Thursday, September 30, 2021

ULASAN RINGKAS FILEM : NIGHT IN PARADISE (2020)

ULASAN RINGKAS FILEM : NIGHT IN PARADISE (2020)
Aku bukanlah peminat setia untuk mana-mana K-Drama ataupun muzik K-Pop. Sebaliknya ada sebahagian daripadanya aku kurang gemar. Akan tetapi jika kita berbicara tentang perfileman Korea, jarang sekali ianya mengecewakan aku setakat ini baik dari genre horror, drama ataupun aksi (pertarungan). Kali ini aku ingin mengulas tentang filem "Night In Paradise" (2020) yang kini sudah pun berada di dalam aplikasi Netflix.
"Night In Paradise" merupakan sebuah filem crime-drama yang diarahkan oleh Park Hoon-Jung dan dibintangi oleh Uhm Tae-Goo, Jeon Yeo-Been (heroin dalam siri drama Vincenzo) dan Chan Seung-Woon. Walaupun ditayangkan secara umum pada 3 September 2020, ianya mula menjadi sebahagian di dalam aplikasi Netflix pada 9 April 2021.
Filem ini bermula agak lembab sebenarnya di mana seorang pembunuh upahan bernama Tae-Goo terlibat dalam konflik yang melibatkan beliau terpaksa memilih untuk menjadi orang kanan di antara dua kumpulan gangster. Ada beberapa babak di awal filem ini bergerak terlalu perlahan dan hanya dipenuhi dengan perbualan sahaja. Akan tetapi apabila sudah sampai ke peringkat suku pertama filem ini, keadaan menjadi kucar kacir dengan aksi kejar-mengejar serta pertarungan sehinggalah watak utama dibawa lari ke Pulau Jeju.
Keadaan makin menjadi agak tertekan apabila pihak kumpulan gengster yang sakit hati dengan watak Tae-Goo menemukannya di pulau tersebut. Selepas itu setiap babak yang disaksikan menjadi sangat intense dan mengujakan. Walaupun dimulakan dengan intro yang sangat slow-burn tetapi filem ini diakhiri dengan penamat yang sangat kejam, pintar dan dramatik.
Jika anda ingi menyaksikan sebuah filem aksi yang hampir dengan elemen "John Wick", "The Equalizer" mahupun "Nobody", rasanya filem ini kurang sesuai untuk anda kerana tiada aksi balas dendam yang diakhiri dengan gaya yang glorious mahupun epic. Pengakhiran filem ini sangat menyedihkan bagi aku namun dalam masa yang sama ianya memuaskan.
Rating? 4 / 5




Monday, September 27, 2021

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : DON'T TOY WITH ME, MISS NAGATORO (2021)

ULASAN RINGKAS SIRI ANIME : DON'T TOY WITH ME, MISS NAGATORO (2021)

Kadang-kala menonton siri anime yang bersifat romantic comedy pun seronok juga sebenarnya. Sekarang trend di Jepun, pengkarya anime lebih cenderung kepada siri romantic comedy yang bersifat membuli "senpai" (senior di sekolah) seperti "Uzaki-Chan Wa Asobitai" (personal favourite), "Karakai Jozu Takagi-San" (banyak ulasan positif yang aku baca pasal anime ini tapi aku belum tonton lagi) dan "Tejina Senpai", sekadar menamakan sebahagian. Sebenarnya ada banyak lagi siri anime begini di mana watak heroin suka membuli senpai akan tetapi dalam masa yang sama terhasilnya bibit-bibit percintaan.
Paling terkini yang aku tonton ialah "Ijiranaide, Nagatoro-san" atau dalam bahasa Inggerisnya berjudul "Don't Toy With Me, Miss Nagatoro". Apa yang istimewa tentang siri anime ini ialah jalan ceritanya di mana watak heroin iaitu Hayase Nagatoro suka membuli seorang budak senior lelaki di sekolahnya yang bernama Naoto Hachioji. Naoto merupakan seorang budak lelaki yang bersifat introvert, suka menyendiri akan tetapi sangat pandai dalam melukis. Bermula dari episod pertama lagi Naoto sudah dibuli teruk oleh Hayase Nagatoro serta kawan-kawannya. Pada permulaan ianya dilihat agak menjengkelkan, akan tetapi apabila beransur kepada episod yang seterusnya Hayase Nagatoro sebenarnya sangat prihatin dan ambil berat dengan seniornya iaitu Naoto.
Siri anime pada asalnya dari web manga yang dilukis serta diolah oleh Nanashi (atau nama pena nya 774) dan diadaptasikan untuk siaran televisyen oleh Telecom Animation Film. Kalau diikutkan siri anime ini akan berakhir pada penghujung bulan Jun 2021 akan tetapi aku baru sahaja menonton sehingga episod 8. Huhu.
Secara keseluruhan, siri anime ini sangat menghiburkan walaupun ada beberapa babak di episod tertentu agak kurang sesuai ditonton oleh kanak-kanak dibawah umur 12 tahun kerana mengandungi unsur-unsur gangguan seksual yang tidaklah keterlaluan. Ya, tidak semua anime adalah sesuai untuk tontonan kanak-kanak. Siri anime ini juga tidak terkecuali.
Rating? 4 / 5




Thursday, September 23, 2021

DOUBLE CD THE TIMES "MODERN MINIMALIS GLAMOUR" (REMASTERED & REPACKAGED)

DOUBLE CD THE TIMES "MODERN MINIMALIS GLAMOUR" (REMASTERED & REPACKAGED)

Pendaratan cemas hari ini ialah sebuah bungkusan berisi CD yang datangnya daripada Teenage Head Records (sebuah record store yang agak terkenal di Semenanjung). Ianya merupakan CD The Times untuk album "Modern Minimalis Glamour". Merupakan album ketiga dari band ini dan diriliskan pada tahun 2008 (melalui label Gizmo Records), "Modern Minimalis Glamour" merupakan hasil karya The Times yang sangat menarik dan masih lagi mendapat tempat di hati peminat muzik khususnya dari genre alternative rock dan indie.
Untuk versi repackaged ini pula, ianya didatangi dengan 2 CD. Pada CD pertama, ianya mengandungi 10 buah lagu asal dengan sentuhan remastering yang terkini untuk kepuasan maksima dari segi sound. Manakala CD kedua pula, disusuli dengan beberapa lagu demo, acoustic cover, minus one serta instrumental. Dari segi inlay pula, ianya dicetak dalam bentuk booklet dan kali ini dihiasai dengan banyak gambar band berbanding versi asalnya dahulu. Walaupun begitu, 1st press CD untuk album ini boleh tahan juga harganya. Nasib baik aku dah ada.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...