Monday, June 6, 2016

Cerpen : Apakah Ketahian Ini?



Ok. So what now? 

Murad mengeluh di dalam hati. Fikirannya masih lagi berkecamuk dan berpintal di dalam masalah yang sedang dihadapinya. Walaupun tangannya masih lagi kemas menggenggam stereng kereta, namun segala urat saraf serta darah yang mengalir di dalam dirinya masih lagi hanyut dibuai permasalahan yang membanjiri otaknya ketika itu. 

Jalan raya semakin lengang. Malam semakin sunyi. Bilangan kereta yang menyusuri dataran asfal di hadapan kenderaanya dirasakan semakin berkurangan. Tapi Murad tidak mempedulikan semua hal tersebut. Dengusan nafasnya masih lagi kencang akibat menyimpan seribu macam keserabutan. Murad meninggikan lagi pecutan kereta mewahnya tanpa hala tuju yang pasti. 

Pada satu selekoh tidak jauh dari sebuah kawasan perumahan, Murad menghentikan pemanduan keretanya di pinggir jalan. Murad keluar dari keretanya lalu mengeluarkan sebatang rokok yang mempunyai label bertulis "Rave" itu. Dinyalakannya rokok itu dengan menggunakan lighter berjenama Aladdin yang "diculiknya" dari makmal tadi. Entah siapa yang punya, Murad peduli apa. 

Fikiran Murad mula fokus kembali. Sambil merokok, dia menggapai telefon pintarnya dari kocek. Dia mula mendail nombor telefon sahabatnya Nasrul yang juga merangkap salah seorang profesor yang mengendalikan eksperimen di makmal tempatnya berkerja itu. 

"Oi Nasrul! Kau kat mana ni? Aku ada masalah nak bagitau kau ni," 

"Aku dekat rumah ni. Tengah layan movie dengan wife aku. Ha, apahal pulak ni?" 

"Ada masalah besar dekat makmal sekarang ni Rul. Kau kena datang ke sana sekarang juga. Ini berkaitan dengan karier kita juga ni," 

"Argh, kau ni menyusahkan aku saja la, mangkuk. OK, kau bagi aku masa setengah jam. Kejap lagi aku gerak ke sana," 

Makmal nombor 74 yang terletak di dalam bangunan fakulti Sains Pertanian dan Makanan itu nampak riuh rendah dari kejauhan. Dari luar bangunan tersebut, lampu dari bilik makmal tersebut masih lagi terbuka dan menerangi setiap ruang di dalam nya. Bangunan yang terletak di dalam kawasan milik Universiti Botani Malaysia itu masih lagi hidup, seakan-akan ianya beroperasi pada waktu pagi. Namun tidak ada seorang manusia pun kelihatan di dalam bangunan tersebut. 

Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 malam namun kelibat si Nasrul masih lagi belum muncul. Murad sudah rasa gelisah menunggu Nasrul di luar bangunan fakulti tersebut. 'Manalah pergi si badigol ni,' keluh hati Nasrul yang semakin galau itu. Sedar tak sedar, sudah 5 batang rokok telah dihabiskannya semasa menunggu si Nasrul yang entah bila akan sampai. 

Selang beberapa minit kemudian, sebuah kereta Mitsubishi Skyline berwarna putih muncul di kawasan parkir kenderaan. Setelah selesai memarkirkan keretanya, Nasrul keluar dari kenderaan tersebut lalu berlari-lari anak menuju ke arah Murad yang sedang duduk mencangkung di kawasan anak tangga berhadapan dengan pintu masuk bangunan tersebut. Nasrul memandang ke wajah Murad yang sarat dengan ekspresi kemurungan. 

"Lama gila aku tunggu. Kau ingat aku ni main-main kah? Kau ingat aku saja-saja nak panggil kau ke mari tengah malam buta macam ni," tengking Murad ke arah Nasrul. Murad sudah hilang sabar pada ketika itu. 

"Tenang Murad. Cuba bawa mengucap dulu. Jangan kalut sangat boleh tak?" Nasrul cuba menenangkan rakannya yang semakin panik itu. 

Murad malas hendak bersuara lagi. Di simpannya dalam hati segala kegundahan fikirannya. Murad lalu mengajak Nasrul masuk ke bangunan tersebut lantas menuju ke arah makmal bernombor 74. Pintu makmal itu pun terbuka. Simbahan cahaya dari lampu makmal berkenaan menyilaukan pandangan mereka berdua. 

Takarka Paimon! Takarka Paimon! Takarka Paimon! 

Ada beberapa suara garau menyebut ayat-ayat berbahasa asing di dalam makmal bernombor 74. Nasrul dan Murad jadi kaget sebentar namun mereka berupaya membuang perasaan itu jauh-jauh. Ternyata suara-suara baritone itu terhasil dari dalam beberapa balang kaca yang terdampar di atas meja makmal. Di dalam balang-balang kaca berkenaan ada beberapa baja semulajadi yang terhasil dari najis kerbau jantan disimpan rapi. 

"Kau tengok balang-balang ni, Nasrul. Selepas aku letak cecair formula penyuburan baja ke dalam balang-balang ni, ada suara-suara aneh terkeluar dari balang-balang kaca ni. Ini betul-betul tak masuk akal bro," Murad menerangkan apa yang terjadi kepadanya beberapa jam sebelum itu. "Kau tahu tak apa maksud suara aneh ni?" tanya Murad kepada Nasrul dalam kebingungan. 

"Suara ni bercakap dalam bahasa Parsi. Maksudnya 'Hormat Paimon! Hormat Paimon' tapi aku tak tahu apa benda yang bernama Paimon ni," terang Nasrul kepada Murad. Nasrul sebelum ini pernah belajar di Tehran, Iran selama 5 tahun di sebuah universiti yang berteraskan pendidikan tanaman perladangan. 

"Dulu kau kata yang ekstrak Cannabis Stavia terlarut dalam cecair formula ini hanya boleh didapati di Iran saja kan? Cannabis jenis apa yang kau bawa ni Nasrul?" bertubi-tubi soalan tersembur keluar dari mulut Murad. Namun Nasrul hanya membatukan diri. Nasrul duduk sejenak di atas salah satu kerusi makmal sambil mengeluarkan telefon pintar berjenama iPhone itu. Tanpa melengahkan masa, Nasrul mencari apa maksud "Paimon" melalui aplikasi Wikipedia di dalam telefonnya. 

"Paimon" bermaksud nama salah seorang raja syaitan yang memerintah neraka berdasarkan ajaran agama Majusi. 

'Apakah kaitan benda mengarut ini semua dengan penyelidikan aku,' Nasrul berkata dalam hati. Dia kebingungan dan begitu juga sahabatnya Murad. Apabila Nasrul cuba untuk menenangkan fikirannya, barulah dia dapat mengutip beberapa memori silam yang pernah dicoretkannya dahulu.

"Ya, sekarang baru aku ingat. Semasa aku masih di Tehran dulu, ada seorang sahabat sekuliah yang bagi anak pokok Cannabis Stavia ni kepada aku. Namanya Mullah. Katanya anak pokok ini tumbuh di dalam sebuah masjid orang Syiah yang terletak di Murmuri, sebuah kawasan pendalaman dekat dengan sempadan Iraq. Si Mullah ni pernah bagitau aku yang pokok ini cuma tumbuh di dalam kawasan pusara seorang imam Syiah, namanya kalau tak silap Abu Jaafar Bin An Nukman. Pusara imam ni terletak di dalam masjid tersebut. Si Mullah ada juga bagitahu yang imam ini adalah pengasas kepada mazhab Syiah Al Syaitaniah," 

"Cis, yang kau pun setuju nak ambil pokok ni kenapa?" Soal Murad dalam nada yang sedikit marah. 

"Kita ni saintis, Murad. Setiap penyelidikan yang kita buat ada matlamatnya masing-masing. Untuk projek yang kita buat ni, kita nak buktikan pada masyarakat umum bahawa tumbuhan Ganja bukanlah seperti yang mereka fikirkan sebelum ini. Ganja juga banyak manfaatnya dalam kehidupan kita, terutama sekali dalam sektor pertanian. Baja organik yang dicampur dengan cecair formula Cannabis Stavia mampu menghasilkan tanaman yang berkualiti," 

"Ye, aku tahulah pasal tu. Tapi yang kau ambik pokok ganja dari kubur imam Syiah ni buat apa? Aku tahu kau seludup masuk pokok ni ke Malaysia. Sial la kau ni, Nasrul. Kau tahu tak pokok keramat macam ni kalau dah bercampur dengan najis akan jadi benda lain," Murad mengeluarkan hujahnya pula. 

"Keramat apa kejadah nya? Kaum Syiah ni sesat, kau tahu tak. Tapi sebenarnya, aku peduli apa pasal kepercayaan diorang. Janji aku dapat pokok Ganja yang rare ni," 

"Ha, rare la sangat. Entah-entah pokok Ganja tu yang bawak puaka ke dalam makmal kita ni," kenyataan Murad ini seakan menyindir Nasrul sahaja. 

"Hahaha...kau jangan percaya sangat benda-benda tahyul ni, Murad. Tentu ada penjelasan saintifik tentang fenomena suara misteri yang keluar dari balang-balang tu," dengan angkuhnya Nasrul membalas kata-kata sahabatnya itu. 

Tiba-tiba satu persatu lampu di siling makmal tersebut meletup dan pecah dengan sendirinya. Ada percikan api yang terhasil daripada letupan kecil dari lampu-lampu itu. Cebisan listrik-listrik kecil itu lalu mendarat di atas meja makmal yang penuh dengan bahan-bahan mudah terbakar. Kejadian ini mengakibatkan satu kebakaran terhasil di dalam makmal tersebut. Walaupun bergelap, namun api yang terhasil oleh kebakaran tersebut berjaya menerangi setiap ruang yang ada. 

Murad dan Nasrul menjadi semakin panik dan tidak tentu arah. Api kebakaran yang awalnya hanya kecil sahaja kini merebak ke meja-meja makmal yang lain. Mereka berdua kemudiannya berlari menuju ke arah pintu makmal. 

Apabila mereka berdua sampai ke muka pintu, ada satu susuk tubuh berwarna hitam sedang berdiri tegak di hadapan Nasrul dan Murad. Seolah-olah mahu menghalang perjalanan mereka untuk keluar dari makmal tersebut. Dalam keadaan yang kalut itu, mereka berdua cuba memerhati dengan teliti wajah lembaga yang berada di hadapan. 

"What the...," belum sempat Nasrul menuturkan ayatnya secara lengkap, ada sepasang tangan yang hitam legam mencekik batang leher mereka berdua. Lembaga hitam yang mencengkam leher mereka berdua itu kemudiannya memperlihatkan wajahnya. 

Alangkah terkejutnya Nasrul dan Murad bahawa makhluk yang mencekik mereka berdua menyerupai seekor serigala yang berpakaian jubah hitam. Makhluk itu muncul entah dari mana. 

Perlahan-lahan makhluk berkepala serigala itu mengheret mereka berdua ke meja-meja makmal yang sudah menjadi unggun api. Tanpa banyak bicara, makhluk mistik itu kemudiannya mencampakkan mereka berdua ke arah api yang semakin galak membara. 

Maka berteriaklah Nasrul dan Murad menahan kesakitan yang amat dahsyat sekali. Api yang semakin agresif itu mula membakar setiap cebisan daging pada tubuh mereka. Namun dalam kepekatan malam, tiada siapa yang dapat mendengar jeritan pertolongan mereka. 

Manakala makhluk misteri berkepala serigala tadi hanya ketawa mengilai sambil memerhatikan Nasrul dan Murad mati terbakar di hadapannya. Makhluk itu menuturkan beberapa ayat berbahasa Melayu dari mulutnya. 

"Mampuslah kau wahai anak Adam! Mampuslah kau hahaha...," 

TAMAT

5 comments:

  1. terbaik cerita ini bro adi herman... rasa-rasanya boleh menyaingi kehebatan cerita seram dari blog yusrina juga.. huhuhuhuh
    so.. apa kata kawan-kawan semua? memang terbaik kan adi herman dan juga yusrina!!

    ReplyDelete
  2. kenapa blog yusrina takde dalam 'senarai blog-blog pilihan' di molotov cocktailz ni... uhhh sedih la jugak yusrina kann!!

    ReplyDelete
  3. Serius aku baca dengan cuak.
    Mula2 thrill, lepas tu scary.
    In another time, in another place, ni dah jadi skrip horror movie.

    ReplyDelete
  4. Rare betul ganja ni..

    Yusrina dengan Adi Herman boleh buat 'split book'..

    ReplyDelete

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...