Monday, February 28, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM : MIMI O SUMASEBA - WHISPER OF THE HEART (1995)

ULASAN RINGKAS FILEM : MIMI O SUMASEBA - WHISPER OF THE HEART (1995)

Jika kita lihat sekali imbas pada poster filem anime ini, tentu kita akan beranggapan ianya berkisar dengan kisah fantasi dan petualangan. Sangkaan anda sudah pastinya kurang tepat dan meleset kerana filem ini menceritakan tentang kisah romantis remaja yang hidup di kawasan pinggiran kotaraya Tokyo. Boleh dikatakan ianya seperti beberapa filem remaja tipikal yang pernah mengharungi zaman kegemilangannya semasa dekad 90'an dahulu. Cuma bezanya filem animasi ini mempunyai penceritaan yang agak unik kerana ianya melihat kepada perspektif serta senario masyarakat Jepun ketika itu.

Filem "Mimi O Sumaseba" ini merupakan sebuah lagi keluaran Studio Ghibli dan ianya diriliskan pada tahun 1995. Berbeza dengan beberapa keluaran Studio Ghibli yang lain, filem ini merupakan karya yang disutradarakan oleh Yushifumi Kondo. Ianya juga merupakan filem pertama di bawah label Studio Ghibli yang bukan diarahkan samada oleh Hayao Miyazaki mahupun Isao Takahata. Ramai pengkritik filem di Jepun yang beranggapan bahawa Yushifumi Kondo ini bakal menjadi penerus legasi Ghibli di masa akan datang. Akan tetapi, Yushifumi Kondo meninggal dunia akibat penyakit Aortic Dissection (sejenis penyakit yang berkait rapat dengan Aneurysm) pada tahun 1998.

Berbalik kepada filem ini, ia mengisahkan tentang seorang gadis dari sekolah menengah rendah bernama Shizuku yang suka membaca buku-buku fantasi dan dalam diam berkebolehan menulis novel dari genre berkenaan. Di dalam masa yang sama, Shizuku juga berjumpa dengan seorang jejaka bernama Seiji Amasawa dari kelas lain yang pada awalnya suka mengekorinya.

Jika kita teliti dari segi jalan cerita, filem ini bergerak secara perlahan dan jika anda kurang sabar, ianya akan mudah membosankan anda. Namun ada beberapa faktor lain yang menyebabkan filem ini berada di kelasnya yang tersendiri. Antaranya ialah scenery yang dilukis oleh para illustrator di dalam filem ini. Ianya sungguh mengkagumkan dan dibuat secara terperinci. Kebanyakan kawasan yang difokuskan di dalam filem ini merujuk kepada tempat Bandar Baru Tama yang terletak di kawasan urban Tokyo. Nilai aesthetic yang ada pada filem ini sungguh menarik sekali dan semestinya tidak ada yang mampu menirunya.

Filem ini juga mampu memberi semangat kepada para remaja yang menghadapi situasi sama seperti watak Shizuku. Shizuku digambarkan sebagai seorang remaja di awal usianya yang menghadapi dilema dan isu seperti masalah percintaan, misi mengejar impian dan percubaan untuk berjaya di dalam pelajaran. Watak Seiji Amasawa juga dikatakan amat penting di dalam filem ini kerana ianya menjadi pendorong kuat buat Shizuku yang selalu hilang arah.

Rating? 3/5



Thursday, February 24, 2022

ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : JU-ON ORIGINS (2020)

ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : JU-ON ORIGINS (2020)

Siri franchise filem Ju-On sebenarnya bukanlah asing buat peminat genre horror di seluruh dunia. Filem Ju-On telah menjalani beberapa sequel sebelum ini dan ianya juga pernah diadaptasikan ke versi Hollywood. Apabila pihak Netflix mengumumkan untuk menghasilkan sebuah siri Ju-On, ianya bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Seperti filem-filem Ju-On sebelum ini, siri Origins ini juga menceritakan tentang rumah yang telah disumpah dan bakal mengundang maut kepada sesiapa yang memasukinya. Plot sebegini sebenarnya sudah banyak diceritakan sehingga ianya nampak membosankan. Entah kenapa, setelah selesai menonton keenam-enam episod dari musim pertama ini, aku menyerah kalah dan jika dibuat musim kedua sekalipun aku rasa malas nak teruskan. Seriously bosan. Penulis skrip seakan-akan sudah kehilangan idea rasanya.

Faktor kedua yang membuatkan siri Netflix ini tidak sukses ialah penceritaan yang terlalu banyak plothole sampai mencacatkan jalan cerita sebenar. Terlalu banyak persoalan yang menuntu jawapan tetapi gagal untuk dirungkai. Disebabkan ini jugalah, siri Netflix ini antara yang terburuk pernah aku tonton.

Jangan salah faham, aku sebenarnya peminat setia filem horror dari Jepun. Pada pendapat aku, remake The Ring versi Hollywood pun tidaklah seteruk siri Netflix ini.

Rating? 1/5




Monday, February 21, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM : KIMI NO SUIZO O TABETAI - I WANT TO EAT YOUR PANCREAS (2018)

ULASAN RINGKAS FILEM : KIMI NO SUIZO O TABETAI - I WANT TO EAT YOUR PANCREAS (2018)

Jika dibaca sepintas lalu, tajuk filem ini kedengaran seperti terlalu ganas dan mungkin menuju ke arah kanibalisme. Ianya seperti menonton filem Cannibal Holocaust ataupun Green Inferno. Namun kandungannya tidaklah sedemikian rupa. Filem animasi ini merupakan sebuah karya romantik yang bermula dari sebuah novel dikarang oleh Yoru Sumino dan diadaptasikan ke dalam bentuk anime oleh pengarahnya Shinichiro Ushijima. Filem anime ini dikeluarkan oleh Studio VOLN (yang bertanggungjawab mengeluarkan anime seperti Karakuri Circus dan Idol Incidents) pada tahun 2018.

Filem ini mengenai seorang remaja lelaki bernama Haruki Shiga yang menemukan sebuah buku diari di sebuah lobi hospital. Buku itu kepunyaan seorang gadis popular di dalam kelasnya iaitu Sakura Yamauchi. Menyedari Haruki telah membaca beberapa helai mukasurat diarinya itu, Sakura Yamauchi membuat keputusan untuk berkawan dengan Haruki yang bersifat suka menyendiri dan sentiasa bersikap dingin itu. Sakura mempunyai masalah pada Pankreas nya dan dikatakan oleh bahawa dia akan hidup tidak lama. Haruki mengetahui tentang ini melalui buku tersebut. Bermula dari sinilah bibit cinta mula berputik dalam diam di antara mereka.

Jalan cerita filem anime ini pada awalnya agak perlahan namun apabila sampai ke minit 30, momentumnya mula menjadi lebih teruja apabila plot menjadi semakin sukar diramal. Aku suka filem begini di mana pengakhirannya tidak seperti yang kita jangkakan. Tidak kisahlah samada genre romantik, aksi, seram atau sebagainya. Jalan cerita sebegini boleh membuat penonton tidak senang duduk dan teruja sehingga ke akhirnya.

Emosi di dalam filem ini juga bercampur aduk dan ini adalah kekuatannya sebenar. Tatkala watak Haruki mengharapkan Sakura untuk hidup lebih lama namun impiannya itu berkecai sekelip mata, membuatkan kita mudah terasa dengan babak tersebut. Secara peribadi, filem ini lebih beremosi berbanding mana-mana filem drama anime arahan Makoto Shinkai.

Rating? 4/5




Thursday, February 17, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM : PERFECT BLUE (1997)

ULASAN RINGKAS FILEM : PERFECT BLUE (1997)

Dekad 90'an menyaksikan kemunculan pengeluaran filem-filem anime yang menarik serta aesthetic dari Jepun. Sesetengah pengkritik filem mengatakan ianya merupakan "the golden age of anime movies" di mana banyak filem-filem anime yang unik serta berkualiti dihasilkan. Semenjak filem anime "Akira" arahan Katsuhiro Otomo diriliskan pada tahun 1988, industri filem Jepun telah menyaksikan persaingan dalam pembikinan karya-karya anime di layar perak.

Antara filem-filem anime yang banyak digemari ramai semasa dekad berkenaan ialah "Ghost In The Shell" (1995) arahan Mamoru Oshii, Ninja Scroll (1993) arahan Yoshiaki Kawajira, Princess Mononoke (1997) arahan Hayao Miyazaki dan banyak lagi (sekadar menamakan sebahagian).

Filem anime "Perfect Blue" juga merupakan antara karya yang harus diberikan perhatian. Diterbitkan oleh syarikat Madhouse pada tahun 1997 dengab judul Pafekuto Buru, filem arahan Satoshi Kon ini mengetengahkan genre psychological thriller yang belum pernah ada di dalam mana-mana karya anime sebelum itu. Boleh dikatakan ianya melangkaui zamannya. Ahead of it's time.

"Perfect Blue" mengisahkan tentang seorang penyanyi wanita bernama Mima yang mengambil keputusan untuk keluar dari kumpulan nyanyiannya iaitu Cham demi mengejar cita-citanya untuk menjadi pelakon sepenuh masa. Dalam fasa transisi tersebut, Mima berhadapan dengan pelbagai konflik seperti isu stalker, gangguan emosi serta manipulasi sesetengah golongan terhadap dirinya.

Filem arahan Satoshi Kon ini menyingkap tabir realiti dalam kehidupan seseorang selebriti yang penuh dengan dugaan. Disamping itu juga ia membawa para penonton ke dalam dunia yang dialami oleh seseorang yang obses dengan idola mereka. Satoshi Kon pandai bermain dengan storyline walaupun ada ketikanya ianya nampak seperti berserabut namun tidak begitu sebenarnya.

Animasi ini cukup dengan elemen shocking yang mampu membuatkan anda tidak senang duduk. Filem ini sebenarnya tidak sesuai ditonton oleh individu di bawah 16 tahun kerana ianya penuh dengan aksi ganas (babak pembunuhan yang agak gore) serta aksi eksplotasi seks yang melampau.

Rating? 4/5

P/S : Aku baru tahu yang pengarahnya Satoshi Kon meninggal dunia akibat barah pankreas pada tahun 2010. Antara filem-filem anime terbaik yang pernah dihasilkan oleh beliau ialah Tokyo Godfathers (2003), Millennium Actress (2001) dan Paprika (2006).






Monday, February 14, 2022

Ulasan Ringkas Filem : The Night Comes For Us (2018)

The Night Comes For Us : Sebuah Ulasan Ringkas

Seperti agak cliché juga disebut begini; ingat Iko Uwais, ingat darah. Kali ini lebih banyak darah daripada biasa. Selepas kejayaan filem duology The Raid, nama Iko Uwais sudah menjadi sebutan di barat terutamanya di Hollywood. Selain menggalas watak cameo dalam Star Wars' Rouge One, Iko Uwais juga bergandingan pula dengan Mark Wahlberg dalam filem Mile 22.
Tapi filem ini tidak terlalu fokus kepada watak Arian yang digalas oleh Iko Uwais semata-mata. Rakan-rakan yang lain juga menjadi fokus utama dalam filem ini. Joe Taslim yang pernah bergandingan dengan Iko Uwais di dalam The Raid 1 dahulu kini menjadi titik perhatian utama dalam filem ini. Manakala Iko Uwais pula merangkul watak antagonis yang semestinya memberikan persembahan yang bengis dan menggila bila tiba babak pertarungan.
Karya Timo Tjahjanto kali ini lebih kemas dan kukuh berbanding filem sebelumnya iaitu "Headshot" di mana kalau dibandingkan dengan mana-mana filem lakonan Iko, Headshot adalah yang paling ringan untuk dilayan. The Night Comes For Us menjanjikan lebih banyak aksi pertarungan yang mendebarkan, bergelen-gelen darah yang ditumpahkan dan semestinya keganasan yang melampaui batas.
Masih ingat "Hammer Girl" dalam filem The Raid 2? Julie Estelle juga kembali dengan lebih aksi dalam filem ini. Tiada saat yang membosankan, cuma wataknya di dalam filem ini agak misterius dan tergantung apabila berakhirnya filem ini. Mungkin itu yang dikehendaki oleh Timo selaku sutradara filem ini.
Jika anda fikir filem ini adalah biasa-biasa saja dan sama seperti The Raid Duology, ternyata anda silap. The Night Comes For Us ternyata lebih mendebarkan dan kejam. Kudos buat Gareth Evans juga selaku penerbit filem ini. Mungkin juga sudah tiba Gareth Evans untuk membikin penamat buat universe The Raid. Filem The Raid 3 sebagai contoh.
Rating filem ini? 5/5
P/S : Oh ya, filem ini juga ada "Cinta" di dalamnya?





Thursday, February 10, 2022

KENANGAN LAMA MENGUSIK JIWA : SUGARBUN DI PELITA TUNKU, MIRI

KENANGAN LAMA MENGUSIK JIWA : SUGARBUN DI PELITA TUNKU, MIRI

Pada tahun 1987, aku dan keluarga masih lagi tinggal di Miri. Pada ketika itu kami tinggal di sebuah kawasan perumahan bernama Taman Bumiko. Ianya terletak tidak jauh dari kawasan bandar, hanya beberapa minit perjalanan menggunakan kereta.
Semasa kami sekeluarga tinggal di kawasan perumahan tersebut, arwah datuk serta nenek sebelah mak aku kerap ke Miri untuk menziarahi kami. Mereka berdua sebenarnya berasal dari sebuah perkampungan yang terletak tidak jauh dari Tanjung Manis iaitu Kampung Rajang. Kampung ini terletak berhampiran dengan kawasan Belawai. Boleh check di Google untuk kepastian.
Arwah datuk aku ni jenis yang happy go lucky. Dia ni senang dibawa berjalan ke mana-mana. Dia suka mencuba pelbagai makanan di sesuatu kawasan yang baru diterokainya. Paling dia gemari ialah western food terutama sekali burger. Ayat yang paling iconic serta masih aku ingat sehingga kini tentang arwah datuk aku ialah "kau luk keman baga!" (dari bahasa melanau yang bermaksud "aku nak makan burger"). Ayat itu juga sering didengari ketika arwah bertandang di rumah kami.
Pada suatu hari semasa arwah datuk dan nenek tinggal sementara di rumah kami ketika itu, berlaku satu insiden yang tidak akan aku lupakan sampai bila-bila. Masa itu aku masih lagi kecil, umur aku dalam lingkungan 7 tahun begitu. Arwah datuk tiba-tiba ajak aku seorang sahaja pergi ke bandar semata-mata nak makan burger di Sugarbun. Kepada mereka yang tidak tahu, Sugarbun merupakan sebuah perniagaan makanan berbentuk franchise yang sangat popular di Sarawak. Kalau di Filipina ada Jollibee, di Sarawak pula ada Sugarbun.
Maka kami berdua pun pergilah ke bandar menggunakan bas. Aku masih ingat lagi, masa itu tambang bas cuma 30 sen. Sesampai sahaja kami di terminal bas, datuk mengajak aku pergi ke Wisma Pelita Tunku. Wisma ini sebenarnya merupakan sebuah kompleks membeli belah yang sangat popular di Miri pada tahun 80'an. Boleh dikatakan ianya bagai satu mercu tanda kemajuan di Miri pada ketika itu. Kalau di Pulau Pinang ada Komtar, Miri ada Wisma Pelita Tunku.
Di bahagian tingkat bawah kompleks membeli belah tersebut, terdapat restoran Sugarbun yang menjadi lokasi tumpuan kami berdua. Tanpa berlengah masa, aku serta arwah datuk masuklah ke dalam restoran tersebut. Kami berdua mengambil tempat duduk serta meja yang bersebelahan dengan cermin, senang untuk kami melihat gelagat orang ramai dari luar restoran tersebut. Agak lama jugalah kami duduk tercegat di tempat duduk tersebut tanpa disapa atau dilayan oleh sesiapa pun, termasuk pelayan di restoran tersebut.
Tidak lama selepas itu, datang seorang pelayan restoran tersebut ke arah kami berdua. "Pakcik, minta maaf ya. Kalau nak ambil order makanan, sila ke kaunter. Ini restoran layan diri," kata pelayan tadi.
Menggelabah juga arwah datuk aku masa itu. Manalah dia tahu restoran itu berkonsepkan layan diri. Tapi arwah datuk aku cukup selamba, dibawanya aku sekali ke kaunter. Kami pun sama-sama memilih makanan yang dimahukan. Arwah datuk aku semestinya memilih burger daging kesukaannya. Haha. Seronok tengok dia makan.
Kini selepas 33 tahun, aku kembali ke Wisma Pelita Tunku. Keadaan di tempat itu sudah tidak ceria dan sibuk seperti dahulu. Tidak ramai pengunjung yang datang, malah banyak kedai sudah tutup dan tidak beroperasi lagi. Mungkin disebabkan kegawatan ekonomi akibat pandemik COVID19 yang berlaku sekarang.
Ajaibnya restoran Sugarbun yang pernah dikunjungi oleh arwah datuk dan aku dahulu masih lagi beroperasi seperti biasa. Malah ada perkhidmatan Food Panda disediakan oleh franchise perniagaan berkenaan. Cuma itulah, keadaan di dalamnya sunyi sepi. Semasa aku masuk ke dalam restoran tersebut, aku disapa oleh pelayan di kaunter. Tanpa berfikir panjang, aku order burger ayam ala carte satu dan beberapa ketul naget untuk anak aku. Selesai berurusniaga di kaunter, aku terus keluar dari premis berkenaan.
Tanpa disedari, ada air mata mengalir di pipi semasa aku memegang plastik berisi burger dan naget tersebut. Aku rindu arwah datuk.
Innalillah wa inna ilaihi rojiun




Monday, February 7, 2022

MENGIMBAU KEMBALI FILEM "FENOMENA" (1990)

MENGIMBAU KEMBALI FILEM "FENOMENA" (1990)

Semalam aku selesai menonton filem ini di Astro melalui channel Fam TV. Aku ni jenis yang susah sangat nak melekat di depan TV sebenarnya, sebab aku lebih selesa menonton filem melalui telefon pintar sahaja. Cuma malam ini agak istimewa sebab aku berpeluang menonton kembali filem nostalgik ini.

Faktor utama yang membuat aku terpukau dengan filem ini ialah lakonan Ramona Rahman yang memegang watak Isabella. Ramona membawa watak seorang minah salleh berasal dari UK dan datang ke Malaysia untuk mencari seorang lelaki tua yang pernah bekerja dengan bapanya dahulu. Ramona menghidap penyakit misteri, sampai ke sudah penonton masih tidak tahu apa kesakitan yang dihidap oleh watak Isabella ini. Ramona Rahman ni kira sebaris dengan beberapa pelakon wanita eurasian lain yang pernah popular di dekad 90'an dahulu seperti Sofea Jane, Julia Rais, Deanna Yusuff dan Susan Lankaster. Sekarang Ramona Rahman sudah tidak lagi berlakon di dalam mana-mana filem, sebaliknya banyak terlibat di dalam voice over untuk iklan ataupun produksi animasi.

Filem ini pertama kali aku tonton kalau tak silap sekitar tahun 1990 begitu, rilisan rasmi pula ialah pada 31 Mei 1990. Menurut pakcik Google, Fenomena merupakan filem pertama arahan Aziz M. Osman pada ketika itu. Selepas filem ini meletup, barulah beliau mengarahkan beberapa filem hebat seperti XX Ray, Fantasi, Trauma dan banyak lagi. Kalau untuk telefilem pula, aku suka filem "Scoop" bergenre thriller dan penyiasatan.

Ada beberapa babak dalam filem ini yang dilihat mempunyai kualiti lakonan yang mantap, berdasarkan pengamatan akulah. Babak yang paling aku suka ialah sesi dialog di antara watak Azlan lakonan sifu M. Nasir bersama Isabella. Ianya banyak menggunakan bahasa baku dan sedikit elemen sastera. Banyak bercakap dalam kiasan lah, senang cerita. Walaupun ini filem pertama Aziz M. Osman namun banyak mesej yang ingin disampaikan melalui filem ini sebenarnya.

Filem ini juga tidak lari daripada kekurangan. Antara yang aku kenal pasti ialah terlalu banyak plot kosong yang menuntut untuk diterangkan jalan ceritanya. Pengakhiran filem ini juga membuatkan para penonton terpinga-pinga sambil berkata "eh, itu saja?". Tapi kita kena bertimbangrasa juga sebenarnya, inikan filem pertama Aziz M. Osman. Jadi janganlah terlalu memberi harapan yang agak tinggi.

Sudah hampir 30 tahun filem ini diriliskan namun ianya masih segar di ingatan remaja tua seperti aku. Aku masih lagi berumur 9 tahun semasa filem ini keluar di wayang dahulu. Aku tengok filem ini pun masa bapa aku masih lagi bergiat di dalam scene sewa tape VHS dahulu. Syok gila masa tu.




Thursday, February 3, 2022

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : THE WIND RISES (2013)

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : THE WIND RISES (2013)

Pada tahun 2013, Hayao Miyazaki kembali lagu menghasilkan sebuah karya bertajuk "The Wind Rises" dibawah naungan produksinya Studio Ghibli. Selepas filem ini diriliskan, beliau menyatakan hasratnya untuk bersara daripada pembikinan filem animasi. Namun begitu, dikhabarkan pula beliau kembali ke studio untuk menghasilkan sebuah lagi filem anime yang masih dalam pra produksi. Mungkin beliau merasakan duduk di rumah sambil tidak berbuat apa-apa adalah sesuatu yang sia-sia. Selagi masih ada kudrat, selagi itu beliau masih lagi mahu berkarya.

Berbalik kepada filem ini, The Wind Rises merupakan sebuah filem cereka tetapi menggabungkan beberapa elemen kisah benar seperti penggunaan watak seorang jurutera kapal terbang bernama Jiro Horikoshi (beliau pernah menghasilkan kapal terbang pejuang model Mitsubishi A5M dan A6M Zero yang digunakan oleh tentera empayar Jepun pada perang dunia kedua) dan watak seorang pesakit Tuberculosis bernama Naoko Satomi yang diambil dari sebuah novel berkaitan penyakit tersebut. Aku pun lupa tajuknya. Kedua-dua watak tersebut menjadi daya tarikan sebenar untuk filem ini.

Hayao Miyazaki sebenarnya bijak mengatur jalan cerita untuk filem ini. Beliau menghasilkan sebuah filem you biografi khusus tentang kisah kehidupan dan kejayaan yang diperolehi oleh Jiro Horikoshi. Jika filem ini dibuat dalam bentuk live action, aku rasa filem ini agak membosankan. Namun disebabkan kualiti visual yang diketengahkan oleh Hayao Miyazaki, filem ini mampu mengekalkan mood penonton dari awal hingga babak terakhir.

Kekurangan filem ini ialah durasinya. Walaupun filem ini berdurasi 2 jam 6 minit, namun ianya tidak mampu menceritakan secara menyeluruh tentang beberapa babak penting di dalam filem ini, terutama sekali pada bahagian terakhir di mana Jiro bertemu kembali dengan idola, Giovanni Caproni (seorang jurutera kapal terbang berasal dari Itali) di dalam mimpi beserta dengan kehadiran isterinya Naoko Satomi. Alangkah lebih elok jika filem ini dibuat dalam bentuk mini series daripada menjadi filem.

Untuk pasaran Amerika pula, tugasan voice over untuk filem ini dilakukan oleh beberapa pelakon terkenal seperti Joseph Gordon Levitt (500 Days Of Summer, 10 Things I Hate About You), Emily Blunt (Sicario, A Quite Place) beserta suaminya John Krasinski yang juga muncul sebagai watak Kiro Honjo, rakan karib Jiro. Filem ini sebenarnya masih lagi mengekalkan trademark sebenarnya Hayao Miyazaki yang lebih tertumpu kepada senario kehidupan Jepun yang berbentuk nostalgia.

Rating? 3.5 / 5




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...