DEFINISI "FIRASAT" MENURUT ISLAM (RUJUKAN DARIPADA PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN)
Sebelum kami menjawab persoalan ini, suka kami nyatakan amat perlu bagi kita merujuk sumber-sumber yang sahih agar sebarang perbincangan benar-benar menepati maksud dan mencapai sasarannya.
Pertamanya, kami definisikan dahulu makna dan maksud firasat itu.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka: firasat adalah sesuatu yg dirasakan atau diketahui sebelum terjadi sesuatu peristiwa.
Pada istilahnya pula, firasat memberi maksud:
• Ustaz Syeikh Abu Ali Ad-Daqaq berkata, "Firasat adalah suara batin yang masuk ke dalam hati dan meniadakan kontradiksi. Setiap suara hati memiliki nilai hukum yang menguasai hati. Kata firasat merupakan pecahan dari kata farasa yang mengandung makna menerkam atau memburu. Farisah as-sabu'u memiliki makna terkaman binatang buas. Tetapi, makna pembandingnya tidak boleh diertikan dalam konteks hati sahaja. Keberadaannya adalah bergantung kepad kualiti iman. Setiap orang yang imannya lebih kuat, pasti firasatnya lebih tajam."
• Abu Said Al-Kharraz mengatakan "Barangsiapa melihat dengan cahaya firasat bererti dia melihat dengan cahaya Al-Haq. Sumber ilmunya berasal dari Al-Haq. Dia dapat melihat tanpa lupa dan lalai. Hukum kebenaran Tuhan mengiringi gerakan lidahnya. Manusia seperti ini berbicara dengan menggunakan pancaran sinar kebenaran Tuhan. Ucapannya yang menyatakan dia memandang dengan cahaya Al-Haq ertinya dia melihat dengan cahaya yang dikhususkan Allah kepadanya."
• Muhammad Al-Wasiti mengatakan, "Firasat adalah pancaran cahaya yang memancar ke dalam hati, penguasaan ma'rifat yang membawa rahsia-rahsia ke dalam hati, dari sesuatu yang gaib menuju yang ghaib sehingga dia mampu melihat sesuatu menurut sisi mana Tuhan memandang. Dia boleh berbicara dengan hati makhluk."
Dalil Firasat
Kami nyatakan di sini dalil berkenaan firasat. Firman Allah SWT:
إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِلْمُتَوَسِّمِينَ
Maksudnya: "Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memperhatikan tanda-tanda." (Surah al-Hijr:75)
Sebagian ulama mengatakan bahawa ayat ini turun terhadap para ahli firasat. Mengenai kata "al-Mutawassimin" dalam ayat ini:
• Ibn al-Qayyim rahimahullah berkata, "Mujahid berkata, ' (Mereka adalah) Para ahli firasat."
• Ibn 'Abbas RA berkata, ''’Mereka yang mampu mentaksir sesuatu di masa hadapan (ahl al-nazar)."
• Qatadah berkata, "Orang-orang yang mengambil pelajaran."
• Muqatil RA berkata, “Orang-orang yang berfikir. Dalam mengulas hal ini, beliau menyatakan bahawa hal itu merupakan salah satu sifat seorang Mukmin, sebahagian dari kemuliaan yang Allah anugerahkan padanya, sebahagian dari buah-buah keimanan, dan sebahagian dari pahala amal soleh yang dilakukan pelakunya."
• Imam al-Maraghi berkata, “Takutlah kepada firasat orang Mukmin kerana dia dapat melihat menerusi cahaya Allah SWT. Kemudian Nabi SAW membaca: ‘Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar, terhadap tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi yang memerhatikan tanda-tanda. Ada dua bentuk firasat iaitu:
1. Apa yang diletakkan oleh Allah SWT di dalam hati orang yang soleh sehingga mereka mengetahui perihal manusia menerusi taksiran dan perkiraan.
2. Sesuatu yang diketahui melalui petunjuk pengalaman dan akhlak.
Orang dahulukala dan sekarang telah menyusun buku tentang perkara itu dan sebahagian ulama’ telah menjadikannya sebagai petunjuk untuk menjatuhkan hukuman sebagaimana yang dilakukan oleh Ilyas ibn Mu’awiyah, seorang qadhi yang berwibawa pada zaman Tabi’in.
Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman,
وَلَوْ نَشَاءُ لَأَرَيْنَاكَهُمْ فَلَعَرَفْتَهُمْ بِسِيمَاهُمْ وَلَتَعْرِفَنَّهُمْ فِي لَحْنِ الْقَوْلِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ أَعْمَالَكُمْ
Maksudnya: "Dan kalau Kami menghendaki, niscaya Kami tunjukkan mereka kepadamu, sehingga kamu benar-benar dapat mengenal mereka dengan tanda-tandanya. Dan kamu benar-benar akan mengenal mereka dari kiasan-kiasan perkataan mereka dan Allah mengetahui perbuatan-perbuatan kamu." (Surah Muhammad :30)
Sebagian orang-orang soleh menyatakan, "Barangsiapa yang memenuhi zahirnya dengan mengikuti sunnah dan batinnya dengan Muraqabatullah (merasa diawasi Allah SWT), menahan pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, mengekang dirinya dari hawa-hawa nafsu, dan terbiasa dengan makanan yang halal, maka firasatnya tidak akan pernah meleset."
Ibn al-Qayyim mengatakan, "Rahsia hal ini, bahawa suatu perbuatan akan dibalas dengan hal yang setimpal. Barangsiapa yang memalingkan pandangannya dari apa yang diharamkan Allah, maka Dia akan menggantinya dengan yang sejenisnya, yang lebih baik dari itu. Sebagaimana dia telah mengekang cahaya pandangannya dari hal-hal yang diharamkan, maka Allah melepaskan cahaya batin dan hatinya sehingga dengannya dia dapat melihat apa yang tidak dapat dilihat oleh orang yang melepaskan pandangannya namun tidak menjaganya dari hal-hal yang diharamkan Allah SWT."
Firasat hanya dimiliki oleh seorang Mukmin sedangkan selain Mukmin tidak memiliki firasat tetapi hanyalah ilusi. Oleh itu, perlu dibezakan antara firasat dan prasangka (zhan), kerana prasangka boleh jadi salah dan benar, boleh terjadi dengan ketaatan atau kemaksiatan, dengan hati yang hidup, sakit atau mati dan juga di antaranya ada yang haram. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
Maksudnya: "Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa." (Surah al-Hujurat:12)
Hadith اتَّقوا فِراسةَ المؤمنِ ، فإنَّهُ ينظرُ بنورِ اللهِ
Sabda Rasulullah SAW:
اتَّقوا فِراسةَ المؤمنِ ، فإنَّهُ ينظرُ بنورِ اللهِ
Maksudnya: “Takutlah kamu firasat orang yang beriman kerana dia melihat berdasarkan cahaya Ilahi.”
Riwayat al-Turmuzi (3127) dan al-Tabarani dalam al-Mu'jam al-Awsat (7843)
Firasat Imam al-Syafie
Berkenaan dengan firasat Imam al-Syafie dimana al-Rabi’ bin Sulaiman, salah seorang muridnya pernah berkata: “Apabila kami masuk menemui Imam al-Syafie ketika hampir meninggal dunia, lantas beliau memandang dengan renungan tajam kepada kami semua seraya berkata: ‘Kamu hai Abu Ya’qub (Al-Buwaiti) akan mati dengan besi kamu. Kamu pula hai al-Muzani akan menguasai Mesir sehingga kamu dianggap secerdik manusia pada zamanmu. Adapun kamu hai Muhammad, akan mengikut kembali mazhab ayahmu iaitmu mazhab Maliki. Sedangkan kamu hai al-Rabi’, banyak memberi manfaat kepadaku dalam menyebarkan kitab dan mazhabku.”
Ternyata apa yang difirasatkan oleh Imam al-Syafie adalah benar belaka. Itulah tajamnya firasat Imam al-Syafie dan benarlah sabda Nabi SAW seperti dalam hadith yang kami nyatakan di atas.
Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam memahami agamanya dengan sebaik mungkin.