Monday, November 22, 2021

KOREK FIZIKAL : PENEMUAN KASET-KASET BLACK METAL DARI FINLAND, GREECE DAN ITALY

KOREK FIZIKAL : PENEMUAN KASET-KASET BLACK METAL DARI FINLAND, GREECE DAN ITALY

Pada 23 September 2021, brader Roslan menghadiahkan beberapa kaset dari zaman silamnya. Ianya merupakan beberapa kaset genre black metal hasil daripada beli atau trade melalui interaksi dengan beberapa distro tempatan pada lewat 90'an dan awal tahun 2000 dahulu. Katanya, hobi membeli kaset black metal seperti ini juga diamalkan oleh seorang sahabatnya iaitu Alim. Mereka berdua pernah menubuhkan sebuah band black metal sekitar pertengahan dekad 90'an yang dikenalk dengan nama "Meragen". Pembelian kaset-kaset bermula dari membaca beberapa fanzine genre metal di waktu tersebut di mana terdapat beberapa distro membuat senarai kaset dari luar negara untuk diniagakan kepada para pembaca.
Antara kaset tersebut ialah band Pest (black metal dari Finland), Jääportit (juga band black metal dari Finland akan tetapi dari cover artwork ni aku dapat rasakan ianya ke arah atmospheric), Jackal's Truth (black metal dari Greece, dari gambar band pun dah ala Rotting Christ) dan juga Lathebra (black metal dari Italy, yang ini sebijik macam Mayhem dengan corpse paint dan entah apa-apa lagi). Kondisi masih elok dan tidak berkulat. Menakjubkan sebab walaupun sudah berusia 20 tahun, kaset ini masih nampak elok dan boleh dimainkan.
Selepas menerima kaset-kaset ini tadi, terasa nak study pasal band-band ini dan cuba merujuk pada beberapa koleksi zine lama-lama aku. Manalah tau terserempak nama band ni kat dalam zine. Kalau guna Google pun ok gak, cuma itulah kadang-kadang info pun tak banyak mana sebab rilisan ini boleh dikira agak obscure dan susah nak cari sekarang.
Kita mulakan dengan band "Jackal's Truth" dengan demo nya yang bertajuk "Dominus Silvae" (1997). Band ini membawakan genre epic / melodic black metal. Ianya dianggotai oleh Kostas (vokalis, gitar), Zacharias (gitar), George (bass), George A. (drums) dan dibantu oleh pemain keyboard selaku sesionist iaitu Grigoris. Kaset demo ini hanya mempunyai 3 buah lagu sahaja iaitu "Opening...The Veil Of Wisdom", "Jackal's Truth (Part 1 & 2)" dan "The Nameless City". Demo ini banyak menghasilkan bunyian keyboard yang mengasyikkan dan melodi gitar yang menarik. Ianya seperti mendengar album "Triarchy Of The Lost Lovers" (1996) dari band Rotting Christ. Band yang berasal dari Greece ini mula aktif pada tahun 1996 dan telah pun berpecah. Tidak dinyatakan pula dalam website Encyclopedia Metallum bila tahun sebenar band ini berpecah. Band ini sempat menghasilkan sebuah demo dan menyertai projek album kompilasi.
Kemudian kita teruskan dengan ulasan kaset dari band Lathebra dengan kaset demo mereka yang berjudul "Angel's Twilight Odes" (1997) yang diriliskan oleh label Noctilucae Creationes. Band yang membawakan genre melodic black metal ini mula ditubuhkan pada tahun 1996 dan dibubarkan pada akhir dekad 90'an. Kaset demo "Angel's Twilight Odes" ini merupakan satu-satunya rilisan mereka. Dianggotai oleh Francesco Palumbo (bass), Rosario Memoli (drums), Bruno Villani (gitar), Francesco Galano (gitar) dan G. Principe C. (vokalis), band ini mempunyai sound yang hampir sama dengan As Sahar melalui album "Meditasi Embun Pagi". Kaset demo ini mempunyai 5 buah lagu dan mempunyai kekuatan melodi yang sangat bagus. Ternyata pembubaran band dari Italy ini sangat merugikan buat scene muzik gelap di sana.
Selepas itu kita beralih kepada kaset seterusnya iaitu dari band "Pest" dengan demo mereka "Hail The Black Imperial Hornsign" (1998). Band ini berasal dari negara Finland ini mula aktif pada tahun 1997 dan dibubarkan pada 1999. Band ini sempat menghasilkan 2 demo, 2 single dan sebuah 4-way-split album bersama band Clandestine Blaze, Bloodhammer dan Nightside pada tahun 1999. Dianggotai oleh Nazgul (vokalis, pemain keyboard), Skratt (bass), Nigrantium (drums) dan Iskariot (gitar), band ini membawakan genre black metal secara straight forward dan dipengaruhi dengan band-band black metal tersohor seperti Mayhem, Burzum, Immortal dan banyak lagi.
Terakhir sekali, aku akan ulas kaset dari Jääportit dengan album pertamanya yang bertajuk "Kauan Koskematon". Jääportit merupakan sebuah one-man project band yang diasaskan oleh Tuomas M. Mäkelä. Band dari Finland ini mula aktif sejak 1997 dan masih lagi bertahan sehingga sekarang. Aku rasa antara keempat kaset yang aku buat ulasan sekarang, hanya Jääportit sahaja yang masih lagi aktif berbanding lain. "Kauan Koskematon" merupakan album pertama dan diriliskan pada tahun 1999 di bawah label Noitavasara. Ianya mempunyai 8 buah lagu. Lagu-lagu dari Jääportit banyak dipengaruhi oleh band atau artis seperti Mortiis, Burzum, Arcana dan Dead Can Dance. Membawakan genre ambient, atmospheric, drone dan dark wave, Jääportit telah menghasilkan 7 buah album, sebuah demo dan kompilasi "Tribute To H. P. Lovecraft - Yogsothery".
Keempat-empat kaset yang aku ulas ini mempunyai kualiti mixing serta mastering yang bagus walaupun tidaklah sehebat band ternama lain. Boleh dikatakan kesemuanya telah mencapai usia yang agak veteran namun muzik mereka masih lagi relevan untuk didengar bagi pencinta genre tersebut.
Jika difikirkan balik, agak menakjubkan bagaimana aktiviti trade atau beli kaset melalui fanzine seperti di dekad 90'an dahulu banyak membantu penggiat muzik gelap ketika itu dalam meluaskan perspektif mereka. Berutus surat melalui snail mail dan kadang-kala harus menunggu berbulan-bulan, namun aktiviti trade kaset ketika itu sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan.
Situasi ini sebenarnya sangat jarang dilihat di dalam komuniti peminat muzik itu sendiri pada zaman sekarang. Sedangkan muzik dalam format fizikal pun sudah kurang mendapat tempat di hati peminat, inikan pula kita bercerita tentang aktiviti trade kaset dengan rakan-rakan dari negara luar. Mungkin itu hanya kekal menjadi sebahagian daripada memori buat mereka yang pernah mengharungi zaman tersebut.








4 comments:

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...