Monday, November 29, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : ENOLA HOLMES (2020)

ULASAN RINGKAS FILEM : ENOLA HOLMES (2020)

Trailer untuk filem ini rasanya sudah banyak kali viral di kebanyakan media sosial beberapa bulan sebelum tayangannya di Netflix. Promosi untuk filem ini juga sangat memberansangkan dan menyeluruh. Laman web Rotten Tomatoes juga telah meletakkan rating sebanyak 92% untuk filem ini. Ini merupakan satu petanda yang cukup baik.

"Enola Holmes" merupakan sebuah filem arahan Harry Bradbeer dan dibawah produksi syarikat Legendary Pictures. Pihak Netflix pula merupakan entiti yang bertanggungjawab dalam pemasaran filem ini secara global. Millie Bobby Brown yang menjadi protagonis utama filem ini juga bertindak sebagai penerbit eksekutif.

Filem "Enola Holmes" merupakan sebuah adapatasi dari sebuah novel karya Nancy Springer dengan tajuk asalnya "Enola Holmes : The Case Of The Missing Marquess". Filem ini mengisahkan tentang kisah seorang remaja wanita bernama Enola yang juga merupakan adik perempuan terhadap seorang penyiasat terkemuka di kota London iaitu Sherlock Holmes. Enola dibesarkan dan dididik oleh ibunya Eudoria (lakonan Helena Bonham Carter) selepas kematian ayahandanya beberapa tahun sebelum itu.

Suatu hari ibu Enola didapati telah hilang dari kediamannya. Kehilangan ibunya itu juga telah menyebabkan kedua-dua abang Enola iaitu Mycroft dan Sherlock pulang ke rumahnya dan cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut. Enola pula dengan sedaya upayanya merungkai misteri yang menyelubungi kes kehilangan ibunya itu satu persatu. Ibunya telah meninggalkan pelbagai klu kepada Enola dengan harapan agar dapat bertemu kembali dengan anak perempuannya itu.

Antara salah satu faktor utama yang mendorong aku untuk menonton filem ini ialah lakonan Millie Bobby Brown. Ramai yang sudah tahu bahawa Millie Bobby Brown mula menempa nama di dalam dunia lakonan melalui siri Netflix berjudul Stranger Things. Lakonan Millie semakin bertambah bagus dan matang sekarang ini. Millie juga pernah membintangi sebuah filem lain sebelum ini berjudul "Godzilla : King Of The Monsters". Melalui filem ini juga dapat diperhatikan, lakonannya makin bertambah baik dan lebih bagus daripada watak Eleven yang dibawanya dalam siri Stranger Things.

Jalan cerita filem ini tidaklah terlalu complicated seperti yang anda temui di dalam kebanyakan filem yang berunsur penyiasatan. Pengakhirannya senang untuk diramal. Walaupun begitu, filem ini mempunyai storyline yang hampir sempurna dan ianya juga sesuai ditonton bersama keluarga.

Rating? 3/5



Thursday, November 25, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : SEBELUM IBLIS MENJEMPUT - AYAT 2 (2020)

ULASAN RINGKAS FILEM : SEBELUM IBLIS MENJEMPUT - AYAT 2 (2020)

2 tahun yang lepas aku pernah membuat ulasan tentang filem "Sebelum Iblis Menjemput" yang disutradarakan oleh Timo Tjahjanto. Ketika itu, filem horror ini boleh dikatakan antara yang terbaik pada tahun berkenaan. Jika di dalam aplikasi Netflix, filem ini merupakan antara yang wajib ditonton oleh peminat filem horror.

Seperti yang dijangkakan dan bagi meneruskan kesinambungan mimpi ngeri yang dialami watak utama Alfie (lakonan Chelsea Islan), filem "Sebelum Iblis Menjemput - Ayat 2" telahpun dihasilkan dan mula ditayangkan di Indonesia pada 27 Februari 2020, lebih kurang sebulan sebelum lockdown daripada pandemik COVID19 secara global. Filem yang berdurasi 110 minit ini dikeluarkan oleh 4 entiti produksi iaitu Frontier Pictures, Legacy Pictures, Rapi Films dan Brown Entertainment.

Filem sequel ini pula mengaitkan watak Alfie dengan sekumpulan remaja yang pernah menjadi anak yatim di sebuah pusat jagaan. Sekumpulan bekas anak yatim ini memerlukan pertolongan Alfie untuk menyelesaikan masalah mereka di pusat jagaan tersebut. Di dalam kekalutan yang dialami oleh Alfie, beliau diberi kesempatan untuk menyelesaikan masalah mereka sekaligus mengenali makhluk mistik yang sering mengganggunya.

Filem ini pada awalnya bergerak secara mendatar dan penceritaannya mudah untuk difahami. Akan tetapi setelah para penonton mencapai ke kemuncak filem ini, ternyata ada banyak loophole yang kelihatan. Storyline juga semakin kurang menarik dan ianya terlalu mudah diramalkan sehinggakan aku merasa sedikit bosan semasa menontonnya.

Mungkin ekspektasi aku terlalu tinggi untuk filem ini pada mulanya. Akhirnya kecewa juga kerana pengakhiran filem ini tidak mencapai tahap yang sama kualitinya dengan filem asalnya dahulu. Jika wujud lagi bahagian ketiga untuk franchise filem ini, aku harap penulisan skripnya dibuat sehabis baik dan tidak terlalu tergesa-gesa.

Rating? 2.5 / 5



Monday, November 22, 2021

KOREK FIZIKAL : PENEMUAN KASET-KASET BLACK METAL DARI FINLAND, GREECE DAN ITALY

KOREK FIZIKAL : PENEMUAN KASET-KASET BLACK METAL DARI FINLAND, GREECE DAN ITALY

Pada 23 September 2021, brader Roslan menghadiahkan beberapa kaset dari zaman silamnya. Ianya merupakan beberapa kaset genre black metal hasil daripada beli atau trade melalui interaksi dengan beberapa distro tempatan pada lewat 90'an dan awal tahun 2000 dahulu. Katanya, hobi membeli kaset black metal seperti ini juga diamalkan oleh seorang sahabatnya iaitu Alim. Mereka berdua pernah menubuhkan sebuah band black metal sekitar pertengahan dekad 90'an yang dikenalk dengan nama "Meragen". Pembelian kaset-kaset bermula dari membaca beberapa fanzine genre metal di waktu tersebut di mana terdapat beberapa distro membuat senarai kaset dari luar negara untuk diniagakan kepada para pembaca.
Antara kaset tersebut ialah band Pest (black metal dari Finland), Jääportit (juga band black metal dari Finland akan tetapi dari cover artwork ni aku dapat rasakan ianya ke arah atmospheric), Jackal's Truth (black metal dari Greece, dari gambar band pun dah ala Rotting Christ) dan juga Lathebra (black metal dari Italy, yang ini sebijik macam Mayhem dengan corpse paint dan entah apa-apa lagi). Kondisi masih elok dan tidak berkulat. Menakjubkan sebab walaupun sudah berusia 20 tahun, kaset ini masih nampak elok dan boleh dimainkan.
Selepas menerima kaset-kaset ini tadi, terasa nak study pasal band-band ini dan cuba merujuk pada beberapa koleksi zine lama-lama aku. Manalah tau terserempak nama band ni kat dalam zine. Kalau guna Google pun ok gak, cuma itulah kadang-kadang info pun tak banyak mana sebab rilisan ini boleh dikira agak obscure dan susah nak cari sekarang.
Kita mulakan dengan band "Jackal's Truth" dengan demo nya yang bertajuk "Dominus Silvae" (1997). Band ini membawakan genre epic / melodic black metal. Ianya dianggotai oleh Kostas (vokalis, gitar), Zacharias (gitar), George (bass), George A. (drums) dan dibantu oleh pemain keyboard selaku sesionist iaitu Grigoris. Kaset demo ini hanya mempunyai 3 buah lagu sahaja iaitu "Opening...The Veil Of Wisdom", "Jackal's Truth (Part 1 & 2)" dan "The Nameless City". Demo ini banyak menghasilkan bunyian keyboard yang mengasyikkan dan melodi gitar yang menarik. Ianya seperti mendengar album "Triarchy Of The Lost Lovers" (1996) dari band Rotting Christ. Band yang berasal dari Greece ini mula aktif pada tahun 1996 dan telah pun berpecah. Tidak dinyatakan pula dalam website Encyclopedia Metallum bila tahun sebenar band ini berpecah. Band ini sempat menghasilkan sebuah demo dan menyertai projek album kompilasi.
Kemudian kita teruskan dengan ulasan kaset dari band Lathebra dengan kaset demo mereka yang berjudul "Angel's Twilight Odes" (1997) yang diriliskan oleh label Noctilucae Creationes. Band yang membawakan genre melodic black metal ini mula ditubuhkan pada tahun 1996 dan dibubarkan pada akhir dekad 90'an. Kaset demo "Angel's Twilight Odes" ini merupakan satu-satunya rilisan mereka. Dianggotai oleh Francesco Palumbo (bass), Rosario Memoli (drums), Bruno Villani (gitar), Francesco Galano (gitar) dan G. Principe C. (vokalis), band ini mempunyai sound yang hampir sama dengan As Sahar melalui album "Meditasi Embun Pagi". Kaset demo ini mempunyai 5 buah lagu dan mempunyai kekuatan melodi yang sangat bagus. Ternyata pembubaran band dari Italy ini sangat merugikan buat scene muzik gelap di sana.
Selepas itu kita beralih kepada kaset seterusnya iaitu dari band "Pest" dengan demo mereka "Hail The Black Imperial Hornsign" (1998). Band ini berasal dari negara Finland ini mula aktif pada tahun 1997 dan dibubarkan pada 1999. Band ini sempat menghasilkan 2 demo, 2 single dan sebuah 4-way-split album bersama band Clandestine Blaze, Bloodhammer dan Nightside pada tahun 1999. Dianggotai oleh Nazgul (vokalis, pemain keyboard), Skratt (bass), Nigrantium (drums) dan Iskariot (gitar), band ini membawakan genre black metal secara straight forward dan dipengaruhi dengan band-band black metal tersohor seperti Mayhem, Burzum, Immortal dan banyak lagi.
Terakhir sekali, aku akan ulas kaset dari Jääportit dengan album pertamanya yang bertajuk "Kauan Koskematon". Jääportit merupakan sebuah one-man project band yang diasaskan oleh Tuomas M. Mäkelä. Band dari Finland ini mula aktif sejak 1997 dan masih lagi bertahan sehingga sekarang. Aku rasa antara keempat kaset yang aku buat ulasan sekarang, hanya Jääportit sahaja yang masih lagi aktif berbanding lain. "Kauan Koskematon" merupakan album pertama dan diriliskan pada tahun 1999 di bawah label Noitavasara. Ianya mempunyai 8 buah lagu. Lagu-lagu dari Jääportit banyak dipengaruhi oleh band atau artis seperti Mortiis, Burzum, Arcana dan Dead Can Dance. Membawakan genre ambient, atmospheric, drone dan dark wave, Jääportit telah menghasilkan 7 buah album, sebuah demo dan kompilasi "Tribute To H. P. Lovecraft - Yogsothery".
Keempat-empat kaset yang aku ulas ini mempunyai kualiti mixing serta mastering yang bagus walaupun tidaklah sehebat band ternama lain. Boleh dikatakan kesemuanya telah mencapai usia yang agak veteran namun muzik mereka masih lagi relevan untuk didengar bagi pencinta genre tersebut.
Jika difikirkan balik, agak menakjubkan bagaimana aktiviti trade atau beli kaset melalui fanzine seperti di dekad 90'an dahulu banyak membantu penggiat muzik gelap ketika itu dalam meluaskan perspektif mereka. Berutus surat melalui snail mail dan kadang-kala harus menunggu berbulan-bulan, namun aktiviti trade kaset ketika itu sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan.
Situasi ini sebenarnya sangat jarang dilihat di dalam komuniti peminat muzik itu sendiri pada zaman sekarang. Sedangkan muzik dalam format fizikal pun sudah kurang mendapat tempat di hati peminat, inikan pula kita bercerita tentang aktiviti trade kaset dengan rakan-rakan dari negara luar. Mungkin itu hanya kekal menjadi sebahagian daripada memori buat mereka yang pernah mengharungi zaman tersebut.








Thursday, November 18, 2021

ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : KOTARO LIVES BY HIMSELF (2021)

ULASAN RINGKAS SIRI NETFLIX : KOTARO LIVES BY HIMSELF (2021)

Selalunya aku kurang gemar menonton apa-apa jenis drama bersiri baik dalam bahasa jepun, korea mahupun melayu. Aku jenis yang tidak suka terlalu komited menonton siri yang mempunyai jalan cerita yang meleret, terlalu cliche dan mudah diramal. Akan tetapi berlainan pula dengan siri Netflix yang berjudul "Kotaro Lives By Himself" ini kerana jalan ceritanya sangat unik dan menyajikan sesuatu yang baru serta segar.

Siri "Kotaro Wa Hitorigurashi" (dalam sebutan bahasa Jepunnya) ini mengisahkan tentang seorang pelukis manga bernama Shin Karino yang tinggal di sebuah kompleks apartment. Shin Karino merupakan seorang pelukis manga yang masih cuba menempa nama di dalam industri tersebut. Beliau masih belum cukup dikenali dan karyanya juga baru sahaja mendapat perhatian syarikat terbitan manga tersebut.

Suatu hari Karino didatangi seorang budak lelaki berumur 5 bernama Kotaro Sato yang mengetuk pintu apartmentnya serta memberi hadiah iaitu sekotak tisu kepadanya. Pada mulanya Karino agak terkejut kerana sebelum ini pihak pengurusan kompleks apartment tersebut pernah mengatakan bahawa kanak-kanak tidak boleh tinggal di kawasan tersebut. Selepas kejadian tersebut, persahabatan di antara Karino dan Kotaro pun bermula dan akhirnya Shin Karino mula mengetahui sebab kenapa Kotaro tinggal sendirian di tempat tersebut.

Jika anda sudah terbiasa dengan gaya hidup serta budaya orang Jepun, anda mungkin merasakan bahawa siri ini sangat dekat di hati kerana ianya banyak menyentuh isu yang berkaitan kekeluargaan dan beberapa masalah yang menimpa institusi tersebut. Disamping itu juga siri ini banyak bermain dengan emosi dan diselitkan dengan beberapa elemen komedi yang bersesuaian dengan masyarakat Jepun masa kini.

Tidak sabar untuk menonton musim yang kedua.

Rating? 4 / 5



Monday, November 15, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : SAINT MAUD (2019)

ULASAN RINGKAS FILEM : SAINT MAUD (2019)

Filem yang diarahkan oleh seorang pendatang baru dalam dunia perfileman British iaitu Rose Glass ini merupakan sebuah karya bergenre psychological horror yang disalut dengan elemen agama samawi (monotheism) iaitu kristian Roman Katolik. Filem ini juga kini dapat ditonton melalui aplikasi Netflix.

Ianya dibintangi oleh Morfydd Clark, seorang pelakon wanita kelahiran Sweden dan dibesarkan di Wales. Sebelum ini Morfydd pernah berlakon di dalam beberapa filem produksi Hollywood seperti "Crawl" (2019) dan "Pride and Prejudice and Zombies" (2016). Di dalam filem ini, Morfydd melakonkan watak seorang jururawat hospice bernama Maud yang ditugaskan untuk menjaga seorang bekas penari terkenal bernama Amanda Kohl akan tetapi menghidap penyakit kanser Lymphoma. Pada mulanya Maud sangat senang bekerja di rumah Amanda. Namun begitu hubungan mereka berdua menjadi semakin kritikal dan tegang disebabkan beberapa isu berbangkit dan ini mengakibatkan tekanan di akhir filem ini.

Filem ini memfokuskan tentang watak Maud yang baru menemukan agama selepas menghadapi satu peristiwa yang sangat tragik dan menyebabkan dirinya trauma. Disebabkan hal ini menyebabkan Maud mencari penyelesaian kepada masalahnya melalui agama. Namun apa yang difokuskan pada filem ini ialah kesan buruk kepada fahaman membuta tuli terhadap agama tanpa bantuan serta pendidikan secara formal. Tema "blind faith" yang diberikan perhatian di dalam filem ini digarap dengan sangat baik walaupun jalan ceritanya bergerak terlalu perlahan.

Filem ini sesuai jika anda meminati genre horror tetapi mempunyai nilai indie seperti beberapa produksi Studio 24 iaitu "Hereditary" dan "Midsomar". Ianya lebih kepada mainan psikologi berbanding mempunyai jump scare yang keterlaluan bagi memberi perasa serta rempah ratus di dalam filem. Jika anda menyukai filem seram yang mempunyai jalan cerita mendatar, ini sangat tidak sesuai untuk tontonan anda.

Rating? 3 / 5



Thursday, November 11, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM NETFLIX : KINGDOM - ASHIN OF THE NORTH (2021)

ULASAN RINGKAS FILEM NETFLIX : KINGDOM - ASHIN OF THE NORTH (2021)

Jika anda merupakan kipas-susah-mati (die hard fan) siri Netflix "Kingdom" sebelum ini, semestinya anda tidak akan melepaskan peluang untuk menonton filem ini. Dunia sinema Korea semestinya tidak pernah lari dengan tema zombie terutama sekali apabila berbicara genre horror. Sebelum ini banyak juga filem-filem zombie Korea yang menarik untuk ditonton seperti Train To Busan, Rampant, #Alive dan banyak lagi.

Filem "Kingdom - Ashin Of The North" ini merupakan sesi pengenalan ataupun prequel kepada siri ini di mana ianya berlaku sebelum musim pertama lagi. Filem ini berkisar tentang seorang wanita bernama Ashin yang mempunyai perasaan dendam terhadap kerajaan diraja Joseon (dipimpin oleh mendiang ayahanda Putera Chang) dan juga puak Pajeowi yang bermaharajalela di sempadan negara tersebut. Di dalam filem ini diceritakan secara terperinci tentang bagaimana Ashin menemukan tumbuhan terlarang yang digunakan untuk membuat zombie. Watak Ashin ini amat penting apabila musim ketiga muncul nanti.

Dari segi penceritaan, filem ini tidak mengecewakan kerana ianya berjalan sangat lancar dan teratur. Ianya seperti apa yang diinginkan oleh peminat siri ini. Boleh dikatakan ianya berjaya memenuhi ekspektasi para peminatnya secara keseluruhan.

Musim ketiga untuk siri ini masih lagi belum diberi kata putus oleh pihak Netflix atas alasan pandemik yang melanda sekarang. Menurut sebuah artikel, musim ketiga sebenarnya sudah memulakan sesi penggambaran akan tetapi akibat pandemik, kesemua produksi siri berkenaan terpaksa ditangguhkan untuk beberapa bulan.

Rating? 4 / 5



Monday, November 8, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : A FAMILY (2021)

ULASAN RINGKAS FILEM : A FAMILY (2021)

Zaman sekarang sebenarnya agak sukar untuk menyaksikan sebuah filem berkisar tentang kehidupan Yakuza (sebuah organisasi berkaitan dengan gangsterisme dan jenayah terancang di Jepun) yang dapat menembusi pasaran antarabangsa. Mungkin juga disebabkan ianya merupakan salah satu budaya serta sisi gelap masyarakat Jepun yang ingin dilenyapkan oleh kerajaan negara matahari terbit itu. Alasannya akan aku terang kemudian.

Filem "A Family" arahan Michihito Fujii ini telah pun diriliskan di pasaran pada 29 Januari 2021 di Jepun dan kemudiannya disiarkan di platform Netflix. Filem ini juga mempunyai tajuk lain iaitu "Yakuza And The Family" untuk tujuan pasaran di negara tertentu. Filem yang bergenrekan crime drama ini meletakkan tema Yakuza daripada perspektif silam sehinggalah ke masa sekarang. Setiap zaman mempunyai pandangan yang berbeza terhadap organisasi jenayah ini.

Ianya mengisahkan seorang remaja bernama Kenji "Lil Ken" Yamamoto yang baru sahaja kematian ayahnya disebabkan penyalahgunaan dadah. Ayahnya juga merupakan bekas salah satu anggota organisasi tersebut. Pada awalnya hidup Kenji agak terumbang-ambing namun dapat diselamatkan oleh seorang ketua Yakuza bernama Hiroshi Shibasaki. Selepas itu kehidupan Kenji berubah dan menemukan beberapa rintangan hidup yang amat sukar.

Lakonan watak Kenji yang dibawakan oleh pelakok bernama Go Ayano semestinya harus diberi pujian kerana ianya sangat bagus dan meyakinkan. Ini bukan kali pertama aku menonton lakonan Go Ayano. Sebelum ini juga aku pernah menonton filem lakonan beliau yang bertajuk "Homunculus" dan kedua-dua filem ini dapat ditonton di Netflix.

Filem ini berjaya mengetengahkan sisi gelap dalam kehidupan seorang anggota Yakuza dan kesukaran yang dihadapi oleh mereka yang membuat keputusan untuk keluar dari kelompok ini. Semenjak tahun 2010 lagi kerajaan Jepun telah berhempas pulas untuk melumpuhkan segala kegiatan sindiket jenayah yang dikenali dengan nama Yakuza ini. Dalam realitinya, kehidupan para ahli Yakuza amat menyukarkan seperti tidak dibenarkan untuk mempunyai sebarang akaun bank dan juga mendaftar kad sim untuk telefon pintar. Ada banyak lagi kesukaran hidup yang dihadapi samada mereka yang masih menjadi ahli Yakuza ataupun bekas anggota mereka.

Filem ini sangat bagus dari segi penceritaan. Pada babak akhir filem ini, penonton dapat merasakan kesedihan yang dialami oleh watak utamanya sekalipun ianya diakhiri dengan suasana yang sangat tragik. Semestinya sebuah filem yang wajib ditonton buat peminat filem yang sukakan genre gangsterisme.

Rating? 4 / 5



Thursday, November 4, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : WORDS BUBBLE UP LIKE SODA POP (2021)

ULASAN RINGKAS FILEM : WORDS BUBBLE UP LIKE SODA POP (2021)

Untuk menilai sebuah filem, setiap individu mempunyai spesifikasi serta kecenderungan pada sesuatu genre mahupun gaya arahan. Cara begini merupakan salah satu kaedah yang sering digunakan oleh pengkritik filem dalam menilai sesuatu karya. Secara peribadi aku lebih suka menilai sebuah filem yang menggabungkan pelbagai elemen dan menghasilkan sesuatu yang menakjubkan. Walaupun kaedah pembuatan filem sebegini dilihat tidak konvensional ataupun jauh tersasar dari pasaran utama, namun masih ada lagi pembikin filem yang suka membuat filem sebegini.

Sebagai contoh filem anime Netflix yang berjudul "Words Bubble Up Like Soda" hasil terbitan dan edaran daripada studio Shochiku Films ini yang menggabungkan elemen seperti romantik komedi, muzikal, dunia sastera Jepun melalui penulisan Haiku dan juga ilustrasi yang penuh warna-warni. Ini bukan kali pertama aku menonton filem anime yang menggabungkan elemen "Haiku" di dalamnya. Sebelum ini ada sebuah filem bernama "Garden Of Words" arahan Makoto Shinkai pernah menggabungkan elemen tersebut namun tidaklah terlalu terperinci.

Filem ini mengisahkan seorang remaja lelaki bernama Cherry yang suka menulis Haiku di laman sosial tetapi jarang mendapat butang "like" di setiap postingnya. Manakala watak heroinnya pula ialah Smile, seorang remaja perempuan yang mempunyai masalah gigi akan tetapi seorang influencer yang berjaya di laman sosial. Mereka berdua bertembung tanpa sengaja dalam sebuah insiden dan menyebabkan telefon pintar Cherry dan Smile tertukar. Apakah kesudahannya? Sila tonton filem ini.

Manakala lagu tema filem ini yang berjudul "Yamazakura" dinyanyikan oleh seorang bintang dari era Japanese City Pop iaitu Taeko Onuki. Jika di zaman awal 80'an, beliau sangat popular dengan lagu hitnya "Tokai" yang bermaksud kotaraya. Lagu ini ibarat penyeri serta salah satu daya tarikan utama kepada filem ini sebenarnya.

Aku merupakan seorang yang sangat suka kepada filem yang mempunyai gabungan genre romantik comedi dan juga dunia kesusasteraan. Menemukan filem ini dan terus menontonnya adalah sesuatu yang amat disukai oleh aku. Setakat ini jarang filem sebegini tidak laku di pasaran. Lihat saja filem seperti "Ada Apa Dengan Cinta" duologi, "Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick" dan juga "Shakespeare In Love".

Jalan cerita untuk filem ini juga sangat santai dan mudah difahami. Anda tidak perlu menjadi terlalu bijak untuk mengamatinya. Hanya perlu dinikmati seadanya. Filem ini juga sangat sesuai untuk tontonan sekeluarga.

Rating? 5 / 5



Monday, November 1, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : THE GIRL WHO LEAPT THROUGH TIME (2006)

ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : THE GIRL WHO LEAPT THROUGH TIME (2006)

Filem ini merupakan antara karya anime yang terlalu lama disimpan dalam simpanan aku akan tetapi baru terdetik hendak menontonnya hari ini. Ini adalah disebabkan oleh iklan dari Uniqlo baru-baru ini yang mempromosikan beberapa rekabentuk terbaru tshirt mereka dan menggabungkan dengan beberapa filem anime arahan Mamoru Hosoda. Nasib baik aku sempat beli, sebab benda-benda macam ini keluarannya agak terhad dan tidak akan diulang cetak.

Beliau merupakan seorang pengarah filem anime terkenal di Jepun selain daripada Makoto Shinkai dan Hayao Miyazaki. Di antara filem-filem beliau yang aku minati ialah "Wolf Children", "The Boy and The Beast", "Mirai" dan juga filem ini. Filem "Mirai" pernah dicalonkan dalam kategori "Best Animated Feature Film" di anugerah Academy Award pada tahun 2018.

Berbalik kepada filem ini, ianya mengisahkan tentang remaja perempuan bernama Makoto Konno yang secara tidak sengaja dapat mengembara balik ke masa silam. Keupayaan tersebut dia dapati setelah jatuh di makmal sains sekolahnya dan terlanggar dengan sebuah objek aneh. Dengan keupayaan tersebut, Makoto telah banyak mengubah masa hadapan dan ini telah menyebabkan pelbagai masalah di kalangan rakan-rakannya.

Secara peribadi, filem ini sangat bagus dari segi penceritaannya. Setelah menonton pelbagai filem berkisar tentang time travelling, kebanyakannya gagal menyampaikan jalan cerita secara teratur dan ini disebabkan oleh konsep itu sendiri. Sebagai contoh filem time travelling yang gagal adalah seperti Donnie Darko (lakonan oleh Jake Gyllenhaal, flop di box office akan tetapi telah mencapai cult status sekarang) dan The Jacket (lakonan Adrian Brody).

Akan tetapi ianya tidak berlaku di dalam filem ini kerana ianya dilihat agak tersusun walaupun watak utamanya banyak menghuru-harakan timeline. Babak akhir filem ini juga disudahi dengan senario yang manis untuk dikenang walaupun ianya tidaklah sehebat mahakarya Makoto Shinkai bertajuk "Your Name" (Kimi No Nawa) yang juga secara tidak sengaja mempunyai elemen time travelling.

Rating? 4/5



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...