Wednesday, December 27, 2017

Entri Mini : Antara Kenangan Manis Sepanjang Tahun 2017



Beberapa acara menarik yang aku turut serta sepanjang tahun ini baik sebagai ahli band, krew, tauke distro mahupun penonton:

1. Sarawak Metal Regime part 1 (headline : Noxa)

2. Sarawak Metal Regime part 2 (headline : The Pilgrims)

3. Rocktoberfest 2017 (banyak sangat headlines)

4. Final Warfare : The Aftermath Of War (headline : Infectious Maggots)

5. Jam It Live 2.0 Gig (headline : Siksakubur)

Kenangan manis sepanjang 2017 ni. OK, lepas ni boleh berehat sekejap. Apa yang aku maksudkan dengan sekejap ialah cuba berehat daripada dunia permetalan dalam lebih kurang sebulan. Untuk bulan Disember ini aku cuba fokus kepada hal-hal kekeluargaan dahulu.

Monday, December 25, 2017

A Gift Of Love From Zahra

Photo Credit : Autism Family Support Bintulu

Lukisan ini dibuat oleh anak buah kesayangan, Nurzahra Umar Binti Alifh Omar. Di mataku ianya indah sekali. Tidak sangka anak istimewa ini sehebat arwah papanya. Lukisan ini kemudiannya diambil oleh pakar terapi untuk kanak-kanak Autism, Dr. Ravivarma Rao.

Buat ibu bapa yang mempunyai anak dalam keadaan Autism, sedarlah bahawa kalian beruntung mempunyai zuriat yang istimewa begini. Perancangan Allah itu sungguh hebat dan kebanyakan masa di luar pemahaman manusia, kerana Allah sahajalah perancang hidup kita yang terbaik.

I love you so much, Zahra. I'm very proud of you. If your Papa is still alive, I'm sure he'll be even prouder than I am.

Berikut merupakan status facebook dari Dr. Ravivarma:

This beautiful artwork is by a child with autism and decorated by her mother who both neither celebrate Christmas but offer us the greatest gifts of the holiday spirit: compassion and acceptance to those with a difference.

#bintulu #nohealthwithoutmentalhealth #autism

Monday, December 18, 2017

Ulasan Filem - Justice League (2017)

Poster Rasmi

Ulasan Filem - Justice League (2017)

Justice League merupakan antara filem pecah panggung yang dinantikan oleh kebanyakan peminat filem Hollywood mahupun kaki komik sedunia. Kebanyakan watak-watak dalam filem Justice League ini kita sudah maklum tentang perihal mereka. Malah kebanyakan kita membesar bersama watak-watak seperti Batman, Flash atau Wonder Woman.

Sekali lagi, Zack Snyder (dan dibantu oleh Josh Whedon) diberi kepercayaan untuk menggalas tugas sutradara untuk filem epik berdasarkan watak-watak adiwira dari DC Comics ini. Seperti yang kita sedia maklum, melakukan kerja adaptasi dari komik ke filem sebenarnya bukan kerja mudah. Sebaliknya perlu ada beberapa modifikasi bagi menyesuaikan filem tersebut kepada para penonton yang bukan peminat komik. Sekadar pandangan peribadi, pengarah amat bijak mengendalikan jalan cerita untuk filem ini.

Pengarah berjaya mengurangkan babak-babak yang melibatkan emosi serta drama pada setiap watak utama. Beliau lebih fokus kepada mencapai matlamat untuk membawa para penonton kepada objektif utama filem tersebut. Dari aspek CGI, boleh dikatakan pihak DC sudah berada pada kedudukan yang sama dengan Marvel. Mungkin ada sedikit cacat cela di mana ramai pengkritik filem menyamakan CGI filem ini dengan permainan video yang ketinggalan zaman (rujuk beberapa komendi Rotten Tomatoes) namun bagi aku ianya masih di peringkat yang boleh dibanggakan. 

Akhirnya, tuan direktor mengambil pendekatan yang hampir sama dengan kebanyakan filem Marvel di mana ada kejutan pada end credit yang akan menjadi kesinambungan pada franchaise akan datang. Mungkin formula ini agak terikut-ikut namun kenyataannya inilah yang dimahukan oleh kebanyakan peminat filem. Apa yang pasti, eksekusi pada filem ini adalah di penghujungnya yang pastinya akan membawa para penonton ke arah kegelisahan dan tidak sabar menunggu kedatangan filem Justice League bahagian kedua. 

Rating aku? 4.5/5

Official Movie Trailer

Monday, December 4, 2017

Journey To Jam It Live 2.0 Gig (Miri, Sarawak)

Flyer Rasmi Gig Jam It Live 2.0

Pada 4 November 2017 yang lepas aku telah berkesempatan untuk menghadiri gig Jam It Live 2.0 bertempat di Alice In Borneoland, venue yang amat sesuai untuk dibuat penganjuran acara sebegini. Sebelum ini pun sudah ramai band-band tempatan telah membuat persembahan di venue ini seperti OAG, Gerhana Skacinta, Kyoto Protocol, Nice Stupid Playground dan banyak lagi. 

Berbalik kepada acara yang dimaksudkan, gig ini bermula pada pukul 2 petang. Aku serta keluarga bertolak dari Bintulu kira-kira dalam pukul 9 pagi begitu dan sampai di Miri lebih kurang pukul 11:30 pagi. Perjalanan kami pada ketika juga berjalan lancar walaupun agak sibuk sedikit kerana sering terserempak dengan lori-lori dari kilang mahupun ladang kelapa sawit. 

Sesampainya di Miri, aku uruskan beberapa perkara yang berkaitan keluarga dahulu; check in ke hotel dan pergi cari tempat yang sesuai untuk makan tengahari. Pada waktu itu aku dan sekeluarga makan tengahari di Container City yang terletak tidak jauh dari hotel kami. Apabila sudah selesai mentekedarah di sana, aku tinggalkan isteri, anak serta anak buah aku pergi bershopping di gedung membeli belah tidak jauh dari hotel kami. Manakala aku pula terus bergegas menuju ke venue gig.

Aku sampai ke venue kira-kira dalam pukul 2 petang begitu dan gig sudah pun bermula. Band pertama yang beraksi di pentas pada ketika itu ialah Cannibal Landlord (genre : Deathcore) di mana ahli kumpulan terdiri daripada mereka yang tinggal di Miri dan Brunei. Vokalis band ini ialah saudara Bam Johari yang berasal dari Brunei. Sudah lama aku mengenali saudara Bam Johari ini, itupun semasa beliau masih menganggotai band lama beliau Bleed This Skyline (genre : post hardcore) dan pernah menyertai sebuah gig di Bintulu sekitar tahun 2008. Aku dimaklumkan bahawa band Cannibal Landlord berhasrat untuk berhenti di arena UG scene dan ini merupakan persembahan mereka yang terakhir. 

 Cannibal Landlord

Cannibal Landlord

Oh ya, semasa acara tersebut aku berkesempatan untuk menjual beberapa barangan dari distro aku Metuk Ulau Underground Voices. Banyak juga barangan yang aku tawarkan buat semua pengunjung seperti CD dari band tempatan mahupun antarabangsa, t-shirt serta fanzines. Aku bersemangat kembali untuk menghidupkan distro aku ini setelah melihat beberapa penggiat muzik ekstrim berjual pelbagai barangan di gig Final Warfare bertempat di Seremban sebelum ini.

 Barangan dari distro aku serta rakan-rakan

 Barangan dari distro aku serta rakan-rakan

 Saudara Gary Spancer (vokalis Hypertika) dengan jari devil horns nya

 T-shirt rasmi Hypertika

 CD Siksakubur album "Mazmur 187"

Tauke distro Muzik Box Production, saudara Fadzil (dua dari kiri) bersama pelanggan

Band kedua selepas itu yang membuat persembahan ialah Terbabak, sebuah kugiran bergenre grindcore. Band yang dianggotai sebahagian besar dari sahabat aku ini mempersembahan beberapa lagu mereka sendiri serta cover dari Sepultura. Semasa mengakhiri set mereka, aku telah diundang untuk naik ke pentas untuk nyanyi bersama vokalis mereka bagi membawakan lagu Roots Bloody Roots (artis asal Sepultura). Agak havoc juga pada ketika kami mendendangkan lagu tersebut. Ternyata scene muzik UG di Miri sudah menampakkan semangat setiakawan yang padu.

 Terbabak
 Terbabak
Terbabak

Selesai sahaja Terbabak membuat persembahan, kini giliran Measmata, sebuah band deathcore dari Kota Kinabalu pula naik ke pentas. Persembahan mereka boleh dikatakan tight juga dan kebanyakan lagu yang mereka mainkan adalah dari material mereka sendiri. Tidak sia-sia pihak penganjur menjemput mereka untuk turut sama menjayakan gig ini. 

 Measmata

Measmata

Sepatutnya ada sebuah band post-rock / alternative / indie dari Kuching iaitu Polar datang dan turut sama menyertai gig ini namun disebabkan oleh beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, mereka tidak datang ke Miri. Slot mereka pula tidak digantikan oleh mana-mana band. Mungkin ini juga cara pihak organizer untuk menjimatkan masa serta melicinkan perjalan gig tersebut.

Setelah band Measmata selesai membuat persembahan, band Suri Mantra pula akan membuat persembahan. Band yang berkonsepkan post-rock ini merupakan satu-satunya kugiran yang tidak mempunyai vokalis kerana kebanyakan lagu-lagu mereka adalah berbentuk instrumental. Jarang juga aku lihat band yang mempunyai konsep begini. Lagu-lagu mereka kebanyakannya sesuai untuk dijadikan muzik atau runut bunyi bagi filem seram. Sungguh menarik sekali. Mereka juga pernah menyertai festival Rocktober Fest sebelum ini. 

Suri Mantra

Tidak lama selepas Suri Mantra mengakhirkan set persembahan mereka, giliran band Dreadwords pula untuk menguasai pentas gig. Aku suka sangat band ini. Persembahan mereka sangat happening dan kebanyakan lagu mereka ada bau Pantera. Gitaris mereka juga mengenakan Dean Dimebag Series. Wow, memang betul-betul best.

Dreadwords

Gig berhenti dan rehat seketika untuk lebih kurang 20 minit begitu bagi memberi peluang pihak penganjur mengatur beberapa perkara yang melibatkan sistem siar raya di atas pentas. Aku serta rakan-rakan sempat ambil angin sekejap di luar venue. Sambil itu kami sempat juga beramah mesra dengan rakan-rakan dari band yang membuat persembahan. Sebenarnya itulah antara perkara yang seronok apabila menghadiri gig sebegini; menjalinkan ikatan ukhwah di antara rakan-rakan sepermetalan. Mana rakan lama yang sudah lama tidak berjumpa mahupun yang baru dikenali, kita pasti akan mula berjabat tangan mahupun berpeluk mesra.

 Dari Kiri : Hamka a.k.a. Mat Tarpon (editor fanzine Dropdead), Korawk Al Naseer dan HK Woo.

 Aku bersama saudara Mawie, frontman untuk band Senjakala

 Aku bersama saudara Danny Jopie (drummer untuk band Nice Stupid Playground)

 Saudara HK Woo bersama frontman band Siksakubur, Andre Tiranda

 Aku bersama Andre Tiranda, frontman untuk band legenda death metal Indonesia, Siksakubur

Aku bersama saudara Bam Johari, frontman untuk band Cannibal Landlord.

Selesai kami lepak dan bersantai di luar venue, acara dihidupkan semula dengan persembahan band Hypertika, sebuah band melodic death metal dari Miri. Band ini sebenarnya mempunyai potensi untuk pergi jauh kerana kebanyakan material mereka amat sesuai untuk diketengahkan di gig yang berada di luar Miri. Serius aku cakap, mereka mempunyai kekuatan yang tersendiri dari perspektif muzikal. Showmanship mereka di atas pentas juga tidak mengecewakan.

Hypertika

Selepas itu, giliran Senjakala, juga band melodic death metal yang mempunyai clean vocal untuk naik ke pentas gig. Senjakala sebenarnya merupakan sebuah nama yang agak besar di Brunei (tempat asal mereka). Kewujudan mereka sudah pun bermula pada awal dekad 2000. Walaupun pernah menempuhi era rebranding dengan penukaran nama band ke Karacoma, namun akhirnya mereka lebih selesa untuk bergerak dengan nama Senjakala. 

 Senjakala

Senjakala

Senjakala sebelum ini pernah mengikuti acara KL Metalcamp dan merupakan antara band yang menjadi perhatian pada ketika itu.Pada 3 Disember 2017 pula mereka diundang untuk mengikuti Noxa Fest di Jakarta bersama beberapa nama besar seperti Extreme Decay, Hellcrust, Deadsquad, Cosmic Vortex serta Wormrot (Singapura). Senjakala merupakan satu contoh band yang berani menghadapi sebarang risiko serta tidak takut untuk meluaskan eksperi muzik mereka di luar negara mereka sendiri.

Setelah selesai pihak Senjakala membuat persembahan mereka yang bertenaga itu, kini tiba giliran As I End untuk menggalas tugas untuk memporak perandakan pentas. Ini merupakan kali kedua aku melihat persembahan As I End. Kali pertama adalah semasa gig Sarawak Metal Force Part 2 di Sibu yang berlangsung pada bula September lepas. Memang tidak dapat disangkal lagi, persembahan mereka tetap maintain bertenaga. Terasa ada aura Carcass era Heartwork pada setiap lagu dalam setlist mereka. Sungguh menghiburkan.

 As I End

As I End

Akhirnya saat yang ditunggu telah tiba, band yang menjadi headline telah naik ke pentas setelah selesai band As I End membuat persembahan. Band yang dimaksudkan ialah Siksakubur, technical death metal dari Indonesia. Band yang telahpun menghasilkan 8 buah album (dan hampir semuanya adalah epic) dan mempunyai kredibiliti dalam menyampaikan mutu persembahan yang liar serta mantap ini sememangnya amat dinantikan oleh kebanyakan peminat muzik ekstrim. Walaupun tanpa kehadiran drummer, namun mereka masih mampu mempersembahan 3 buah lagu yang maha dahsyat dan bisa membuatkan crowd menjadi tidak tentu arah.

Anak Lelaki & Serigala - Siksakubur (Live at Jam It Live 2.0 2017)

Gig Jam It Live 2.0 yang dianjurkan Miri Jammers Community ini telah berlangsung dengan jayanya pada hari tersebut. Kesemua band yang terlibat telah memberikan mutu persembahan terbaik. Band-band seperti Cannibal Landlord, Terbabak, Suri Mantra, Maesmata (Sabah), Dreadwords, Hypertika, Senjakala (Brunei), As I End (Negeri Sembilan) dan semestinya Siksakubur (Indonesia) telah melakar satu sejarah di mana secara tidak langsung terlibat dalam penganjuran gig muzik ekstrim yang pertama kalinya dibuat di venue Alice In Borneoland.

Walaupun terkesan dengan beberapa halangan seperti masalah drummer Siksakubur yang tersekat di kaunter Imigresen di KLIA, namun ianya tidak menjatuhkan semangat bagi Siksakubur untuk terus menyajikan satu persembahan yang mengkagumkan. Ianya juga merupakan pertama kali Siksakubur membuat persembahan di Miri dan buat julung kalinya bermain dengan hanya drumtrack (minus one) melalui telefon bimbit Andre Tiranda. Bak kata Freddie Mercury "The show must goes on,". Andre Tiranda serta rakan-rakan juga berjanji akan kembali lagi ke bandar minyak, Miri suatu hari nanti. 

Secara tidak langsung dan dengan adanya acara gig Jam It Live yang diadakan secara tahunan, telah membuatkan scene muzik ekstrim di Miri kembali mekar seperti dahulu kala. Semoga semakin sukses buat semua penggiat muzik ekstrim di bandar Miri. Ya, kini anda telah buktikan yang Miri bukan hanya sekadar pembekal minyak mentah kepada negara Malaysia. 

Horns up!

Monday, November 27, 2017

Journey To Final Warfare : The Aftermath Of War Gig 2017 (KM Plaza, Seremban)

The Flyer

Pada 28 Oktober yang lepas, aku sekali lagi berkesempatan menjadi sessionist pada posisi gitar bass untuk band Larrong. Kali ini kami beraksi di gig Final Warfare : The Aftermath Of War 2017 yang bertempat di Dewan Kelab Melayu Dato Shahardin KM Plaza, Seremban. Ianya merupakan satu penghormatan besar buat aku kerana sekali lagi diberi kepercayaan untuk bermain bersama band legenda dari Sarawak ini. Kalau berdasarkan flyer, ternyata banyak juga band-band yang power dan hebat belaka.  Tetapi antara banyak-banyak yang tersenarai, ada beberapa band yang aku teruja nak tengok persembahan mereka.

Terlebih dahulu, seminggu sebelum gig berlangsung, kami berlatih di Sibu bagi memperhaluskan lagi mutu persembahan kami. Di Sibu kami jamming hampir 3 jam di studio milik sahabat kepada tuan Tazudin, frontman Larrong. Ada penambahan sebuah lagu dalam setlist kami, cuma lagu-lagu terdahulu yang pernah dimainkan semasa Rocktoberfest masih dikekalkan. Kebanyakan struktur lagu-lagu yang dibawakan oleh Larrong ada sedikit teknikal. Tapi tak mengapa, aku bersedia dengan sebarang cabaran yang berkaitan dengan muzik sebegini.




Sesi jamming bersama Larrong seminggu sebelum gig Final Warfare

Apabila tiba hari yang dinantikan iaitu sabtu 28 haribulan Oktober, aku serta Rashid COG berangkat dari Lapangan Terbang Bintulu pada pukul 7:20 pagi kemudian transit sebentar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Pada pukul 10:40 pagi pula, kami berangkat ke KLIA2. Tiket penerbangan kami menjadi sebegitu rupa disebabkan ianya agak murah berbanding penerbangan secara langsung dari Bintulu ke KLIA2. Beli tiket penerbangan secara last minute la katakan. Apa-apapun segala kos penerbangan ditanggung oleh pihak pengurusan band. Kami berdua cuma datang ke venue dan perform.

Sesampainya kami di KLIA2 pada pukul 12:40 tengahari, aku dan Rashid disambut oleh rakan organizer merangkap pengurus kepada band-band metal UG iaitu Zaki Cendol a.k.a. Apo Jang. Ramai rakan-rakan sepermetalan terbiasa memanggilnya Apo Jang saja. Apo Jang ni dulu kami pernah bersua dengan beliau semasa gig Sarawak Metal Force 2017 part 2 pada bulan September. Masa itu Apo Jang jadi pengurus / krew untuk band melodic death metal dari Seremban iaitu AS I END. Apo Jang ni ceria orangnya dan mudah mesra.

 Rashid (drummer Curse Of God) dan aku

Rashid dan aku semasa baru sahaja keluar dari perut kapal terbang di KLIA2

Tanpa melengahkan masa, kami bertiga singgah sebentar di sebuah restoran mamak tidak jauh dari kawasan Sepang. Perut dah lapar, aku tengok muka Rashid pun dah layu semacam. Kami pun order Nasi Kandar dari pelayan restoran tersebut. Selesai sahaja kami makan tengahari bersama, kami pun berangkat ke Senawang kerana di sana band Larrong akan jamming sejam dua sebelum giliran kami beraksi di pentas gig. Kami mula praktis pada pukul 3 petang dan berakhir dekat-dekat pukul 6 petang begitu. Giliran kami kalau diikutkan rundown ialah pada pukul 6 petang. Mujurlah Senawang ni taklah jauh sangat dari Seremban.

 Bass Craftman aku (photo credit : San Burns)

Larrong semasa sesi jamming sebelum gig (photo credit : Apo Jang)

Sebenarnya gig sudah berlangsung pada pukul 2 petang. Jadi di antara kami berjamming dari pukul 3 hingga 6 petang, beberapa band sudah mula membuat persembahan masing-masing. Agak sedih juga kerana tak berkesempatan melihat band-band seperti Ironbird, Thrashit, Dukuns dan Demorforessus membuat persembahan. Setelah selesai jamming kami terus berangkat ke venue. Sesampainya kami di venue, band Kugiran D'Tepi Pantai sedang membuat persembahan. Set mereka baru bermula. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapatlah juga aku tengok Tuan Kombat serta rakan-rakan beraksi. Suasana masa itu agak rare bagi aku. Mana tidaknya, sungguh jarang sekali kau tengok metalheads headbanging sambil dengar lagu surf music. Kebanyakan lagu bergenre surf yang didendangkan oleh kugiran tersebut memang hebat belaka. 

Selesai sahaja Kugiran D'Tepi Pantai melakukan persembahan mereka, organizer mengumumkan bahawa acara berehat sebentar selama setengah jam. Pukul 6:30 baharu bermula kembali. Giliran Larrong adalah selepas masa rehat tersebut. Pada masa yang terluang, kami mulakan sesi soundcheck. Apabila selesai waktu rehat, maka giliran sudah bermula. Berikut merupakan songlist kami pada petang tersebut:

1. The Cult Of Death
2. The Tortured Land
3. Nuclear Armageddon
4. Lack Of Comprehension (Dead cover)




Larrong semasa membuat persembahan (photo credit : Matt Manang Bakak)

Persembahan kami terpaksa dipendekkan masanya bagi memberi ruang buat beberapa band seterusnya beraksi. Secara keseluruhan, aku berpuas hati juga dengan persembahan kami walaupun ada terkucil pada beberapa bahagian lagu. Namun ianya tidaklah ketara sehingga menjejaskan kualiti persembahan kami secara total. Paling seronok ialah apabila beberapa orang lama seperti brader Lan Bear (gitaris Infectious Maggots) turut sama headbanging bersama khalayak ramai di hadapan stage pada ketika kami membuat persembahan. Salute!

Selesai sahaja set Larrong, kini giliran Putrified Remains membuat persembahan. Band yang dikatakan jelmaan versi Malaysia bagi band-band Greece Metal seperti Varathron dan Rotting Christ ini semestinya antara band yang dinantikan. Brader Suffian selaku frontman band ini antara admin group Vinyl Passion (Facebook) dan seringkali berinteraksi dengan aku di alam maya. Sekarang dah jumpa depan mata, pada mulanya kelu lidah tak terkata. Tapi tak lama lepas tu (setelah mereka membuat persembahan) kami jadi mesra apabila berbicara. Yelah, kedua-dua kami minat dengan piring hitam. Tapi koleksi piring hitam lagi dahsyat dari aku. Haha. Persembahan Putrified Remains ternyata tidak mengecewakan. Aku kagum dengan persembahan mereka. Selesai sahaja mereka beraksi, kini tiba giliran Mortuary Ancestor untuk menakluk pentas gig tersebut.



Putrefied Remains

Mortuary Ancestor sebenarnya pada ketika dalam rangkaian jelajah ke beberapa venue gig di Semenanjung Malaysia. Pada hari jumaat sebelumnya, mereka membuat persembahan di sebuah gig yang bertempat di Soundmaker (kalau tak silap) di Pulau Pinang. Hari sabtu pada masa itu pula, mereka beraksi di gig Final Warfare. Oh ya, lupa nak khabar. Mortuary Ancestor merupakan sebuah band death metal dari Sandakan, Sabah. Sebelum ini aku pernah menyaksikan persembahan mereka di Sarawak Metal Regime 2017 part 2 di Sibu pada bulan September lepas. Persembahan mereka memang power giler beb. Speechless jugak lah dibuatnya apabila mendengar riff-riff gitar yang jahat dari mereka. Manakala vokal pula memang mantap. Ada ala-ala slamming brutal death metal begitu. Pada ketika itu, Shaun Harun (ex-drummer untuk Mantak dan Crown Ov Horns) menggalas jawatan sebagai tukang pukul untuk band ini.



Mortuary Ancestor

Selepas Mortuary Ancestor, giliran As Sahar pula untuk mendominasikan pentas. Sebagaimana yang kebanyakan peminat band ini sudah maklum, One Barchiel sudah tidak lagi bersama mereka atas beberapa alasan yang tidak dapat dielakkan. Walapun ini adalah kali pertama aku melihat As Sahar beraksi, tetapi persembahan mereka amat tidak mengecewakan. Antara lagu yang menjadikan aku histeria sekejap semasa mereka membuat persembahan ialah Meditasi Embun Pagi. Sejak dari zaman kaset di dekad 90'an lagi aku dah dengar lagu ini. Kini dah melihat mereka beraksi depan mata, seakan-akan mimpi jadi kenyataan la jugak.



As Sahar

Apabila As Sahar sudah selesai, kini hanya tinggal sebuah band sahaja lagi untuk mengamuk di atas pentas iaitu Infectious Maggots. Ya, inilah band yang aku nantikan untuk membuat persembahan pada ketika itu. Band yang berpaksikan genre Industrial Grindcore ini masih lagi bertahan di dalam arena muzik underground tanah air. Line-up mereka pada ketika itu masih sama seperti di KL Metalcamp pada bulan Ogos lepas. Cuma ada pertukaran ahli di mana Kombat (The Pilgrims, Kugiran D'Tepi Pantai) pada posisi gitar ketiga dan Madec (vokalis band grindcore Negation) pada posisi vokal. Apabila lagu pertama mereka didendangkan, meremang juga bulu roma dibuatnya. Sound mereka masih lagi berat sepertimana di dalam kaset-kaset mereka sebelum ini. Lan Bye selaku drummer masih lagi relevan sebagai penyandang gelaran "the human machine-gun" seperti yang pernah diwar-warkan sebelumnya oleh beberapa pihak.

 Lan Bear of Infectious Maggots

 Infectious Maggots

  Infectious Maggots

Aku bersama Madec (vokalis untuk Infectious Maggots dan Negation). Beliau menggantikan Fathul di bahagian vokal.

Selesai sahaja majlis tersebut yang diakhiri oleh persembahan Infectious Maggots, pihak organizer menyeru kesemua yang hadir pada sesi gig tersebut untuk bergambar beramai-ramai. Sesi fotografi pun bermula. Agak seronoknya juga kerana dapat bergambar bersama rakan-rakan baru dan lama. Apabila ramai khalayak sudah keluar dari dewan tersebut maka aku dengan Rashid berpisah dengan beberapa ahli kumpulan Larrong. Tuan Tazudin serta San Burns (vokalis Larrong) akan kembali ke Kuala Lumpur. Mereka hendak menghadiri gig Kuala Lumpur Death Fest yang bertempat di Publika pada keesokan harinya. Band Mortuary Ancestor juga akan membuat persembahan di venue tersebut. Sibuk sungguh mereka. Tak mengapa, janji minat.

 Aku bersama rakan blogger Faizal Skudal (blog The Journey Continue)

 Aku bersama tauke distro dan label Goatlordth Record, tuan Rosaizat

 Larrong bersama Infectious Maggots (photo credit : Taz Taj)

 Sesi fotografi setelah selesai gig (photo credit : Apo Jang)

Aku bersama Malek Hanael of As Sahar

Manakala aku dengan Rashid pula dibawa oleh pihak penganjur untuk menghadiri makan malam di sebuah restoran tidak jauh dari kawasan seremban iaitu Restoran Man Tom Yam. Dalam pukul 10 malam begitu jugalah kami sampai di sana. Di sana kami berborak sambil bercerita tentang hal-hal yang berkaitan dengan masalah dunia. Yang menariknya, aku berborak dengan ramai kenalan facebook di mana sebelum ini hanya berhubung di alam maya sahaja. Manakala abang Kombat pula belanja makan aku dengan Rashid. Terharu dan malu rasa diri ini. 

Selesai sahaja makan malam, Apo Jang terus membawa aku dan Rashid ke KLIA2. Oh ya, lupa nak khabar. Aku dan Rashid kena bermalam di KLIA2 kerana penerbangan kami balik ke Bintulu pada keesokan harinya iaitu ahad 29 Oktober adalah pada pukul 7:20 pagi! Haha. Sememangnya letih.

Apabila dilihat secara umum, gig ini berjalan dengan jayanya. Diberitahu sebelum ini, ini merupakan siri kedua untuk gig Final Warfare. Siri pertama dibuat pada tahun lepas. Semoga selepas ini, pihak penganjur jangan malu serta segan untuk membawa lebih banyak band muzik ekstrim dari kepulauan Borneo.

Secara keseluruhan, gig ini berjalan dengan sukses. Kesemua barisan band yang turut serta menjayakan gig ini juga membuat persembahan masing secara all-out. Rasa bertuah juga kerana dapat menyaksikan persembahan beberapa band idaman seperti Putrefied Remain, Mortuary Ancestor (Sabah), Kugiran D'Tepi Pantai, As Sahar dan Infectious Maggots dengan mata kepala aku sendiri. Selama ni selalu dengar melalui CD dan kaset sahaja. Mungkin ada beberapa kekurangan di beberapa sudut berkaitan dengan penganjuran gig ini (part ni aku malas nak cerita panjang) namun boleh diperbaiki untuk manfaat di masa akan datang. Semoga pihak penganjur akan lebih gigih serta berhati-hati di masa akan datang.

Sehingga berjumpa lagi semua. Kadang-kadang lepak setakat sejam dua dengan rakan-rakan mempunyai minat yang sama ni rasa tak cukup pulak. Lebih-lebih lagi apabila kau berjumpa dengan beberapa rakan yang kau selalu tegur di facebook namun baru pertama kali berjumpa di alam nyata.

Adios Amigos!

Larrong : Live at Final Warfare 2017


Infectious Maggots : Live at Final Warfare 2017

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...