Wednesday, January 28, 2015

CERKAS : AKU, ALAM MISTIK DAN ROCK & ROLL (BAHAGIAN KE-LIMA)

Darah berlumuran di sekitar kawasan berlumpur itu. Kedengaran jerit tawa Zos Kia Kultus menyelubungi belantara yang menjadi penjaranya. Walaupun sudah terkeluar isi perut dan dada tertoreh dek rembatan cemeti dari Percius, namun Zos Kia Kultus masih mampu mengilai ketawa bagai hilang akal. Bagaikan seorang pembunuh mental yang sadis, Percius masih lagi bertubi-tubi menghempas cemetinya ke arah Zos Kia Kultus yang terjerat di dalam lingkaran biawak-biawak lumpur itu.

"Haha...aku takkan mati, Percius. Percayalah aku pasti kembali. Ini baru permulaaan," ujar Zos Kia Kultus dalam menahan kesakitan akibat isi perutnya sudah terburai dek libasan cemeti Percius. Tanpa segan silu dan penuh rasa dendam, Percius memijak dada Zos Kia Kultus dengan perasaan megah. "Aku akan tanam kau hidup-hidup sampai ke perut bumi, bedebah!" tengking Percius lalu terus melompat dan menerajang dada Zos Kia Kultus. Akibat impak tendangan tadi, jasad Zos Kia Kultus ditelan dengan derasnya ke dalam lingkaran lumpur itu bersama-sama sekumpulan biawak yang mencengkamnya, menuju ke dasar bumi.

"Percayalah, Percius laknat....aku pasti akan kembali," jeritan perlahan Zos Kia Kultus yang semakin pudar di dalam lingkaran lumpur, hampir tidak kedengaran. Apabila kelibat Zos Kia Kultus tiada lagi, maka Percius beredar dari situ, lalu terbang menuju ke kuarters kediaman Nasrul dan Fairol.

Hilai tawa Balqis tidak putus-putus keluar dari mulut Nasrul. Sebelum itu, Nasrul muntah nanah dan darah di dalam rumahnya semasa sesi ruqyah tadi. Bau hanyir semakin menggamit deria hidu setiap manusia yang berada di rumah itu. Kali ini Nasrul semakin mengganas, entiti Balqis yang terperangkap di dalam badannya itu semakin hilang kawalan. Anjing menyalak semakin menggila di luar perkarangan sekolah tersebut. 'Ini bukan makhluk sembarangan,' ujar hati Ustaz Mahfuz Al Hafiz. Selama dia berkecimpung di dalam dunia perubatan alternatif Islam, baru pertama kali inilah dia melihat kes sebegini. Namun dia tetap tidak berputus asa.

"Wahai makhluk durjana, nyah kau dari badan anak muda ini," jerit Ustaz Mahfuz sambil memicit ibu jadi kaki Nasrul. Tidak lupa juga beberapa kalimah tauhid diucapkan seiring dengan perbuatan tersebut. Dengan tidak semena-mena, entiti Balqis sudah terhumban keluar dari tubuh Nasrul, setelah hampir 4 jam bertarung.

Balqis yang terawang-awang di halaman rumah kuarters tadi sempat disambut oleh suaminya Penghulu Percius. Setelah Ustaz Mahfuz berjaya mengeluarkan Balqis keluar dari tubuh Nasrul, tanpa membuang masa, Percius sempat menyambutnya dengan pantas.

"Terima kasih wahai suamiku," kata Balqis dalam nada yang lemah. Lalu Balqis memeluk erat Percius tanpa segan silu, tanpa rasa bersalah.

"Oh, penderitaanmu belum berakhir lagi sayang. Sebagai hukuman dengan apa yang telah kau lakukan padaku, aku akan seksa kau cukup-cukup selepas ini," gertak Percius kepada Balqis yang masih dalam genggamannya itu. Seakan tidak percaya, Balqis menangis lalu meminta maaf kepada Percius. Tapi ianya sudah terlambat, sepantas kilat, Percius menerajang Balqis lalu dia terpelanting masuk ke kawasan lumpur, tempat yang sama di mana Zos Kia Kultus diseksa.

"Tidak! Abang, maafkan aku....," jerit Balqis namun tidak diendahkan oleh Percius. Tanpa membuang masa, Percius mengeluarkan cemetinya lalu melibas ke arah isterinya yang curang itu. Habis kulit badan Balqis terkoyak. Bagai hilang akal, Percius meneruskan acara seksaaan itu sehinggalah hatinya puas.

Manakala di kuarters kerajaan Sekolah Kebangsaan Kampung Pandan,

"Encik Nasrul, tidak ada apa-apa?" tanya Ustaz Mahfuz kepada Nasrul. Badan Nasrul masih lemah, seperti bertarung Muay Thai dengan Tony Jaa rasanya.

"Alhamdulillah, saya OK saja ustaz, cuma masih terlalu lemah," kata Nasrul kepada Ustaz Mahfuz. "Itulah kau Nasrul, main gitar masa maghrib tadi, pastu main lagu Black Metal pulak, mana tak benda nama jin setan datang hinggap dan masuk badan kau," tiba-tiba sahaja Fairol mencelah semasa Nasrul sedang berborak dengan Ustaz Mahfuz.

"Fuck You! Orang yang tak dengar lagu Black Metal pun boleh kena rasuk jugak la," kata Nasrul kepada Fairol dengan nada marah. Mereka berdua memang begini, suka gaduh-gaduh ringan sebegini seperti nak bertumbuk betul-betul, tapi acah sahaja.

"Fuck you too....kurang asam kau Nasrul. Baik aku tak payah panggil ustaz tadi. Biar kau mampus kat bilik tadi," kata Fairol kepada Nasrul sambil mengisyaratkan jari tengah kepada Nasrul.

"Udah-udah la tu, tak baik gaduh-gaduh. Nah, Encik Nasrul minum air zam zam yang saya bawak ni. Mudahan makhluk halus tadi tidak lagi datang kacau Encik Nasrul," kata Ustaz Mahfuz kepada Nasrul dengan nada yang tenang lagi aman damai.

Sekian.

(Aku, Alam Mistik dan Rock N Roll. Bahagian Lima).

Monday, January 26, 2015

CERKAS : AKU, ALAM MISTIK DAN ROCK & ROLL (BAHAGIAN KE-EMPAT)

"Aduh! Di mana aku sekarang?" tanya Zos Kia Kultus namun tiada jawapan yang mampu diberikan oleh sesiapa. Terasa seolah-olah dia berada di dalam kawasan berlumpur yang gelap gelita, kurang cahaya datang menyimbah. Zos Kia Kultus kebingungan, tidak pasti lokasi sebenarnya dia terdampar sekarang. Tiba-tiba sahaja segerombolan biawak muncul dari dalam tanah lumpur tersebut lalu mencengkam tangan, kaki dan leher Zos Kia Kultus. Ah, sudah! Aku terperangkap, sejenak Zos Kia Kultus berkata dalam hatinya.

"Masih ingatkah dikau dengan aku, wahai sahabat?" dengan tidak dijangka Percius bersuara lalu muncul di depan mata Zos Kia Kultus. Dalam genggaman ada cemeti bersalut racun berbisa yang telah disimpan berkurun lamanya. Zos Kia Kultus terkesima sebentar melihat raut wajah Percius ketika itu.

Dengan sekelip mata, Percius melibas cemetinya lalu melingkar di keliling leher Zos Kia Kultus. Tidak cukup dengan cengkaman biawak tadi, ditambah pula dengan belitan cemeti berbisa dari Percius. "Haha...aku tak gentar dengan mu, Percius. Cuma aku masih kehairanan, bagaimana aku boleh sampai di sini?" tanya Zos Kia Kultus kepada seterunya, Percius.

"Dirimu telah terhumban dari badan anak muda itu tadi, tatkala ustaz itu sedang mengusir engkau dan isteriku dari tubuhnya. Balqis masih lagi terperangkap dalam jasad manusia tadi. Cuma kau sahaja yang mampu keluar. Melihat kau terhumban tadi, tanpa membuang masa, aku heret kau masuk ke sarang aku di hutan ini," jawab Percius dengan tenang bercampur amarah dan dendam.

"Sampai hati kau mengambil Balqis dari aku, Zos. Bukankah kita pernah bersaudara dan sama turun berperang melawan Jin beragama Tauhid semasa empayar ayahandamu masih kukuh dan kuat di Parsi dahulu? Masih tidak cukupkah pengorbananku terhadap kerajaan ayahandamu? Apa lagi yang kau mahu?" jerit Percius kepada Zos Kia Kultus. "Haha...kau jangan mudah lupa, Percius. Aku Zos Kia Kultus, anak kepada Maharaja Xerxes yang sering diagungkan oleh bangsa kita. Aku bisa buat apa yang aku inginkan...termasuk mengambil isterimu dari tanganmu," ejek Zos Kia Kultus kepada Percius. Walaupun dibelenggu, namun egonya tetap meninggi, setinggi tujuh petala langit.

"Sialan! Nah rasakan ini...," teriak Percius lalu melibas lagi cemetinya ke badan Zos Kia Kultus. Sedikitpun Zos Kia Kultus tidak mengerang kesakitan, akan tetapi mampu ketawa terbahak-bahak walaupun hakikatnya azab dari libasan cemeti itu amat pedih.

Manakala di kuarters kerajaan yang didiami Nasrul dan Fairol...

"Hah! Kau pula siapa?" tanya Ustaz Mahfuz Al Hafiz kepada entiti halus yang masih merasuk di dalam badan Nasrul.

Lalu Permaisuri Balqis menjawab, "Akulah sundal paling glamour di alam ghaib!" kata Balqis sambil memberikan isyarat jari tengah ke arah Ustaz tadi dan para jemaah surau yang masih bertahan berada di rumah Nasrul dan Fairol.

"Kurang Hajar!!!" lalu Ustaz Mahfuz Al Hafiz menekan dan memicit ibu jari kaki Nasrul sehingga kebiru-biruan. Entiti di dalam badan Nasrul kemudiannya berteriak menahan kesakitan.

Sekian.

(Aku, Alam Mistik dan Rock N Roll. Bahagian Empat)

Thursday, January 22, 2015

CERKAS : AKU, ALAM MISTIK DAN ROCK & ROLL (BAHAGIAN KETIGA)

Rumah kuarters kediaman Nasrul dan Fairol kelihatan gelap dan suram. Jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Bunyian anjing liar terpekik terlolong semakin gamat didengari walaupun dari kejauhan nun di dalam perut hutan sebelah kawasan sekolah, tempat Nasrul bekerja. Suasana di dalam rumah mereka kelihatan agak menyeramkan. Terdapat beberapa ahli surau datang bertandang di rumah mereka berdua pada malam itu, disertai dengan Ustaz Mahfuz Al Hafiz. Beliau merupakan bekas pelajar dari Pesantren Gontor, Jawa Barat. Nasrul yang dari tadi terbaring kaku di tengah ruang tamu rumah itu seperti tidak sedarkan diri. Mulutnya masih tertutup rapat cuma mata masih terbeliak, merah menyala. Fairol, teman serumahnya hanya mampu duduk bersama kalangan jemaah surau tadi. Sesi rawatan Ruqyah Syar'iyah baru sahaja bermula.

"Siapa engkau?," tanya Ustaz Mahfuz dengan nada tegas.

"Akulah Zos Kia Kultus, anak Maharaja Xerxes dari kerajaan Sumeria yang sudah wujud 4 milenia dahulu. Aku berasal dari keturunan yang dimuliakan oleh bangsa kami. Kamu anak adam bangsa yang lemah! Kalian tiada kuasa untuk mengusir aku keluar dari tubuh anak muda ini," tengking Zos Kia Kultus melalui mulut Nasrul yang terdampar kaki di lantai.

"Cis, jangan kau kurang ajar dengan kami wahai makhluk yang tidak diundang! Berkat kalimah Allah yang ada pada kami, nescaya kami akan usirkan kau dari badan pemuda ini," ujar Ustaz Mahfuz yang sedang diprovokasi oleh Zos Kia Kultus. Semakin angkuh Zos Kia Kultus berbicara dengan Ustaz Mahfuz serta rakan jemaahnya yang lain.

"Di dalam badan anak muda ini bukan aku seorang sahaja yang memasukinya. Aku disertakan dengan kekasihku, Permaisuri Balqis, juga datang dari keturunan Jin Ifrit dari aliran agama Majusi. Hahaha....bagaimana kamu semua bisa mengusir kami dari sini? Kami berdua jauh lebih kuat dari kalian. Biarlah kami bersenggama secara batin di dalam badan anak muda ini," kata Zos Kia Kultus dengan penuh angkuh dan hilang pedoman. Mulut Nasrul kumat kamit mengeluarkan ayat-ayat itu tapi hakikatnya bukan dia yang berbicara, hanyalah ayat-ayat sombong yang dihemburkan oleh makhluk keji bernama Zos Kia Kultus.

"Dengan nama Allah yang Maha Besar lagi penuh kuasa di sekalian alam, aku usir kau keluar dari sini! Nyah kau dari sini, makhluk perosak!" ujar Ustaz Mahfuz sambil menekan ibu jari kaki Nasrul. Secara automatik, makhluk yang terperangkap di dalam Nasrul menjerit menahan kesakitan. Jemaah surau yang berada di dalam rumah tersebut mula membaca beberapa surah Ruqyah antaranya Surah Ar Rahman dan Surah Jin. Fairol turut ikut sama membaca surah tersebut walaupun masih merangkak mengaji.

Nun jauh di hujung koridor rumah kuarters kediaman Nasrul dan Fairol tersebut, Penghulu Percius, penghulu kampung bunian kawasan Pandan beragama Majusi merangkap suami kepada Permaisuri Balqis sedang bertenggek di tepi tangga. "Sampai hati kau menduakan aku, wahai isteriku," keluh Percius di dalam hatinya sambil melihat kelibat Nasrul meronta-ronta di lantai rumah.

Sekian.

(Aku, Alam Mistik dan Rock N Roll. Bahagian ketiga)

Monday, January 19, 2015

CERKAS : AKU, ALAM MISTIK DAN ROCK & ROLL (BAHAGIAN KEDUA)

"Balqis, kembalilah kepada kekanda," Ujar Percius kepada isterinya

"Aku tidak mahu! Biar aku terperangkap dalam tubuh ini selamanya," Balqis makin berang, hatinya luluh dan terlalu kecewa

"Kembalilah ke kampung kita, sayang. Kekanda rindu untuk menyembah api bersama Adinda seperti dahulu," kata Percius dengan penuh kelembutan. Mereka berdua merupakan penganut agama Majusi yang taat.

"Tidak sama sekali! Selagi kau tak belikan aku kereta Perodua Axia Special Edition gear otomatik, selagi itu aku tidak ingin pulang ke kampung bersamamu," teriak Balqis di mana emosinya semakin terganggu dek kerana permintaannya tidak ditunaikan oleh suami tercinta, si Percius.

"Tidak! Aku tidak mahu pulang....," suara wanita mula keluar dari mulut Nasrul, persis suara Balqis, seorang permaisuri bunian beragama Majusi yang terperangkap di dalam tubuhnya. Jika dilihat dengan mata kasar, kelibat Nasrul seolah2 bermonolog dengan dirinya sendiri. Tidak ramai yang tahu bahawasanya di dalam tubuh Nasrul ada penghuni asing yang datang merempat.

Sedang Nasrul berkata-kata seorang diri seperti orang gila, rakan serumahnya Fairol jadi tidak keruan, ketakutan melanda dirinya. Fairol lalu bergegas meluru ke surau Kampung Pandan dan mencari ustaz yang pandai membuat perubatan Ruqyah Syar'iyah.

Sekian.

(Aku, Alam Mistik dan Rock N Roll. Bahagian kedua)

Thursday, January 15, 2015

CERKAS : AKU, ALAM MISTIK DAN ROCK & ROLL (BAHAGIAN PERTAMA)

Nasrul terloncat-loncat bagai kera kena belacan sambil menghayunkan gitar Ibanez Gio berwarna biru itu di dalam bilik nya. Kepalanya dihayunkan mengikut rentak muzik keras itu. Bunyi yang keluar dari gitarnya itu dibingitkan lagi dengan pantulan dari amplifier Marshall nya. Bergegar lantai kayu di rumah kuarters kerajaan itu dibuatnya, tapi Nasrul tidak keruan. Sambil mendendangkan lagu "La Ngomber" nyanyian asal kumpulan The Swallows dengan gitarnya itu, Nasrul juga bernyanyi dengan nada suara growl ala Varg Vikernes dari band Burzum, menunjukkan beliau adalah peminat muzik gelap iaitu Black Metal sejati. Waktu itu musim cuti sekolah, budak-budak di asrama sekolah tempat Nasrul bekerja itu sudahpun balik ke kampung halaman masing-masing. Tiada guru besar di pandangan. Sekolah juga jauh dari hiruk pikuk kota. Tinggal beberapa kakitangan sekolah saja yang tinggal di situ termasuk Nasrul. Apa lagi, "Sekolah ini aku yang punya!" teriak Nasrul sekuat hatinya.

Sedang Nasrul asyik bermain gitar di dalam rumah kuarters nya, nun di pinggir hutan, tidak jauh dari pagar sekolah, Zos Kia Kultus, seekor jin yang telah hidup sejak dari Tamaduan Sumeria telah lama bertenggek di atas pohon kayu balak, memerhati kelibat Nasrul yang lintang pukang itu. "Celaka punya manusia! Malam ni siap kau aku sedut jiwamu sedikit demi sedikit...." bebel Zos Kia Kultus yang tidak tahan dengan bunyi bising dihasilkan oleh gitar Nasrul tersebut.

Sekian.

(Aku, Alam Mistik dan Rock N Roll. Bahagian pertama)

Monday, January 12, 2015

CERKAS : STATUS FACEBOOK PAKCIK LIS

STATUS FACEBOOK PAKCIK LIS

Hai. Nama aku Lis. Sebenarnya aku ada banyak gelaran, pelbagai sebutan dari variasi bangsa dan negara semenjak berjuta tahun lamanya. Ada yang panggil aku The Fallen Angel, Lucifer, Iblyss (ini yang paling popular) dan macam-macam lagi. Tapi aku lebih senang jika dipanggil Lis, nampak ringkas dan bergaya.

Sebenarnya aku cuma membuang masa membuat coretan yang ringkas-ringkas sahaja di sini. Tidak ada niat apa-apa pun sebab objektif utama aku di sini sebenarnya sudah tercapai. Oh, kenapa aku berdamping dengan kalian? Kalian ingat aku ini sahabat dan rakan taulan di kalangan anda semua? Silap besar tu. Ya, memang betul mulutku banyak pemanis dan manisan ini jugalah yang mampu membuat kalian terjun ke villa indah aku nun jauh di sana. Di mana? Oh, anda perlu mati dahulu baru dapat jawapannya. Anda silap besar jika anda ingat aku ini sahabat karib kalian, aku makhluk paling suci dan terpuji dari kalian, tapi akhirnya dikutuk Sang Pencipta lalu aku dihumban jauh ke villa aku sekarang ini. Aku berhak memjadi angkuh sebab aku lebih tua dari kalian semua. Tapi yang peliknya anda terus menerus mempercayai aku, tak kira masa dan waktu. Seakan magnet juga kata-kataku ini, bisa menarik kalian kepadaku. Syabas! Itu baru syok.

Aku ada banyak khadam. Mereka juga dikalangan manusia seperti anda. Jangan terkejut jika ada di kalangan mereka ialah emak ayah, pakcik makcik mahupun cikgu di sekolah anda. Dalam ruangan media sosial ini pula, ianya juga diciptakan oleh salah seorang khadam aku yang sungguh berjaya. Namanya Mark Zuckerberg. Ya, dialah usahawan internet termuda yang tersohor itu. Matlamat sebenar aku dan Mark mencipta laman sosial yang digelar "Muka Buku" ini cuma satu, untuk melalaikan kalian semua dari mengingat Sang Pencipta kita di atas itu. Aku tidak mahu tidur di villa indah aku itu keseorangan. Aku juga mahu teman seperti kalian.

Tidak perlu mengingatiNya, dia tidak penting bagimu. Lalaikan dirimu lagi dengan Muka Buku ini. Buat apa buang masa sujud di sejadah 5 kali sehari (itupun kalau ada yang sujud). Kau dan aku pun tahu, tiada faedahnya.

Objektif utama aku di sini sebenarnya sudah tercapai...

(Coretan cerkas dari Pakcik Lis)

Tuesday, January 6, 2015

CERKAS : LOVE YOU UNTIL JANNAH

CERKAS : LOVE YOU UNTIL JANNAH

Dinihari ketika itu sungguh suram. Awan yang berarak mulai mewarnakan kelabu seolah-olah kepulan asap yang hanya pegun di langit. Terlalu kelam suasana pagi itu, bagai tiada makhluk hidup yang ingin bangkit dari tidur kecuali Pak Nasrul serta isterinya, Makcik Wawa. Tapi hakikatnya flat kediaman yang didiami mereka berdua sudah lama tidak berpenghuni. Cuma masih kedengaran hiruk pikuk kotaraya yang terletak berhampiran dengan flat kediaman mereka itu.

Setelah memberikan salam semasa tahiyat akhir untuk solat subuhnya, Pak Nasrul memaling mukanya ke arah isterinya seketika yang bertindak selaku makmumnya ketika itu, lalu beliau pun membacakan doa. Mereka memang begitu. Setiap sembahyang yang dikerjakan pasti akan dibuat secara berjemaah. Tidak pernah dibuat secara berseorangan. Rumah flat mereka yang terletak di tingkat paling atas nampak berseri walaupun hakikatnya tiada perabot mahal mahupun set TV yang mahal menghiasi kediaman mereka. Teratak mereka cuma cukup untuk mereka berdua sahaja.

Setelah selesai solat subuh, Makcik Wawa mula menghampiri suaminya di sejadah hadapan. Dipegangnya tangan-tangan suaminya yang kesat dan rapuh dimamah usia itu. Senyuman dilontarkan khas buat suami tercinta. Pakcik Nasrul faham isi hati isterinya itu. Sudah hampir 40 tahun mereka menjadi suami isteri yang sah, setiap golak hati isterinya Pakcik Nasrul sudah pelajari. "Sayang, I love you until Jannah," kata Makcik Wawa yang masih bertelekung kepada suami tercinta. Pakcik Nasrul tersenyum dan membalas ucapan isterinya itu dengan ungkapan yang sama.

Nun jauh di bawah flat kediaman Pakcik Nasrul dan Makcik Wawa, rusuhan berlaku lagi walaupun baru dinihari. Kekalutan warga kota ketika itu sungguh merunsingkan. Kerajaan pada ketika itu telah mengisytiharkan darurat kepada situasi yang bakal berlaku di kota itu mahupun di mana-mana kawasan yang terlibat. Rakyat memberontak terhadap kerajaan yang dipimpin oleh golongan fasikh. Kemusnahan harta benda berlaku di mana-mana, banyak juga nyawa yang terkorban. Kerajaan sudahpun bertukar ganti menjadi sistem KUDETA, kini pihak ketenteraan yang menguasai negara. Ketidakpuasan hati rakyat semakin membuak-buak.

Semenjak penemuan komet Non Servium yang dijangka akan menghempas bumi dalam tempoh beberapa hari lagi, dunia menjadi kalut dan penuh kekecohan. Kawasan yang dijangka akan terjejas teruk ialah Asia Tenggara. Banyak negara yang terlibat tidak sempat membuat persiapan apa-apapun. Hanya berserah kepada takdir. Umat manusia hanya menanti hari kiamat yang bakal kunjung tiba.

Langit di waktu subuh itu tiba-tiba menjadi merah menyala. Banyak serpihan batu dari luar angkasa mulai jatuh ke bumi. Ramai manusia lari bertempiaran tanpa arah pada ketika itu. Hanya tinggal beberapa minit lagi untuk impak yang maha dahsyat oleh komet Non Servium menghancurkan bumi Allah. Pak Nasrul dan Makcik Wawa masih lagi di atas sejadah mereka tadi, tidak berganjak ke mana-mana. Dalam hati mereka, tiada gunanya menidakkan ketentuan Illahi yang telah diaturkan itu. Hanya berserah kepada keadaan. Pelukan mereka semakin kuat tatkala beberapa serpihan batu komet mulai terkena bangunan flat kediaman mereka itu. Ketika itu, hanya mereka berdua sahaja yang tinggal di flat berkenaan. Penghuni yang lain sudah lari entah ke mana.

"I love you until Jannah too, my lovely wife," kata Pakcik Nasrul sambil memeluk erat isterinya yang tercinta. Air mata mulai mengalir di wajah mereka berdua. Bumi sudah mulai terbakar dek impak serpihan-serpihan komet itu. Flat kediaman Pakcik Nasrul serta isterinya mulai tumbang secebis demi secebis. Tiada harapan buat mereka berdua mahupun untuk semua isi bumi. Sudah terlewat untuk berbuat apa-apa pun.

Apa yang tinggal cuma berserah kepada Allah agar mereka dapat dipertemukan semula di syurgaNya setelah perhitungan di padang Mahsyar. Amin.

(cerkas kick kebenaran di awal pagi)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...