini agak unik sedikit kerana ada elemen 1 Malaysia di dalamnya. Band ini dianggotai oleh pelbagai kaum seperti Cina, Melayu dan India. Makin menambahkan keistimewaan yang ada pada band ini ialah pemain bass nya adalah seorang wanita. Terasa seolah-olah macam band Chthonic pula. Kebanyakan lagu-lagu yang dipersembahkan oleh band Nonserviam ini diambil daripada album sulung mereka yang bertajuk A Spectral Ascension. Difahamkan, tidak lama lagi mereka akan mengeluarkan album kedua yang bertajuk Archetype Obscure. Serius beb, muzik diorang memang layan. Aku siap beli cd diorang lagi tu (dan cd tersebut masih lagi berputar di dalam kereta aku setiap kali memandu). Penyanyi band ini iaitu saudara Leon memang lincah sekali beraksi di pentas. Beliau sungguh pandai mengawal crowd. Siap boleh buat mosh pit lagi tu. Walaupun rupa dan gaya saudara Leon nampak macam salesman yang jual produk MLM, namun janganlah cepat menilai sesuatu hanya pada rupa. Saudara Leon ini merupakan tulang belakang kepada band ini, juga seorang penulis lirik lagu metal yang bagus. 

OK, mungkin ada yang akan berkata, besar kemungkinan muzik Nonserviam seperti Rotting Christ (disebabkan nama Nonserviam itu sendiri diambil dari salah sebuah album Rotting Christ), ada ala-ala Greek Black Metal. Namun yang pastinya tanggapan anda akan salah serta meleset kerana muzik bawaan Nonserviam adalah jauh berbeza kalau dibandingkan dengan Rotting Christ. Nonserviam membawakan irama melodic death metal yang dahulunya dipelopori oleh band seperti Carcass (mulai album Heartwork) dan banyak lagi, aku pun dah lupa namanya. Ditambah lagi dengan alunan bunyian kibod, terasa macam muzik Children Of Bodom pun ada, namun tidaklah ketara. 

Apabila Nonserviam selesai sahaja membuat persembahan, tiba-tiba saudara Tazudin (founder untuk label Menjrex Nerto dan frontman band Larrong serta Voltan) datang ke pentas dan membuat pengumuman ringkas. Beliau memaklumkan kepada semua bahawa gig tersebut terpaksa dihentikan lebih awal akibat adanya aduan dari pihak pengurusan hotel. Alasannya ialah event ini terlalu bising, walhal dewan yang digunakan agak kedap udara serta kalis bunyi bingit (tetapi tidaklah sehebat seperti studio rakaman). Aku tahu, aku pun bengang jugak. Memang fakof la pengurusan kali ini, disebabkan pengurusnya sudah bertukar. Kalau manager yang dulu senang nak kaw tim. Dahulunya band gergasi black / death metal dari Singapura iaitu Impiety pernah membuat persembahan gig di hotel yang sama, tetapi tidak juga berlaku sebarang aduan mahupun rush oleh pihak polis. Semuanya berjalan seperti yang dirancang sebelum ini.



Vociferation Eternity

Tanpa membuang masa, MC gig tersebut menjemput Vocideration Eternity untuk naik ke pentas lantas menghangatkan lagi susana di dalam dewan tersebut yang mulai dipenuhi dengan perasaan kekecewaan. Line-up untuk band Voci kali ini ada lain sedikit di mana ianya dianggotai oleh Dark-E sendiri (vocals, guitar), Deadzid (lead guitar) Batara Guru (bass, juga salah seorang ahli kumpulan Langsuyr serta Necrotic Chaos) dan Adjeez (drummer, juga merupakan ahli kepada Sil Khannaz). Persembahan mereka kali ini memang cukup power. Siap ada budak headbanging sampai sakit tengkok. Memang berhantu betul band ini.

Part yang paling aku suka dan akan diingati sampai bila-bila ialah apabila band Voci memainkan lagu "The Die Is Cast", yang diambil dari album kedua mereka bertajuk "Meadow's Yearn". Terasa macam budak remaja lagi ooo. Sudah lama aku teringin melihat mereka beraksi di depan mata. Aku juga tertarik dengan gitar bass yang digunakan oleh Batara Guru a.k.a. Doc Sam, di mana bass berjenama Takamine tersebut serupa macam bass yang dipakai oleh David Vincent dari Morbid Angel. Perghhh, Cantik beb.

Usai kesemua band tadi membuat persembahan, penonton mulai keluar dari dewan tersebut. Aku rasa kira-kira dalam jam 5.45 petang, gig ini sudah selesai. Ada 4 buah band yang tidak sempat membuat persembahan pada masa itu disebabkan pengurusan hotel yang "suck big time". Pihak organizer cuba menerangkan secara lebih telus mengenai isu ini kepada kesemua frontman band-band yang tidak dapat beraksi. Susah jugak sebenarnya kalau dah jadi begini. Di antara band yang tidak berpeluang beraksi di pentas gig Sarawak Metal Regime ialah Erectus, Marktoulybra, Millitant Attack dan Larrong.

Bagi mengubati kekecewaan tersebut, aku cuba memberi cadangan kepada pihak penganjur untuk berpindah venue gig ke studio jamming berdekatan. Malangnya tidak ada satu pun studio jamming yang mempunyai kekosongan dari segi ruang serta masa untuk gig ini disebabkan kebanyakannya terlibat dengan acara Borneo Cultural Festival yang bertempat di Dataran Bandar Sibu pada malam itu juga. Aku sebenarnya rasa kesian juga dekat band-band seperti Millitant Attack serta Erectus. Datang dari jauh semata-mata hendak perform di gig ini, akhirnya tidak jadi pula. Diharap mereka bersabar serta memahami situasi yang dihadapi oleh pihak penganjur gig.

Keesokan harinya, aku serta beberapa rakan yang lain ditugaskan untuk menghantar beberapa ahli kumpulan Vociferation Eternity serta Nonserviam ke Lapangan Terbang Sibu dalam waktu tengahari begitu. Hujan masih lagi renyai-renyai dan menjejaskan pandangan mata ketika memandu. Tetapi kami gagahi juga menyusuri lebuhraya yang dirempuh hujan lebat. Sesampainya kami di Lapangan Terbang Sibu, sempat juga kami mengambil gambar bersama sebagai tanda kenangan. Kepada kedua-dua band tersebut, kalian memang terbaik dan persembahan band-band hebat ini akan kami ingat sampai bila-bila

Nonserviam + Tahi Suci + Voltan
(photo credit : Leon Nonserviam)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...