(Entri ini asalnya ditulis pada 21 Jun 2021)
Thursday, September 9, 2021
KESAN-KESAN SAMPINGAN SELEPAS PENGAMBILAN DUA DOS VAKSIN COVID-19 (COMINARTY)
Kesan-kesan sampingan yang aku nak bagitahu ni sebenarnya merujuk kepada pengalaman peribadi aku sahaja sebab aku yakin setiap individu mempunyai interaksi yang berbeza terhadap vaksin ini. Apa-apapun ianya hanyalah bersifat sementara dan kebanyakannya bertahan dalam tempoh lebih kurang 48 jam begitu.
Aku telahpun melengkapkan 2 dos vaksin cominarty (pengeluarnya Pfizer BioNTech) pada sabtu lepas (19 Jun 2021) dan mendapatkannya lebih kurang pukul 10 pagi begitu. Selesai sahaja mendapatkan suntikan tersebut, aku terus balik rumah. Seperti suntikan kali pertama dahulu, kepala aku terasa mengantuk sangat. Setelah selesai mandi dan solat, aku pun tidur sekejap.
Mimpi ngeri bermula apabila aku bangun tidur petang tersebut. Antara tanda-tanda yang aku alami ialah:
1. Suhu badan naik mendadak
Keadaan menjadi sedikit panik apabila suhu badan aku naik menjadi 3.7 celcius begitu. Kalau dibawa pergi supermarket ni confirm aku tidak dapat masuk. Akan tetapi selepas beberapa jam kemudian, suhu mula reda sedikit namun badan masih lagi terasa panas. Demam teruk jugalah dibuatnya.
2. Lenguh pada sendi-sendi
Paling tidak boleh tahan apabila sendi-sendi di kaki dan tangan mula terasa lenguh lain macam. Aku nak berjalan pun terasa menyeksakan. Kejadian begini berlaku hampir 2 hari.
3. Urat leher terasa menegang
Oleh kerana aku pernah mengalami masalah kolesterol dan masih lagi memakan ubat darah tinggi, maka simptom sebegini bukanlah asing bagi aku. Kepada mereka yang masih lagi mempunyai masalah darah tinggi, keadaan ini sangat biasa dialami. Namun apabila ianya datang selepas menerima vaksin kedua ni, terasa beban yang teramat sangat.
4. Pening kepala
Pernah terbaca beberapa info sebelum ini bahawa kena makan ubat panadol selepas vaksin dos kedua. Aku ingatkan ianya tidaklah penting sangat. Aku silap. Nasib baiklah ada beberapa tablet Panadol Activfast yang tinggal di dalam simpanan aku. Kepeningan yang dialami sebenarnya tidaklah teruk sangat, cuma rasa tidak selesa apabila ianya bergabung dengan masalah lain seperti sengal badan dan demam.
Nasihat aku, perlu banyak minum air kosong selepas vaksin kedua, sediakan panadol dan koyok jika perlu dan banyakkan berehat. Pengalaman aku, selepas hari ketiga, penyakit-penyakit tersebut mula beransur hilang dan aku boleh bekerja seperti biasa. Jangan risau, ianya hanyalah tindak balas antibodi kita terhadap vaksin tersebut dalam membentuk imuniti secara sempurna.
Monday, September 6, 2021
ULASAN RINGKAS FILEM ANIME : JOSEE, THE TIGER AND THE FISH (2020)
Ada beberapa fakta menarik tentang filem ini yang rasanya harus dinyatakan kepada umum terutama sekali kepada peminat anime. Pertama, filem ini merupakan adaptasi daripada sebuah novel tulisan Seiko Tanabe, seorang penulis popular di Jepun yang banyak memenangi anugerah (meninggal dunia pada tahun 2019, beliau tidak sempat menonton filemnya ini). Keduanya, filem anime ini juga mempunyai versi live-action akan tetapi dihasilkan di Korea. Kedua-dua filem anime dan live-action tersebut diriliskan pada Disember 2020 yang lepas. Ketiga dan pengakhirannya, jika anda peminat filem-filem anime hasil karya Makoto Shinkai, maka filem ini juga sesuai untuk tontonan anda.
Filem "Josee, The Tiger And The Fish" atau dalam sebutan bahasa Jepunnya "Joze To Tora To Sakana-Tachi" pada asalnya adalah adaptasi novel tulisan Seiko Tanabe yang telah diriliskan pada tahun 1984. Ianya bergenrekan "romantic comedy" dan mempunyai kesan visual yang hampir sama seperti kebanyakan filem Makoto Shinkai. Walaupun tidaklah meniru secara seratus peratus namun filem ini masih seronok untuk ditonton. Faktor utama yang mendorong aku menonton filem ini sudah semestinya kualiti lukisan anime serta kesan khasnya. Storyline adalah faktor kedua.
Ianya mengisahkan seorang pemuda yang berkerja separuh masa di sebuah kedai menjual barangan berkaitan akuarium serta perkhidmatan menyelam ke dasar laut bernama Tsuneo (tiada kaitan dengan Tsuneo dari anime Doraemon ok!). Suatu hari dalam perjalan pulang dari tempat kerjanya, Tsuneo terlihat seorang wanita berkerusi roda yang hampir terlibat dalam kemalangan. Nasib baiklah si Tsuneo ni sempat menyelamatkannya. Namun wanita tersebut (bernama Kumiko tapi lebih suka digelar Josee) bersikap agak dingin pada mulanya. Nak cakap terima kasih pun susah. Akan tetapi sepanjang filem berjalan, maka bermulalah bibit-bibit percintaan di antara mereka berdua.
Ya, mungkin jalan ceritanya agak cliché disebabkan hampir sama dengan kebanyakan filem romantic comedy yang lain. Namun apa yang menjadi kekuatan utama filem ini ialah kesan visualnya dan ada beberapa babak pada pengakhirannya agak sukar diramal. Ianya mengingatkan aku dengan filem "I Want To Eat Your Pancreas" akan tetapi dengan happy ending.
Thursday, September 2, 2021
ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : JUJUTSU KAISEN (MUSIM PERTAMA)
Kalau diikutkan aku sudah dikira agak lewat untuk memulakan tontonan terhadap anime ini. Siri anime ini sudah pun mula ditayangkan pada 3 Oktober 2020 dan berakhir pada 27 Mac 2021 melalui beberapa saluran seperti channel JNN di Jepun dan beberapa channel anime rasmi di YouTube seperti Crunchyroll dan MAPPA. Untuk siri anime yang bergenre Shonen dan petualangan sebegini, aku lebih suka jika ianya sudah selesai sehingga ke penghabisan musimnya, barulah seronok untuk aku menonton secara marathon. Haha. Sekarang ianya juga boleh ditonton melalui aplikasi Netflix.
"Jujutsu Kaisen" pada asalnya adalah siri manga yang diasaskan oleh Gege Akutami (ini merupakan nama pena sahaja. Sampai sekarang ramai yang tidak tahu nama sebenarnya) dan merupakan karya manga pertama beliau. Manga tersebut mula berada di pasaran pada Mac 2018 melalui majalah keluaran Shueisha di Jepun. Jika diikutkan, Jujutsu Kaisen mempunyai siri prequelnya iaitu Tokyo Metropolitan Curse Technical School yang diriliskan pada April hingga Julai 2017. Kira macam siri pendek lah. Kalau ada yang pernah baca siri pendek manga ni kira untung juga lah sebab ianya menjadi permulaan kepada pengembaraan Yuji Itadori (watak utama) serta rakan-rakannya.
Ianya mengisahkan tentang seorang remaja yang aktif bersukan, mempunyai fizik tubuh sempurna akan tetapi meminati dunia mistik semasa di sekolah menengah bernama Yuji Itadori. Beliau tinggal bersama datuknya akan tetapi pada awal episod siri anime ini datuknya baru sahaja meninggal dunia. Ini menyebabkan Yuji Itadori berada di dalam kesedihan dan menambahkan lagi situasi malangnya, ada beberapa rakannya terlibat dalam situasi yang melibatkan kerasukan makhluk mistik iaitu "cursed spirits". Ini menyebabkan Yuji Itadori terpaksa menyelamatkan walau dalam apa cara sekalipun.
Secara keseluruhan dan untuk merumuskan ulasan aku ini, siri anime "Jujutsu Kaisen" sangat seronok untuk diikuti perjalanan naratifnya. Walaupun ada beberapa elemen shonen dan pengembaraan nya nampak sangat cliché seperti anime bergenre shonen, namun ianya tidak membantutkan tontonan peminat anime seperti aku. Mungkin ianya disebabkan babak pertarungan yang menarik sekaligus jalan ceritanya yang punya originaliti nya tersendiri. Kadang-kala aku pun terfikir juga watak Yuji, Megumi dan Nobara hampir sama dengan watak dalam Harry Potter (Yuji bersamaan dengan Harry Potter, Megumi hampir kepada Ron Wesley manakala Nobara lebih menyerupai Hermoine) dan sekolah mereka iaitu Tokyo Metropolitan Magic Technical College hampir sama fungsinya seperti Hogwart. Sekadar pandangan sepintas lalu sahaja.
Subscribe to:
Posts (Atom)



