Blog catatan merapu yang aku buat tentang kehidupan aku sebagai seorang pemuzik amatur (tahap bohemian), seorang ayah and loving husband, seorang penjawat awam, movie addict, pengkritik makanan, seorang muslim dan semestinya sebagai seorang pemerhati kepada sesuatu yg berlaku di persekitaranku.
Tatkala ramai di antara kita yang sibuk dengan permainan interaktif Pokemon Go, aku pula sibuk melayan sebuah aplikasi telefon pintar yang diberi nama Prisma. Aplikasi ini membolehkan anda mengubah gambar-gambar peribadi anda menjadi lebih artistik dengan tambahan rekaan serta warna-warna yang surreal. Apabila gambar-gambar kesayangan anda digubah sedemikian rupa, ianya memberi satu nilai seni yang tersendiri. Apabila dilihat seimbas lalu, ianya menyerupai lukisan-lukisan mahal yang pernah dilukis oleh Pablo Picasso serta Van Gogh (well at least, pendapat seposen aku sahaja la).
Aplikasi Prima ini tidak seperti Instagram. Ianya tidak sesuai dijadikan satu medium laman sosial. Ianya lebih bersifat aplikasi stand-alone. Pendapat aku, ianya adalah idea yang baik. Cukup-cukuplah kita membaca ribuan komen serta status merepek dari pelbagai laman media sosial seperti Facebook, Twitter mahupun Instagram.
Di bawah merupakan beberapa koleksi gambar peribadi aku yang telah diubahsuai menggunakan aplikasi Prisma. Boleh dikatakan macam sebuah koleksi lukisan yang dipamerkan di galeri seni (perasan pulak dah haha).
Pada 30 Julai 2016 yang lepas, band aku Tahi Suci telah dijemput untuk membuat persembahan di gig Sarawak Metal Regime bertempat di Paramount Hotel, Sibu. Sebenarnya sebulan sebelum gig ini berlangsung, aku saja-saja cuba merisik kepada penganjur gig kalau-kalau ada slot untuk Tahi Suci. Seperti tahun 2014 yang lepas iaitu semasa gig Sarawak Metal Regime yang pertama, kami mendapat lampu hijau dari pihak penganjur untuk berkongsi pentas bersama beberapa buah band metal tempatan. Namun kali ini, ada beberapa buah nama besar yang menjadi tarikan utama sepanjang gig ini berlangsung. Band-band yang aku maksudkan itu ialah Vociferation Eternity dan Nonserviam dari Pulau Pinang.
Untuk line-up Tahi Suci kali ini cuma bertiga dan ianya juga memperkenalkan Azrul (juga gitaris untuk Metuk Ulau Project) selaku gitaris utama. Kami bertiga sebelum itu ada jugak lah membuat beberapa latihan bersama sebelum pergi ke gig ini. Walaupun hanya berjamming sebanyak 2 kali sahaja, namun keserasian mudah terjalin disebabkan masing-masing sudah mengenali cara bermain muzik berdasarkan acuan muzik grindcore bawaan Tahi Suci.
Kami berempat (Azrul bawa seorang lagi kawannya ke Sibu iaitu saudara Sadiq, selaku jurugambar untuk Tahi Suci semasa gig itu nanti) bertolak dari Bintulu ke Sibu pada awal pagi sabtu 30 haribulan tersebut, kira-kira dalam pukul 8 begitu. Perjalanan kami menggunakan 2 buah kereta. Azrul dan sahabatnya dengan kereta miliknya, manakala aku dengan Arep (drummer Tahi Suci) pula dengan tenggiling hitam aku (baca: Proton Saga FL). Kami semua sampai ke Sibu kira-kira dalam pukul 11:50 pagi. Tanpa membuang masa, kami terus pergi ke venue gig iaitu di Paramount Hotel, Sibu.
Di hotel tersebut, kami berjumpa dengan ramai rakan sepermetalan yang tinggal di beberapa kawasan seperti Sibu, Mukah, Kuching dan juga Bintulu. Kebanyakan mereka hanya lepak di ruang lobi hotel sambil menanti saat bermulanya gig nanti. Memandangkan pada waktu tersebut gig masih lagi belum bermula, aku dan Arep mula beredar dari lobi dan terus menuju ke arah kaunter hotel. Kami bermalam semalam di hotel tersebut pada waktu itu. Letih giler beb, driving dari Bintulu ke Sibu dalam keadaan hujan lebat memang memenatkan.
Kalau mengikut jadual serta apa yang telah dibincangkan oleh pihak organizer kepada kesemua ketua band, gig tersebut akan dimulakan tepat pada pukul 1 petang. Akan tetapi, malang tidak berbau. Gig terpaksa dimulakan lewat sedikit akibat daripada insiden alat muzik serta perkakas siar raya seperti amplifier belum lagi sampai ke venue. Gig tersebut bermula pada pukul 2:30 petang dan pihak penganjur sudah terbuang masa sebanyak sejam setengah akibat kelewatan barangan tersebut untuk sampai ke hotel. Oh ya, gig ini berlangsung di sebuah dewan yang sederhana besar, terletak di tingkat 3 di hotel tersebut.
Caldera
Tepat pada pukul 2:30 petang dan setelah selesai semua persediaan dilakukan, gig pun bermula. Band pertama yang mula-mula sekali menggegarkan pentas ialah Caldera dari Sibu. Band yang membawakan muzik bergenra metalcore / deathcore ini membuat persembahan yang cukup bertenaga sekali. Kebanyakan mereka yang menganggotai band ini masih lagi muda remaja. Aku kira dalam lingkungan 20 hingga 25 tahun begitu. Band ini mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam arena muzik underground tempatan.
Voltan
Seterusnya, band Voltan pula mengambil giliran untuk meranapkan pentas gig. Kepada yang masih belum kenal band ini, Voltan merupakan sebuah band black metal yang disadurkan dengan elemen hard rock. Kebanyakan peminat mereka menggelar muzik band ini sebagai "black and roll". Band ini pun sudah lama ditubuhkan, lebih kurang 6 atau 7 tahun begitu. Aku pun kurang pasti. Persembahan mereka pada ketika itu memang bersemangat dan agresif. Aku paling suka tengok Reon selaku drummer band ini yang sekali imbas ada rupa macam Fenriz dari Dark Throne sedang beraksi. Penonton sudah mula naik sheikh dan headbanging disamping sing-a-long pada beberapa lirik lagu yang dinyanyikan.
Tahi Suci - Garam Massala (Damage Digital Cover)
Live at Sarawak Metal Regime 2016
Untuk giliran ketiga, band Tahi Suci pula beraksi. Aku sengaja nak mintak perform awal semasa gig ini bagi memudahkan aku meletakkan barangan jualan aku seperti CD demo Tahi Suci, buku Pentagram Di Atas Pusara (ya, dekat aku sekarang masih ada lagi tinggal beberapa naskah), beberapa zine metal dan grindcore serta cd-cd band metal tempatan yang lain. Kebanyakan barangan yang aku jual ini aku letak di luar dewan. Berbalik kepada persembahan kami tadi, Tahi Suci mendendangkan 5 buah lagu di mana songlist tersebut dapat kami selesaikan dalam masa kurang dari 10 minit. Menakjubkan, betul tak? (sambil ketawa terbahak-bahak secara meroyan).
Nonserviam
Selesai sahaja persembahan kami, tiba pula giliran band Nonserviam dari negeri yang terkenal dengan Nasi Kandar serta Jeruk Buah Pala iaitu Pulau Pinang untuk beraksi. Band ini agak unik sedikit kerana ada elemen 1 Malaysia di dalamnya. Band ini dianggotai oleh pelbagai kaum seperti Cina, Melayu dan India. Makin menambahkan keistimewaan yang ada pada band ini ialah pemain bass nya adalah seorang wanita. Terasa seolah-olah macam band Chthonic pula. Kebanyakan lagu-lagu yang dipersembahkan oleh band Nonserviam ini diambil daripada album sulung mereka yang bertajuk A Spectral Ascension. Difahamkan, tidak lama lagi mereka akan mengeluarkan album kedua yang bertajuk Archetype Obscure. Serius beb, muzik diorang memang layan. Aku siap beli cd diorang lagi tu (dan cd tersebut masih lagi berputar di dalam kereta aku setiap kali memandu). Penyanyi band ini iaitu saudara Leon memang lincah sekali beraksi di pentas. Beliau sungguh pandai mengawal crowd. Siap boleh buat mosh pit lagi tu. Walaupun rupa dan gaya saudara Leon nampak macam salesman yang jual produk MLM, namun janganlah cepat menilai sesuatu hanya pada rupa. Saudara Leon ini merupakan tulang belakang kepada band ini, juga seorang penulis lirik lagu metal yang bagus.
OK, mungkin ada yang akan berkata, besar kemungkinan muzik Nonserviam seperti Rotting Christ (disebabkan nama Nonserviam itu sendiri diambil dari salah sebuah album Rotting Christ), ada ala-ala Greek Black Metal. Namun yang pastinya tanggapan anda akan salah serta meleset kerana muzik bawaan Nonserviam adalah jauh berbeza kalau dibandingkan dengan Rotting Christ. Nonserviam membawakan irama melodic death metal yang dahulunya dipelopori oleh band seperti Carcass (mulai album Heartwork) dan banyak lagi, aku pun dah lupa namanya. Ditambah lagi dengan alunan bunyian kibod, terasa macam muzik Children Of Bodom pun ada, namun tidaklah ketara.
Apabila Nonserviam selesai sahaja membuat persembahan, tiba-tiba saudara Tazudin (founder untuk label Menjrex Nerto dan frontman band Larrong serta Voltan) datang ke pentas dan membuat pengumuman ringkas. Beliau memaklumkan kepada semua bahawa gig tersebut terpaksa dihentikan lebih awal akibat adanya aduan dari pihak pengurusan hotel. Alasannya ialah event ini terlalu bising, walhal dewan yang digunakan agak kedap udara serta kalis bunyi bingit (tetapi tidaklah sehebat seperti studio rakaman). Aku tahu, aku pun bengang jugak. Memang fakof la pengurusan kali ini, disebabkan pengurusnya sudah bertukar. Kalau manager yang dulu senang nak kaw tim. Dahulunya band gergasi black / death metal dari Singapura iaitu Impiety pernah membuat persembahan gig di hotel yang sama, tetapi tidak juga berlaku sebarang aduan mahupun rush oleh pihak polis. Semuanya berjalan seperti yang dirancang sebelum ini.
Vociferation Eternity
Tanpa membuang masa, MC gig tersebut menjemput Vocideration Eternity untuk naik ke pentas lantas menghangatkan lagi susana di dalam dewan tersebut yang mulai dipenuhi dengan perasaan kekecewaan. Line-up untuk band Voci kali ini ada lain sedikit di mana ianya dianggotai oleh Dark-E sendiri (vocals, guitar), Deadzid (lead guitar) Batara Guru (bass, juga salah seorang ahli kumpulan Langsuyr serta Necrotic Chaos) dan Adjeez (drummer, juga merupakan ahli kepada Sil Khannaz). Persembahan mereka kali ini memang cukup power. Siap ada budak headbanging sampai sakit tengkok. Memang berhantu betul band ini.
Part yang paling aku suka dan akan diingati sampai bila-bila ialah apabila band Voci memainkan lagu "The Die Is Cast", yang diambil dari album kedua mereka bertajuk "Meadow's Yearn". Terasa macam budak remaja lagi ooo. Sudah lama aku teringin melihat mereka beraksi di depan mata. Aku juga tertarik dengan gitar bass yang digunakan oleh Batara Guru a.k.a. Doc Sam, di mana bass berjenama Takamine tersebut serupa macam bass yang dipakai oleh David Vincent dari Morbid Angel. Perghhh, Cantik beb.
Usai kesemua band tadi membuat persembahan, penonton mulai keluar dari dewan tersebut. Aku rasa kira-kira dalam jam 5.45 petang, gig ini sudah selesai. Ada 4 buah band yang tidak sempat membuat persembahan pada masa itu disebabkan pengurusan hotel yang "suck big time". Pihak organizer cuba menerangkan secara lebih telus mengenai isu ini kepada kesemua frontman band-band yang tidak dapat beraksi. Susah jugak sebenarnya kalau dah jadi begini. Di antara band yang tidak berpeluang beraksi di pentas gig Sarawak Metal Regime ialah Erectus, Marktoulybra, Millitant Attack dan Larrong.
Bagi mengubati kekecewaan tersebut, aku cuba memberi cadangan kepada pihak penganjur untuk berpindah venue gig ke studio jamming berdekatan. Malangnya tidak ada satu pun studio jamming yang mempunyai kekosongan dari segi ruang serta masa untuk gig ini disebabkan kebanyakannya terlibat dengan acara Borneo Cultural Festival yang bertempat di Dataran Bandar Sibu pada malam itu juga. Aku sebenarnya rasa kesian juga dekat band-band seperti Millitant Attack serta Erectus. Datang dari jauh semata-mata hendak perform di gig ini, akhirnya tidak jadi pula. Diharap mereka bersabar serta memahami situasi yang dihadapi oleh pihak penganjur gig.
Keesokan harinya, aku serta beberapa rakan yang lain ditugaskan untuk menghantar beberapa ahli kumpulan Vociferation Eternity serta Nonserviam ke Lapangan Terbang Sibu dalam waktu tengahari begitu. Hujan masih lagi renyai-renyai dan menjejaskan pandangan mata ketika memandu. Tetapi kami gagahi juga menyusuri lebuhraya yang dirempuh hujan lebat. Sesampainya kami di Lapangan Terbang Sibu, sempat juga kami mengambil gambar bersama sebagai tanda kenangan. Kepada kedua-dua band tersebut, kalian memang terbaik dan persembahan band-band hebat ini akan kami ingat sampai bila-bila
Musim pilihanraya ini adalah satu ketika yang telah lama ditunggu oleh beberapa individu. Bendera dari pelbagai parti yang bertanding kian menghiasi jalanraya baik di kawasan kampung mahupun di bandaraya. Segala acara merasmikan premis-premis seperti balai raya, dewan sivik mahupun tandas awam semakin giat dijalankan.
Selang beberapa hari kemudian, hari mengundi pun tiba. Segala macam karenah manusia jelas dilihat semasa proses mengundi dijalankan. Ada yang berarak membawa sepanduk parti masing. Tidak lupa juga ada yang hanya datang berlenggang sambil beratur untuk menunggu giliran mengundi.
Hendak dijadikan cerita, ada sebuah sekolah menengah di satu kawasan yang dijadikan salah satu pusat mengundi. Kawasan sekolah tersebut telah menjadi sesak oleh bermacam-macam manusia sejak seawal pukul 6:30 pagi lagi. Keterujaan para pengundi dapat dirasai semangatnya pada ketika itu.
Para pengundi kemudiannya akan diarah untuk masuk ke dalam salah sebuah kelas yang telah ditentukan. Tepat pukul 9 pagi proses mengundi pun bermula.
Tunggu
Ada sesuatu yang aneh telah berlaku. Satu fenomena yang pelik telah terjadi di mana para pengundi yang selesai mengundi bertukar menjadi kambing. Kebanyakan daripada mereka menjadi kambing biri-biri yang mempunyai bulu tebal.
Setiap kali ada pengundi yang selesai dengan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi, mereka akan bertukar menjadi kambing biri-biri. Namun hal yang pelik sedemikian langsung tidak memeranjatkan pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di tempat mengundi tersebut. Mereka seolah-olah bersedia dengan situasi berkenaan. Siap ada yang sedang bawa tali bagi menjerat pangkal leher kambing-kambing tersebut. Sihir apakah yang mereka gunakan?
Di depan sekolah itu, ada beberapa tokoh politik setia menunggu untuk mengambil kambing-kambing tersebut. Mungkin bunyinya agak ralat dan ganjil, namun para Yang Berhormat yang muncul di depan sekolah berkenaan sudah bersedia untuk mengangkat kambing-kambing tersebut lalu naik ke atas lori.
Apabila lori tersebut sudah penuh dan sesak oleh kambing-kambing, maka kesemua Yang Berhormat pun menghidupkan enjin kenderaan itu lalu membawa mereka ke satu destinasi yang entah ke mana.
Agak-agaknya mungkin kambing-kambing tersebut akan dibunuh serta dijadikan salah satu menu mahal untuk beberapa restoran eksklusif yang sering dikagumi oleh golongan marhaen. Siapa tahu.