Monday, July 26, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : EDGE OF THE WORLD (2021)

Sejak dari tahun lepas lagi, aku sudah pun menonton trailer untuk filem ini. Walaupun ianya dibintangi oleh Jonathan Rhys Meyers, seorang pelakon berbakat dan "under rated" berasal dari Ireland. Beliau juga banyak membintangi beberapa filem popular sebelum ini seperti "Bend It Like Beckham" (2002) di mana dia digandingkan dengan Keira Knightley, Alexander (2004) dan Mission Impossible III (2006), sekadar menamakan sebahagian. Namun filem kegemaran aku yang dilakonkan oleh beliau ialah "August Rush" (2007) lakonan bersama Keri Russell. Ianya merupakan sebuah filem muzikal bercampur elemen drama.

Kita letak ke tepi sebentar tentang kehebatan lakonan Jonathan Rhys Meyers dan kembali mengulas filem ini. Filem "Edge Of The World" ini merupakan sebuah karya arahan Michael Haussman (banyak mengarah beberapa muzik video untuk artis popular) dan ianya adalah sebuah biopik tentang Sir James Brooke yang dikatakan pernah menjadi Rajah di Sarawak suatu ketika dahulu bermula pada tahun 1842 sehingga ianya bertahan selama beberapa generasi.
Setelah selesai menonton filem ini, ada perasaan yang kurang enak berada di dalam diri. Mungkin ianya disebabkan ada beberapa insiden "historical incorrect" tentang perjalanan cerita ini yang membuatkan aku sebagai anak Sarawak merasa tersinggung. Mungkin ianya betul dan tepat dari pandangan masyarakat yang bukan dari Sarawak, namun mengangkat James Brooke sebagai hero secara total adalah tidak sesuai. Hakikatnya dia tetap di bawah pegangan "Queen's Subject" yang kemudiannya melanggar perintah kuasa koloni British kerana tidak mahu meluaskan empayar berkenaan. Kalau anda perhatikan setiap sesi monolog Sir James Brooke di dalam filem ini, sebenarnya dia dianggap sebagai seorang "loser" di dalam keluarganya (salah sebuah kerabat diraja di England).
Mungkin ada beberapa fakta yang benar diperkatakan di dalam filem ini, sebagai contoh tentang perebutan kuasa di antara putera mahkota dari kesultanan Brunei dan sepupunya yang pernah memerintah Sarawak sebelum kedatangan Sir James Brooke. Aku bukan pakar sejarah. Aku cuma tahu mengulas filem sahaja. Cuma beberapa perkara sensitif cuba diaibkan melalui filem ini seperti perzinaan dan minum arak di kalangan kerabat di raja nampak seperti "out of place".
Di mata masyarakat dunia khususnya di Hollywood, filem ini mungkin dilihat sebagai hiburan dan tidak jauh bezanya seperti menonton "The Sleeping Dictionary" (2003) lakonan Jessica Alba (aku suka filem ini hehe), sebuah lagi filem yang berkaitan dengan negeri Sarawak. Aku tidak salahkan Hollywood sebab mereka memang inginkan sisi "savages" dari Borneo untuk membuatkan filem mereka laku di pasaran. Tapi stereotaip ini rasanya sudah basi untuk diperkatakan baik dalam filem ataupun di kebanyakan media massa. Tidak hairanlah di dalam aplikasi IMDB, filem ini hanya mendapat 5 daripada 10 bintang sahaja. Di dalam zaman moden yang melaungkan slogan "Stop Asian Hate" seperti sekarang, rasanya filem ini tidak sesuai untuk diagungkan.
Aku rasa filem "Farewell To The King" lakonan Nick Nolte (sebuah lagi filem berkaitan Sarawak dan pernah menjadi bahan kontroversi semasa dekad 80'an dahulu) lebih seronok ditonton daripada filem ini. Sekurang-kurangnya kita tahu yang ianya adalah filem fiksyen. Hakikatnya, "Edge Of The World" hanya satu pandangan bias dan tertumpu pada perspektif White Supremacy sahaja.
Walaupun begitu, jika dilihat dari sudut lain pula, filem ini sekurang-kurangnya memberi ruang buat beberapa pelakon berbakat dari Malaysia untuk diketengahkan di dalam karya Hollywood. Para pelakon yang dimaksudkan ialah Bront Palarae dan Shahiezy Sam. Kedua-duanya membawa watak yang sangat penting dalam filem ini. Rasanya itu sahaja yang menarik perhatian aku semasa menonton filem ini.
Rating? 2 / 5



2 comments:

  1. aku dah tengok separuh jalan cerita ni tapi tertidur...haha.. nanti la aku sambung balik

    ReplyDelete
    Replies
    1. disebabkan ianya tak historical accurate, tak tengok pun takpe bang haha

      Delete

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...