Monday, July 25, 2016

Cerkas : Aku Dan Motosikal Tua


 Pic cilok dari Google

Tiap-tiap hari aku akan menunggang motosikal untuk turun kerja. Sebenarnya kalau diikutkan, boleh sahaja aku memandu keretaku untuk pergi ke pejabat. Namun aku masih lagi setia dengan motosikal Honda C70 yang sudah uzur ini. Kereta yang terparkir di garaj rumah itu aku biarkan sahaja tidak bergerak ke mana-mana.

Entah kenapa, aku sememangnya meminati motosikal tua pemberiaan arwah datuk ku ini. Nilai sentimental tetap ada dan ini membuatkan aku amat susah untuk berenggang dengannya.

Setiap pagi apabila aku dalam perjalanan pergi ke pejabat, aku akan melalui satu selekoh tajam yang terletak tidak jauh dari rumah aku. Aku akan berhenti sejenak, kira-kira dalam 5 atau 6 minit begitu. Sebenarnya aku akan berdoa seketika di tepi jalan pada selekoh tersebut. Ya, memang betul. Adakalanya selekoh ini amat sibuk pada waktu tertentu, tetapi aku tetap akan berhenti. Aku akan sedekahkan Al Fatihah, berdoa dan selepas itu menyentuh simen yang berada di tepi jalan itu.

Di sinilah datuk aku dilanggar lari oleh sebuah lori semasa arwah sedang melintas jalan. Entah kenapa pada waktu kejadian, datuk aku tidak pula bermotosikal untuk jalan bersiar-siar. Aku masih ingat lagi kata-kata terakhirnya sebelum arwah kena langgar. "Atuk saja nak ambik angin di waktu petang begini. Malas lah nak bawak motosikal," ayat itu masih lagi terngiang-ngiang di fikiranku.

Tiap-tiap pagi aku akan menunggang motosikal untuk turun kerja. Membawa motosikal yang dahulunya kepunyaan orang yang paling aku sayang di dalam dunia ini. Sedih™

Monday, July 18, 2016

Ulasan Filem : Ada Apa Dengan Cinta (2016)

Poster filem dirembat dari akhbar Metro

Sequel ini sebenarnya telah lama dinantikan oleh ramai peminat watak Rangga dan Cinta setelah beberapa teaser trailer diviralkan melalui kebanyakan media sosial semenjak setahun yang lepas. Pasti ramai antara kita pernah menonton filem pertamanya yang berjudul "Ada Apa Dengan Cinta" sekitar tahun 2001 begitu. Ianya semestinya menggamit kenangan terutamanya jika pada tahun 2001 tersebut anda masih lagi muda remaja, boleh jadi masih lagi di sekolah menengah mahupun di IPT (macam aku). Secara peribadi, semasa pertama kali aku menonton filem yang pertamanya dahulu, aku tidaklah terlalu mendalami sangat setiap perincian cerita yang dipersembahkan. Semasa filem pertamanya diriliskan dahulu, penerimaan daripada penonton agak perlahan pada mulanya. 

Akan tetapi tidak lama selepas itu, filem AADC menjadi satu fenomena luarbiasa baik di Indonesia mahupun Malaysia. Watak Rangga dan Cinta mula digilai oleh kebanyakan remaja. Watak-watak yang dilakonkan oleh Dian Sastrowadoryo (sebagai Cinta) dan Nicolas Saputra (sebagai Rangga) mula menjadi iconic dan sekaligus membuatkan filem arahan Rudy Soedjarwo ini diingati sehingga kini. 

Pada mulanya aku bukannya suka sangat filem ini. Mungkin disebabkan watak Rangga bawaan Nicolas Saputra. Angkuh dan sombong, ini adalah antara sebab kenapa aku bosan dengan watak tersebut dan membuatkan aku tidaklah taksub sangat pada filem ini. Mungkin disebabkan watak Rangga ini dilakonkan oleh seorang pretty boy seperti Nicolas ini agak tidak best bagi aku pada ketika itu. 

Tapi setelah kejayaan filem AADC ini, baik Nicolas mahupun Dian, telah mengorak langkah jauh ke dalam industri perfileman Indonesia. Dian berjaya berlakon dalam beberapa filem yang bermutu seperti "Ungu Violet" malah sama juga seperti Nicolas dengan filemnya "Janji Joni". Mereka berdua telah membuktikan bahawa mereka memang berbakat dalam bidang lakonan, bukan hanya bersandarkan pada wajah yang cantik dan kacak. 

Secara tidak sengaja, filem AADC dahulu telah membuka mata pelbagai pihak tentang keindahan dunia sastera Indonesia. Semestinya melalui sajak-sajak yang dikarang oleh watak Rangga dan Cinta. Namun begitu, disebabkan filem ini jugalah buku AKU karangan Sjuman Djaya tiba-tiba menjadi best seller semula kerana ianya telah dikaitkan dengan watak Rangga. Ya, memang betul sesiapa yang membaca buku tersebut disebabkan atas alasan watak Rangga membacanya dikira poser. Namun jika sudah membaca buku tersebut, ternyata dengan mudah kita telah terjun dalam dunia sastera Indonesia yang serba unik. Bukan untuk membandingkan di antara sastera Malaysia dengan Indonesia, cuma kita perlu lebih linean dan bertoleransi. Seniman Usman Awang juga dahulu sering memberi pujian kepada karya-karya WS Rendra mahupun Chairil Anwar yang ternyata lebih tulus dan jujur. 

Berbalik kepada filem AADC2, ianya dibuat dengan cara yang lebih casual tetapi masih menerapkan nilai seni yang tersendiri. Kali ini sajak-sajak karya M Aan Mansyur, seorang seniman kontemporari Indonesia yang sudah dikenali di Indonesia pada ketika ini menjadi sandaran. Disebabkan filem ini juga, beberapa buku puisi karya M Aan Mansyur menjadi best-seller, baik di Indonesia mahupun Malaysia. Sama nasibnya dengan buku "AKU" karya Sjuman Djaya yang pernah dipopularkan menerusi filem pertamanya dahulu. Jalan ceritanya pula masih berkait rapat dengan filem asalnya, cuma kali ini watak Rangga dan Cinta diolah menjadi lebih matang. Sudah 14 tahun berlalu, tentunya watak-watak ini menjadi lebih dewasa. 

Pemilihan lokasi penggambaran juga menjadi salah satu faktor penarik untuk AADC2. Antara lokasi yang menjadi tarikan ialah kotaraya New York, Jakarta dan paling menyentuh sekali ialah bandar Jogjakarta. Jogjakarta terkenal dengan pertembungan antara budaya klasik Indonesia dengan kesenian kontemporari. Ada beberapa lokasi bersejarah yang diambil semasa shooting filem ini. Antara babak yang paling menarik dan penting ialah apabila watak Rangga membawa Cinta melihat keindahan alam serta bandar Jogjakarta di waktu subuh dari puncak bukit. Ini sebenarnya adalah di antara momen yang sukar dilupakan. 

Filem arahan Riri Reza ini juga sarat dengan pelbagai mesej. Ianya merangkumi tema seperti persahabatan, kekeluargaan dan semestinya perhubungan intimacy. Pengarahnya bijak mengatur mood setiap watak mengikut babak-babak yang berjalan. Watak Rangga dilihat lebih matang, mudah meminta maaf, lebih relevan dan helpless romantic. Manakala watak Cinta pula sesuai dengan usianya, dimana dia dilihat sebagai wanita yang berdikari dan berperinsip. 

Kesinambungan untuk filem AADC ini dibuat secara teliti agar nilai penerapan seni dan storyline nya berjalan dengan seiring. Sejujurnya sequel ini diberi keadilan yang sepatutnya kerana ianya cukup lengkap dengan pelbagai tarikan, baik dari segi kontemporari mahupun seni halus. 

My rating? 5/5

Official Movie Trailer

Monday, July 11, 2016

Cerkas : Cerita Sedih Yang Sukar Disasterakan (Bahagian 3)

Imej diambil dari The Odyssey Online

Aku mula menghirup air kopi hangat melalui bibir cangkir yang berada di dalam cengkamanku ini. Aroma kopi ini benar-benar mengkhayalkan aku. Aku rasa semua pelanggan di yang berada di Kedai Kopi Bintang Terbabak ini merasai perasaan yang sama. Ianya benar-benar mengusik kewarasanku buat seketika, membuatkan pagi yang akan aku harungi hari ini dimulakan dengan kepahitan yang menggiurkan. Kerusi dan meja yang berada disisi langsung tidak aku peduli pun kewujudannya. 

Tiba-tiba di dalam keramaian dan kesesakan manusia di dalam kedai kopi itu, aku terlihat satu wajah yang pernah singgah di dalam hidupku dahulu. Ya, memang sah. Itu adalah Dian, sedang berdiri dalam barisan dan tengah tunggu giliran untuk memesan kopi yang diinginnya di kaunter pembayaran. Dian tidak keseorangan. Dia bersama seseorang jejaka yang jauh lebih bergaya dari aku. Ekor mataku masih lagi memerhati kelibat mereka berdua. 

Tiba-tiba Dian terpandang aku yang duduk di luar kedai kopi tersebut. Tangan aku masih lagi memegang cangkir kopi hangat namun mata kami berdua bertentangan buat seketika. Ah, sudah! Perasaan ini sungguh sial sekali. Aku cuba untuk melakar senyuman dengan niat untuk dijadikan sedekah buat Dian. Walaupun senyumanku tawar namun aku gagahkan juga untuk menjadi orang yang berbudi bahasa. 

Dian cuma terpaku. Jejaka di sebelahnya juga memandangku. Aku jadi kaget lalu memandang ke arah lain. Dian dan jejaka tersebut lantas beredar dari premis tersebut, tanpa mahu berhenti seketika di mejaku ini untuk berbual, sekadar bertanya khabar. 

Dian bukanlah seperti yang aku kenal dulu. Dia sudah bukan milikku lagi dan telah lama memulakan hidup baru tanpa aku. Aku juga cuba untuk meneruskan kelangsungan hidup tanpa Dian. Aku rasa aku secara perlahan-lahan berjaya melakukannya namun kejadian tadi benar-benar mengganggu fikiranku. 

Argh! Perasaan ini sungguh fakof sekali. 

"Abang, nah ini kuih dan karipap yang abang pesan tadi," 

Tiba-tiba ada suara malaikat menyapaku dari sisi. Suara yang aku kenal dan rapat sungguh dengan jiwa dan ragaku. Suara seorang isteri yang baru sahaja membeli beberapa kudapan di kaunter tadi lantas duduk di sebelah ku. Sambil menikmati juadah yang tersedia, ingatanku terhadap Dian lalu pudar. 

Ianya perlahan-lahan terhakis seperti mana kau menyimbah cecair peluntur ke arah daki-daki yang melekat di mangkuk jamban.

Monday, July 4, 2016

Ucapan Selamat Hari Raya 2016


Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin

Khas untuk semua (rakan-rakan blogger dan sekalian pembaca yang TERbaca blog saya yang hampeh ini)

Peace!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...