Monday, March 29, 2021

PENGARUH FAHAMAN SERTA IDEOLOGI DI DALAM MUZIK DAN SEJARAH MANUSIA

PENGARUH FAHAMAN SERTA IDEOLOGI DI DALAM MUZIK DAN SEJARAH MANUSIA

Dalam sejarah peradaban manusia, muzik sering digambarkan sebagai satu medium yang dikaitkan dengan hiburan dan riadah. Dalam beberapa kes tertentu, muzik juga menjadi salah satu elemen penting dalam perkembangan serta stimulasi otak manusia. Muzik telahpun menjadi satu matapelajaran yang dipelajari sejak dari zaman dahulu lagi. Sebagai contoh, tokoh cendekiawan Abu Al Nasr Al Farabi merupakan salah seorang pemikir yang mengkaji tentang muzik dengan penuh ketelitian. Di antara karya agung beliau yang berkaitan muzik ialah "Al Musiqa Al Kabir" yang bermaksud Kitab Agung Muzik. Di dalamnya terdapat pelbagai teori tentang muzik serta penghasilannya.

Namun begitu, dunia muzik seringkali tidak lari jauh dengan elemen-elemen bersifat spiritual mahupun ideologi. Cuba kita ambil contoh tentang salah satu lagu nasyid yang pernah dinyanyikan oleh orang muslim suatu ketika dahulu semasa zaman Nabi Muhammad SAW iaitu "Thola'al Badru 'Alaina". Lagu ini merupakan satu tanda alu-aluan buat Nabi kerana ketibaannya bersama para muslimin ke kota Madinah setelah lari dari kecaman dan ugutan di Mekah. Lagu yang sifatnya penuh puitis ini mempunyai nilai spiritual yang tinggi dalam membentuk motivasi kepada para muslim ketika itu. Jika kita lihat pada agama Kristian pula, nyanyian seperti Gospel sudah terlalu sinonim dalam ibadah mereka dan semestinya menjadi kewajiban bagi mendekatkan diri kepada Tuhan.

Semenjak kurun ke 20 lagi, manusia sudah menghasilkan lagu-lagu yang berbentuk spiritual dan ideologi dan diperdengarkan dalam skala yang besar. Jika kita lihat semasa zaman Perang Dunia misalnya, kerajaan Jepun mendendangkan lagu "Battotai" untuk membakar semangat tentera mereka dan juga memupuk semangat cintakan negara serta taat kepada maharaja. Melalui muzik juga sebarang dogma serta propaganda sangat mudah untuk disebarkan.

Kita kembali pula dalam dunia muzik popular pada akhir abad ke 20 di mana terdapat banyak penghasilan lagu yang diterapkan nilai-nilai spiritual serta ideologi. Semasa dekad 70'an, budaya hippie semakin menjadi-jadi setelah populariti pergerakan "flower power" memuncak pada pengakhiran dekad 60'an. Dari sini kita dapat perhatikan beberapa artis popular pada zaman itu telah menumpukan penghasilan muzik mereka ke arah yang lebih spiritual. Sebagai contoh, George Harrison setelah keluar dari band The Beatles telah banyak menghasilkan lagu-lagu berunsur ibadah dalam Hinduisme. Cat Stevens, seorang penyanyi genre Folk yang popular di UK ketika itu pula mula berjinak-jinak dengan Islam lantas kemudiannya setelah beberapa tahun belajar, beliau memeluk agama tersebut pada tahun 1977 dan masih kekal aktif menghasilkan muzik yang bersifat spiritual sehingga sekarang. Kini nama beliau ialah Yusuf Islam.

Tidak lupa juga dengan pergerakan Rastafari yang dibawa oleh Bob Marley. Bob Marley merupakan seorang penganut agama Rastafari yang taat dan sering meluahkan isi hatinya tentang hubungannya dengan Tuhan di dalam liriknya. Rastafari merupakan sebuah agama baharu bersifat Abrahamic yang wujud di Jamaica sejak dekad 30'an. Mereka percaya Nabi Isa dalam kedatangan kedua ialah orang kulit hitam. Penganut Rastafari sering merujuk Raja Haile Selassie (pemerintah Ethiopia) sebagai Nabi Isa tersebut. Antara lagu terakhir ciptaan Bob Marley yang benar-benar menyentuh spiritual agama Rastafari ini ialah "Forever Loving Jah" yang dirakam pada tahun 1981, beberapa bulan sebelum kematiannya.

Kita baru sahaja selesai memperkatakan tentang pengaruh spiritual dalam muzik. Bagaimana pula dengan aspek ideologi? Ideologi yang diterapkan di dalam muzik ini kebanyakannya menghala ke arah mempersoalkan kondisi seseorang di dalam masyarakat serta memperjuangkan hak-hak tertentu. Sebagai contoh, gerakan nasionalisme mahupun fasisme di dalam muzik punk. Penghasilan muzik punk pada asalnya lebih ke arah menyuarakan semangat rebel dan menentang beberapa kuasa yang menindas seperti kerajaan ataupun sebahagian sistem ekonomi. Akan tetapi, setelah muzik punk melalui beberapa fasa perubahan, fahaman nasionalisme, fasisme dan nazi mula muncul dan menular di dalam genre tersebut. Kenapa boleh berlaku sebegini? Ini adalah disebabkan kemajuan muzik punk itu sendiri di dalam masyarakat lantas memberi ruang untuk anasir-anasir ini memasukinya.

Setelah memasuki era 90'an pula, semangat fasisme ini juga muncul di dalam genre muzik yang lain seperti Black Metal di beberapa buah negara Scandinavia seperti Norway, Sweden dan Finland. Sebagai contoh muzik Burzum misalnya lebih ke arah mengimbau kembali zaman kegemilangan bangsa Aryan di Eropah suatu ketika dahulu sekaligus membentuk satu fahaman fasisme.

Setelah manusia berevolusi dengan muzik di dalam millennium baharu iaitu abad ke 21, fahaman-fahaman sebegini masih lagi wujud cuma dalam skala yang agak kecil. Mengapa ideologi ini masih wujud? Masih relevankah ideologi ini diperjuangkan melalui muzik? Jawapannya ada di tangan kita. Ianya terpulang kepada diri kita sendiri untuk menilainya.

Akan tetapi tidak semua ideologi di dalam muzik punk mahupun genre lain bersifat agresif dan menentang. Kita ambil contoh ideologi straight edge misalnya yang banyak memperjuangkan mesej yang positif seperti bebas dadah, tidak memakan daging serta pro keamanan.

Manakala dari aspek rohani atau spiritual pula, kebanyakan lagu-lagu popular masa kini tidak terlalu mementingkan hal-hal sebegini. Mungkin disebabkan elemen begini sudah dianggap "over rated" dan hilang nilai komersilnya. Akan tetapi hal sebegini tidak seharusnya dianggap remeh. Masih ada juga lagu-lagu berbentuk spiritual yang dihasilkan cuma bergantung kepada agama yang dianuti sahaja.

Muzik ini jika diibaratkan dalam bentuk objek, ianya tidak ubah seperti api ataupun pisau. Sifatnya sangat subjektif, ianya boleh membawa manfaat serta menghancurkan. Ianya terpulang kepada niat si pengguna objek tersebut. Jika digunakan untuk tujuan yang positif, maka makin banyaklah hasil karya muzik yang bermutu tinggi akan dihasilkan. Jika digunakan untuk tujuan yang tidak baik, maka akan rosaklah mentaliti umat manusia.




Thursday, March 25, 2021

JONATHAN DAVIS (KORN) DAN KEHIDUPANNYA YANG PENUH TRAGIS

JONATHAN DAVIS (KORN) DAN KEHIDUPANNYA YANG PENUH TRAGIS

Di dalam dunia muzik rock antarabangsa, nama Korn bukanlah asing dan ianya sering dikaitkan dengan genre muzik rapcore ataupun nu metal. Korn merupakan sebuah kugiran yang menjadi perintis kepada genre tersebut sejak kemunculan mereka dari album pertama pada awal dekad 90'an dahulu. Korn merupakan antara band terawal membawakan genre ini dan kemudiannya menjadi popular dan disusuli dengan kemunculan beberapa band lain seperti Limp Bizkit, Orgy, Incubus dan banyak lagi.

Ketua kumpulan Korn iaitu Jonathan Davis merupakan seorang individu yang mempunyai perwatakan tersendiri di dalam muzik mereka. Kekuatan vokal dan penulisan lirik di dalam band ini dikuasai oleh beliau. Kebanyakan liriknya berkait rapat dengan kemarahan, perasaan tidak puas hati, gangguan seksual, trauma didera semasa kecil dan pemberontakan dalam diri.

Kehidupan Jonathan agak sukar sejak dari kecil lagi. Beliau menghidap asma yang teruk dan kerap kali dimasukkan ke hospital. Pada umur 3 tahun, ibubapanya telah bercerai menyebabkan Jonathan mengalami beberapa situasi traumatik seperti didera oleh sesetengah individu yang rapat dengannya. Beliau kerap dibuli semasa di sekolah menengah gara-gara beliau suka bergaya ala New Wave kerana Jonathan pada ketika itu sangat meminati Duran Duran.

Jonathan juga menghida Thrombocytopenic Purpura iaitu sejenis penyakit di mana pesakitnya tidak mempunyai platelets di dalam darah yang bertindak sebagai antibodi. Kerap kali juga Jonathan mengalami muntah dan cirit berdarah semasa di atas pentas menyebabkan beberapa konsert Korn digantikan dengan beberapa penyanyi tetamu (vocals sessionist).

Jonathan juga pernah bekerja sebagai pembantu di sebuah rumah mayat di tempatnya Bakersfield. Beliau menggalas tugas tersebut selama 6 tahun dan akibatnya Jonathan mengalami masalah PTSD. Selama beliau bekerja di sana, pelbagai kejadian pelik dan mengerikan yang beliau hadapi.

Seperti kebanyakan rockstar yang lain, Jonathan juga tidak lari dari masalah dadah dan alkohol. Penggunaan alkohol yang dihadapi oleh Jonathan sebelum ini agak kritikal di mana beliau akan meminum Jack Daniels dan Jagermeister setiap hari. Beliau juga pernah melalui ketagihan kokain dan meth dan pada tahun 1998 semasa kemunculan album "Follow The Leaders" beliau membuatkan keputusan untuk menjadi bersih dadah (akan tetapi ianya tidak bertahan lama).

Jonathan pernah mengahwini seorang pelakon filem lucah iaitu Deven Davis pada tahun 2004 akan tetapi ianya tidak kekal lama. Pada tahun 2018, Jonathan memfailkan cerai ke atas isterinya atas sebab pengaruh dadah dari kedua-duanya yang akan menjejaskan kehidupan 2 orang anaknya. Deven yang juga seorang penagih dadah ditemui mati akibat ketagihan pada tahun yang sama.


Jonathan Davis



Monday, March 22, 2021

ULASAN RINGKAS 10" EP CARCASS "DESPICABLE" (2020)

10" EP Carcass "Despicable" (2020)
EP ini sebenarnya telahpun diriliskan secara rasmi pada 30 Oktober 2020 yang lalu melalui label Nuclear Blast Records. EP ini menjalani proses rakaman di Studio Roth Handle di Stockholm, Sweden. Proses mixing serta mastering juga dijalankan di Stockholm oleh David Castillo.
Line up Carcass untuk EP ini buat pertama kalinya memperkenalkan gitaris kedua mereka iaitu Tom Draper bagi menggantikan Ben Ash yang telah berhenti berkhidmat sebelum ini atas alasan untuk melanjutkan pelajaran. EP ini mempunyai 4 buah lagu sahaja.

4 buah lagu berkenaan berkiblatkan melodic death metal, genre yang sama mereka perjuangkan lebih 2 dekad sebelum ini. Pada asalnya mereka memainkan muzik genre gore grindcore.
Design di dalam EP tersebut
Cover belakang EP


Cover hadapan
Under The Scalpel Blade - Carcass

Thursday, March 18, 2021

ULASAN RINGKAS BUKU BIOGRAFI : HEAVIER THAN HEAVEN (2001)

BUKU BIOGRAFI HEAVIER THAN HEAVEN (2001)
Memandangkan 20 Februari yang lepas merupakan hari kelahiran hero grunge dan muzik alternative rock Kurt Donald Cobain, aku pun terpanggil untuk mengulas tentang beliau. Mungkin ramai juga yang sudah tahu, sebelum ini pun sudah banyak kali aku menulis tentang Nirvana dan juga frontman nya Kurt Cobain.
Namun kali ini, aku ingin bercerita tentang buku biografi rasmi Kurt Cobain yang berjudul "Heavier Than Heaven" hasil tulisan Charles R. Cross. Tajuk buku ini juga sebenarnya diambil daripada tagline yang digunakan di dalam flyer tour Nirvana dan band TAD semasa mereka di United Kingdom. Penulis buku ini iaitu Charles R. Cross juga merupakan seorang penulis biografi yang sering menulis tentang individu atau band di dalam dunia rock antarabangsa antaranya seperti Jimi Hendrix, Bruce Springsteen, Led Zeppelin dan banyak lagi.
Aku dapat buku ini pun melalui seorang rakan blogger. Terima kasih kepada individu tersebut sebab tolong belikan buku kepada aku. Harga aku beli dulu pun tidaklah mahal sangat. Tidak sampai pun RM30 rasanya sebab beli masa tengah diskaun.
Menariknya mengenai buku ini, ianya menceritakan tentang kehidupan Kurt Cobain secara terperinci bermula dia lahir sehinggalah ditemui mati bunuh diri di kediamannya di Seattle. Penulis buku ini menceritakan secara terperinci tentang kehidupan Kurt semasa kecil di pekan Aberdeen, dibesarkan di dalam keluarga yang retak, sering berpindah rumah dan tinggal di kediaman rakan-rakannya (kadang-kadang Kurt pernah tidur dan lepak di lobi hospital semata-mata hendak tengok TV), pengalamannya menulis lirik lagu di bawah jambatan Whiskah dan kemudian bagaimana dia menubuhkan Nirvana bersama Kris Novoselic.
Buku ini ternyata bukan dibuat secara semborono kerana penulis ini sendiri telah melakukan 400 lebih sesi interview bersama pelbagai individu, 4 tahun kajian dalam mengumpul maklumat serta mendapat akses barangan peribadi Kurt Cobain secara rasmi dari isteri mendiang iaitu Courtney Love.
Kalau terjumpa buku ini di mana-mana lokasi, adalah lebih baik kalian beli sahaja. Tidak rugi memilikinya. Lagipun benda macam ini sudah dikategorikan sebagai collector item, jika silap haribulan kebarangkalian ada seller yang jual dengan harga yang tidak masuk akal (jual mahal lah tu).
Pic credit : Google

Monday, March 15, 2021

SAJAK : AKU (KARYA CHAIRIL ANWAR)


AKU
Kalau sampai waktuku
'Ku mau tak seorang kan merayu
Tidak juga kau
Tak perlu sedu sedan itu
Aku ini binatang jalang
Dari kumpulannya terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang
Luka dan bisa kubawa berlari
Berlari
Hingga hilang pedih peri
Dan aku akan lebih tidak perduli
Aku mau hidup seribu tahun lagi
Chairil Anwar
Maret 1943
Chairil Anwar

Chairil Anwar merupakan seorang penyair legenda dari Indonesia. Beliau dilahirkan kota Malang, Pulau Jawa. Karier beliau sebagai penyair terlalu singkat iaitu dari tahun 1942 sehinggalah tahun 1947. Beliau meninggal semasa umur 27 tahun.
Ya, beliau diantara ahli kelab 27 (The 27 Club), sebuah koleksi para lagenda yang meninggal semasa usia 27 tahun, sama seperti Jimi Hendrix, Kurt Cobain, Amy Winehouse dan ramai lagi. Dulu aku pernah buat ulasan ringkas mengenai sebuah buku biografi tentang Chairil Anwar ini. Boleh baca ulasan tersebut di pautan INI.

Thursday, March 11, 2021

APAKAH ANIME TERAWAL YANG ANDA TONTON SEMASA ZAMAN KANAK-KANAK?

APAKAH ANIME TERAWAL YANG ANDA TONTON SEMASA ZAMAN KANAK-KANAK?
Apabila berbicara tentang topik ini, rasanya setiap di antara kita mempunyai pengalaman yang berbeza serta unik. Semasa zaman kanak-kanak, kita sering didedahkan dengan pelbagai rancangan animasi di dalam televisyen. Zaman 80'an dahulu semasa aku masih kecil, tiada Astro seperti sekarang ini di mana ibu bapa boleh pasangkan channel Astro Ceria atau Baby TV supaya anak-anak boleh tercegat depan TV. Zaman aku yang membesar di dekad tersebut, hanya ada 2 channel sahaja iaitu RTM 1 dan RTM 2.
Mujurlah juga RTM 1 pernah menayangkan beberapa siri anime Jepun yang menarik pada ketika itu. Masa itu pun ada juga rancangan kanak-kanak yang menarik juga seperti Sesame Street, Looney Tunes, Tom & Jerry, Mickey Mouse dan banyak lagi. Tetapi anime Jepun ini antara yang ditunggu-tunggu pada ketika itu. Antara sebabnya ialah, kebanyakan anime ketika itu lebih berorientasikan tema Mecha serta pertempuran melawan makhluk asing. Kiranya ada terpengaruh dengan beberapa siri filem Star Wars yang juga popular pada ketika itu.
Ada 2 anime Jepun yang terawal sekali aku tonton semasa kecil dahulu iaitu "Genesis Climber Mospeada" serta "The Super Dimension Fortress Macross". Kedua-dua anime ini sangat diminati oleh aku ketika itu.
"Genesis Climber Mospeada" merupakan sebuah anime yang mula dipertontonkan di Jepun pada Oktober 1983 dan berakhir Mac 1984. Mospeada bermaksud "Military Operation Soldier Protection Emergency, Aviation Dive Armor" yang merujuk kepada beberapa mecha di dalam anime ini. Anime ini mengisahkan bagaimana sekumpulan manusia bertarung melawan makhluk asing sekaligus dalam misi untuk membunuh ketua makhluk asing tersebut. Aku paling minat babak motosikal bertukar menjadi robot. Lawa gila. Mesti ramai yang tahu, band Hujan juga pernah buat cover untuk lagu opening anime ini bertajuk "Lonely Soldier Boy", cuma kebanyakan liriknya diubah ke dalam bahasa Melayu.
Genesis Climber Mospeada
Anime kedua yang aku suka sangat dahulu ialah "The Super Dimension Fortress Macross" yang pertama kali dipertontonkan untuk khalayak ramai pada Oktober 1982 sehingga June 1983. Sama seperti Mospeada, siri anime Macross ini juga lebih berorientasikan mecha dan pertarungan dengan makhluk asing. Cuma untuk Macross ia diselitkan dengan jalan cerita romantik yang berbentuk cinta tiga segi. Aku paling suka babak jet pejuang bertukar menjadi robot tu
.
The Super Dimension Fortress Macross
Kedua-dua anime yang aku nyatakan tadi hanya bertahan selama satu musim sahaja. Yang paling menyedihkan, aku sudah ingat-ingat lupa dengan jalan cerita kedua-dua anime tersebut. Diharap lepas ini aku dapat cari sumber yang sesuai untuk menonton kembali kedua-dua anime tersebut.
Bagaimana pula dengan anda? Apakah anime terawal yang anda tonton semasa zaman kanak-kanak dahulu?
Lonely Soldier Boy - Lagu Tema Untuk Mospeada

Monday, March 8, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : THE WHITE TIGER (2021)

ULASAN RINGKAS FILEM : THE WHITE TIGER (2021)
Filem ini sebenarnya diadaptasi dari sebuah novel hasil tulisan Aravind Adiga di mana melalui karyanya ini, beliau telah memenangi anugerah Man Booker Prize pada tahun 2008. Aravind Adiga yang juga memegang kerakyatan Australia itu juga pernah menjadi wartawan untuk majalah TIME bagi mewakili kawasan Asia Selatan.
Berbalik kepada filem ini, The White Tiger mengisahkan tentang seorang lelaki dari kasta rendah bernama Balram Halwai berusaha keras untuk menjadi pemandu kereta untuk sebuah keluarga berada yang digelar The Stork. Balram dibesarkan di dalam keluarga yang sangat miskin dan sering menerima tekanan dari pelbagai pihak seperti neneknya sendiri, keluarga The Stork, komuniti sekelilingnya dan juga tekanan hidup. Berpegang kepada semangat "White Tiger", Balram harus bergelumang dengan kehidupan survival semasa bekerja dengan keluarga The Stork berkenaan.
Apa yang menarik tentang filem ini ialah ianya juga diterbitkan bersama oleh Priyanka Chopra yang juga melakonkan watak Pinky di dalam "The White Tiger". Sejujurnya, sebelum aku tidak pernah menonton lakonan Priyanka Chopra. Lakonannya dalam filem ini boleh dikatakan kemas dan kena dengan skrip juga. Lakonan Adarsh Gourav yang membawakan watak Balram juga sungguh menyakinkan. Diharap di masa akan datang, aku dapat tengok lagi lakonan beliau di dalam filem-filem lain.
Aku banyak baca ulasan yang ditulis oleh orang lain dari pelbagai platform tentang filem ini. Ramai yang membandingkan ia dengan filem "Slumdog Millionaire" arahan Danny Boyle yang pernah terkenal suatu ketika dahulu. Ramai juga yang mengatakan bahawa "The White Tiger" ini lebih menarik daripada "Slumdog Millionaire". Menurut pendapat peribadi aku, filem ini masih lagi ketinggalan dari segi standard jika dibandingkan dengan "Slumdog Millionaire". Pengakhiran filem yang sangat anti climax dan tergantung, menyebabkan filem The White Tiger ini seakan-akan buah yang separuh masak. Mempunyai permulaan cerita yang baik tidak semestinya menjanjikan pengakhiran yang epik.
Rating? 3.5 / 5
Official Movie Poster
Official Trailer

Thursday, March 4, 2021

APAKAH LAGU KEGEMARAN ANDA DARI KUMPULAN PADI?

APAKAH LAGU KEGEMARAN ANDA DARI KUMPULAN PADI?
Selain membawa maksud makanan ruji orang asia khususnya, Padi juga merupakan sebuah band alternative rock yang cukup terkenal dari Indonesia. Padi juga pernah menempa nama di Malaysia suatu ketika dahulu dan kebanyakan lagu-lagu mereka sering didengari di radio. Antara lagu-lagu hit mereka pada ketika itu ialah "Bayangkanlah", "Maharani", "Sesuatu Yang Indah", "Semua Tak Sama" dan banyak lagi. Sepertimana band senegara mereka yang lain seperti Dewa 19 dan Sheila On 7, Padi juga termasuk di dalam gerakan "Indonesian Invasion" sekitar awal dekad 2000 dahulu.
Aku mula mengenali band ini sekitar tahun 2001 begitu apabila Padi mula mempromosikan album kedua mereka berjudul "Sesuatu Yang Tertunda" di Malaysia pada ketika itu. Lagu "Sesuatu Yang Indah" dan "Semua Tak Sama" seringkali menjadi kegemaran para DJ untuk diputarkan di radio. Membuatkan aku rasa makin minat dengan band ini dahulu apabila mereka membuat persembahan di Anugerah Industri Muzik dengan mempersembahkan lagu "Bayangkanlah". Serius, aku terkedu sekejap semasa menonton persembahan mereka. Power gila beb.
Sejak dari itu aku mula mengkaji muzik mereka melalui pembelian kaset serta membaca beberapa artikel berkaitan Padi di beberapa majalah. Aku pernah beli kaset album "Sesuatu Yang Tertunda" dan "Save My Soul" dahulu dan ianya sering diputarkan di dalam walkman aku sampai nak putus tali kaset.
Kemuncak kepada tahap ketaksuban aku terhadap band Padi ialah apabila aku menjadi krew untuk acara anjuran MTV Asia di Stadium Bukit Jalil di mana salah satu artis atau band yang dipertanggungjawab untuk membuat persembahan pada ketika itu ialah Padi. Acara ini berlaku sekitar tahun 2002, kalau tidak silap semasa semester akhir aku di zaman kolej. Peluang jadi krew itu pun aku dapat melalui kawan sekolej di mana pihak MTV tengah mencari beberapa anak muda untuk menjadi krew pada acara tersebut. Nasib baik pada masa itu, aku ditugaskan menjaga penonton di bahagian hadapan pentas. Pucuk dicita, ulam mendatang lah.
Menonton band kegemaran kau di hadapan mata merupakan satu pengalaman yang surreal bagi aku. Sukar untuk dipercayai sebenarnya. Yang paling syok ialah apabila selesai acara tersebut, pada krew dapat meet and greet dengan artis-artis di belakang pentas. Aku berkesempatan untuk bergambar bersama semua line up asal Padi terutama sekali vokalis utama mereka Fadli.
Seperti kebanyakan band yang ternama, Padi juga tidak terlepas daripada pasang surutnya dari segi populariti mahupun kredibiliti. Band ini pernah berpecah sekejap pada tahun 2011 dan buat reunion kembali pada 2017 dengan membuat rebranding pada nama kepada Padi Reborn. Sepertimana Ahmad Dhani menjadi mastermind buat kumpulan Dewa 19, Padi juga mempunyai "kepalanya" yang tersendiri iaitu Piyu, gitaris dan juga komposer pada hampir semua lagu mereka. Kalau kalian perasan, kebanyakan lagu-lagu Padi ini banyak dipengaruhi oleh band-band seperti R.E.M., U2 dan Radiohead. Gaya serta lenggok vokal Fadli juga banyak dipengaruhi oleh Bono. Walaupun demikian, Padi juga punyai trademark yang tersendiri dari segi penulisan lagu serta gaya persembahan.
Jika ditanya lagu apa dari Padi yang aku minat,  sebenarnya banyak sekali. Tapi jika disuruh untuk pilih satu sahaja, aku akan pilih "Kasih Tak Sampai" dari album "Sesuatu Yang Tertunda" (2001). Secara peribadi, aku berpendapat bahawa lagu ini ada ruhnya tersendiri dan ianya mempunyai melodi yang sangat merdu serta penulisan lirik yang ringkas tetapi maksud yang amat mendalam.
Padi Reborn
Aku Bersama vokalis kumpulan Padi, Fadli (kiri)

Begitu Indah - Padi (Official Music Video)

Monday, March 1, 2021

APAKAH LAGU PERTAMA YANG ANDA DENGAR DAN MINAT DARI KUGIRAN DEWA 19?

APAKAH LAGU PERTAMA YANG ANDA DENGAR DAN MINAT DARI KUGIRAN DEWA 19?
Sebenarnya aku agak lewat mengenali band ini. Aku baru sedar kewujudan band ini pun selepas Ari Lasso sudah tiada lagi di posisi vokal kumpulan ini. Album pertama dari Dewa 19 yang aku betul-betul dengar secara mendalam pun ialah Bintang 5. Masa itupun nama mereka sudah ditukar kepada Dewa sahaja dan Once pula menjadi vokalis terbaru mereka pada ketika itu. Kalau tidak silap ianya diriliskan pada tahun 2000 dan merupakan album kelima mereka.
Dari album Bintang 5 ini jugalah aku mula mengenal siapa itu Ahmad Dhani, mastermind dari kumpulan
hebat
dari Indonesia ini. Cara penulisan lagunya agak kreatif kerana mempunyai nilai-nilai rock yang progresif serta inovatif pada ketika itu. Dari susunan melodi serta penulisan lirik, Ahmad Dhani mempunyai caranya yang tersendiri dan ianya berjaya membawa band ini ke level yang lebih tinggi.
Berbalik kepada soalan di atas tadi, lagu pertama yang aku dengar dari Dewa 19 ialah "Risalah Hati". Nilai melankoli yang ada di dalam lagu ini sungguh mendalam sekali walaupun liriknya ditulis amat ringkas. Antara faktor lain yang memainkan peranan penting di dalam lagu ini ialah melodi serta susunan muziknya.
Chord progression nya didengar amat luarbiasa jika anda mendengarnya buat pertama kali. Well, ketika aku pertama kali mendengarnya pada tahun 2000, belum ada lagi ada band rock (baik dari Indonesia mahupun Malaysia) yang punyai nilai progresif dalam pembentukan melodinya. Naif betul aku kan? Sebenarnya ketika itu pun sudah ada band rock lokal yang pandai dalam memanipulasi susunan melodi seperti Seven Collar Tshirt dan Prana cuma itulah, knowledge aku masih terbatas ketika itu.
Apakah lagu Dewa 19 kesukaan anda? Yang mana satu anda dengar lebih awal? Cuba cerita sikit.
The Classic Line-Up

Dewa 19 featuring Once Mekel (Live Concert)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...