Thursday, November 4, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : WORDS BUBBLE UP LIKE SODA POP (2021)

ULASAN RINGKAS FILEM : WORDS BUBBLE UP LIKE SODA POP (2021)

Untuk menilai sebuah filem, setiap individu mempunyai spesifikasi serta kecenderungan pada sesuatu genre mahupun gaya arahan. Cara begini merupakan salah satu kaedah yang sering digunakan oleh pengkritik filem dalam menilai sesuatu karya. Secara peribadi aku lebih suka menilai sebuah filem yang menggabungkan pelbagai elemen dan menghasilkan sesuatu yang menakjubkan. Walaupun kaedah pembuatan filem sebegini dilihat tidak konvensional ataupun jauh tersasar dari pasaran utama, namun masih ada lagi pembikin filem yang suka membuat filem sebegini.

Sebagai contoh filem anime Netflix yang berjudul "Words Bubble Up Like Soda" hasil terbitan dan edaran daripada studio Shochiku Films ini yang menggabungkan elemen seperti romantik komedi, muzikal, dunia sastera Jepun melalui penulisan Haiku dan juga ilustrasi yang penuh warna-warni. Ini bukan kali pertama aku menonton filem anime yang menggabungkan elemen "Haiku" di dalamnya. Sebelum ini ada sebuah filem bernama "Garden Of Words" arahan Makoto Shinkai pernah menggabungkan elemen tersebut namun tidaklah terlalu terperinci.

Filem ini mengisahkan seorang remaja lelaki bernama Cherry yang suka menulis Haiku di laman sosial tetapi jarang mendapat butang "like" di setiap postingnya. Manakala watak heroinnya pula ialah Smile, seorang remaja perempuan yang mempunyai masalah gigi akan tetapi seorang influencer yang berjaya di laman sosial. Mereka berdua bertembung tanpa sengaja dalam sebuah insiden dan menyebabkan telefon pintar Cherry dan Smile tertukar. Apakah kesudahannya? Sila tonton filem ini.

Manakala lagu tema filem ini yang berjudul "Yamazakura" dinyanyikan oleh seorang bintang dari era Japanese City Pop iaitu Taeko Onuki. Jika di zaman awal 80'an, beliau sangat popular dengan lagu hitnya "Tokai" yang bermaksud kotaraya. Lagu ini ibarat penyeri serta salah satu daya tarikan utama kepada filem ini sebenarnya.

Aku merupakan seorang yang sangat suka kepada filem yang mempunyai gabungan genre romantik comedi dan juga dunia kesusasteraan. Menemukan filem ini dan terus menontonnya adalah sesuatu yang amat disukai oleh aku. Setakat ini jarang filem sebegini tidak laku di pasaran. Lihat saja filem seperti "Ada Apa Dengan Cinta" duologi, "Tenggelamnya Kapal Van Der Wjick" dan juga "Shakespeare In Love".

Jalan cerita untuk filem ini juga sangat santai dan mudah difahami. Anda tidak perlu menjadi terlalu bijak untuk mengamatinya. Hanya perlu dinikmati seadanya. Filem ini juga sangat sesuai untuk tontonan sekeluarga.

Rating? 5 / 5



No comments:

Post a Comment

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...